Labels

Friday, July 10, 2009

Berhentilah Menjadi Gelas

  


” Kenapa kau selalu murung, Nak? Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah kesyukuranmu? “, tanya Sang Guru.

” Guru, kebelakangan ini hidup saya diselubungi berbagai masalah. Masalah datang seperti tiada penghujungnya “, jawab seorang anak muda.

” Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawa kemari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu “, arah Sang Guru sambil menghadiahkan seukir senyuman buatnya.

Si anak muda pun berlalu pergi bagi memenuhi permintaan gurunya itu, lalu kembali lagi membawa gelas dan garam sebagaimana yang dipinta.

” Nak, masukkan segenggam garam itu ke dalam gelas yang berisi air. Setelah itu, minumlah airnya sedikit “, kata Sang Guru.

” Uwekk. Masinnya ! “, wajahnya kini merengis menahan rasa masin air garam itu.

Sang Guru tersenyum kecil memerhatikan gelagat anak muda itu.

” Sabar Nak. Sekarang tebarkan garam yang masih berbaki itu ke dalam sungai pula, dan cuba minum airnya “, arah Sang Guru sambil mencari batu untuk didudukinya.

Si anak muda itu pun menangkupkan kedua tangannya, mengambil air sungai, lalu meneguknya.

” Bagaimana rasanya? “, soal Sang Guru.

” Alhamdulillah, segar. Segar sekali. Tiada rasa masin sedikitpun “, kata si anak muda itu bersungguh-sungguh.

” Nak, Itulah hakikat sebuah kehidupan. Segala masalah dalam hidup ini hanyalah seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam “, si anak muda itu terdiam mendengarkannya.

” Tetapi Nak, rasa ‘masin’ dari penderitaan yang kau alami itu, sangat bergantung kepada besarnya hati yang menampungnya. Jadi, supaya tidak merasa menderita, berhentilah menjadi gelas. Jadikanlah hatimu sebesar sungai itu. Nescaya kau akan sentiasa tenang “, sambung Sang Guru sebelum berlalu pergi.

Jadikanlah hatimu sebesar sungai itu. Nescaya kau akan sentiasa tenang !


PENSIL YANG BERWARNA DENDAM



Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah memberi maaf, maka kemaafan itu boleh diberikan.

Andai yang disuruh pilih, hitungannya adalah memohon maaf, maka kemaafan itu juga boleh dipohon.

Tetapi jika yang disuruh pilih, ketentuannya adalah dendam, maka selama-lamanya sudah pasti keburukan yang menjadi ketentuannya.

Mengapa terlalu sukar untuk memberi kemaafan kepada orang lain? Mengapa merelakan diri diselubungi dendam yang tidak pernah padam?

Sedarlah, setiap orang ada kelemahan dan kekurangannya. Mungkin hari ini hari kita. Apakah kita jamin yang kita tidak akan melakukan salah dan silap?

Ingatlah bahawa semua yang terjadi ini hakikatnya adalah dari Allah jua. Dia mahu melihat apakah kita dapat menerima masalah itu dengan sebaik-baiknya ataupun tidak.

Namun, jika kita tetap tidak mahu memaafkan kesilapan orang, tiada apa-apa keuntungan darinya. Yang tinggal hanyalah sebuah kehidupan yang serba tidak tenang.

Sabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik manusia adalah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda apabila sudah marah dan sejahat-jahat manusia adalah orang yang lekas marahnya dan lambat pula reda marahnya itu”

Adakah anda sejahat-jahat manusia?


DEMI SEBUAH BAHAGIA







Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf?

Kerana kita adalah hamba yang mendambakan maaf dan keampunan dariNya.

Kita hamba yang tak punyai apa-apa, sering melakukan dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita.

Oh Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan ayah dan ibuku atas kesilapan dan kekurangan diri mereka.

Ku maafkan setiap salah dan silap sahabat-sahabatku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku.

Semata-mata kerana aku dambakan keampunanMu.

Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa.

Maafkan aku, hamba yang berdosa.

Moga ada sinar bahagia, di hari muka.



Sekian,



syeikhsifu



7/7/2009 -Selasa