Labels

Showing posts with label Pengetahuan Am. Show all posts
Showing posts with label Pengetahuan Am. Show all posts

Tuesday, January 29, 2013

Kuasa autonomi universiti


Tahniah kepada UIAM dan UUM kerana diberi kuasa autonomi dlm urus tadbir, kewangan, sumber manusia, pengurusan akademik dan pengambilan pelajar. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin pada 29 januari 2013. 

Untuk rekod tahun 2012 yang lepas, lima universiti awam mendapat status itu iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), sementara Universiti Teknologi Malaysia menjadi IPTA pertama diberi kuasa autonomi awal bulan Januari 2012.

Dengan adanya kuasa autonomi, IPTA berkenaan bukan sahaja boleh menentukan urus tadbir dan menjana kewangan sendiri, malah meliputi pengurusan sumber manusia, pengurusan akademik serta kemasukan pelajar.

Walaupun permohonan kemasukan ke IPTA tetap diuruskan oleh UPU, pihak IPTA diberi kuasa penyemakan kriteria, pemilihan dan pengumuman keputusan berdasarkan pilihan utama pelajar.
Moga ia dimanfaatkan oleh pihak universiti untuk perbaiki apa yg patut dalam usaha melahirkan insan yang hakiki, bukan sekadar mencetak graduan.

PRINSIP ASAS AUTONOMI DI IPTA
* Amalan kebertanggungjawaban, ketelusan, akauntabiliti dan nilai serta kualiti yang dibelanjakan dalam semua urusan

* Pemantapan sistem dan struktur tadbir urus, pewujudan peraturan yang jelas bagi mendukung pelaksanaan autonomi dan memastikan wujudnya elemen `check and balance’ serta ketelusan

* Pemakaian semua pekeliling perbendaharaan sebagai asas peraturan berkaitan pengurusan kewangan dalaman, dan Lembaga Pengarah Universiti ialah pihak berkuasa yang mengambil alih peranan perbendaharaan dalam memantau dan bertindak melindungi kepentingan pelaburan kerajaan di mana berkaitan

* Pemakaian semua Pekeliling Perkhidmatan Awam sebagai asas peraturan berkaitan pengurusan sumber manusia, dan LPU ialah pihak berkuasa yang menggantikan peranan Jabatan Perkhidmatan Awam di mana berkaitan.

* Bebanan serta pendedahan kewangan kerajaan hanya dihadkan kepada peruntukan belanja mengurus tahunan dan peruntukan pembangunan yang diluluskan kerajaan melainkan diputuskan sebaliknya oleh Kerajaan Pusat

* Penjanaan pendapatan IPTA hendaklah mengutamakan dan memastikan perlindungan serta (insulate and protect) kepentingan universiti dan kerajaan

* Skim saraan berasingan, jika perlu diwujudkan IPTA berasaskan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang berkuat kuasa, dan sistem ini hendaklah berasaskan prinsip kesaksamaan, kelestarian dan tidak langsung membebankan kerajaan

* Tindakan tegas mengikut peruntukan tatatertib semasa sepertinya surcaj, turun pangkat, buang kerja dan yang berkaitan boleh diambil terhadap pegawai dan kakitangan IPTA yang gagal mematuhi tatacara dan peraturan serta cuai semasa melaksanakan tugas.


Saturday, December 29, 2012

Usman Awang perpaduan melalui puisi

Membaca kembali puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua” yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang pada 1961 jelas menunjukkan pemikiran sosial golongan sasterawan dan karyawan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Ketika negara baru empat tahun mencapai kemerdekaan, api perkauman sudah terasa apabila masing-masing mahu memiliki negara ini.
Antara petikannya berbunyi:
“Lihatlah makam nenek moyang sebagai sejarah terpahat
Darahnya dalam darahmu segar di kulit kuning langsat
Esok, ketika tahun baru akan kukirimkan sebuah angpau
Dalamnya sebuah cinta dari jantung tanah dan pulau.”
Puisi ini memperlihatkan sikap terbuka Usman Awang terhadap bukan Melayu asalkan mereka menganggap negara ini satu-satunya nusa tercinta mereka. Nampaknya puisi ini terus sesuai dengan pergolakan sosial dan politik sepanjang zaman. Ketika perpaduan kaum begitu rapuh, puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua” elok dibaca semula dan difahami.
Menyeru perpaduan adalah melampaui slogan. Semangat perpaduan mesti disuburkan dari dalam diri setiap warga. Slogan hanya bersifat sementara dan terlalu luaran. Tetapi menerusi karya-karya sastera yang menjurus kepada perpaduan, rakyat akan terasuk oleh pemikiran sasterawannya. Sekalipun bukan tokoh politik, agenda perpaduan Usman Awang diperlihatkan juga menerusi penganjuran Malam Puisi Pelbagai Kaum yang menghimpunkan penyair daripada pelbagai kaum.
Pada acara yang diadakan pada 1984, antara ucapan beliau ialah:
“Musuh kita bukan Melayu dan juga bukan Cina. Musuh utama kita adalah kemiskinan.”
Usman Awang cuba menyedarkan bahawa kemiskinanlah yang membuatkan antara kaum saling berprasangka antara satu dengan yang lain. Sastera telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk memupuk kesedaran terhadap hakikat sosial di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum ini.
Perjuangan beliau dalam sastera ialah menyuarakan kedamaian tanpa mengira kaum dan agama. Kemerdekaan adalah hasil perjuangan Melayu, tidak kira di bidang politik atau wira yang mengangkat senjata menentang penjajah.
Wira Melayu yang mengangkat senjata menentang penjajah sudah tercatat dalam sejarah, begitu juga perjuangan politik Melayu hingga negara mencapai kemerdekaan. Tetapi selepas merdeka, Melayu tidak meminggirkan kaum-kaum lain yang datang dari luar lingkungan Nusantara. Itulah juga maksud puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua”.
Kerana itu juga tidak hairanlah kalau Usman Awang juga menjadi penganjur deklamasi puisi Malam Merpati Putih yang melibatkan semua parti politik termasuk pemimpin DAP pada akhir tahun 1980-an. Beliau berusaha untuk menyeberangi sempadan pemikiran politik kaum yang sempit kepada agenda perpaduan yang besar. Beliau tidak memikirkan keuntungan politik sebab beliau bukan orang politik.
Tidak kira bangsa atau agama. Kita akan lebih memahami antara satu sama lain jika kita buang sifat sangka buruk. Seperti petikan puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua” karya Usman Awang:
“Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?”

BERKAITAN:

Artikel drsifu.wordpress.com

Friday, July 20, 2012

Marhaban Ramadhan 1433H

Ramadan tahun 1433H kembali ke pangkuan ummat Islam di seluruh pelosok muka bumi.

Antara ibadah yang difardukan dalam bulan yang mulia ini adalah ibadah puasa. Puasa maknanya “menahan”. Kita perlu memahami falsafah yang tersirat dalam puasa. 

Secara falsafahnya, kita adalah hamba tuhan, banyak keinginan-keinginan kita yang tidak tertunai dan ada yang tak mungkin akan menjadi kenyataan. Jadi, Tuhan mengajar kita supaya “menahan” dan “bersabar”. 

Dua nilai ini penting dalam merealisasikan falsafah puasa.  Puasa mengajar satu aspek dari segi menahan, iaitu dari lapar dan dahaga serta bersabar beribadah, lebih jauh dari itu, agama juga mengajar kita supaya “menahan” dari banyak perkara dalam hidup ini seperti menahan nafsu syahwah.

Selain itu, falsafah yang penting ibadat puasa juga ialah supaya mereka yang berpuasa dapat merasai penderitaan saudara mereka yang kelaparan,lantas kita diminta merasai sedikit kelaparan dan keletihan seperti yang dialami mereka,sekalipun kita mampu untuk makan pada siang hari tetapi apabila masuk bulan Ramadhan, kita diharamkan untuk makan dan minum di siang hari.

Maka boleh dikatakan bahawa puasa adalah tarbiah ruhiyyah dan tarbiah jasadiyyah (Pysical and spiritual training).

Di bulan yang mulia ini juga elaklah dari melakukan aktiviti pembaziran terutamanya jika ia membabitkan soal kepentingan negara dan wang rakyat. Justeru langkah berjimat cermat dan penjimatan perlu dilaksanakan segera demi impian ekonomi yang mampan pada waktu mendatang.

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 1433H
Ramadhan Didahulukan Ketaqwaan Diutamakan


Sekian corotan ringkas,
Saiful Ramli

Sistem Pendidikan perlu di pembaharui

Pengenalan
“Dan tidaklah aku mahu melainkan untuk melakukan Islah sekuat dayaku” (Quran, 11:88)
Pendidikan di Malaysia seolah-olah menemui jalan buntu. Tujuan pendidikan yang seharusnya menjadikan para pelajar mampu berfikir dan menghasilkan idea baru yang kreatif tampaknya seperti gagal direalisasikan secarasubstantial. Kertas ini akan melakukan timbang tara terhadap punca permasalahan serta memberi cadangan penambah baikan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Di samping itu, saya juga akan mengenal pasti kekangan dan cabaran yang mesti kita tempuhi demi menuju ke hadapan untuk merobah sistem pendidikan kita.
***
Untuk memulakan perbincangan, saya kira kita perlu jelas akan takrif pendidikan. Takrif yang paling bersifat holistik, boleh diambil daripada syarahan Prof. Syed Naquib al-Attas, iaitu pendidikan merupakan satu proses dengan tujuan supaya manusia mengenal tempat duduk hakiki setiap sesuatu – akhirnya mengenal tempat duduk hakiki bagi Tuhan di atas segala makhluk[1]. Untuk manusia sampai kepada tahap pengenalan sebegini, pastinya proses berfikir merupakan komponen yang bersifat integral dan sangat penting. Tanpa berfikir, manusia tidak akan mampu membandingkan setiap sesuatu dari segi kualiti – dan akhirnya gagal membezakan tempat duduk hakiki bagi setiap sesuatu.
Maka, apakah pula tujuan pendidikan?
Dalam konteks Malaysia, saya masih melihat Malaysia sebagai sebuah Negara yang gagal keluar daripada kepompong ketakutan. Ketakutan yang saya maksudkan ialah ketidak upayaan untuk mesyarakat berfikir dan memahami sesuatu di luar daripada pemahaman yang biasa dan diwarisi turun-temurun. Maka tepatlah seperti apa yang telah disebut oleh mantan PM, Tun Abdullah Badawi bahawa rakyat Malaysia mempunyai prasarana kelas pertama, mentaliti kelas ketiga. Untuk keluar daripada kepompong ini, sebuah masyarakat perlu mencerahkan dirinya sendiri. Immanuel Kant, dalam adikarya beliau ‘Was Ist Aufklärung’ (Apa itu Pencerahan) menekankan satu prasyarat penting dalam pencerahan masyarakat, iaitu kebebasan. Wacana dan idea dibiarkan bebas dilaungkan dan dibidas, supaya masyarakat berani keluar berfikir sendiri[2]. Sekiranya kita lihat permasalahan ini dengan kaca mata kita sebagai rakyat Malaysia, masyarakat Malaysia masih gagal mencerahkan dirinya. Hal ini, pada hemat saya, sebahagian besarnya dibentuk oleh sistem pendidikan yang punya ketempangan tertentu yang perlu kita beri perhatian.
Selain itu, dalam kekalutan masalah sosial yang meruncing, kita memerlukan para intelektual yang berfungsi, yang mempu mengenal pasti akar masalah dan menyediakan penyelesaian terhadapnya. Apa yang kita lihat kini ialah retorik politik para Menteri yang tidak tahu berfikir. Sebagai contoh, penyelesaian kepada masalah buang anak ialah sekolah mengandung dan bekas untuk diletakkan bayi di pasar-pasar raya. Paradigma sebegini, tidak kembali kepada pangkal masalah untuk melihat penyelesaian yang jitu dan mampan. Prof. Syed Hussein Alatas pernah menyebut permasalahan sebegini dalam bukunya,Intelektual Masyarakat Membangun, bahawa masyarakat Negara membangun seperti Malaysia masih kurang intelektual yang berfungsi[3]. Jika ada pun, sikap kritis mereka tidak dapat diterima masyarakat umum atau penguasa politik di atas mereka. Walhasilnya, dasar-dasar yang tidak masuk akal akan terus-menerus dicadangkan oleh para Menteri – seperti cadangan membawa telefon bimbit ke sekolah yang hangat diperkatakan kini.
Dalam proses menghasilkan manusia yang mampu mengenal pasti akar masalah, fakulti akal manusia untuk berfikir mesti digerakkan. Hal ini melibatkan dua peringkat pembelajaran, iaitu maklumat dan analisis maklumat. Peringkat pertama saya kira berjaya diseselaikan oleh sistem sedia ada, namun peringkat kedua masih gagal dicapai. Sebagai contoh, dalam peperiksaan Sejarah di peringkat SPM, kita bukannya melahirkan pelajar yang berfikir secara kritis terhadap nilai-nilai peristiwa sejarah, namun kita melahirkan robot-robot menghafal! Hal ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kecelaruan dalam memahami sejarah – setakat mengetahui bahawa sejarah melibatkan pengetahuan mengenai apa yang berlaku sudah memadai, tanpa membuat perbahasan dan analisis mengenai nilaian sesuatu peristiwa yang berlaku. Dalam perenggan seterusnya, saya akan menggariskan beberapa punca yang menyebabkan kecelaruan ini terjadi.
Punca?
Antara punca permasalahan ini ialah ketidak mampuan mempersoal perkara yang dipelajari di dalam kelas. Hal ini mungkin telah menjadi masalah yang mendasar sejak pendidikan peringkat rendah lagi, kerana budaya pelajar kita yang kurang bertanya. Dengan bertanya, soalan-soalan yang timbul terhadap perkara yang dipelajari di dalam kelas merupakan permulaan kepada proses berfikir yang kritis – apatah lagi persoalan yang ditimbulkan melibatkan sesuatu yang baru atau kelompongan dalam ilmu yang diterima. Pada saya, inilah punca masalah yang utama, iaitu ketidak mampuan kita untuk menimbulkan persoalan-persoalan terhadap ilmu yang kita terima, lantas menjadikan fakulti akal pelajar Malaysia kurang dapat digerakkan untuk berfikir secara kritis. Akhirnya, pelajar kita gagal menjadi manusia yang berfikir!
Cadangan Penyelesaian?
Antara cadangan yang boleh saya utarakan dalam kertas ini ialah (1) pengajian asas-asas logik dan falsafah dari sekolah rendah, (2) rombakan sistem penilaian subjek sejarah, dan (3) pandangan yang ‘baharu’ terhadap kesusasteraan.
Pertama, pengajian asas-asas logik dan falsafah sejak sekolah rendah.
“Tahap kecintaan yang tertinggi terhadap Tuhan adalah dengan mengkritik Tuhan”(Friedrich Nietzche)
Untuk menjadikan seorang pelajar mampu menyediakan soalan ke atas maklumat yang diterima olehnya, asas logik dan falsafah sangat penting. Logik mengajar untuk menjadi analitikal terhadap segala kenyataan yang kita terima, terutamanya kenyataan yang berbentuk nilaian (yakni menilai sama ada sesuatu itu baik atau buruk – terutamanya dalam subjek sejarah). Seandainya pelajar mempunyai asas tentang apakah itu penaakulan yang baik (sound reasoning) serta falasi-falasi dalam membuat sesuatu kesimpulan, saya yakin subjek sejarah tidak akan menjadi subjek yang melahirkan robot penghafal lagi. Malah, bukan sahaja subjek sejarah, malah subjek-subjek lain yang berkisarkan pandangan alam atau weltanschauung, seperti analisis karya sastera, semuanya boleh dibuat timbang tara yang lebih analitikal jika para pelajar mampu menaakul dengan baik. Selain itu, jika kita menelusuri sejarah, para filasuf dan para Nabi sekaliannya ditohmah oleh masyarakat mereka sendiri gara-gara mereka menimbulkan persoalan yang tepat dengan permasalahan yang melanda kaum mereka[4]!
Kedua, reformasi sistem peperiksaan subjek sejarah.
Saya sangat risau akan penilaian subjek sejarah SPM yang saya kira ‘tempang’ hari ini. Saya tidak ada masalah untuk bersetuju dengan cara penilaian terhadap soalan yang berbentuk ‘fakta luaran’, seperti apa, siapa, dan bila sesuatu perkara berlaku. Perkara yang lebih merisaukan saya ialah cara pemarkahan terhadap soalan yang berbentuk nilaian, seperti menilai pihak mana yang baik atau jahat, pihak manakah ‘hero’, dan sebagainya. Hal ini kerana, skema pemarkahan sendiri telah menyebabkan pelajar menjadi tempang akal mereka untuk memikirkan sesuatu yang lebih dan tidak ditulis di dalam buku teks mereka sendiri. Jika buku teks dan skema pemarkahan kata ‘syaitan itu baik’, maka itulah jawapan yang akan dijawab oleh pelajar.
Maka, saya menyarankan supaya soalan-soalan berbentuk nilaian dibiarkan bebas jawapannya. Bebas di sini bermakna, contohnya, para pelajar bebas untuk menilai siapakah ‘hero’ dalam sesuatu peristiwa sejarah, asalkan mereka punya bukti kukuh berdasarkan peristiwa sejarah. Hal ini, sekali lagi, hanya mampu dilakukan jika para pelajar mempunyai asas penaakulan logik untuk membuat penilaian. Jika kita mahu melahirkan pelajar yang berfikir, bukanlah caranya untuk kita mendogma para pelajar bahawa si anu ini baik, dan si anu itu jahat!
Ketiga, pandangan ‘baharu’ terhadap kesusasteraan.
Kesusasteraan sering dianggap sebagai semata-mata karya kreatif oleh para pelajar. Kita jarang menyedari bahawa karya sastera berpotensi menjadi salah satu ejen pencerahan masyarakat. Hal ini dapat dilakukan melalui pemahaman dan analisis pelajar terhadap karya-karya sastera yang dilakukan merekasendiri. Antara perkara yang telah memandulkan pemahaman terhadap karya sastera ialah lambakan buku-buku ulasan sastera di pasaran, kononnya untuk memudahkan para pelajar memahami teks-teks sastera mereka. Perkara ini merupakan satu perkembangan yang tidak baik, apatah lagi ianya bakal menyebabkan satu lagi ‘pusaran ganas’ berlaku, iaitu kecenderungan para pelajar untuk menghafal buku ulasan sastera semata-mata, lantas mematikan fakulti akal mereka untuk berfikir dan mengkritik karya yang mereka baca. Menelusuri sejarah, terlalu banyak contoh yang telah ada yang menunjukkan bahawa karya sastera bukan sekadar karya yang berbentuk ‘suka-suka’ semata-mata. Sebagai contoh, karya-karya kritik sosial oleh para penyair seperti Bernard Mandeville, Rabindranath Tagore, novel ‘Putera Gunung Tahan’ tulisan Ishak Hj. Muhammad, novel ‘Ruang Perjalanan’ tulisan SN S. Othman Kelantan, serta novel ‘Imam’ tulisan SN Abdullah Hussin. Semua karya ini, jika dilakukan analisis yang bersepadu, kita pasti akan temui idea besar yang ingin dibawa oleh para penulis ini. Maka, pastinya analisis sebegini hanya akan mampu dilakukan apabila para pelajar berhenti ber’taklid’ dengan buku ulasan sastera, lantas cuba memahami teks dan mempersoal idea-idea penulis. Sekali lagi, perkara ini hanya mampu dilakukan apabila kemampuan menaakul pelajar dibina.

Kebebasan berwacana perlu wujud supaya masyarakat boleh mendapat pencerahan.
Tetapi, apakah pula kekangan yang dihadapi?
Pertama, apabila kita hendak memulakan pengajaran logik dan falsafah di peringkat sekolah, kita masih belum mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk tujuan ini. Jika ada pun, tenaga pengajar berkenaan tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar sepadan dengan kemampuan pelajar mengikut tahap masing-masing.
Kedua, sistem pendidikan dan peperiksaan Malaysia yang sering dikotori campur tangan politik. Sebagai contoh, peperiksaan seperti UPSR, PMR, dan SPM menggunakan sistem ‘graf’ dalam pemarkahan keseluruhan pelajar di peringkat Lembaga Peperiksaan Malaysia. Bermakna, markah gred A sentiasa berubah turun dan naik, mengikut pencapaian pelajar (atau sebenarnya mengikut kemahuan Menteri!). Setiap tahun, Menteri dengan senang hati mengumumkan bahawa pencapaian peperiksaan semakin meningkat, walhal tahap pengujian peperiksaan tersebut semakin mudah!
Selain itu, kertas peperiksaan Sejarah, seperti yang telah saya sebutkan tadi, selalu menjadi mangsa politik, sehinggakan jawapan berbentuk nilaian pun telah menjadi mangsa hafalan pelajar. Hal ini dsebabkan, mana-mana jawapan yang ‘tidak sebulu’ dengan kerajaan akan dianggap salah walaupun sangat rasional. Apa maknanya soalan berbentuk pendapat dalam peperiksaan sejarah jika tujuannya hanya untuk mengampu kerajaan?
Ketiga, wacana bebas di Malaysia belum wujud akibat ancaman daripadaundang-undang rimba seperti ISA dan OSA, malah yang terbaru ialah Akta Keterangan Pindaan 2012. Dasar-dasar tidak demokratik seperti ini melambatkan lagi proses pencerahan, akibat tiadanya kebebasan berwacana seperti yang telah digariskan oleh Kant, yang kekal relevan sehingga ke hari ini.

Kesimpulan
Intihanya, Malaysia wajar merombak banyak perkara supaya rakyat Malaysia mampu berfikir dan keluar dari kepompong ketakutan ini. Hanyasanya dengan kemampuan berfikir, sesuatu masyarakat itu mampu mencerahkan dirinya sendiri.

Wallahu A’lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

[1] Lihat Syed Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam
[2] Lihat Immanuel Kant, What Is Enlightenment.
[3] Lihat Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun, DBP. Rujuk juga pandangan beliau mengenai percanggahan yang beliau sebut sebagai ‘bebalisme’.
[4] Lihat syarahan Prof. Tariq Ramadan di Sheffield, UK berkenaan bukunya, The Quest for Meaning: Developing a Philosophy of Pluralism, Penguin Press.


BERKAITAN:

HAZMAN BLOG