Dalam khazanah fiqh Islam, perbuatan homoseksual (gay dan lesbian) sering disebut sebagai al-faahisyah (dosa besar) yang sangat menjijikkan dan bertentangan dengan fitrah serta tabiat manusia. Oleh kerana itu para ulama sangat mengutuk, mengecam dan mengharamkannya.
Kalau ditelusuri secara gramatikal (bahasa) tidak ada perbezaan penggunaan kata antara homoseksual gay dan lesbian. Dalam bahasa arab kedua-duanya dinamakan al-liwath. Pelakunya dinamakan al-luthiy. Namun Imam al-Mawardi membezakannya. Beliau menyebut homoseksual sesama lelaki dengan liwath dan lesbian dengan sihaq atau musaahaqah. (Lihat : al-Hawi al Kabir karya al-Mawardi, j.13, h. 474-475)
Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan bahawa penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual adalah ijma’ (kesepakatan) ulama, berdasarkan nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith. (al-Mughni, j.10, h. 155). Imam al-Mawardi berkata, “Penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual menjadi ijma’ dan itu diperkuat oleh nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith.” (Kitab al-Hawi al-Kabir, j.13, h. 475)
Mereka dalam hal ini berbeza pendapat mengenai jenis dan bentuk hukuman yang dikenakan kepada pelakunya. Ia timbul kerana perbezaan dalam menginterpretasi dalil-dalil yang bersumber dari al-Qur'an, al-Hadith dan athar. Ayat-ayat di dalam surah al-A’raf: 80-84 dan Hud: 77-83 secara jelas mengandungi kutukan dan larangan Allah SWT terhadap pelaku perbuatan homoseksual. Ia juga diperkuat oleh hadith-hadith berikut:
Hadith riwayat Ibn Abbas : “Sesiapa sahaja yang engkau dapati mengerjakan perbuatan homoseksual maka bunuhlah kedua pelakunya”. (riwayat Abu Dawud 4/158 , Ibn Majah 2/856 , al-Tirmizi 4/57 dan al-Daruquthni 3/124)
Hadith Jabir: “Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku adalah perbuatan kaum Luth” (riwayat Ibnu Majah : 2563, 1457. Al-Tirmizi berkata : Hadits ini hasan gharib, al-Hakim pula berkata, hadith ini sahih isnadnya)
Hadith Ibn Abbas: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (beliau mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra IV/322 No. 7337)
Perbezaan athar (sama ada dengan kata atau perbuatan) para sahabat adalah dalam menentukan jenis hukuman yang dikenakan kepada pelaku. Antara perbezaannya adalah; membakarnya dengan api, menindihnya dengan dinding, dijatuhkan dari tempat yang tinggi sambil melemparnya dengan batu dan ditahan di tempat yang paling busuk sampai mati.
Para ulama fiqh setelah bersepakat tentang haramnya perbuatan homoseksual (gay dan lesbian), mereka berbeza pendapat mengenai hukuman yang selayaknya dijatuhkan kepada pelaku. Perbezaan bersangkutan dengan dua keadaan; Pertama: perbezaan sahabat dalam menentukan jenis hukuman, sebagaimana tersebut di atas. Kedua: perbezaan ulama dalam mengkategorikan perbuatan tersebut, apakah dikategorikan zina atau tidak? Perbezaan itu memberi implikasi terhadap kadar atau jenis hukuman yang dikenakan.
Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi) berpendapat: perbuatan homoseksual tidak dikategorikan sebagai zina dengan alasan, Pertama: kerana tidak adanya unsur (kriteria) kesamaan antara keduanya. Unsur mempersia-siakan anak dan ketidakjelasan nasab (keturunan) tidak didapati dalam perbuatan homoseksual. Kedua: perbezaan jenis hukuman yang dilakukan oleh para sahabat (sebagaimana di atas). Berdasarkan kedua alasan ini, Abu Hanifah berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual adalah ta’zir (diserahkan kepada penguasa atau pemerintah). (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir, j.11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)
Menurut Muhammad Ibn al-Hasan al-Syaibani dan Abu Yusuf (murid Abu Hanifah): perbuatan homoseksual dikategorikan sebagai zina, dengan alasan adanya beberapa unsur kesamaan antara keduanya seperti: Pertama, syahwat pelaku disalurkan. Kedua, tercapainya kenikmatan (kerana penis dimasukkan ke lubang dubur). Ketiga, tidak diharuskan dalam Islam. Keempat, menumpahkan (mempersia-siakan) air mani. Berdasarkan alasan-alasan tersebut, Muhammad Ibn al-Hasan dan Abu Yusuf berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual sama seperti hukuman yang dikenakan kepada penzina, iaitu: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam (dilempari dengan batu sampai mati), kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat dan diasingkan selama satu tahun. (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir j. 11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)
Menurut Imam Malik, perbuatan homoseksual dikategorikan zina dan hukuman yang setimpal untuk pelakunya adalah direjam, sama ada pelakunya muhshan (sudah menikah) atau ghair muhshan (bujang). Beliau sependapat dengan Ishaq bin Rahawaih dan al-Sya’bi. (Minahul Jalil, j. 19 h. 422-423)
Menurut Imam Syafi’i, perbuatan homoseksual merupakan hubungan seksual terlarang dalam Islam. Hukuman untuk pelakunya: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam. Kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. Hal tersebut sama dengan pendapat Sa'id bin al-Musayyib, Atha’ bin Abi Rabah, al-Nakha’i, al-Hasan dan Qatadah. (al-Majmu’ j. 20, h. 22-24 dan al-Hawi al-Kabir, j. 13, h. 474-477)
Menurut Imam Hanbali, perbuatan homoseksual dikategorikan zina. Mengenai jenis hukuman yang dikenakan kepada pelakunya beliau mempunyai dua riwayat (pendapat): Pertama, dihukum sama seperti penzina, kalau pelakunya muhshan (sudah menikah) maka dihukum rejam, jika pelakunya ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. (pendapat inilah yang paling kuat). Kedua, dibunuh dengan direjam, sama ada itu muhshan atau ghair muhshan. [al-Furu’, j. 11 h. 145-147, al-Mughni, j. 10, h. 155-157 dan al-Inshaf j. 10, h. 178)
Sebagaimana disebutkan di atas bahawa di antara landasan hukum yang mengharamkan perbuatan homoseksual dan lesbian adalah ijma’. Ijma’ merupakan kesepakatan para mujtahid (ahli ijtihad) setelah wafatnya Rasulullah terhadap sesuatu isu hukum dalam sesuatu masa. Jadi yang menentukan sesuatu hukum sudah menjadi ijma’ atau belum adalah para mujtahid (ahli ijtihad) yang berkepakaran dalam bidangnya, bukannya orang-orang sembarangan yang tidak diketahui keilmuannya.
Haramnya homoseksual (gay dan lesbian) ini, sudah menjadi ijma’ (kesepakatan) ulama Islam. Ertinya, tiada seorang di kalangan mereka yang berselisih pendapat. Oleh itu, mustahil kita akan temui mana-mana ulama yang berpendapat tentang kehalalannya. Ia sudah menjadi ketentuan hukum sejak zaman Nabi, para sahabat dan seterusnya sampai ke hari Qiyamah. Justeru, ia tidak boleh dirungkai lagi dengan apa jua alasan dengan sekadar justifikasi rasional atas nama perjuangan hak asasi manusia yang batil. Insaflah wahai pengamal dan pendukung kumpulan ini yang beragama Islam!
Wallahu a'lam.
Artikel Ustaz Abu Haseef
1 comment:
Do not use all of these Private Money Lender here.They are located in Nigeria, Ghana Turkey, France and Israel.My name is Mrs.Ramirez Cecilia, I am from Philippines. Have you been looking for a loan?Do you need an urgent personal or business loan?contact Fast Legitimate Loan Approval he help me with a loan of $78.000 some days ago after been scammed of $19,000 from a woman claiming to be a loan lender from Nigeria but i thank God today that i got my loan worth $78.000.Feel free to contact the company for a genuine financial call/whats-App Contact Number +918929509036 Email:(fastloanoffer34@gmail.com)
Post a Comment