Labels

Friday, April 26, 2013

Malaysia dan hutang

Tidak ada masalah untuk berhutang. Individu, syarikat mahupun negara boleh berhutang asalkan ada tujuan mustahak dan tahu untuk membayar semula.

Biasanya kita berhutang sewaktu kita tiada/kurang duit dan kita akan membayar hutang tersebut apabila kita sudah ada/banyak duit.

Negara kita mengalami belanjawan defisit sejak tahun 1999 selepas Dr Mahathir menjadi Menteri Kewangan menggantikan Anwar Ibrahim yang dipecat. Kita akui, waktu itu negara berdepan dengan krisis kemelesetan ekonomi, maka banyak wang diperlukan untuk disuntik dalam pasaran bagi merancakkan ekonomi.

Kita juga akui bahawa pada waktu itu negara tidak punyai hasil yang banyak. Dividen Petronas pada tahun 1998 hanya berjumlah RM3.1 billion. Jika dicampur dengan cukai pendapatan petroleum (RM4.046 billion), royalti petroleum (RM1.1 billon) dan duti eksport petroleum (RM563 juta) ia hanya berjumlah RM8.81 billion. Ia mewakili 15.5 peratus daripada keseluruhan hasil negara bagi tahun 1998.

Pada tahun 2012, hasil negara berasaskan petroleum telah meningkat dengan ketara. Dividen Petronas bertambah 10 kali ganda iaitu RM30 billion. Jika dicampur dengan cukai pendapatan petroleum (RM31.97 billion), royalti petroleum (RM5.5 billion) dan duti eksport petroleum (RM2.39 billion) ia akan berjumlah RM69.86 billion. Ia mewakili 33.7 peratus daripada keseluruhan hasil negara bagi tahun 2012.

Petroleum tidak akan selamanya ada. Walaupun Petronas meluaskan aktivitinya di negara luar, petroleum di negara luar juga tidak kekal lama. Sampai masanya nanti, ia akan habis. Najib menjawab sehingga 2046 tetapi maklumat dalaman Petronas yang dibocorkan Wikileaks mendakwa tempoh itu akan lebih singkat.

Apabila hasil negara berkurangan, kita akan semakin sukar untuk melangsaikan hutang yang semakin bertimbun.

Hari ini kita berbelanja sakan. Bina menara tinggi mencakar bintang. Umum pelbagai program di situ dan disini. Tabur segala bagai umpan untuk menarik undi rakyat.

Hari esok, saat anak cucu kita mewarisi negara ini, hutang yang bertimbun mahu dibayar dengan apa?

Jangan pelik jika suatu hari nanti, kamera AES akan memenuhi jalanraya. Jangan pelik jika suatu hari nanti, lampin dan baju bayi juga dikenakan cukai (GST) yang tinggi. Jangan pelik jika suatu hari nanti, nak masuk masjid pun kena bayar bayar tol dan caj parking yang tak masuk akal.

Dalam tempoh 58 tahun, ini adalah kesempatan terbaik untuk kita membuat perubahan.

Thursday, April 18, 2013

Analisis kepimpinan Najib pra-PRU-13



Sejak Najib Razak mengumumkan pelbagai inisiatif baharu kerajaan melalui NKRA dan Transformasi, saya positif untuk melihat hasilnya kepada negara. Antara perkara yang harus dipuji ialah peningkatan pertumbuhan ekonomi negara sehingga pertumbuhan pada 2012 merupakan antara yang tertinggi di Asia iaitu lebih daripada 5%. Pun begitu, masih tiada inisiatif untuk memperbaiki kerangka ekonomi semasa.

Perkara seterusnya yang tidak kurang mengujakan ialah janji untuk memperbaiki demokrasi di Malaysia. Hal ini termasuklah pengumuman untuk mengkaji semula ISA dan penambah baikan SPR. Namun, beberapa perkara masih perlu diperhalusi seperti semangat dialog terbuka, kebebasan media, dan kedaulatan undang-undang.

Sejak tahun 2009, Pejabat Perdana Menteri sudah tiga atau empat (tak pasti. Salah satu tentunya) kali surat rasmi untuk debat terbuka daripada Pejabat Ketua Pembangkang. Kesemuanya ditolak. Sehinggalah yang terbaru malam ini pun, apabila BERSIH mengadakan dialog untuk membentangkan manifesto PR dan BN, yang sepatutnya diwakili pemimpin tertinggi kedua-dua pihak, hanya Anwar Ibrahim yang hadir dialog tersebut. Najib tidak memberikan sebarang respons, sama ada beliau mahu hadir atau tidak walaupun sudah dijemput secara rasmi. Di sini, saya tidak nampak komitmen Najib untuk demokrasi yang lebih matang.

Berkenaan kebebasan media, adalah satu penghinaan terhadap demokrasi apabila Rais Yatim hanya membenarkan PR membentangkan manifesto selama 10 minit di televisyen, itu pun dirakam terlebih dahulu. Hal ini menafikan retorik untuk 'memperbaiki demokrasi', apabila BN mempunyai peluang 24 jam - rakaman dan juga siaran langsung - untuk membentangkan manifesto dan berkempen secara terus-terusan. Freedom House juga telah menyenaraikan Malaysia sebagai antara negara paling corot dalam kebebasan media!

Seterusnya, apabila Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud menolak untuk bekerjasama dengan SPRM berkenaan beberapa kes rasuah yang didakwa melibatkan dirinya, dengan yakin sekali beliau mengatakan 'mereka tidak layak untuk mendapat kerjasama saya'. Sungguh menyedihkan, apabila undang-undang negara dihina sebegini rupa. Setakat ini, tiada tindakan atau teguran daripada kepimpinan tinggi BN. Adakah ini yang dikatakan 'memperbaiki demokrasi', apabila badan yang mempunyai autoriti tertinggi di Malaysia pun mampu dihalau mentah-mentah oleh seorang pemimpin politik?

Sudah 56 tahun BN berkuasa. Jika saya ditanya, saya katakan bahawa BN perlu direhatkan dan kerajaan baharu perlu diberi peluang. Saya tidak menafikan segala kemajuan di bawah BN selama 56 tahun, terutamanya semasa zaman Tun Mahathir, namun semua ini bukanlah sebab yang absah untuk mengekalkan BN, tambahan pula apabila PR juga menunjukkan bahawa mereka mampu mentadbir dengan cemerlang di negeri-negeri yang dikuasai mereka - dan hal ini disahkan melalui Laporan Audit Negara 2012.

Ada pihak berhujah mengatakan bahawa sejarah Jepun menukar kerajaan pada 2009 telah gagal, dan kesimpulan yang dibuat ialah pertukaran kerajaan merupakan sesuatu yang buruk untuk negara. Hujah ini merupakan satu falasi logik yang meletakkan korelasi sebagai hubungan sebab dan akibat (mistaking correlation to be causation). Hal ini kerana, kegagalan Jepun selepas 2009 adalah disebabkan masalah ekonomi yang dihadapi sejak awal 2000 yang lewat dicerap kebanyakan ahli ekonomi seperti deflasi dan isu kelesuan perbelanjaan (rujuk buku Prof. Paul Krugman, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 2008), bukannya disebabkan pertukaran kerajaan! Insya-Allah, jika tiada aral, saya akan menulis lebih lanjut berkenaan ketempangan hujah yang memaksakan pengalaman Jepun ke atas tatanan politiko-ekonomi Malaysia.

Masalah logik yang kedua pula ialah, apabila satu contoh - dalam kes ini, Jepun - dijadikan generalisasi kalut (over-generalization) yang akhirnya menafikan contoh-contoh yang membawa konotasi berbeza. Mengapa tidak dilihat pertukaran kerajaan di Amerika Syarikat pada 2008, Australia ketika John Howard tewas, UK pada 2010, dan Perancis pada 2012?

Harapan saya, saya mahu Malaysia yang lebih baik. Demokrasi lebih matang serta masalah ekonomi diselesaikan pada kerangka asasnya, bukan melalui pemberian wang seperti BR1M yang tidak menyelesaikan masalah sara hidup rakyat - walaupun sedikit membantu menambah wang tunai.

Tuesday, April 16, 2013

Ramalan keputusan PRU-13

Paluang gendang Pilihan Raya Umum ke-13 mula dipalu oleh kedua-dua pihak samada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. masing- masing begitu yakin dapat menguasai Putrajaya sekaligus membentuk kerajaan Persekutuan Malaysia.

Berikut merupakan ramalan serta pemerhatian saya semenjak tiga bulan sebelum ini berdasarkan perbincangan dan penglihatan kepada trend rakyat malaysia keseluruhannya.

SAYA MERAMALKAN YANG BARISAN NASIONAL AKAN MEMPERTAHANKAN KUASA DIPERINGKAT PERSEKUTUAN DENGAN SIMPLE MAJORITI SERTA MERAMPAS KEMBALI NEGERI SELANGOR DAN KEDAH.

saya juga menjangka kerusi cina akan bertambah dipihak pembangkang manakala kerusi melayu akan memberi kelebihan kepada BN. kerusi campuran masih didominasi oleh BN.

BN 148
PR 74