Labels

Sunday, March 29, 2009

Ayuh mari bercinta

Apabila disebut tentang cinta, ia tidak semestinya cinta di antara “boyfriend and girlfriend”. Cinta memiliki skop yang lebih luas dan skop yang luas inilah yang diberi tumpuan oleh Islam. Sebelum ini dalam Dara.com edisi Jun 2007, kita telah sama-sama pelajari kepentingan bercinta kerana Allah. Kita mencintai seseorang kerana Allah, membenci seseorang kerana Allah serta adakalanya cinta dan benci secara serentak kerana Allah. Pada kali ini kita akan pelajari tentang cinta lagi, iaitu cinta sesama umat Islam.

Para pembaca sekalian janganlah terasa aneh atau terkejut apabila saya memberi tumpuan kepada subjek cinta. Subjek ini sengaja menjadi pilihan saya kerana kelihatannya ia sering dilupai atau tidak diketahui langsung oleh kita umat Islam. Padahal kita sebenarnya adalah umat yang paling romantik, paling cinta-mencintai. Ia bukan sekadar perasaan di hati, tetapi dibuktikan dengan lisan. Rasulullah s.a.w. pernah berpesan: “Jika salah seorang dari kalian mencintai saudaranya, maka khabarkanlah kepada saudaranya itu.” [Shahih Sunan Tirmizi, no: 2391] Maksud saudara dalam hadis di atas ialah seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t.: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” [al-Hujurat, ayat 10]

Berkenaan cinta sesama umat Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah (sempurna) iman seseorang kalian sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” [Shahih al-Bukhari, no: 13] Dalam sebuah hadis lain yang seumpama, baginda bersabda: “Sesiapa yang menyukai agar diselamatkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka hendaklah ketika ajal menemuinya dia dalam keadaan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta dia memberi kepada manusia apa yang dia suka diberikan kepadanya.” [Shahih Muslim, no: 1844]



Bagaimana membuktikan kecintaan sesama umat Islam?

Demikian dua buah hadis yang agak pendek tetapi memiliki nilai yang amat tinggi di dalamnya. Berikut dikemukakan beberapa contoh bagaimana mempraktikkan kedua-dua hadis di atas.

Apabila berinterkasi dengan ibubapa, letakkanlah diri kita di tempat mereka. Nescaya kita menghendaki agar anak-anak kita berinteraksi dengan cara yang terbaik kepada kita. Maka dengan itu juga, apabila berinteraksi dengan ibubapa kita, pilihlah cara yang terbaik.

Apabila melihat orang lain melakukan sesuatu kesalahan, letakkanlah diri kita ditempatnya. Nescaya kita akan menghargai apabila ada orang yang sudi memaafkan kita serta memberi nasihat dan teguran. Ini kerana tidak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka dengan itu maafkanlah kesalahan orang lain dan berusahalah mencari ruang menasihati dan menegurnya.

Apabila ingin membetulkan kesalahan orang lain, letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita mengingini agar orang yang membetulkan kita melakukannya dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Maka dengan itu juga, betulkanlah kesalahan orang lain, sama ada yang melakukan maksiat atau bid‘ah, secara tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Jangan menghebohkannya, bersikap keras dan kaku.

Apabila ada berita tidak baik yang tersebar, semaklah terlebih dahulu. Jika ia adalah dusta, maka wajib kita membela dan membersihkan nama saudara kita yang dianiaya oleh berita tersebut. Jika ia adalah benar, maka wajib kita menasihati saudara kita yang tersilap itu dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah.

Apabila tergerak di hati kita untuk berburuk sangka atau mencari dan menyebarkan gosip berkenaan orang lain, letakkan diri kita di tempatnya. Nescaya kita benci tindakan sedemikian dilakukan ke atas diri kita tanpa mengira sama ada sangkaan atau gosip tersebut benar atau tidak. Miaka dengan itu tahanlah diri daripada berburuk sangka atau mencari dan menyebarkan gosip.

Ingin ditambah bahawa berburuk sangka dan mencari-cari gosip di kalangan sesama umat Islam adalah sesuatu yang dilarang. Berkenaan hal ini Allah s.w.t. berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda: “Berhati-hatilah kalian terhadap buruk sangka kerana sesungguhnya ia adalah perkataan yang paling dusta. Dan janganlah saling mencari-cari khabar kesalahan, janganlah saling memata-matai, janganlah saling meninggikan harga untuk menarik perhatian pembeli, janganlah saling mendengki, janganlah saling membenci dan janganlah saling membelakangi. Wahai para hamba Allah! Jadilah kalian bersaudara!” [Shahih al-Bukhari, no: 6066]

Seterusnya, apabila saudara kita memiliki sesuatu kelebihan seperti ilmu, kedudukan, kemasyhuran atau harta, maka letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita bergembira dan bersyukur atas kelebihan-kelebihan tersebut. Maka dengan itu juga, hendaklah kita turut bergembira dan bersyukur apabila di kalangan saudara kita ada yang diberi atau memiliki sesuatu kelebihan.

Lawan kepada sikap ini ialah dengki. Dengki ialah membenci apa-apa kelebihan yang dimiliki oleh saudara kita. Sikap dengki menyebabkan kita merasa hanya diri kita yang layak memiliki kelebihan tersebut dan bukannya saudara kita. Sikap dengki bertolak belakang dari kedua-dua hadis yang dikemukakan di atas. Sikap dengki ialah “dia membenci untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” Sikap dengki juga ialah “dia enggan memberi kepada manusia apa yang dia suka diberikan kepadanya.” Oleh itu berhati-hatilah dengan kedengkian kerana ia adalah isyarat kecacatan iman dan faktor penghalang daripada syurga Allah s.w.t..

Sikap dengki adalah satu penyakit hati yang amat merbahaya sehingga Allah s.w.t. mengajar kita sebuah doa khas untuk menjauhinya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” [Surah al-Hasyr, ayat 10]

No comments: