Labels

Saturday, March 28, 2009

Jerlun dan Mukhriz-Ulasan


1.Sebelum anda membaca ayat-ayat yang seterusnya, lebih baik saya terangkan dulu kepada anda yang saya bukanlah penyokong UMNO. Apa yang saya tulis hanyalah berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian saya seagai seorang pelajar yang langsung tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk bercakap tentang politik. Tetapi atas niat prihatin dan atas dasar kasih sayangnya terhadap agama , bangsa dan negara, saya menjadikan menulis sebagai satu cara untuk menumpahkan sejuta rasa dari dalam hatinya.

2.Semasa di zaman budak-budak dulu, saya memang penyokong kuat UMNO. Sokongan itu didasarkan atas kakaguman kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berumur 83 tahun. Saya bukanlah taksud, atau sebahagian orang yang digelar mahathist , tetapi kagum dengan keupayaan dan kebolehannya memotivasikan sesiapa sahaja yang mendengar ucapannya termasuklah saya.

3.Tun Mahathir bukanlah hebat berpidato seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh saja membakar semangat dam mempengaruhi orang lain,tidak pula membosankan seperti Dato' Seri Abdulllah Ahmad Badawi yang selalu saja ucapannya membuatkan orang mengantuk, tetapi setiap kata-kata Tun akan didengar dengan teliti dan orang tidak berganjak dari tempat duduk.

4.Saya masih ingat lagi , ketika satu perhimpunan Agung UMNO, Tun Mahathir bercakap tiga jam tanpa henti. Satu rekod untuk seorang yang sudah berumur 70-an. Walaupun pada perhimpunan Agung UMNO, ucapannya tidaklah sangat berkisar tentang parti itu tetapi lebih kepada cerita tentang orang Islam dan Melayu. Cerita tentang betapa orang islam perlu kuat dalam pendidikan ekonomi , ketenteraan dan segala-galanya untuk mengembalikan semula kegemilangannya suatu ketika dulu. Untuk memastikan juga umat islam tidak sewenang-wenangnya ditindas seperti yang berlaku di palestin. Kepada orang melayu pula, nasihat yang diberikan adalah jelas.Mereka perlu merubah minda dan sikap. Jangan asyik mengambil jalan mudah untuk berjaya, segalanya perlu diusahakan, jangan nanti kita menjadi kuli di tanah air sendiri.

5.Sebagai seorang yang tinggal di kampung dan tidak sangat terdedah kepada dunia luar, amat sukar untuk saya mencari sesuatu yang betul-betul boleh membuka minda dan memotivasikan diri. Tapi alhamdulillah tabiat menonton tv, banyak membuka ruang kepada minda untuk melihat dunia bukan setakat berkisar di pekan kecil Ayer Hitam tapi lebih jauh lagi sehinggalah ke semenanjung Gaza. Setiap kali Tun Mahathir memberikan ucapan, saya pasti akan tercegat di hadapan tv kerana saya yakin setiap apa yang disampaikan pasti akan menyuntik semangat ke dalam diri terutamanya tentang orang Melayu.

6.Di kawasan saya rata-rata orang melayu bekerja sebagai petani atau lebih tepat lagi pesawah. Walaupun saya anak pesawah , sudah agak lama saya tidak turun ke bendang.. Memalukan bukan..he…he…?.walaupun kebanyakan tanah sawah dipunyai oleh orang –orang melayu, tapi hampir 80%(hanya anggapan saya) kilang-kilang pemprosesan padi di miliki oleh orang-orang cina. Kalau ada pun orang melayu, meraka tidaklah sangat maju, ala-ala seperti hidup segan mati tak mahu. Rata-rata orang melayu lebih suka menjual padi kepada tauke-tauke cina. Malah,perniagaan runcit juga di monopoli oleh orang-orang cina. Orang melayu pula maju dalam perniagaan makanan dan restauran.

7.Untuk pengetahuan anda,saya berasal dari pekan kecil Ayer Hitam,Jerlun Daerah Kubang Pasu.Pada Pilihanraya lepas, Dun Ayer Hitam dimenangi oleh calon pas Ustaz Abdul Ghani Ahmad manakala Parlimen Jerlun dimenangi oleh calon UMNO Datuk Mukhriz Mahathir, anak lelaki Tun Mahathir. Itu pun kemenangan Mukhriz adalah dengan majoriti yang agak kecil. Mengikut ibu saya, kebanyakan pengundi yang memangkah beliau adalah kerana mereka teringatkan jasa-jasa Tun Mahathir.

8.Datuk Mukhriz menjadi calon untuk jawatan ketua pemuda UMNO dalam pemilihan yang berlangsung dua hari lepas. Agak malang , beliau tewas. Memang saya sejak dari awal-awal lagi berharap yang beliau akan memenangi jawatan tersebut.Kalau tidak silap saya,Datuk Mukhriz merupakan pengelola Aman Malaysia, Petubuhan Bukan Kerajaan yang banyak menganjurkan activiti-activiti berbentuk keamanan sejagat.

9.UMNO cuba menunjukkan yang ia merupakan parti yang bersih dengan mewujudkan Jawatankuasa Bertindak Disiplin UMNO dalam membenteras gejala politik wang. Ia nampaknya agak berkesan kerana bukan sahaja ikan kecil yang kena tetapi juga ikan-ikan besar yang mempunyai kedudukan tinggi dalam parti. Jika dulu Tan Sri Isa Samad dikenakan tindakan,yang terbaru Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula yang hilang kelayakan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tapi apa yang peliknya, ada juga beberapa ahli yang didapati bersalah tapi hanya diberi amaran. Pelik. Cuba bayangkan, seorang didapati bersalah di makhamah, tapi akhirnya hanya di beri amaran tanpa perlu menjalani hukuman. Pelik bukan?

10.Akhirnya,seorang ahli UMNO yang didapai bersalah dan hanya diberi amaran berjaya mengepalai salah satu sayap penting dalam UMNO. Ia agak memalukan. Selepas saja dia diumumkan menang, ramai ahli UMNO yang bertempik menentang kerana kemenangannya itu tidak menggambarkan sokongan dari akar umbi.

11.Tun Mahathir tidak hadir pada pembukaan mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO kerana kesal dengan tindakan perwakilan salah satu sayap UMNO yang seolah-olah merestui politik wang dengan memilih orang yang sudah didapati bersalah menjadi pemimpin. Ramalan beliau, jika Datuk Seri Najib memilih pemimpin itu sebagai menteri kabinet kelak, pasti pada PRU 13, BN akan kalah teruk. UMNO akan dilihat jijik dimata rakyat, kerana mempunyai pemimpin yang pernah terlibat dengan rasuah politik.

12.Novelis terkenal,Faisal Tehrani menyifatkan kemenangan calon politik wang tersebut sebagai suatu yang bagus.. Tidak seperti Datuk Mukhriz yang menyokong, pemimpin tersebut menolak PPSMI, sekaligus mendapat sokongan dari orang-orang yang digelar pejuang bahasa. Tapi soalnya, adakah semua orang yang berdemontrasi beberapa minggu lepas mendesak PPSMI dimansuhkan akan menyokong pemimpin ini hanya kerana sehaluan dalam isu PPSMI ini?. Mungkin tidak. Politik tetap politik, orang politik akan mencari apa saja cara untuk menjatuhkan ahli politik yang lain.

13.Moga-moga segalanya akan kembali baik di masa hadapan.

14.Itu saja dari saya kali ini.Terima kasih kerana membaca, moga-moga anda sihat sentiasa. Kepada yang akan menghadapi peperiksaan akhir semester, moga-moga DIA mempermudahkan segalanya. Insya-Allah. Berusahalah, walaupun pada akhirnya anda tidak berjaya, tapi paling tidak ia mendidik anda menjadi lebih rajin. Di masa hadapan anda akan terbawa-bawa dengan sikap itu dan insya-Allah, kelak anda akan berjaya (Nasihat ini ditujukan pertamanya kepada saya).

::Written by syeikhsifu, Yang Meluahkan Seribu Rasa dari Jiwa
::11:30 p.m
::Friday,March 09, 2009

No comments: