Labels

Wednesday, October 12, 2011

Adakah Kaum Muslimin Menyembah Ka’bah dan Hajar Aswad?

Syeikh Shaleh Al-Fauzan hafizhahullah ditanya, “Bagaimana membantah orang atheis yang mengatakan, ‘Wahai kaum muslimin, kamu sendiri menyembah batu (Hajar Aswad) dan berputar mengelilinginya! Jadi, kenapa kamu menyalah-nyalahkan orang lain yang menyembah berhala dan patung/gambar?”


Syeikh Shaleh Al-Fauzan memberikan jawaban sebagai berikut,

“Ini jelas kebohongan yang nyata! Kami sama sekali tidak menyembah batu (Hajar Aswad), melainkan kami menyentuhnya dan menciumnya, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Ini bermaksud, kami melakukan hal tersebut dalam rangka beribadah dan mengikuti Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Mencium Hajar Aswad adalah sebahagian dari ibadah, sebagaimana kita wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, dan tawaf mengelilingi Baitullah (Ka’bah). Juga, kita mencium Hajar Aswad dan menyentuhnya atau memberi isyarat padanya. Itu semua adalah bentuk ibadah kepada Allah, bukan bererti kami menyembah batu tersebut.
Lebih dari itu, kita boleh beralasankan dengan tindakan yang dilakukan oleh Umar bin Al-Khattab radhiallahu ‘anhu ketika beliau mencium Hajar Aswad.

Ketika itu, beliau mengatakan, ‘Memang aku tahu bahawa engkau hanyalah batu, tidak dapat mendatangkan manfaat atau bahaya. Jika bukan kerana aku melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menciummu, aku tentu tidak akan menciummu.’ (H.R. Bukhari, no. 1597 dan Muslim, no. 1270)

Oleh kerana itu, masalah ini berkaitan dengan cara umat Islam mengikuti tuntunan nabinya, dan bukan berkaitan dengan menyembah batu (Hajar Aswad). Jadi, sebenarnya mereka yang menyebarkan isu tersebut telah merencanakan pembohongan atas nama umat Islam.

Kita sama sekali tidak menyembah Ka’bah. Bahkan, yang kita sembah adalah Rabb pemilik Ka’bah. Begitu juga apabila kita melakukan tawaf keliling Ka’bah dalam rangka beribadah kepada Allah ‘azza wa jalla kerana Allah-lah yang memerintahkan kita untuk melakukan seperti itu.
Kita melakukan demikian hanya kerana mentaati Allah ‘azza wa jalla dan mengikuti tuntunan Rasul shallallahu ‘alaihi wa sallam.”

SUMBER: ‘Aqidatul Haj fi Dhauil Kitab was Sunnah, Syeikh Shaleh Al-Fauzan, hlm.22–23; diterjemahkan dari http://fatwaislam.com/fis/index.cfm?scn=fd&ID=890


BERKAITAN

No comments: