Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Wednesday, September 16, 2009
"Saya Pun Melayu" - Kupasan Buku
Pada 13 September 2009 yang lalu (hari Ahad) kawan saya (Hamzah Syahir) telah meminjamkan saya sebuah buku yang agak menarik tentang bangsa saya sendiri.
Buku itu bertajuk “SAYA PUN MELAYU” yang ditulis oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 2003, bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu Kelantan(2001-2004), bekas Ahli Parlimen UMNO Kota Bharu (2004-2008) dan bekas ahli UMNO. Sekarang beliau baru sahaja menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 13 Jun 2009.
Beliau juga merupakan seorang peguam yang handal dalam menghadapi kes-kes di mahkamah dan mempunyai sebuah firma persendirian iaitu Zaid Ibrahim & Co., yang sehingga 2008 adalah firma perundangan terbesar di Malaysia dengan 140 orang peguam.
Walaupun tajuk buku ini nampak agak “racist” tetapi apabila dibaca saya dapati banyak didalamnya terkandung nasihat yang amat berguna kepada orang Melayu khususnya dan masyarakat Islam amnya.
Dewasa ini orang Melayu terlalu bergantung kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Saya bukanlah penyokong DEB tetapi saya lebih suka mengkritik bagaimana DEB digunakan oleh kerajaan dan pelaksanaannya serta golongan sasarannya. Kerana terlalu bergantung kepada kerajaan, Melayu menjadi pemalas dan tidak dapat bersaing dengan masyarakat bukan Islam terutamanya masyarakat cina. Sebagai contohnya total equiti dan aset kapital di Malaysia lebih 70 peratus dikuasai oleh masyarakat cina. Malah jika digunakan dasar meritokrasi dalam pengambilan pelajar di IPT mungkin saya rasa majoriti pelajar adalah dikalangan bukan Melayu.
Berikut adalah kupasan dan ringkasan dari buku beliau setebal 320 muka surat tidak temasuk kulit depan dan belakang buku dan pendahuluan :
“PADA saya tidak ada untungnya kita menjadikan tafsiran siapa itu Melayu sebagai satu stereotaip atau memperkecilkan kumpulan lain yang juga Melayu semata-mata kerana kita bertentangan pemikiran dan nilai, dan cara hidup. Tidak patut ada stereotaip Melayu kerana seperti bangsa dan kaum lain di dunia ini, Melayu mempunyai banyak serpihan dan lapisan, banyak ketidaksamaan, banyak asam ragam.
Ilmu dan pelajaran serta nilai dan sikap yang positif, selaras dengan keperluan dan cabaran semasa, adalah lebih penting kepada kemajuan orang Melayu. Ini lebih penting dari asal-usul dan keturunan, dan dari parti mana orang Melayu itu bersandar. Malah nilai dan sikap positif amat penting dalam bidang yang mana orang Melayu dianggap sangat berjaya — politik — kerana ia memerlukan nafas dan pendekatan baru. Politik Melayu amat memerlukan reformasi dari dalam dan luar diri.
Hari ini kepimpinan politik negara dilihat sebagai politik cowboy. Dalam siri TV The Wild Wild West yang saya tonton pada zaman muda dahulu, watak-wataknya yang ada pistol dan sanggup serta cekap menggunakan pistol itulah yang berkuasa. Tidak ada undang-undang dan peraturan; kalaupun ada undang-undang, ianya boleh dijual beli. Inilah budaya politik cowboy yang menerap dalam negara kita sekarang ini.
Saya bimbang dengan cara ini, di mana kuasa boleh dibeli, dan menggunakan kuasa untuk mencari kesahihan, ia akan menghancurkan segala pencapaian yang ada. Sesetengah orang Melayu sudah tidak tahu lagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk dalam penentuan nilai politik mereka. Wang ringgit dan kuasa sudah membuatkan wawasan mereka kabur.
…Saya harap orang Melayu mengekalkan semangat toleransi dan kesederhanaan. Buku ini cuba mengingatkan kita betapa bahayanya perkauman dan nilai fasis yang bahaya. Bukankah kita terkenal dengan budi pekerti dan sikap berbaik dengan semua kaum dan bangsa? Jangan matikan nilai dan cara hidup ini. Dalam apa hal sekalipun, biarlah orang Melayu jangan menjadi ekstrem, jangan menjadi ganas, dan jangan menjadi budak upahan pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab yang selalu mengapi-apikan perpecahan dan perkauman.
Kita kaum dan bangsa yang bermaruah, dan inilah masanya kita tunjuk kepada mereka yang rakus kuasa dan sombong bahawa Melayu ada harga diri dan Melayu mahukan keamanan dan kesejahteraan untuk semua.
…Demokrasi di negara kita ini adalah demokrasi “kangkung” iaitu demokrasi murahan. Kita digelar demokrasi kerana kita ada pilihan raya lima tahun sekali. Itupun dengan penuh muslihat dan rintangan. Ciri-ciri negara demokrasi yang bebas dan rakyat hidup selesa tanpa takut ditahan pada pagi hari kerana pandangan politiknya malam tadi masih belum wujud di negara kita.
Malaysia juga banyak undang-undang tetapi tidak semuanya berteraskan keadilan. Undang-undang tanpa keadilan adalah instrumen atau alat untuk melakukan kekerasan dan kekejaman terhadap rakyat. Oleh itu rakyat mestilah bersatu hati memperkuatkan tekad mempertahankan sistem yang berteraskan keadilan yang hanya ada dalam demokrasi yang tulen. Inilah cabaran bangsa Melayu dan Bangsa Malaysia sekarang ini.
Baru-baru ini kedengaran suara Hishammuddin Hussein dan rakan-rakannya dalam Pemuda Umno yang berteriak kuat bahawa mereka rela menitiskan darah terakhir untuk membela kedudukan raja-raja Melayu. Begitulah kuatnya semangat Hishammuddin, sepertilah sebelum ini dia juga menghunus keris sewaktu perhimpunan agung Umno untuk membela nasib bangsa. Semua ini kita alu-alukan kerana ini adalah berlainan sekali dengan ucapan para pemimpin Umno 15 tahun dahulu yang mahu menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu.
Saya amat berharap mereka juga akan sanggup berjuang ke titisan darah terakhir untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di negara tersayang. Ini perlu demi kebaikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, ataupun kedudukan dan pangkat.
Bercakap tentang kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia, saya teringat kepada kepercayaan orang Cina tentang angka “8″ yang dianggap ong atau bertuah kerana ia boleh membawa nasib yang baik. Dengan itu ada orang menganggap tahun 2008 akan membawa tuah.
Tetapi tahun 2008 membawa pelbagai cabaran dan dugaan politik dalam hidup saya. Inilah tahun di mana saya digugurkan dari menjadi calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kota Baru, tahun di mana saya memegang jawatan menteri selama lima bulan 27 hari, tempoh paling singkat dalam sejarah tanahair, dan juga tahun di mana saya dipecat daripada Umno.
Namun, semua peristiwa itu tidak pula membuat saya resah gelisah atau sedih tak menentu. Ia juga bukanlah perkara yang memalukan saya atau menjejaskan imej dan reputasi saya. Tidaklah sampai seperti apa yang P Ramlee nyanyikan “makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah”.
Cuma ramai kawan dan orang ramai yang bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap diri saya kerana mereka masih tertanya-tanya apakah isu sebenar yang membawa kepada peristiwa-peristiwa tersebut….
Lebih-lebih lagi semasa saya berhenti dan juga sewaktu dipecat daripada parti, begitu ramai orang Umno dari pemimpin tertinggi hinggalah kepada tukang kempen parti yang diberi ruang oleh media arus perdana yang kita semua tahu milik Umno. Marah sungguh mereka kepada saya. Kata-kata yang digunakan panas dan perit didengar sedangkan “kesalahan” saya bukannya besar sangat berbanding dengan orang Umno yang lain. Jadi rasanya amat sesuai saya memberi sedikit ulasan dan pandangan serta perspektif saya melalui buku ini tentang bagaimana saya menilai dan melihat semua yang berlaku itu.
Diharap para pembaca dapat menilai siapa yang benar dalam usaha mencari pendekatan politik yang terbaik untuk negara.
Secara kebetulan pula saya menulis buku ini semasa Datuk Seri Najib Razak sedang bersiap sedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara. Jadi saya turut mengambil peluang dalam buku ini untuk menulis tentang apa yang saya kira penting dari segi sifat dan nilai yang patut ada pada seseorang pemimpin.
Nilai dan akhlak pemimpin serta pemikiran pemimpin tersebut menentukan rupa bentuk kerajaan dan negara yang dipimpinnya. Pemimpin yang menghormati dan memuliakan nilai tinggi kemanusiaan dan agama, yang mahu melihat budaya mengejar kecemerlangan, yang mahu mengatasi kelemahan atau mediocrity, yang mahu kepada keadilan mengatasi kekejaman dan kemungkaran, amat dialu-alukan.
Sejarah Islam juga membuktikan betapa pentingnya pemilihan pemimpin dibuat secara musyawarah dan konsensus, bukan secara anointed atau diaturkan seperti peralihan kuasa Umno Baru. Contohnya, berlaku perang saudara di antara kumpulan Yazid anak Muawiyah dengan Husayn ibn Ali adalah kerana pemimpin-pemimpin elit Islam pada masa itu menolak pendekatan musyawarah.
Kalaupun pandangan saya kritis, sama ada dalam soal hak dan keistimewaan bumiputera atau soal Umno tidak disenangi oleh pihak tertentu, saya harap mereka janganlah merempuh masuk pejabat saya atau mengugut saya seperti mana Pemuda Umno menyerang untuk menyekat Ahli Parlimen DAP Karpal Singh yang berkerusi roda itu masuk ke Parlimen untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab rasmi beliau baru-baru ini.
Gunalah saluran intelek dan kebebasan bersuara sebagai platform untuk menjawab apa yang saya catatkan dalam buku ini. Itulah cara kita berkomunikasi dalam masyarakat yang bertamadun. Hujah dilawan hujah; kalau dilawan tangan, itu biadab namanya. Melayu sepatutnya tidak biadab kerana tinggi hati budi dan luhur jiwanya.
Saya juga menyentuh dalam buku ini tentang orang Melayu dan isu-isu yang berkisar dengan amalan agama khususnya dari segi politik. Sejak bertahun-tahun lamanya saya telah mengulangi pendirian saya secara terbuka bahawa orang Melayu sama gagah, sama kuat dan sama bijak dengan kaum lain dari segi kebolehan dan kemampuan diri mereka.
Seperti juga kaum-kaum lain, sudah tentu ada yang rajin dan ada yang malas. Saya bimbang Dasar Ekonomi Umno yang bukan lagi menjiwai Dasar Ekonomi Baru yang menggalakkan subsidi melampaui batas, yang menggunakan projek kerajaan untuk kesenangan diri dan jentera parti, dan yang mendapat keutamaan dalam mendapatkan kontrak kerajaan semata-mata kerana warna kulit, telah menjejaskan keupayaan orang Melayu sendiri.
Saya melihat setiap bangsa yang maju di dunia ini semuanya terdiri daripada bangsa yang berdikari atau self-reliant, yang tidak lari daripada persaingan dan mempunyai daya usaha yang tinggi.
Apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ialah setelah berpuluh tahun mendapat kontrak kerajaan, dengan ratusan skim dan rancangan untuk bumiputera, hari ini sukar sekali mencari sebuah syarikat Melayu/bumiputera yang cekap membuat pendawaian atau wiring untuk bangunan yang canggih. Itulah rintihan seorang pemimpin persatuan peniaga bumiputera yang meluahkan rasa hatinya kepada saya.
Tetapi saya tidak terkejut kerana apalah perlu bagi bumiputera untuk mempelajari apa-apa yang rumit, sukar dan memakan masa jika dia dengan mudah boleh mendapat komisen dari kontrak tersebut tanpa membuat apa-apa kerja kerana dia sudah pajakkan kerja kepada bukan bumiputera. Di manakah kontraktor bumiputera yang berwibawa hari ini, selain 60,000 kontraktor kelas F, yang juga tidak ada kerja?
Saya tidak mengatakan bantuan dan pertolongan tidak boleh diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukannya tetapi dasar yang memberi keistimewaan dan hak yang tidak berasaskan kepada keperluan telah membuatkan satu kaum itu menjadi malas dan takut maju.
Sudah pasti saya tidak setuju langsung dengan andaian stereotaip kononnya Melayu malas tetapi Cina rajin, ataupun semua Melayu pemurah manakala semua Cina tamak. Penjajah yang memulakan fitnah tafsiran ini sebagai alasan untuk “membela” Melayu sedangkan niat dan amalan mereka jelas untuk menjajah dan menguasai politik dan ekonomi negara kita. Malangnya ada golongan elit Melayu dan golongan berpendidikan tinggi yang masih menyahut tafsiran ini.
Jadi dalam buku ini, saya cuba memperjelaskan bahawa kita mesti sanggup berdikari dan menunjukkan kepada semua bahawa Melayu yang bermaruah adalah Melayu yang tidak mengemis atau meminta-minta (sama ada dalam suara bengis menuntut hak atau sayu merayu untuk mendapat habuan).
Bagi saya, Melayu boleh berjaya atas kaki sendiri dan tidak perlu melutut kepada sesiapa kecuali kepada Allah SWT. Saya mahu melihat Melayu yang tahu harga diri, yang malu apabila gagal dan yang sanggup menerima tugas dan tanggungjawab sebagai satu ibadah.”
Kupasan buku Datuk Zaid Ibrahim bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan bekas ahli UMNO.
Kupasan oleh,
syeikhsifu
16/9/2009 - Wednesday
26 Ramadhan 1430H
Labels:
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment