Labels

Saturday, September 27, 2008

Demi cita-cita PM, Anwar gadai kalimah Allah kepada Kristian ?
















Oleh True Heart Finder & AIDC

Tulis Terence Netto dalam portal Malaysiakini, 2 Februari 2008; "Anwar berkata sejak generasi rakyat Malaysia membesar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi, beliau melihat tiada sebab mengapa penganut Kristian Malaysia tidak boleh menggunakan istilah Bahasa Arab untuk Tuhan- ‘Allah’ dalam ritual mereka."

Satu kenyataan paling berani Anwar, bukan berkaitan isu ekonomi, isu sosial, tetapi isu agama yakni berkenaan kalimah Allah.

Kenapa tiba-tiba penganut Kristian di Malaysia begitu terdesak memohon menggunakan istilah Arab "Allah" menggantikan "Tuhan"? Kenapa minta di depan Anwar ? Kenapa baru sekarang dan tidak dari dahulu lagi ?

Kenapa Christian Federation of Malaysia (CFM) tidak memohon kalimah Arab "Rab" yang bermaksud "Tuhan" dan kenapa hanya pohon kalimah "Allah" ?

Saya melihat semua ini mempunyai agenda tersirat yang berniat jahat. Apakah ini bermaksud untuk mengelirukan orang-orang Melayu supaya tidak dapat membezakan kalimah "Allah" dalam Bible dengan kalimah "Allah" dalam Al Quran ? Motifnya seperti mahu merencanakan projek mengkristiankan Melayu secara besar-besaran.

Ya benar seperti didakwa Irene Fernandez, tidak dinafikan bahawa Allah digunakan di dalam Bible Bahasa Arab. Sebenarnya penggunaan Allah telah wujud sejak zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAWA lagi. Kebanyakan Nasrani (Kristian) pada masa itu berpegang kepada syariat nabi Isa - bukan seperti Kristian zaman sekarang.

Rata-rata orang Arab Kristian memegang kepada kepercayaan Christian Orthodox , seperti di Palestine, Lebanon , Syria , Jordan dan sebagainya.

Namun begitu, majoriti Kristian menafikan kewujudan ‘Allah ‘ terutamanya Bible dalam bahasa Hebrew atau pun Greek.

Maka jelaslah penafian ini menidakkan hujah Sheikh Ahmed Deedat bahwa kewujudan perkataan Allah di dalam Bible sejak dari dahulu lagi. Buktinya sila klik di sini.

Persoalannya;

1) Mengapa Irene Fernandez dan sekutunya beria-ria mahu menggunakan perkataan ‘Allah’ walhal di dalam masyarakat Kristian sendiri, menolak kalimah "Allah" di dalam Bible asal?

2. Adakah Kristian Malaysia dari negara Arab atau Barat ? Kalau dari negara Barat, kenapa tidak menggunakan kalimah Tuhan yang biasa digunakan oleh majoriti penganut Kristian di sana, kenapa perlu ditukar kepada Allah ?

2) Adakah dengan menggantikan kalimah "Allah", Irene menerima hujah bahawa Allah memang wujud di dalam Bible asal dan menerima kewujudan ‘prophecy of Nabi Muhammad’ di dalam Bible ?. Klik di sini.

Maka jelaslah, pada saya, usaha penukaran istilah Tuhan di dalam Bible di Malaysia iaitu Tuhan kepada Allah sememangnya mempunyai agenda tersirat yang berniat jahat

Mereka mahu orang Melayu Islam di Malaysia jadi keliru, melihat tiada perbezaan antara Bible dan Quran. Jadi dengan itu, orang-orang Melayu Islam yang akan mudah terpengaruh dan tertipu dengan kalimah Allah di dalam kitab Bible.

Selain itu, hakikat yang perlu kita lihat dari sudut pandangan lain juga iaitu penggunaan dan penukaran istilah di dalam Bible secara sewenang-wenang itu membuktikan bahawa “Bible is Corrupted”.

Bolehkah kitab yang kononnya dipercayai sebagai ‘words of God’ sewenang-wenangnya ditukar mengikut citarasa manusia ?

Bolehkah kitab sebegini dianggap suci dan ‘holy’?

Berlainan dengan AlQuran sebagai Kitab Suci Umat Islam di mana seluruh umat Islam di dunia ini menggunakan hanya satu Al Quran tetapi diterjemahkan ke dalam bahasa asing tanpa menggangu atau mengubah konteks dan susunan serta makna ayat-ayat Al-Quran itu.

Sesungguhnya Bible yang wujud sekarang ini adalah bible yang telah di’edit’ dan dikotori oleh tangan manusia. Malangnya manusia yang dulunya berjuang Islam, bernama Anwar Ibrahim sendiri, menyokong tindak-tanduk musuh Islam kononnya atas dasar “FREEDOM OF EXPRESSION”

Apakah niat sebenar Anwar, untuk kebenaran atau untuk mendapat saham politik ? Wajarkah semata-mata mahu meraih sokongan dan populariti, agama dan kalimah "Allah" diperjudikan ?

Oleh itu, tindakan kerajaan Malaysia menolak penukaran istilah Tuhan di dalam Bible kepada Allah memang tepat dan merupakan tindakan yang bijak.

Semoga ketulenan dan kesucian agama Islam serta kesejahteraan umat Islam di Malaysia akan sentiasa dilindungi Allah , Ameen ya rab Al’Alameen.

True Heart Finder


---------------------------


Ulasan AIDC

Komen kritis saudara True Heart Finder ini sebagai respon artikel "Anwar Ibrahim desak kalimah "Allah" patut dibenarkan kepada Kristian" yang diterjemahkan daripada artikel asal, terbitan Malayiakini (2 Februari 2008) bertajuk "Anwar explains his stance to Christian leaders"

Penulis artikel asal ini, Terence Netto, tentunya beragama Kristian, kerana penulisnya sendiri mengakui program itu dilakukan secara dialog 'tertutup' antara pemimpin de fakto PKR, Anwar Ibrahim dengan 200 orang ahli Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia), kira-kira sebulan sebelum pilihanraya umum ke-12.

Tentunya dailog tertutup ini amat bermakna kepada 'masa depan' penganut Kristian di Malaysia, kerana dianjurkan oleh badan Kristian terbesar Christian Federation of Malaysia (CFM) yang turut dihadiri oleh Ketua Biskop Kristian Murphy Pakiam dengan tetamu istimewanya, Anwar Ibrahim (Ketua de facto PKR), Dr Xavier Jeyakumar (Ahli Majlis tertinggi PKR) dan Tian Chua (Ketua Penerangan PKR).

Barangkali penganut Kristian di Malaysia, menaruh harapan tinggi dengan janji Anwar untuk mewujudkan Malaysia Baru yang telah diucapkan dari mulut bekas aktivis Islam, iaitu Anwar Ibrahim yang pernah dijolok sebagai bakal Presiden PAS dan Perdana Menteri Malaysia, tetapi malangnya kedua-dua jolokan gelaran itu belum menjadi kenyataan hingga ke hari ini.

Stigma bakal Presiden PAS

Namun begitu, Anwar berjaya menjadi ketua de facto PKR dan berjaya menobatkan isterinya sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Sekarang jawatan itu disandang olehnya.

Tentunya janji Anwar mempunyai asas yang kuat, kerana latar belakangnya sebagai aktivis Islam yang pernah dituduh melakukan 'grand design', melaksanakan "Program Islamisasi" sejak kemasukkannya ke dalam kerajaan sekitar tahun 80-an.

Malah sebelum ini, sahabat-sahabat rapatnya dalam ABIM seperti Kamaruddin Jaafar (KJ) dan Kamaruddin Mohd Nor (KM) mendakwa Anwarlah orang yang menjadi tunjang ABIM sekitar tahun 70-an yang menyemarakkan program Islamisasi melawan arus komunisme dan sosialisme yang amat berpengaruh ketika itu.

Kilauan slogan "Islam is the way of life" yang dilaungkan oleh Anwar ketika dalam ABIM itu telah mempesonakan Hadi Awang, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Abd Ghani Shamsuddin, Mohamad Mustafa, Daud Iraqi untuk menyertai pertubuhan Islam itu. Malah Subky Latif, bekas wartawan Utusan ketika itu menulis dalam salah satu bukunya meramalkan Anwar Ibrahim bakal Presiden PAS menggantikan Datuk Asri Muda, Presiden PAS yang dituduh mewarisi jiwa nasionalis.

Tetapi apakah benar tuduhan Anwar dan sahabat-sahabat ABIMnya mengatakan mereka berjaya memerangi elemen sosialisme pada tahun 70-an, kerana elemen tersebut telah menyerap bersatu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Orang yang pernah dituduh penaja sosialisme seperti Dr Syed Husin Ali dan Hishamudin Rais kini menjadi kawan sejati.

Jadi apakah benar 'gelombang kebangkitan Islam' yang diwar-war dulu, sedangkan pihak yang menjadi 'musuh' dahulu telah bersatu jasad ? Lagipun hingga sekarang Anwar tidak pernah memohon jadi ahli PAS ?

Tentunya janji-janji Anwar kepada penganut Kristian CFM boleh dipegang, kerana Anwar dilihat mampu mempengaruhi PAS, kerana sahabat baiknya, KJ memegang teraju utama parti itu sebagai pemegang masa depan PAS iaitu berstatus Setiausaha Agung PAS Pusat. Malah nama-nama yang disenaraikan di atas yang pernah mengangotai ABIM, menjadi peneraju utama PAS dari Presiden, Naib Presiden, Ketua Dewan Pemuda, Ketua Dewan Ulama dan Ahli Majlis Tertinggi parti.

Darah Anwar dalam PAS ?

Malah persoalan 'genetik darah' Anwar ini pernah ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Memo Buat Bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993, dalam rencananya bertajuk " Darah Anwar Dalam PAS".

Walaupun Presiden PAS menafikan Anwar boleh mempengaruhi PAS, yang dikiaskan sebagai Anwar tidak pernah dilantik sebagai Ketua Pakatan Rakyat (PR), dalam Harakah pada 8 Julai lalu, namun sehingga kini dakwaan itu masih gagal dibuktikan, kerana Anwar masih dianggap jurucakap/ketua dalam mesyuarat PR. Apatah lagi pengiktirafan yang amat besar diberikan oleh media Barat, kebanyakannya dimonopoli oleh Amerika yang menjulang nama Anwar sebagai "PM is waiting".. Bacaan lanjut klik artikel 1 dan artikel 2.

Malah dalam kes "Forum Memeluk Islam" anjuran Bar Council, Anwar mendakwa beliau telah mendapat 'restu' daripada Presiden PAS,yang bersetuju diadakan forum itu secara tertutup. Dakwaan Anwar ini dilihat double standard, kerana Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS menentang forum itu. Lihat video ini.

Lima Janji Anwar sekiranya jadi PM

Apakah janji Anwar kepada penganut Kristian dalam majlis tertutup itu, seperti yang dilaporkan oleh Terence Netto, Malaysiakini ?

Berikut merupakan Lima Janji Anwar kepada penganut Kristian, jika beliau berjaya jadi PM:

Janji Pertama : Beliau akan membangunkan sebuah negara Malaysia yang bebas dan demokratik serta berpegang teguh kepada Perlembagaan Merdeka.

Persoalan yang menarik di sini adalah apakah maksud Anwar "Perlembagaan Merdeka"? Apakah "Perlembagaan Merdeka" tidak sama dengan "Perlembagaan Persekutuan" yang dibuat pada tahun 1957?

Apakah "Perlembagaan Merdeka" bermaksud "Perlembagaan Rakyat" yang didraf oleh PUTERA dan AMCJA pada tahun 1947 bagi menggantikan Malayan Union ? Lagipun Anwar sering melaungkan terma "Rakyat".

Kalau kita menonton filem dokumentari "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka", terbitan KOMAS, kita akan faham maksud "Perlembagaan Merdeka" kerana ia sama dengan "Perlembagaan Rakyat" yang didraf untuk menyamaratakan Melayu, Cina dan India pada tahun 1947.

Lagipun KOMAS adalah di bawah tajaan KAF (Konrad Adenuaer Foundation) yang turut menaja filem itu. Malah pelakon-pelakonnya terdiri aktivis PKR, termasuk Ginie Lim, pegawai khas Anwar. Bacaan lanjut klik di sini

Janji Kedua : Anwar berjanji tidak akan membentuk sebuah Negara Islam, seperti yang dislogankan PAS.

Memang terlalu banyak kali Anwar memberi jaminan ini di luar negara dan kepada masyarakat bukan Islam. Sehingga ada yang berpendapat, penarikan semula slogan PAS, dari "Negara Islam" kepada "Negara Kebajikan" hasil kesungguhan Anwar membuktikan kata-katanya benar.

Janji Ketiga : Beliau bersetuju membenarkan kalimah "Allah" yang digunakan oleh pihak Islam kepada penganut Kristian.

Janji Keempat : Beliau akan memastikan kes murtad yang membabitkan orang bukan Islam tidak akan dibawa ke mahkamah syariah, kerana dakwanya mahkamah syariah sekarang ini lemah dan tidak mampu berlaku adil. Beliau memberi contoh kes S Moorthy. Bacaan lanjut klik di sini.

Janji Kelima : Beliau akan menjadi 'orang tengah' yang mampu mengawal DAP yang sekular dan PAS yang Islam. Beliau akan liberalkan kedua-dua pihak ini dengan PKR menjadi ketua.

Janji Anwar hanya retorik?

Persoalannya apakah janji Anwar ini sekadar retorik untuk memancing undi penganut Kristian ?

Saya tidak fikir begitu. Saya fikir ini merupakan janji Anwar yang benar-benar lahir dari lubuk hatinya, kerana berdailog secara tertutup di hadapan Ketua Biskop Kristian Murphy Pakiam bersama dengan 200 orang ahlinya. Ia dibuat secara tertutup. Malah penulis artikel itu sendiri menulis dalam Bahasa Inggeris dan tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Lagipun penanda aras sikap seseorang dapat dilihat apabila beliau dibebaskan daripada kemelut yang paling dashyat melanda dirinya. Selepas dibebaskan dari penjara pada 2004, Anwar tidak memilih mana-mana negara Islam yang pro atau anti Amerika, sebaliknya beliau terus ke puncak kuasa, bermastatutin di Amerika Syarikat dengan bersandarkan status pensyarah pelawat di Universiti John Hopkins dan Georgetown, Amerika.

Tambahan pula, beliau bergurukan seorang orientalis, bernama John Esposito, seorang Kristian yang menjadi pakar rujuk Amerika dalam perkara berkaitan Islam. Anwar pula menjadi pensyarah pelawat di Pusat Presefahaman Muslim dan Kristian, di Universiti Kristian Amerika.

Bacaan lanjut klik artikel 1, artikel 2, artikel 3, artikel 4 dan artikel 5

Apa Model Negara Malaysia Anwar ?

Daripada huraian di atas dapat digambarkan model negara yang cuba dibentuk oleh Anwar, sekiranya menjadi PM kelak.

Untuk melihat model sebenar, belum dapat digambarkan secara realiti, tetapi model yang belum menjadi realiti boleh dicerminkan kepada model yang telah menjadi kenyataan.

Tidak keterlaluan jika untuk melihat model negara Malaysia Anwar, bolehlah dirujuk kepada Kerajaan Selangor yang diperintah oleh PKR. Penerajunya adalah sahabat baik Anwar iaitu Khalid Ibrahim.

Bagaimana kedudukan PAS dalam Kerajaan Selangor, begitulah barangkali kedudukan PAS, jika Anwar jadi PM. Teresa Kok dari DAP yang pernah disebut-sebut calon TMB Selangor, terpaksa melupakan cita-citanya kerana undang-undang tubuh Selangor tidak membenarkan orang bukan Islam menjadi TMB. Sepatutnya kalau Sultan Selangor, mahukan orang Islam, jawatan itu wajar diberikan kepada wakil PAS, Dr Hassan Ali, misalnya, tetapi itu juga tidak menjadi kenyataan.

Bagaimana dengan kedudukan Kristian dalam pemerintahan Selangor ? Terbukti dua exco beragama Kristian memegang jawatan utama, iaitu Dr Xavier Jayakumar dan Elizebert Wong dari PKR diberi tempat yang amat selesa untuk menyamarata perbelanjaan agama di Selangor. Malah, Teresa Kok, walaupun dikaitkan dengan agama Buddha berasaskan namanya tetapi sering memakai lambang salib di lehernya dan tindak tanduknya lebih racist ke arah Kristian.

Walaupun Selangor bukanlah model negara Malaysia Anwar sepenuhnya, tetapi sebahagian besar telah terjelma di negeri itu kerana pentadbiran Selangor hasil daripada idea dan model Anwar Ibrahim.

AIDC
26 September 2008

Thursday, September 25, 2008

Peluang 'Last Minute' & Lailatul Qadr

Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan Ramadhan, berbaki lagi 5 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 2/3hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita sendiri.

Semenjak dua menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.

Tidak terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.

Saya tiada masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu. Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari, ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.

Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir

"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya

"Study last minute"

"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"

"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"

Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.

Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.

Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.

Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :

وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ

Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348 )

Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.

Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.

Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat.

Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.

Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.


Kehebatan Malam Al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.


Sekian

Monday, September 22, 2008

Najib Kena Berani Tapi Jangan Sombong

OLEH KADIR JASIN

ANTARA reaksi pelantikan Mohd Najib Abdul Razak sebagai Menteri Kewangan yang saya anggap penting adalah oleh Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop.

Utusan Malaysia melaporkan beliau sebagai berkata, pelantikan Mohd Najib diterima baik oleh komuniti pelabur tempatan dan antarabangsa.

Saya berkata begitu kerana umum tahu bahawa Nor Mohamed secara praktiknya adalah Menteri Kewangan walaupun Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, memegang jawatan itu sejak 2004
.
Tidak perlulah kita berpura-pura dan cuba menjaga hati. Seperti Abdullah sendiri pernah mengisytiharkan “beritahu saya apa yang perlu saya dengar bukan apa yang saya suka dengar” jadi kita kena berterus terang.

Hakikatnya Abdullah tidak terlatih dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Begitu jugalah kita tidak boleh berpura-pura dan menjaga hati pembesar politik dengan mengorbankan hak kita sebagai pengundi dan pembayar cukai dengan memberi muka kepada isteri, anak, menantu dan suku sakat menteri.

Ingatlah, kita mengundi pembesar kita sebagai wakil rakyat. Kita tidak mengundi isteri, anak dan menantu mereka melainkan isteri, anak dan menantu mereka juga wakil rakyat.

Kadang-kadang yang salah pun kita. Yang kita dok pi layan anak bini menteri macam depa tu Yang Berhormat buat apa?

Cukuplah dengan budi bahasa. Buat apa kita berikan mereka kuasa, layanan protokol dan macam-macam rupa gelaran.

Tak hairanlah kalau ada bini, anak dan menantu menteri yang naik tocang – yang mahu layanan permaidani merah dan kerusi tinggi.

Bila kita beri muka, maka adalah yang ambil kesempatan masuk pintu dapur untuk guna isteri, anak dan menantu pembesar itu dengan pelbagai tujuan peribadi.

Berbalik kepada pelantikan Mohd Najib, betullah macam kata Nor Mohamed. Mohd Najid memang ada pengalaman mengenai kewangan dan pelaburan sejak menyertai politik pada tahun 1976.

Itu saya tahu. Saya kenal Mohd Najib masa dia bekerja dengan Petronas lagi. Lepas itu (1976) menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Pekan.

Lepas itu jadi pengerusi Majuternak (dah dibubarkan). Waktu itulah (1977) saya temu ramah beliau buat kali pertama di rumah keluarganya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur. Dia baru berusia 23 tahun dan masih bujang.

Tahun 1978 dia dilantik timbalan menteri dan berkhidmat di Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, Pelajaran dan Kewangan.

Pada tahun 1982, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantarnya balik ke Pahang untuk bertanding DUN dan dilantik menjadi Menteri Besar. Maka jadilah dia Menteri Besar termuda – usia tidak sampai 30 tahun.

Kalau nak kira pengalaman, memang Mohd Najib mempunyai cukup atau lebih daripada cukup pengalaman dan pengetahuan untuk menguruskan ekonomi dan kewangan negara.

Sekiranya Mohd Najib tidak mampu atau gagal menguruskan ekonomi dan kewangan negara pada saat-saat yang mencemaskan sekarang, saya pun tidak berani hendak kata apa akan terjadi kepada kita semua.

Krisis sekarang adalah lebih serius daripada 1997/98 kerana membabitkan Amerika dan sudah pun merebak ke seluruh dunia.

Di Amerika sahaja, kerajaan dan agensinya dianggarkan telah membelanjakan AS$600 bilion (kira-kira MR2,100 bilion) untuk menyelamatkan pelbagai institusi kewangan dan tabung pinjaman daripada menjadi muflis.

Berpuluh-puluh bank di Amerika sama ada sudah muflis atau hidup semata-mata kerana “bailout”. Tetapi apabila kita menyelamatkan bank dan perniagaan kita pada tahun 1997/98 kita diherdik oleh Barat dan IMF.

Malah Menteri Kewangan kita ketika itu, Anwar Ibrahim, termakan propaganda IMF dan Wall Street. Tetapi Dr Mahathir dia gung-ho, dia buat apa yang dia fikir baik untuk negara dan rakyat jelata.

Adakah mampu Mohd Najib mengulangi rekod menyelamatkan ekonomi negara yang dicatatkan oleh Dr Mahathir itu?

Bagi saya, bukan mampu atau tidak mampu tetapi wajib kerana krisis sekarang lebih luas dan dalam daripada krisis 1997/98.

Tetapi Mohd Najib dan Nor Mohamed berdua sahaja mungkin tidak mampu menangani masalah yang bertimbun dan bertindih ini.

Indeks komposit Bursa Malaysia telah jatuh di bawah paras 1,000 mata. Semua penggiat pasaran dan pengurus saham amanah (unit trust) tahu bahawa kerugian akan mula dirasai sebaik sahaja angka tunjuk bursa jatuh di bawah paras 1,000 mata.

Ini belum diambil kira masalah yang sedia ada seperti naik-turun harga komoditi, kenaikan harga petrol, inflasi dan kejatuhan nilai ringgit. Kini dikhuatiri pula bahawa ekonomi dunia mungkin mengalami “stagflasi” iaitu pertumbuhan ekonomi merosot tetapi inflasi meningkat.

Saya yakin Mohd Najib masih ingat bahawa ketika krisis 1997/98 melanda, Dr Mahathir memanggil balik Tun Daim Zainuddin, melantik Nor Mohamed dan Ali Abul Hassan sebagai penasihat, membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC), meningkatkan pelaburan awam, memperkenalkan kawalan terhad tukaran mata wang dan banyak lagi.

Seperti saya tulis berulang kali, kita tidak kekurangan kepakaran, tak kira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan untuk membantu memperkasa ekonomi dan pentadbiran.

Tetapi sejak tahun 2004, nampak seolah-olah dasar Umno dan kerajaan Barisan Nasional adalah menolak sesiapa sahaja yang tidak bersumpah setia kepada mereka atau ada kaitan dengan era sebelumnya.

Kita semua maklum pelbagai dakwaan dan andaian dibuat terhadap Mohd Najib. Itu perkara biasa dalam politik. Sesiapa pun yang akan naik akan diteliti budi pekertinya. Anwar pun kini mengalami tapisan yang serupa.

Jadi jika dia berhasrat menjadi pemimpin, dia haruslah lebih berani, terbuka dan menghormati kehendak akar umbi. Jangan terlalu mengharapkan segala-galanya dipersembahkan di dalam tepak emas.

Nasihat yang baik tidak semestinya datang daripada orang yang memuji dan memuja beliau sahaja. Malah orang berterus terang itu mungkin lebih ikhlas dan bernas nasihatnya.

Ramai pembahas blog ini merujuk kepada petingnya Mohd Najib mengumpul dan mengembleng kepakaran yang ada dalam negara untuk sama-sama mencari jalan mengatasi cabaran kelemut ekonomi ini.

Sepanjang mengenai pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan yang penting dan utama bukanlah mengenai ujian kecekapan, proses peralihan kuasa atau kenaikan pangkat, tetapi mengenai perjuangan menyelamatkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat jelata.

Kalau dia terkorban, itu adalah takdir yang perlu diterimanya kerana perjuangan memerlukan pengorbanan.

Akhir kalam, saya memohon izin bertanya adakah Datuk Seri Mohd Najib masih ingat perbualan saya dengannya pada tahun 1977 mengenai perlunya dia berjalan keluar daripada bayang raksasa ayahandanya?

http://www.detikdaily.net/v4/modules.php?name=News&file=article&sid=2337

Sunday, September 21, 2008

Jangan Salahgunakan Agama Untuk Kepentingan

Islam adalah matlamat yang dituju, bukan alat yang dipergunakan. Malangnya dalam masyarakat hari ini, banyak keadaan menunjukkan Islam itu tidak lebih daripada alat yang dipergunakan. Islam dipergunakan untuk keuntungan peribadi, perniagaan, politik dan lain-lain. Islam diperlakukan oleh sesetengah pihak bagai pelaris jualan.

Atau Islam dibuat bagaikan saluran media untuk mengiklan barang. Islam ditampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan kerana kecintaan kepada Islam, tetapi kerana itu boleh mempengaruhi orang ramai. Ini samalah dengan seorang tuan kedai yang menggantungkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya untuk menarik perhatian pelanggan semata.

Padahal dia tidak pun berpegang kepada isi kandungan ayat yang digantung. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan, tidak pun dilakukannya. Bahkan lebih teruk lagi, mungkin dia tidak bersolat, berpuasa dan perkara-perkara asas yang lain sebagai seorang muslim.

Namun dinding kedainya dipenuhi ayat al-Quran. Maka ayat al-Quran itu bukan pegangan hidupnya, tetapi alat yang dipergunakan untuk kepentingan dirinya. Bukan sedikit orang yang seperti tuan kedai itu dalam masyarakat kita. Mungkin bidang kepentingan dan caranya berbeza-beza, tetapi perbuatan mengeksploitasikan agama itu adalah sama.

Ustaz Produk

Saya amat tidak bersetuju apabila produk-produk yang melantik penceramah-penceramah agama sebagai duta produk mereka. Maka para penceramah ini akan berceramah ke sana sini menggunakan nas-nas agama itu dan ini untuk dikaitkan dengan produk yang dia didutakan.

Jadilah agama mainan ‘golongan peniaga’ dalam mempengaruhi orang awam. Hadis-hadis yang entah daripada mana asalnya, atau yang tidak sahih dikeluarkan untuk melariskan produk. Orang awam yang jahil akan terpengaruh.

Kadang-kala nas yang digunakan itu benar, tetapi dieksploitasikan. Umpamanya al-Quran memang menyebut tentang kelebihan madu seperti firman Allah:

(maksudnya)

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang dimudahkannya kepadamu”. (dengan itu) akan keluarlah daripada perutnya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah al-Nahl: ayat 68-69).

Ayat ini adalah umum, tidak dikaitkan dengan mana-mana produk tertentu. Maka janganlah digunakannya untuk dikhususkan kepada syarikat tertentu, padahal sudah ribuan tahun manusia meminum madu dan menikmati manfaatnya, sebelum syarikat-syarikat hari ini wujud.

Namun, apabila lidah penceramah agama berkempen untuk produk tertentu, maka jelaslah bahawa dia telah mengeksploitasikan agama untuk memajukan poketnya, bukan mendaulatkan agamanya. Jika dia ingin berkempen orang ramai meminum madu, silakan. Ayat tadi pun berkempen untuk itu. Tetapi hendaklah secara umum, bukan berkepentingan.

Daerah dakwah itu hendaklah menjadi daerah yang bersih dari kepentingan peribadi. Masalahnya, apabila masyarakat kita ada ramai penceramah yang bermodalkan agama, kurang pula yang menjadikan agama adalah matlamat dalam dakwah, maka beginilah jadinya.

Sebab itu barangkali, Nabi s.a.w membersih masjid dari sebarang perniagaan, seperti sabda baginda s.a.w:

“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Lelong Pahala

Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan ekspot kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil ‘tahlil’ khas yang berbayar.

Maka ramailah ‘tekong’ yang melimpah luah wang pada bulan puasa ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal. Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kueh dan baju raya.

Seperti mana orang kaya pada hari raya akan lebih mewah dengan kueh dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga.

Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerena pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online.

Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas-nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar. Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan ‘bisnes’ mereka pada hari ini.

Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan ‘menjual pahala’ kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini.

Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya:

“Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.

Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i dan Malik tidak sampai” (m.s 458). Seterusnya beliau menyebut:

“Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana-mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain. Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil. Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara suka rela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah).

Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang diekspoitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.

Kerana Pulus

Lebih penting daripada itu, apa yang ditegaskan oleh insan yang tidak boleh dipertikaikan ucapannya, iaitu Rasulullah s.a.w:

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia”(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun, pulus punya pasal pahala pun orang sudah jual. Mungkin jika saudagar unta leher panjang Jamal Pak Tongkol dengar, dia akan kata: “jual pahala lebih untung daripada jual unta”.

Di samping di sana terdapat ramai sarjana, termasuk al-Imam al-Syafi’i sendiri yang menganggap bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati. Tokoh tafsir al-Quran yang agung, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika menafsirkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Najm, ayat 39 (maksudnya):

“Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”,

beliau menyebut:

“Maksudnya, seperti mana seseorang tidak menanggung dosa orang lain, demikian dia tidak mendapat pahala melainkan apa yang diusahakannya sendiri.”Dari ayat yang mulia ini al-Imam al-Syafi’i dan sesiapa yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana itu bukan amalan dan usaha mereka. Justeru itu, Rasulullah s.a.w tidak pernah menggalak, atau menyuruh atau menunjukkan umatnya kepada perkara tersebut samada secara nas yang jelas, atau isyarat.Tidak pernah diriwayatkan seorang pun dari kalangan sahabah r.ahum yang berbuat demikian. Jika itu sesuatu yang baik, tentu mereka telah pun mendahului kita melakukannya. Bab ibadah khusus hanya terbatas dalam lingkungan nas semata, tidak boleh diubah-ubah dengan berbagai kias dan pandangan. Adapun doa dan sedekah, maka itu disepakati sampai pahala keduanya kepada si mati kerana dinaskan oleh syarak”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/328, Beirut: Muassasah al-Rayyan).

Apa yang saya risaukan, perkara ini akan memberikan gambaran yang salah orang ramai termasuk bukan muslim kepada Islam. Mereka akan menganggap syurga itu boleh dijual beli berdasarkan kekayaan dan upah dari kroni-kroni yang masih hidup. Hilanglah kehebatan nilai perjuangan dan pengorbanan para pejuang Islam yang terkorban dan dikorbankan dalam memperolehi syurga, jika pahala ke syurga itu boleh dibayar atau ditempah.

Azan

Mesej saya adalah jangan ekspoitasikan Islam untuk keuntungan. Dalam banyak hal Islam itu menjadi kabur disebabkan oleh penganutnya sendiri. Kita memang marah jika ada orang Islam atau bukan Islam yang menentang laungan azan.

Azan adalah syiar kepada Islam dan masyarakatnya. Namun, bacaan-bacaan selain azan yang dipasang dengan kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar, tidak pernah disuruh oleh Islam. Bahkan jika ia dilaungkan seperti azan, kuat kedengaran di menara masjid, maka itu menyanggahi Islam. Ini termasuk bacaan al-Quran, selawat dan apa-apa zikir sekali pun.

Bacaan itu baik, tetapi bukan sampai mengeliru dan mengganggu orang lain. Saya pernah mendapat aduan seorang ibu yang tinggal berdekatan masjid bahawa bayinya yang kecil sering tidak dapat tidur disebabkan masjid berkenaan memasang bacaan-bacaan yang panjang dan berbagai sebelum waktu solat. Saya beritahu dia, itu bukan ajaran Islam.

Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah mengkritik hal ini, katanya:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan di antaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Di kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lebih buruk jika yang dikuatkan itu ceramah-ceramah yang bersifat ‘permusuhan’ lalu dipaksa orang tidak mahu hadir mendengar dari tempikan pembesar suara.

Sebab itu bagi saya, jika orang bukan Islam membantah azan, itu satu kebiadapan yang patut diambil tindakan. Namun, jika mereka membantah perkara-perkara lain yang disalahgunakan atas nama masjid dan Islam, kita patut semak terlebih dahulu sebelum bertindak. Jangan gunakan isu agama dalam perkara yang tidak benar.

Begitu juga parti-parti politik, jangan jadikan agama sebagai ‘penghalal’ kepada tindakan. Ramai orang politik yang bertindak terlebih dahulu, lalu cari dalil agama untuk menjustifikasikannya. Bukan cari dalil agama dulu, baru bertindak.

Maka agama dalam keadaan seperti ini sering menjadi mangsa. Bak kata Kata Dr. Salah al-Khalidi:

“Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran (menghayati al-Quran) yang luas dengan cara yang tidak betul… ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkannya, memaksa-maksa dalil dan nas serta memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya..” (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Mafatih li al-Ta`amul ma`a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar).

Bebaskan diri kita dari menyalahgunakan Islam!

Abdullah batalkan hasrat berundur - blogger Umno


Harakah (21/9/08): Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan hasratnya untuk meletak jawatan Oktober ini, kata blogger Umno, Amin Yatim.

Malah, menurut maklumat yang beliau terima, Abdullah akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno Disember ini.

Menurut Amin, walaupun selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) 18 September lalu Abdullah dikatakan akan meletak jawatan sebelum 9 Oktober, namun desakan menantunya Khairy Jamaluddin, Pegawai Khasnya Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Setiausaha Politiknya yang juga Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad menjadi punca perubahan ini.

Mereka meyakinkan Abdullah bahawa terdapat 100 bahagian akan menyokong pencalonan Abdullah sebagai Presiden Umno, kata blogger itu.

Isu perubahan kepimpinan bertiup kencang semula selepas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Menurut Amin, Bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan menemui dua orang pemimpin kanan Umno iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dr. Mohamad Khir, katanya, dikatakan memainkan peranan penting dalam percaturan belakang tabir yang menimbulkan kegemparan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khamis lalu.

Antaranya, katanya lagi, termasuklah menerbitkan satu catatan berjudul "Krisis Kepimpinan: Pisau dan Mentimun Di Tangan Kita." yang dikatakan menjadi pencetus "kepanasan" mesyuarat MT Khamis lalu.

"Menurut sumber Malaysia Airline System (MAS), Dr. Khir telah menukar tiket kapal terbang untuk mengerjakan umrahnya dari 18 September ke 19 September pada petang Isnin lalu.

"Pada pagi hari yang sama Dr. Mohamad Khir dilihat keluar dari pejabat salah seorang pemimpin tertinggi Umno," kata Amin dalam blognya itu

Dr. Mohamad Khir juga, katanhya, dikatakan menemui Dr. Mahathir sebanyak dua kali sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, kata Amin, beliau difahamkan bahawa Dr. Mohamad Khir tidak sempat bercakap dalam mesyuarat MT tersebut kerana Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun "memotong sesi menghentam" Abdullah yang dimulakan oleh Ahli MT yang juga Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal diikuti oleh Naib Presiden parti itu yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Menurut Amin, Abdullah dikatakan memberitahu Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mesyuarat tersebut bahawa beliau akan melepaskan jawatannya dalam jangka masa yang terdekat.

"Namun mesyuarat bersama para pegawai dan menantunya semalam telah mengubah senario. Pak Lah dilaporkan telah diminta terus mempertahankan jawatannya. Desakan paling kuat dikatakan datang dari Khairy, Md Alwi dan Ahmad Zaki," kata blogger Umno itu.

Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikatakan cuba mendapat sokongan Badan Perhubungan Umno Selangor kepada Abdullah yang bermesyuarat pagi Jumaat lalu, katanya.

Namun, katanya lagi, 19 daripada 22 Umno bahagian di Selangor telah memutuskan untuk mencalonkan calon lain bagi jawatan Presiden Umno.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalammengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin-pemimpin Umno Perak dari peringkat bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Bangunan Ibu pejabat Umno Perak di Ipoh.

Abdullah yang tiba kira-kira pukul 6.30 petang, disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta pemimpin Umno negeri yang lain.

Selepas pertemuan itu, Abdullah yang juga Presiden Umno berbuka puasa bersama pemimpin Umno negeri sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Abdullah kemudiannya berlepas pulang ke ibu negara.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17058&Itemid=1

Tuesday, September 16, 2008

Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela ajaran Islam


Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.

Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.

“Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.

“Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.

“Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya,” kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.

Kata Dr Asri lagi, “Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia.”

Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.

“Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

“Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam,” kata Dr Asri lagi.

Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.

“Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?,” jelas beliau.

Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.

“Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.

“Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja,” jelasnya.

Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.

“Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.

“Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?,” soal Dr Asri.

Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya.

“Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?,” kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.

Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.

“Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.

Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.

“Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar,” kata beliau.

Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.

Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.

“Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain,” kata Dr Asri.

sumber: Mstar Online
http://drmaza.com/home/?p=426

Saturday, September 13, 2008

Debat Tudung Muslimah: Bidasan Terhadap Raja Petra Malaysiatoday



(Artikel asal saya tulis di dalam bahasa inggeris, sila rujuk rujuk ruangan english, ini adlah versi terjemahan yang diusahakan oleh Pak Usu, namun begitu saya telah mengubah suai dan menambah beberapa perkara lagi agar lebih mudah difahami)



Tulisan ini adalah hujah balas kepada Raja Petra Kamaruddin dan rakan seangkatan dengannya (anti hadis dan Islam Liberal) berkenaan aurat wanita Muslim di dalam blog popularnya (Malaysia Today). Sumber

RAKAN RAJA PETRA MENULIS:

Di dalam artikel tersebut ada ayat yg mengatakan: "Nampaknya, tudung hanyalah di "kurniakan" kepada isteri-isteri Nabi dan bukan ke atas semua wanita..." Jadi saya telah melihat ke dalam Al-Quran dan menjumpai beberapa benda.

1) "Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)

Komen: Pertamanya, lihat maksud ayat "supaya mereka boleh dikenali dan tidak diganggu". Ini bermakna sekurang-kurangnya, bahagian muka mesti boleh dilihat. Adalah menjadi kesalahan utk mengatakan kaum perempuan lain di masa itu (bukan Arab, Yahudi, Kristian) tidak memakai tudung. Sebenarnya, kaum perempuan Yahudi dan Kristian memakai tudung yg lebih konservatif drpd wanita-wanita Muslim.

Menutup badan juga adalah kemestian bagi kaum lelaki dan wanita yg tinggal di padang pasir. Ia tidak ada kaitan dgn mana-mana agama. Jadi apabila ayat tersebut menyatakan "supaya mereka boleh dikenali" ia sebenarnya bermaksud kaum wanita tidak perlu menutup muka atau kepala mereka sehingga tidak boleh dibezakan mereka dgn kaum perempuan Kristian dan Yahudi yg juga memakai tudung. Ini bermakna, tidak ada langsung perkara memakai tudung untuk menutup kepala dan muka.

Terjemahan Surah Al-Ahzab ayat ke 59 secara umum:

Ya ayyuhan nabi : Wahai Nabi

qul li-azwajika wabanaatika : beritahulah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu

wa nisaa i mu'mineena : dan wanita-wanita yang beriman

yudneena : untuk memanjangkan

Alayhinna : ke atasnya

min jalabeebihinna : daripada pakaian/tudung.

KOMEN UZAR

Malangnya, anda telah tersalah-tafsir ayat di atas dan memahaminya di luar konteks sebenar, saya kira ia adalah kerana anda tidak meneliti seluruh struktur ayat tersebut.

Realitinya, sebagai hamba Allah SWT dan pengikut Rasulullah SAW, kita diajar untuk selalu kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith untuk mendapatkan kepastian terhadap hukum sesuatu perkara. Berkenaan topik ini, Allah SWT Berfirman:-


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)

Ulama telah bersepakat bahaya setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad S.A.W juga adalah ditujukan kepada setiap Muslim melainkan jika berlainan disampaikan oleh Baginda S.A.W melalui Hadith atau ayat-ayat Quran yang lain. Contohnya: Nabi mempunyai lebih dari 4 orang isteri dalam satu-satu masa, ianya dipanggil "Khususiyat Anbiya" yang tidak dibenarkan untuk diikut oleh umat Muhammad kerana atas ketentuan khusus oleh Allah SWT untuk Nabi beserta dengan sebab-sebab yang lain.

TIDAK TERHAD KEPADA ISTERI NABI SAHAJA


Dari itu, dalam perkara ini, menutup aurat termasuklah kepala, rambut, leher dan dada adalah satu perintah yang bukan hanya terhad kepada isteri-isteri Nabi, tetapi juga kepada seluruh kaum wanita Muslim. Ianya bukanlah hanya budaya bangsa Arab yang tinggal di padang pasir yang berdebu, tetapi adalah suatu perintah agama yang khusus. Malah kita dapat melihat bagaimana Allah swt mengarahkan Nabi untuk menyampaikan arahan menutup aurat ini kepada seluruh wanita yang beriman sebagaimana firman Allah :-

وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ

Yang bermaksud: "Wanita-wanita yang beriman"

Oleh itu sesiapa sahaja yang mengaku Muslim lagi mukmin, wajiblah mereka tunduk dan patuh serta mentaati perintah Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat tadi.

Definisi jilbab yang disebut di dalam ayat tadi adalah pakaian yang dipakai oleh kaum wanita (sama seperti baju kurung) untuk menutup badan mereka. Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi menerangkan bahawa di zaman Jahiliyah, apabila segelintir wanita keluar dari rumah, mereka gemar menunjuk-nunjuk sebahagian kecantikan mereka seperti dada, leher dan rambut sehingga mereka diganggu oleh lelaki-lelaki yang gemar melakukan zina.

Kemudian, ayat di atas diturunkan memerintahkan wanita-wanita Muslim untuk memanjangkan (beerti dari bahagian atas ke bahagian dada dan bukannya hanya di bahagian dada sahaja) jilbab mereka supaya menutup bahagian-bahagian badan yang boleh mendatangkan fitnah. Dengan cara ini, mereka akan dikenali sebagai wanita suci, mulia dan bersih (‘afifah) dan menepati ciri wanita Muslim sebenar. Jadi, dengan demikian mereka akan dikenali sebagai bukan kumpulan wanita murahan yang boleh dipermain dan diganggu maruahnya.






Ayat di atas menunjukkan bahawa menutup aurat itu adalah lambang atau tanda seorang Muslim. Allah SWT juga Berfirman:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

"Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati." (Al-Haj : 32)

Oleh itu, sebab utama (‘illah) untuk perintah di atas adalah untuk mencegah wanita-wanita Muslim daripada diganggu lelaki-lelaki jahat. Pakaian-pakaian yang mendedahkan kecantikan wanita atau cara jalan atau percakapan yang menggoda sudah tentu akan menaikkan nafsu syahwat kaum lelaki. Kelakuan begini akan mengundang kaum lelaki untuk berfikiran jahat dan mencabul. (Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit olahan)

WANITA YAHUDI DAN KRISTIAN BERTUDUNG, MAKA MUSLIMAH PERLU BUKA TUDUNG ?


Adalah SALAH juga untuk mendakwa bahawa kononnya erti dari ayat iaitu "supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, " membawa erti bahawa bahagian kepala, rambut dan muka mesti didedahkan bagi memperbezakan antara wanita Islam dan wanita kristian dan Yahudi yang juga kononnya bertudung (sebagaimana dakwa rakan Raja Petra dan dipersetujuinya).

Saya mengatakannya salah adalah kerana sebab berikut :-

Pertama: Adakah logik untuk mengatakan kita hanya boleh mengenali seseorang wanita dengan melihat wajahnya dan rambutnya? Sudah tentu tidak, kita boleh mengenali mereka dengan pelbagai cara, sama ada dengan mendengar suaranya atau perkara-perkara lain selain dari wajahnya.

Kedua: Sebenarnya kebanyakan wanita-wanita Jahiliyah TIDAK BERGAMA KRISTIAN MAHUPUN YAHUDI, mereka tidak memakai tudung sama sekali dan sebahagian mereka memakai tudung berpandu kepada hawa nafsu dan kesukaan mereka, ini menjadikan tudung mereka sama sekali tidak menyerupai tudung wanita Islam. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3/285).

WANITA JAHILIYYAH TIDAK BERTUDUNG!

Perihal keadaan wanita Jahilyyah disebut sifat mereka di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Aby Hurairah dimana Rasulullah SAW bersada:

"Dua golongan penghuni neraka yang tidak aku nampak: (1) manusia yang mengibaskan tali cemeti seperti ekor kerbau pada mereka dan mereka akan memukul manusia yang lain (pemerintah yang zalim); (2) perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang condong (pada kejahatan) dan menarik orang lain condong kepadanya. Kepala mereka akan jadi seperti bonggol unta ‘bukhtun' yang condong kepada suatu arah. Mereka tidak akan masuk Syurga dan mereka tidak akan cium bau Syurga sedangkan bau Syurga itu boleh dihidu daripada jarak-jarak yang tertentu" (Riwayat Muslim, Sohih).

Wanita-wanita JAHILIYAH dikatakan memakai pakaian tetapi masih berbogel kerana mereka memakai baju tetapi tidak menutup aurat kerana baju tersebut adalah nipis (boleh ditembusi pandangan) dan mendedahkan tubuh mereka; seperti banyaknya pakaian wanita hari ini. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qardawi)

‘Bukhtun' di dalam hadith di atas adalah sejenis unta yang mempunyai bonggol yang besar. Rambut wanita menyerupai bonggol unta tersebut apabila diikat dan disanggul di atas kepala.

Semua sabdaan Nabi ini membuktikan perempuan-perempuan Jahiliyah tidak menutup kepala dan rambut mereka. Manakala wanita Kristian dan Yahudi yang didakwa memakai tudung seperti tudung Islam oleh rakan Raja Petra itu, saya kira adalah lebih dibawakan bukti dari kitab Injil atau Taurat.

Selain itu, apakah yang membuatkan anda terlalu pasti bahawa bertudung pakaian sebenar perempuan Kristian di Makkah dan Madinah di waktu itu? Golongan Yahudi pula terlalu sedikit di Madinah untuk diambil kira dan kita juga tidak tahu secara sohih jenis tudung mereka.

Ada segolongan manusia yang cuba menyokong idea mereka dengan membawakan gambar-gambar ‘tudung' Yahudi dan Kristian, yang diambil dari wikipedia dan sumber-sumber yang lain.

Saya katakan, tunjukkanlah pada kami ayat di dalam Injil dan Taurat yang mendefinasikan ‘tudung' Kristian dan Yahudi, yang tanpanya, gambar-gambar yang anda bawakan adalah tidak mencukupi sama sekali, sia-sia dan tidak boleh dirujuk langsung. Sekali lagi, tunjukkan ayat-ayat Injil dan Taurah yang sebenar.

Sekalipun jika anda mampu membawakan perintah-perintah menutup kepala bagi wanita Kritsian dan Yahudi di dalam kitab Injil dan Taurat ( yang hakikatnya sudah dipesong habis oleh paderi sejak zaman Nabi lagi), tidak kiralah apa jenis tudung mereka sekalipun, wanita-wanita Muslim tetap mempunyai tugas untuk dilaksanakan, iaitu memakai tudung mengikut satu garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.

Selain itu, jika benar pun ‘tudung' bagi wanita Kristian dan Yahudi adalah seperti tudung wanita Muslim, maka apakah masalahnya jika sama dalam perkara yang baik dan suci? Smaa seperti Islam mendokong keadilan dan demikian juga agama lain.

Kita mesti fahami dan menyedari bahawa agama asal An-Nasara dan Al-Yahudi (sebelum diubah sepertimana sekarang ini) adalah juga agama samawi iaitu suatu ajaran yang diturun oleh Allah melalui Nabi Isa dan Nabi Musa a.s kepada kaum mereka ahli Kitab. Oleh itu, persamaan dalam beberapa aspek adalah normal dan boleh diterima.

KRISTIAN HANYA BERTUDUNG TATKALA SEMBAHYANG

Walaubagaimanapun, realitinya, tunjukkan berapa ramai Kristian dan Yahudi yang memakai ‘tudung' secara terbuka? Anda patut sedar bahawa sifat tudung kristian adalah Berebza DIMANA MEREKA HANYA UNTUK menutup kepalanya hanya setiap kali mereka ingin bersembahyang, sama ada di gereja atau di rumah. Ini bermakna jika dia tidak bersembahyang di rumah, kepalanya akan terdedah di kalangan tetamu lelaki yang tidak ada kaitan keluarga dengannya; atau jika dia bersembahyang di rumah, kepalanya ditutup walau kepada suaminya dan keluarganya sendiri.

Kesimpulannya, jika perempuan Kristian hanya memakai ‘tudung' semasa bersembahyang, maka tiada persamaan yang perlu diambil kira sebagaimana dakwaan rakan Raja Petra. Malah perkataan "untuk dikenali" di dalam ayat tadi juga sebeanrnya telah disalahtafsirkan oleh Raja Petra dan rakan-rakannya.

RAKAN RAJA PETRA MENULIS :

2) "Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasaannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhias yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." Surah An-Nur (24), ayat 31.

Raja Petra Comment : Sekali lagi tiada disebut langsung pasal kepala (ru'usa) di dalam ayat ini atau muka (wujuh/wajh). Sila perhatikan perkataan ‘menarik pakaian luarannya ke atas dada mereka'. Terjemahan bahasa Arabnya adalah seperti berikut:

walyadribna : dan tutuplah

bi khumurihinna : dengan pakaian luarannya

Ala : ke atas

juyoobihinna : dada mereka

Wanita diperintahkan untuk menutup dada mereka. Itu sahaja. Ini sama dengan petikan Surah Al-Ahzab ayat 59 di atas di mana kaum wanita diperintahkan untuk melabuhkan pakaian mereka. Tiada langsung disebut kepala (ru'usa), muka (wujuh) atau rambut.

KOMEN UZAR UNTUK NOMBOR 1 & 2 :

Allah Yang Maha Perkasa telah Berfirman:-

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ


Maksudnya: Dan katakan pada wanita-wanita beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.."

Saudara Raja Pete atau rakan anda, mengapakah kamu atau dia hanya bertumpu sekitar beberapa perkataan di dalam ayat tersebut dan tidak memberikan perhatian kepada yang lainnya.?

FAHAMI ERTI 'KHUMUR'

Raja Petra dan rakannya telah menafsirkan ‘Al-Khumur' secara tidak tepat, ini berpunca dari kaedah terjemahan dan kefahaman yang dibuat secara harfiah (perkataan demi perkataan) , kaedah terjemahan dan pemahaman sedemikian tidak akan dapat membantu anda memahami perkataan tersebut dengan betul.

Jika anda mampu memahami perkataan "al-Khumur' dengan sebenar, ia akan memberikan anda jawapan kepada soalan yang anda sendiri reka dan menjawab andaian-andaian salah yang anda cipta iaitu apabila anda berkata : "Tiada LANGSUNG disebut tentang kepala atau rambut".

Maksud sebenar khumur (tudung) adalah apa sahaja yang digunakan untuk menutup kepala. Manakala ‘juyub' (kata ganda bagi jaibun) adalah bentuk dada yang tidak ditutup dengan kain. Oleh itu, setiap wanita mestilah menutup tidak hanya kepala mereka tetapi juga dada termasuklah leher, telinga dan segala bahagian badan yang boleh membuatkan kaum lelaki menjadi tertarik.

Untuk memahami teks Quran dengan betul, seseorang mestilah menyelami dan mencari penggunaan istilah secara tepat di dalam bahasa Arab. Dia juga harus tahu bagaimana cara istilah atau perkataan itu digunakan di dalam masyarakat Arab kerana Quran diturunkan didalam bahasa Arab kepada masyarakat Arab di waktu itu.


Displinnya adalah mudah sahaja dan ia terpakai untuk semua jenis bahasa di tempat masing-masing. Sebagai contoh jika anda berada di United Kingdom, apabila orang tempatan berkata "It cost the earth" maka secara semulajadi akan difahami ertinya iaitu 'terlalu mahal dan apabila disebut "I hit the roof" beerti sudah marah. Perkataan ‘Motorway' beerti highway dan lain-lain. Tentunya, mereka yang biasa sahaja akan dapat memahami dengan tepat.

Demikian juga penggunaan perkataan tertentu untuk maksud tertentu yang sudah amat difahami oleh orang setempat seperti perkataan ‘rumah' yang termasuk dalam takrifannya adalah tanahnya, dapur dan tandasnya.

Sama juga halnya dengan bahasa daerah di Malaysia, seperti 'nate' bermaskud binatang dan penghinaan dan lain-lain.


Sama seperti kes dalam ayat ini, apabila Allah menggunakan kalimah "khumur", ia sudah difahami oleh Nabi dan para sahabat setempat ia bermaskud kain yang menutupi kepala. Ia dijelaskan sendiri oleh pakar tafsir di kalangan sahabat iaitu Ibn Abbas r.a.

Justeru, ia sebenarnya tidak termasuk dalam kes takwil perkataan tertentu dalam ayat dan sepertinya. Malah ia termasuk dalam ilmu Usul Fiqh dalam perbincangan Ibaratun Nas, Dalalah an-Nas, Isyaratun Nas dan lain-lain. Sebab itulah ilmu Usul Fiqh wajib dikuasai bagi mereka yang ingin pergi dalam dalam memahami Al-Quran. Tanpanya, anda perlu merujuk ulama yang pakar sama ada dari tafsir-tafsir ulama silam, kontemporari dan sebagainya.


Dari itu, adalah baik untuk mendapat pengetahuan tentang cara hidup masyarakat Arab yang silam (terutamanya pada masa Nabi S.A.W) sebelum seseorang boleh memahami maksud sebenar sesuatu ayat. Bagi memenuhi kehendak ini, merujuk kepada buku-buku tafseer daripada Imam-Imam Tafseer adalah amat penting bagi mengelakkan diri kita dari tersalah-tafsir dan tersalah faham.


Malah sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami Islam dengan serius mereka disarankan untuk menziarahi negara-negara Arab untuk merasakan suasana dan membiasakan diri dengan penggunaan perkataan-perkataan tertentu dalam perbualan masyarakat Arab dewasa ini. Ini sudah tentu dapat membantu lagi dalam memahami bahasa Arab di dalam Quran.

Bila Allah SWT menyebut "Khumurihinna", apa yang mesti kita fahami pertamanya,

Apakah yang dimaksudkan dengan "khumur"?.

Jawapannya ialah tudung yang menutupi kepala, rambut, telinga dan sebagainya. Apabila seseorang menyebut "khumur" di depan seseorang lain yang arif tentang bahasa Arab, apakah yang dia akan faham? Sudah tentulah, tudung juga. Fakta ini telah banyak dibahaskan oleh Ulama Islam yang hebat seperti Imam At-Tabarii (wafat 301Hijriah) di dalam tafseernya yang terkenal, Jami al-Bayan dan juga Imam Ibn Katheer (Tafseer At-Tabari, 18/120; Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 3/285)

SATU LAGI DALIL PERLU BERTUDUNG SEMPURNA

Selain dari khumur iaitu kain tudung yang menutup kepala wanita, dan juyub yang menutup leher dan dada kaum wanita, ayat tersebut juga menekankan satu lagi aspek yang secara putus termasuk rambut, kepala dan leher iaitu firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ


Maksud: "dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.."

Adakah anda faham apakah yang dimaksudkan dengan "perhiasannya" di dalam ayat ini?

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi, perhiasan yang dimaksudkan di atas merujuk kepada apa sahaja yang dipakai untuk mencantikkan diri seseorang; sama ada yang diKurniakan Allah seperti wajah, rambut dan bentuk tubuh; atau kecantikan yang dibuat manusia seperti baju, barang kemas, make-up dan lain-lain.

Di dalam ayat di atas, Allah Memerintahkan wanita untuk menyembunyikan perhiasan diri mereka tanpa pengecualian. Walaubagaimanapun, pengecualian hanyalah pada "yang (biasa) nampak daripadanya". Para Ulama mempunyai perselisihan pendapat tentang apakah maksudnya dan batas-batas "perhiasan, kecuali yang (biasa) nampak" tetapi kesemuanya bersetuju bahawa tiada pengecualian untuk rambut dan kepala.

Ini adalah berdasarkan hadith berikut:-

Saidatina Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa saudara perempuannya Asma' binti Abu Bakar masuk ke rumah Nabi S.A.W memakai pakaian yang nipis dan jarang sehinggakan menampakkan bentuk tubuhnya. Nabi S.A.W lalu memalingkan muka Baginda daripada Asma' dan berkata:

"Wahai Asma'! Sesungguhnya apabila seseorang wanita telah mencapai umur baligh, dia tidak boleh mendedahkan badannya kecuali ini dan ini - sambil menunjukkan muka dan kedua tapak tangan (kedua-dua tangan)." (Riwayat Abu Daud)

Walaupun ada perbincangan tentang perawi hadith ini, ianya dikuatkan dengan banyak lagi hadith yang membenarkan mendedahkan muka dan tangan jika ianya tidak membawa mudharat (fitnah). (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

Hadith ini juga menyokong pendapat bahawa kepala dan rambut wanita adalah ‘aurat dan mesti ditutup oleh wanita Muslim, kecuali muka dan tapak tangan atau tangan yang boleh dilihat oleh masyarakat umum.

Memang benar, terdapat perbincangan tentang apakah yang dimaksudkan dengan "perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya" iaitu bahagian yang dibolehkan terdedah sebagaimana yang dinyatakan di dalam AL-Quran tadi. Namun, sepakat ulama 4 mazhab dan Ijma' ia BUKANLAH rambut, leher, telinga dan kepala.

Ibnu Abbas R.A., salah seorang sahabat terulung Nabi S.A.W. menafsirkan "perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya" adalah celak mata dan cincin. Anas Bin Malik R.A juga sependapat dengan beliau.

Oleh itu, bahagian badan yang mempunyai celak mata dan di mana cincin dipakai (iaitu muka dan tangan) adalah dikira sebagai "yang (biasa) nampak". Ini juga merupakan pendapat Tabi'in seperti Said bin Jubair, ‘Atha', Auza'i dan lain-lain.

Bagaimanapun, Ummul Mukminin Aisyah R.A., Qatadah dan beberapa yang lain berpendapat gelang sebagai "yang (biasa) nampak". Oleh itu, pergelangan tangan (di mana gelang dipakai) juga dikira sebagai "yang (biasa) nampak" jika ianya tidak menimbulkan fitnah. Berkenaan batas pergelangan tangan ke siku, ianya masih dibincangkan di kalangan Ulama; dari itu adalah lebih baik untuk menutupi bahagian antara pergelangan tangan dan siku.

RAKAN RAJA PETRA menyatakan:

3) Untuk menterjemah Quran, kita perlu pergi kepada ahlinya. Dalam keadaan apa ayat itu diturunkan, dll. Tapi bukan semua Ulama tahu perkara ini.

Komen: Kita TIDAK menterjemah Quran. Boleh saya cadangkan suatu yang lebih mudah? Kenapa tidak hanya membacanya? Jika kita baca Quran dalam bahasa Arab dan kemudian melihat terjemahannya baik-baik, kita akan dapat memahaminya. Anda TAK PERLU TAHU bahasa Arab pun. Contohnya, perkataan arab untuk KEPALA, tidak pernah disebut di dalam mana-mana ayat di atas. Begitu juga dengan muka dan rambut. Jadi bagaimana penterjemah memasukkan kepala, muka dan rambut? Seseorang mesti terangkan perkara ini.

KOMEN UZAR

Saya telah menjawab kenyataan salah ini dan tidak perlu lagi disentuh perkara ini.

Apakah anda fikir Allah hanya akan menggunakan ru'asa untuk memberi erti kepala dan sya'run kepada rambut? Anda benar-benar keliru Encik Raja Pete dan rakan. Apabila Allah SWT melarang kita walau berkata ‘Ah' kepada kedua orang tua kita sebagaimana yag disebut di dalam surah Luqman. Jadi adakah boleh kita menyebut ‘Uh' dan bodoh dan sebagainya kepada kedua orang tua kita hanya kerana ianya tidak disebut dalam Quran dengan jelas?

Sebenarnya, apabila Allah melarang perkataan ‘Ah' kepada ibubapa, ini beerti Allah swt juga melarang segala macam ucapan yang mempunyai kesan buruk yang sama, malah bukan hanya perkataan-perkataan keji sahaja, tetapi juga perangai dan kelakuan yang tidak baik terhadap kedua ibubapa. Di dalam ilmu Usul Fiqh ia dipanggil Qiyas al-Awla atau boleh juga dikategorikan sebagai ‘umum al-lafz' yang membawa semua perkataan di bawah maksud yang sama.

Jadi, kepala dan rambut wanita termasuk di dalam perkataan "al-khumur" di dalam ayat tersebut. Semudah itu.

Tentang bahagian akhir artikel Raja Petra, sebahagian hadith telah disalah rujuk jadi saya tidak perlu memberi respon padanya.

MITOS 'DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER'

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.

"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.

"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.

Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"

Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"

Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?

Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.

Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.

Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار

Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.

Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW

من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً

Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.

Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?

Terima kasih atas masa anda.

www.zaharuddin.net
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=755&Itemid=72

Tuesday, September 9, 2008

16 September : Antara mimpi dan berpijak di bumi nyata

Ramai di kalangan pemimpin senior PAS dikatakan mempunyai pandangan seperti ini.Namun ikut ceritanya kebanyakan mereka malas nak cakap secara terbuka kerana tidak mahu wujud suasana tidak selesa dengan rakan-rakan ahli PKR.

Lagipun dalam PAS sendiri ada golongan pimpinan muda dikenali oleh orang PAS sendiri sebagai Erdogan yang taksub habis dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga boleh telan bulat-bulat segala dendangannya mengenai kerajaan 16 September.

Sumber yang rapat dengan pimpinan PAS memberitahu Agendadaily hanya mereka yang mengikuti dari dekat setiap kenyataan dan riak kalangan pemimpin parti itu saja dapat merasainya.

“Tengok sudah kenyataan-kenyataan Datuk Seri Haji Hadi Awang.Beliau tidak pernah memberi sebarang komitmen kepada kerajaan 16 September yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau sebaliknya hanya menekankan perlunya sebuah kerajaan yang berteraskan Islam.

“Tak payah pergi jauh.Kita pun tahu elemen ketuanan Melayu apa lagi elemen Islam tidak mungkin akan wujud jika betul sekalipun kerajaan 16 September menjadi realiti.



“Golongan muda-muda macam Datuk Husam Musa dan gengnya memanglah riak tak tentu pasal pada kerajaan impian Anwar tu tetapi mereka yang senior tahu dan cukup sedar apa yang bakal negara ini hadapi kelak,” kata sumber itu.

Menurutya mungkin apa yang dicakap oleh Pengarah Pilihan Raya PAS , Datuk Mustafa Ali sendiri boleh dijadikan kayu pengukur mengenai sentimen golongan pimpinan senior PAS tentang hal ini.



Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu secara terbuka berkata baginya 16 September hanya sebuah gimik semata dan tidak yakin akan berlaku pertukaran kerajaan pada tarikh tersebut seperti mana yang digembar gemburkan.



"Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh," katanya berkali-kali dalam forum khas "16 September" anjuran sebuah tv internet di ibu Kota Kuala Lumpur.

Menurut laporan yang dipetik oleh laman KL Pos .com itu Mustapha yang bercakap berdasarkan pengalaman dan atas kapisiti peribadinya memberi dua sebab untuk menolak 16 September tidak berlaku apa-apa perubahan.

Pertama katanya dari segi teknikal. Ini jelas kerana katanya pada tarikh berkenaan Parlimen tidak bersidang jadi bagaimana perubahan (menjatuhkan) kerajaan berlaku kerana tidak ada persidangan pada hari itu.

"Sesuatu undi tidak percaya ataupun 'peralihan kerajaan' akan dilakukan menerusi Parlimen saja. Jadi kalau Parlimen tidak bersidang bagaimana akan berlaku undi tidak percaya?" soal beliau.



Tambahnya, hanya Parlimen saja boleh melakukan apa-apa perubahan termasuk untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Beliau memberi hujah itu kerana mengulas ada teori mengatakan kerajaan hari ini akan jatuh dengan mudah apabila sudah ada 122 orang ahli Parlimen yang menandatangani menyatakan tidak percaya kepada Abdullah sebaliknya menyokong bekas TPM (Anwar), ketika itu juga Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Anwar menjadi PM tanpa perlu mandat Parlimen.

Menurutnya pandangan dan teori berkenaan tidak betul kerana apa-apa tindakan termasuk undi tidak percaya akan dilakukan di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong akan menerima keputusan Parlimen dulu sebelum memberi perkenaan melantik sesiapa untuk menjadi PM setelah ianya dipersetujui oleh ahli Parlimen.

Kedua dari segi politik. Menurutnya dari segi politik juga tidak logik kalau ada ahli Parlimen BN berhijrah kepada Pakatan semata-mata kerana hendak menyokong Anwar.



"Adalah ganjil dan sukar untuk dipercayai ahli Parlimen akan bersedia untuk berhijrah dari tempat (komponen) yang sudah ada kuasa kepada Pakatan yang belum ada kuasa," katanya.

Misalnya begitu juga adalah mustahil ahli Parlimen MCA untuk meninggalkan BN kerana merekalah yang asaskan komponen itu bersama Umno, apa lagi Pakatan Rakyat itu sendiri satu Pakatan yang longgar.

Justeru katanya beliau menyifatkan apa yang berlaku kini tidak lebih daripada gimik politik saja yang sengaja dikejutkan dengan tujuan tertentu oleh orang-orang tertentu termasuk mereka yang bersekongkol dengan Anwar.

Dari segi moral dan intergriti juga, penghijrahan itu seperti mana yang disebut itu tidak akan berlaku kerana ia melibatkan soal moral dan intergriti.



Kerajaan yang ditubuhkan atas penghijrahan dan tawaran kebendaan akan dilihat sebagai tidak bermoral dan ini sesuatu yang tentunya akan dititik beratkan.

Dalam konteks ini katanya bagi PAS ia sangat bertentangan parti itu yang menekankan soal moral dan akhlak.



Bagi PAS katanya, tindakan politik demikian sesuatu yang bertentangan dengan nilai perjuangan PAS dan ia tidak akan dilakukan oleh mereka yang sudah lama dan menghayati perjuangan PAS.



"Tidak tahulah kalau mereka yang baru dalam PAS bersedia untuk sama-sama berbuat demikian!"

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu bagaimana mengakui masa kini adalah waktu terbaik untuk pembangkang menguatkan usaha untuk menjatuhkan BN kerana berbagai kelemahan dan kepincangan BN serta penolakan rakyat kepada mereka seperti mana pilihan raya lalu sangat jelas.

Pun begitu bagi Mustafa beliau merasakan sesuai dan lebih gentleman kalau penggulingan BN itu dilakukan menerusi saluran demokratik seperti pilihan raya akan datang.



"Bermula dari sekarang sepatutnya pembangkang membuat persiapan untuk menumbangkan BN menerusi pilihan raya dan bukannnya dengan mengharapkan berlaku lompat parti dan cara-cara yang tidak demokratik dan tidak bermoral untuk mengambil alih kerajaan", ujarnya.

Dalam pada itu Mustafa juga menegaskan hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat masih seperti dulu dan tidak timbul soal PAS ingin meninggalkan Pakatan apa lagi untuk bergabung dengan UMNO.



Selasa Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan sebagai berkata hasrat pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini hanya gimik politik dan perang saraf semata-mata.



Malah beliau menyifatkan usaha untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat itu hanya berasaskan impian kosong pemimpin pakatan yang tidak akan menjadi kenyataan.

Ibrahim merupakan Ahli Parlimen bebas di parlimen sekalipun beliau bertanding dalam pilihanraya 8 Mac lalu atas tiket PAS.



Bagaimanapun, katanya, jika perubahan kerajaan benar-benar berlaku pada tarikh tersebut, ia sebenarnya satu detik kemusnahan Islam dan Melayu di negara ini.



"Sekarang BN mempunyai 140 kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen Islam seramai 89 orang dan bukan Islam 51 orang. Pakatan Rakyat (PR) pula mempunyai 82 kerusi dengan 43 Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam 39 orang.



"Katakanlah 30 Ahli Parlimen BN melompat dan kesemua bukan Islam, maka kerusi Ahli Parlimen Islam PR masih sama tetapi jumlah bukan Islam akan meningkat kepada 69 orang."Jika inilah yang dikatakan kerajaan PR yang dikehendaki, maka dia akan memusnahkan Islam dan Melayu, apa pun ia hanya impian kosong pakatan pembangkang ini," katanya.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini.



Menurutnya ketidakstabilan jumlah Ahli Parlimen beragama Islam dalam kerajaan akan menyebabkan hak keistimewaan seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan akan terhakis.



"Berdasarkan jumlah ini, mereka akan mendesak supaya hak sama rata di antara semua kaum biarpun dalam Perlembagaan dengan jelas menyatakan hak keistimewaan Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu tidak boleh diusik.



"Perkara ini pasti akan berlaku kerana pada masa sekarang di saat kerajaan BN lemah mereka telah mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak munasabah," katanya.- 9/8/2009
sumber-agendadaily.com

Ketika Anwar Menteri Kewangan, Bank Negara rugi, Siapa pula kaki judi ?

















Ahmad Lutfi Othman

Nota : Rencana ini ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman dalam bukunya "PAS zaman Anwar : Memo untuk bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993. Sekarang beliau Ketua Pengarang Harakah. Rencana asal bertajuk " Kerugian Bank Negara : Siapa pula kaki judi ?"

Sebaik sahaja mengetahui Bank Negara mengalami kerugian RM 9,300 juta akibat urusniaga pertukaran asing, pada pertengahan April 1993, saya, ketika itu sebagai Pengarang Kumpulan Harakah bergegas meminta wartawan kanan, Rashidi Hassan menghubungi Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah bagi mendapatkan komen lanjut. Bagi saya kerugian begitu besar tidak boleh didiamkan. Rakyat perlu mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. Dan tentunya sebagai bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh boleh memberi penjelasan dalam masalah yang agak sukar difahami oleh rakyat biasa.

Sebenarnya pihak media tempatan tidak langsung menyentuh kerugian ini selama hampir dua minggu selepas Laporan Bank Negara dikeluarkan. Hanya selepas media asing melaporkannya maka barulah terdapat berita mengenainya di akhbar tempatan. Itupun sekadar memaklumkan dan tidak menjelaskan kenapa berlaku peristiwa yang sungguh merugikan rakyat itu. Difahamkan akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris diarahkan supaya mengecilkan perkara ini. Terlalu banyak pekung yang hendak ditutup akhirnya bau busuk dapat dihidu di segenap ceruk.

Seperti biasa Rashidi akan menghubungi terus Ketua Penerangan S46, Ahmad Shabery Cheek, yang sentiasa berada di rumah Tengku Razaleigh.

“Beritahu Shabery kenyataan Ku Li itu kita akan jadikan lead Harakah”, pesan saya secara bergurau kepada Rashidi.

Namun begitu, setelah menyemak sepintas lalu berita-berita yang ada untuk keluaran Isnin, 19 April 1993, tidak ada berita yang sesuai. Berita dari Kelantan agak menarik, tentang kenyataan Tuan Guru Menteri Besar yang menyifatkan usaha UMNO menurunkan Sultan Ismail Petra dari takhta Kesultanan Kelantan dan digantikan dengan Tengku Ibrahim Petra adalah satu rancangan untuk menzahirkan raja politik di negara ini. Bagi muka belakang, saya pilih analisis perkembangan terbaru UMNO, kemungkinan Ghafar Baba tarik diri dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO, dengan memberi laluan kepada Musa Hitam.

“Lutfi.....Shabery kata, okey. Dia sedang bincang dengan Ku Li dan akan faxkan ke sini pada sebelah petang nanti. Muka depannya?” Rashidi nampaknya gembira.

Saya sendiri gembira bila mendapat tahu Tengku Razaleigh sudi memberikan komen. Peranan Harakah menjadi lebih penting dalam mengetengahkan isu ini kerana semua akhbar utama menggelapkannya, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Jumlah RM9,300 juta bukan nilai yang boleh dipandang ringan!

Tengku Razaleigh, melalui kenyataannya kepada Harakah, berkata kerugian yang ditanggung oleh kerajaan adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kerugian terkumpul yang melibatkan skandal BMF, Manimco dan koperasi pengambil deposit : “Bahkan jumlah RM9.3 bilion itu hampir sama dengan seluruh anggaran perbelanjaan pembangunan negara bagi tahun 1993. malah negara tidak pernah menanggung kerugian sebanyak itu.”

“Kalau di negara-negara lain, menteri yang bermaruah sudah meletakkan jawatannya kerana kerugian,” tegas Tengku Razaleigh.

Beliau kesal dengan sikap Menteri Kewangan yang berdiam diri dan tidak mahu menjelaskan pokok pangkal sebenar skandal ini kepada rakyat. Saya memilih tajuk “Anwar Perlu Ambil Tanggungjawab” untuk lead Harakah minggu itu.

Untuk keluaran Harakah berikutnya, saya sendiri menghubungi Shabery bagi mendapatkan komen Tengku Razaleigh selanjutnya. Ini berikutan kenyataan balas Gabenor Bank Negara yang merumuskan :

“Sebenarnya lebih kukuh nilai ringgit, lebih banyak Bank Negara menanggung kerugian kerana rizab kita dalam ringgit akan jatuh.” Tan Sri Jaffar Hussien juga berkata, kerugian RM9.3 bilion itu adalah dari segi nilaian atas kertas dan bukannya kerugian mata wang nyata. Kerugian itu, katanya, berpunca dari kedudukan nilai ringgit, kos pengendalian inflasi yang tinggi dan pergerakan turun naik kadar pertukaran mata wang yang meluas.

Ketika dihubungi Shabery memberitahu Tengku Razaleigh agak sibuk hari itu, ada mesyuarat penting dan menziarahi jenazah. Saya meminta Shabery sendiri memberi komentar.

“Nak jadikan tajuk muka depan lagi?” Saya tahu Shabery sebenarnya bergurau bila bertanya begitu.

“Kalau kenyataan Tengku, insya-Allah saya akan usahakan untuk tajuk utama. Tapi kalau you yang buat komen, kita akan pertimbangkan,” balas saya, juga bergurau. Bagaimanapun yang lebih penting bukan lagi tokoh yang memberi komen tetapi kekuatan hujah itu sendiri.

Masyarakat pembaca harus didedahkan dengan sejelas-jelasnya melalui Harakah maklumlah Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah di bawah takluk Menteri Kewangan.

Kenyataan Shabery dengan tajuk “Wang Rakyat Diperjudikan” saya pilih tajuk utama Harakah, 23 April.

Shabery mengakui bahawa kenaikan nilai ringgit boleh menjejaskan jumlah rizab negara tetapi sukar diterima akal kalau hanya beberapa peratus kenaikan ringgit berbanding dolar Amerika boleh mengeringkan langsung rizab negara. Serentak dengan itu, Shabery mengingatkan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim supaya “jangan berselindung di sebalik istilah-istilah ekonomi yang mengelirukan.”

“Anwar mesti mengakui punca terbesar kerugian adalah akibat permainan spekulasi mata wang asing yang gagal. Jelas, kerugian ini bukanlah atas kertas sahaja tetapi kerugian nyata yang ditanggung oleh rakyat jelata. Umat Islam terperanjat bagaimana Menteri Kewangan yang banyak bercakap tentang Islam boleh merestui permainan spekulasi seperti ini. Sedangkan secara jelas ia memperjudikan wang rakyat sebegitu banyak. Bahkan kami hairan kenapa beliau boleh merestui pendekatan Bank Negara yang amat merbahaya ini dan tidak mahu berterus-terang apabila ia menemui kegagalan,” tegas Shabery.

Shabery juga mempersoalkan alasan Gabenor Bank Negara : “Apakah semakin kukuh ekonomi bermakna semakin kering rizab kita. Kenapa pula Singapura dan Brunei yang berkembang ekonominya dan kukuh mata wangnya tidak mengalami kerugian teruk sepertimana yang dialami oleh Bank Negara. Apakah Kementerian Kewangan Malaysia ingin memperkenalkan teori baru ekonomi, iaitu semakin berkembang ekonomi bertambah susutlah rizab, dan tidak mustahil ia terus bankrap. Apakah ini juga bermakna semasa ringgit kita jatuh dahulu, rizab kita melambung naik lebih seratus peratus?”

Untuk Harakah berikutnya, ramai teman-teman bertanya : “Minggu ini nak lanyak Anwar lagi?

Cukuplah...Nanti kerana isu itu pula Anwar boleh jatuh.

Masalahnya bukan pasal hendak menjatuhkan Anwar dan menaikkan orang lain. Ini soal kebenaran. Kalau Anwar berada di pihak yang benar, Anwar tidak perlu melatah kepada akhbar sekecil Harakah. Di bawah Anwar sudah tersedia akhbar-akhbar besar, begitu juga TV3, apa yang ditakutkannya. Kalau Harakah buat kesilapan, Anwar boleh tegur.

Bagi keluaran Harakah 26 April, kami memilih isu kerugian Bank Negara juga. Saya memberitahu teman-teman di Harakah : “Kalau ada isu besar yang kita tangani, kita mesti buat sungguh-sungguh, sehingga pihak bertanggungjawab memberi reaksi. Jangan asal tangkap muat sahaja.”

Kebetulan pula Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr. Syed Hussin Ali memberi reaksi yang sama dalam isu ini. Tanpa ragu-ragu lagi ia dipilih untuk menghiasi tajuk depan Harakah iaitu “Bank Negara Kalah Judi”, dengan tajuk kecilnya “PM didesak lucutkan jawatan Menteri Kewangan”.

Saya sendiri menghubungi Dr. Syed Hussin bagi mendapatkan maklumat lanjut berdasarkan kenyataan yang difaxkan ke Harakah.

Agak lama juga Dr. Syed Hussin menjelaskan, melalui telefon, dan hati saya berdetik : “Patutlah ramai orang tidak faham isu ini.”

Menurut Dr. Syed Hussin, Bank Negara seharusnya prudent (berhati-hati) dalam setiap kegiatannya dan semestinya sama sekali tidak terbabit dengan perjudian simpanan asing yang boleh membawa risiko kerugian yang cukup besar. Beliau menyamakan istilah spekulasi dengan perjudian.

Tindakan Bank Negara, menurutnya, akan menjejaskan kestabilan kewangan dalam jangka panjang kerana wang simpanan luar adalah sandaran atau jaminan kepada wang ringgit yang beredar dalam negara. Jika nilai sandaran itu jatuh, ia boleh menjejaskan kestabilan ringgit.

Dr. Syed Hussin berpendapat Bank Negara, yang di bawah kawalan Kementeriab Kewangan, sepatutnya mengawasi semua kegiatan bank dalam negeri supaya tidak terlibat dalam spekulasi / perjudian secara besar-besaran. Malangnya Bank Negara yang bertindak sebagai pengawas itu sendiri terlibat dalam spekulasi / perjudian :

“Jadi, siapakah pula yang akan mengawasi pengawas. Kami harapkan pagar yang menyelamatkan padi, rupanya pagar yang makan padi. Aneh sekali bagaimana Anwar yang dahulunya terkenal sebagai pejuang Islam melibatkan dirinya dengan judi besar-besaran seumpama ini”.

“Kami mempunyai maklumat bahawa pada tahun 1991 Bank Negara menugaskan seorang pegawainya menjalankan kegiatan spekulasi dengan menggunakan simpanan luar. Khabarnya keuntungan kira-kira satu bilion diperolehi. Digalakkan oleh kejayaan ini, pegawai tersebut diberikan kebebasan untuk meneruskan kegiatan judi ini dalam tahun 1992. Kami percaya banyak simpanan luar digunakan untuk membeli wang paun. Dalam tahun 1992 nilai paun turun dengan teruk sekali. Ini sebabnya kerugian yang kita tanggung begitu besar. Sekiranya yang dibeli ialah wang Amerika, kerugian mungkin tidak sebesar itu, sebab dalam tahun 1992 nilai wang Amerika turun kira-kira lima peratus saja, berbanding wang Malaysia. Kami mendapat tahu bahawa akibat kerugian ini pegawai berkenaan telah dipindahkan jawatan serta tugasnya. Ini tidak memadai. Sepatutnya kerajaan hendaklah mengambil tanggungjawab penuh dan meminta supaya Menteri Kewangan meletakkan jawatan, sekiranya beliau sendiri tidak hendak berbuat demikian secara sukarela. Bukankah Menteri Kewangan memperlihatkan kecuaian dan ketidakcekapannya?” tegas Dr. Syed Hussin.

Beliau seterusnya berkata jumlah RM 9.3 bilion yang lesap itu bukan kecil. Untuk memahami betapa besarnya, boleh kita bayangkan apa yang boleh kita buat dengannya. Misalnya, kita boleh mendirikan 18 buah universiti dengan harga RM500 juta sebuah, atau 45 buah hospital berharga RM200 juta sebuah, atau 180 buah sekolah berharga RM50 juta sebuah ataupun 372,000 buah rumah berharga RM25,000 sebuah. Sekiranya hendak digunakan untuk membayar bonus kepada 800,000 kakitangan kerajaan, sebagaimana yang dituntut oleh CEUPACS, maka tiap-tiap seorang pekerja boleh diberikan RM12,000.

Bayangan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang menganggarkan kerugian Bank Negara boleh mencapai RM16,000 juta. Ketika berceramah di Kuching, pada 29 Mei 1993 lebih menarik :

“Jika seseorang itu memenangi loteri yang menawarkan hadiah RM2 juta sehari, untuk mendapat wang sebanyak RM16 bilion, dia perlu menang loteri tersebut setiap hari selama 8,000 hari berturut-turut ataupun selama 22 tahun!”

Mengenai dakwaan Gabenor Bank Negara bahawa kerugian itu Cuma atas kertas sahaja, Dr. Syed Hussin berkata, “entahlah, kalau-kalau kerana wang selalunya dibuat dari kertas.”

Di Parlimen, Selasa, 27 April 1993, Kit Siang menegaskan : “Selaku Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim mesti menerima tanggungjawab persendirian sepenuhnya kerana kerugian pertukaran asing Bank Negara ini. Rakyat berhak mengetahui sebab dan saiz berbagai kerugian pertukaran asing yang dialami oleh Bank Negara, berkenaan jumlah kerugian yang disebabkan oleh pembendungan inflasi dalam menyerap liquiditi, penilaian semula pegangan mata wang asing dan kenaikan nilai ringgit dan kerugian hasil daripada perniagaan dan spekulasi mata wang asing.”

Walaupun Anwar menafikan dakwaan bahawa Bank Negara telah terlibat dalam aktiviti spekulasi dalam pasaran pertukaran asing kenyataan itu ditolak oleh Kit Siang. Pada 1989, dilaporkan Bank Negara telahpun dikritik oleh pegawai kewangan Barat kerana spekulasi dalam mata wang yen dan dollar Amerika pada masa Kumpulan Tujuh negara industri cuba menstabilkan pasaran mata wang.

Pada April 1991, Reuter menyifatkan Bank Negara sebagai “suatu kuasa dominasi di kancah pertukaran asing untuk beberapa tahun” dan malah menuduh beberapa pengendali pertukaran asing sebagai “penjahat pasaran”.

Laporan tersebut memetik kenyataan peniaga di London sebagai berkata, Bank Negara” selama ini adalah pemain pasaran yang terbesar, meniagakan jumlah pertukaran asig yang jauh melebihi mana-mana pemain dalam pasaran”.

Mengenai dakwaan Tan Sri Jaffar Hussien bahawa semua kerugian pertukaran asing Bank Negara hanyalah “kerugian di atas kertas”, Kit Siang mempersoalkan “Adakah beliau berkata semua keuntungan pertukaran asing yang diperolehi oleh Bank Negara pada Jun 1985 adalah juga “kerugian di atas kertas” sahaja?”

Seterusnya Kit Siang berhujah : “Jika Bank Negara telah mengalami kerugian di antara RM6.9 bilion dan RM9.7 bilion kerana aktiviti spekulasi dalam pasaran pertukaran asing, maka rakyat Malaysia berhak menuntut penjelasan yang sepenuhnya, kerana nyata sekali Bank Negara telah melampaui bidang kuasanya sebagai bank pusat dalam kegagalan bertindak dengan cermat sebagaimana yang dikehendaki.”

Bank Negara mengalami kerugian pertukaran asing yang besar semasa krisis mata wang dalam mekanisme kadar pertukaran Eropah susulan penolakan Masstricht Treaty on European Monetary Union dalam pungutan suara Denmark pada 2 Jun 1992, yang memaksa penggantungan pound sterling dari Exchange Rate Mechanism (ERM) of the European Monetary System (EMS).

Akibatnya ringgit mencatatkan kenaikan nilai yang paling besar berbanding dengan pound sterling, iaitu sebanyak 29.1 peratus. Adalah dilaporkan bahawa Bank of England telah membelanjakan berbilion-bilion paun untuk mempertahankan paun British pada masa itu.

“Yang ini sememangnya boleh difahami tetapi mengapa Bank Negara juga mahu selamatkan pound sterling?” tegas Kit Siang, disambut tepukan bergemuruh ahli-ahli Parlimen.

“Mengapa Bank Negara juga menukar berbilion-bilion atau berpuluh-puluh bilion ringgit kepada pound sterling untuk membantu mempertahankan pound British? Adakah kerajaan Malaysia sudah mengubah sikapnya dari dasar “Buy British Last” kepada Defend British First” – “Safe British First” dengan ringgit-ringgit wang rakyat Malaysia. Saya tidak percaya bahawa serbuan Bank Negara memberi pound yang merugikan tersebut semasa krisis mata wang sterling adalah kerana Perdana Menteri kita mahu selamatkan John Mayor – Mahathir to rescue John Mayor – dan paun British. Tetapi kerana Bank Negara berharap mengaut keuntungan yang besar dengan mengambil pendirian membeli untuk jangka panjang mengharapkan pound pulih kedudukannya dengan sokongan kerajaan British, “ hujah Kit Siang.

Tambahnya lagi, dengan tiadanya penjelasan yang memuaskan dan yang dapat diterima oleh kerugian pertukaran asing Bank Negara, keyakinan awam ke atas Bank Negara dan kerajaan akan terjejas.

” Yang Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan sokongan beliau kepada prinsip akauntabiliti, pertanggungjawapan dan transparensi pegawai-pegawai sektor awam. Dan ini adalah satu kes ujian sama ada beliau benar-benar berkepercayaan dalam prinsip-prinsp ini, dengan meminta kabinet menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kerugian pertukaran asing Bank Negara, “tegas Kit Siang.

Dalam jawapan balasnya, Anwar mempersoalkan jumlah kerugian yang diberikan oleh Kit Siang, Anwar mendakwa Kit Siang mengira dua kali. Mengenai pertanyaan Kit Siang bahawa kenapa bila rugi dikatakan rugi atas kertas, tetapi bila untung, memang sebenarnya untung, Anwar berkata :

“Bila untung, untung itu dipulihkan sebagai cash dipindahkan ke dalam negara, dibayar kepada kerajaan. Sebab itu untung ini in cash terms. Rugi yang disebut oleh Gabenor Bank Negara sebagai paper loss itu, rugi masih atas kemerosotan nilai yang masih dirizab.”

Anwar seterusnya memberi contoh : “Umpamanya kalau Ahli Yang Berhormat dari Tanjong ada US$1 juta, mungkin lebih, di simpan di New York, rugi itu in ringgit terms, sebab nilai ringgit bertambah. Jadi, US$1 juta masih kekal US$1 juta, tetapi apabila dari segi ringgit sudah merosot lapan peratus atau sembilan peratus, tengok kepada tempohnya. Ini basic economic, saya hendak beri kuliah sedikit. “

Dalam jawapannya itu, Anwar sempat juga menyerang Harakah : “Saya tahu, Harakah pun banyak isu, saya sekarang popular kerana front page headline, every week, every issue.

Bagaimanapun jawapan panjang lebar Anwar itu memerangkap dirinya. Esoknya, tepat jam 3.38 petang Lim Kit Siang – setelah merakamkan penghargaan kepada jawapan Anwar – berkata :

“Saya juga mesti mencatatkan kehampaan saya yang amat sangat dengan kenyataan beliau (Anwar) yang bukan merupakan jawapan kepada ucapan saya. Kita boleh sebut ia sebagai non-reply..... Yang Berhormat Menteri Kewangan bersungguh-sungguh mengelakkan diri dari memberi jawapan sehingga habis tempoh 30 minit yang diperuntukkan untuk beliau. Kenyataan itu.....hanya memperkukuhkan kesangsian bahawa kerajaan mempunyai banyak perkara yang terpaksa disembunyikan atau dengan izin swept under the carpet.....Hakikat yang sebenarnya ialah beliau (Anwar) telah membangkitkan lebih banyak soalan daripada menjawab.”

Selanjutnya Kit Siang membidas gaya Anwar yang tidak bersedia membaca teks ucapan yang disediakan supaya dapat gambaran beliau membuat pembentangan dengan spontan bagi mempamerkan kehebatannya dalam perkara tersebut.

“Tetapi malang sekali, terdapat kesilapan-kesilapan dalam perhubungan dengan pihak dan akibatnya ialah, pemberitaan yang panjang lebar kepada ucapan Yang Berhormat Menteri di Parlimen kelmarin sebagaimana yang tersiar dalam sebuah akhbar tempatan – yang ada disebut berkait rapat dengan beliau – amat berbeza dengan ucapan spontan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan yang disampaikan di Dewan Rakyat,” ujar Kit Siang.

“Saya tidak ada bantahan jika Yang Berhormat Menteri ingin memberi ucapan spontan yang telah disediakan terlebih dahulu tetapi dengan syarat beliau dapat membuat pengubahsuaian berdasarkan apa yang telah saya katakan sebelum beliau berucap. Malang sekali Yang Berhormat Menteri tidak dapat berbuat demikian dan inilah sebabnya beliau terpaksa membuat kenyataan dan andaian dan tuduhan yang tidak akan beliau lakukan sekiranya beliau mengikuti dan memahami ucapan saya terlebih dahulu. Misalnya, dalam ucapan Yang Berhormat Menteri, beliau mengejek saya kerana meminta butir-butir terperinci rizab Bank Negara dalam berbagai mata wang asing dengan mengatakan bahawa ia bukanlah “skim kutu kampung” untuk diketahui umum. Sebenarnya saya tidak pernah meminta butir-butir terperinci komposisi rizab asing Bank Negara. Apa yang saya minta ialah butir-butir terperinci kerugian pertukaran asing. Saya berharap Yang Berhormat Menteri faham bahawa terdapat perbezaan di antara dua jenis butiran ini, “ tambah Kit Siang.

Mengenai tuduhan Anwar bahawa beliau menghitung dua kali mengenai jumlah kerugian lain-lain rizab Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion, Kit Siang berkata :

“Saya tidak dapat memahami logik Yang Berhormat Menteri Kewangan dan saya akan berasa amat terkejut jika Gabenor Bank Negara masih menegaskan bahawa lain-lain rizab pada tahun lalu ialah RM9.3 bilion dan bukan RM10.1 bilion. “

Seterusnya Kit Siang merumuskan : “Malah seorang murid sekolah pun dapat memerhati bahawa lain-lain rizab Bank Negara telah kerugian RM10.1 bilion.”

Dalam hal ini Dr. Jomo juga bersetuju dengan hujah Kit Siang. Dalam huraiannya kepada Harakah Dr Jomo mencatatkan :

“Perhatian umum di negara kita setakat ini lebih tertumpu kepada pengurangan sebanyak RM9.3 bilion dalam lain-lain rizab Bank Negara antara akhir tahun 1991 dan akhir tahun 1992. Namun, kalau diambil kira jumlah RM800 juta yang dipindahkan ke dalam lain-lain rizab sebenarnya berkurangan sebanyak RM10.1 bilion dalam tahun 1992. Bank Negara juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 bilion lagi untuk tanggungan-tanggungan kontijen – maksudnya, kerugian-kerugian yang dijangka berlaku akibat tindakan pada tahun 1992, sungguhpun masih belum berlaku. Misalnya, sekiranya bank tersebut membeli mata wang tertentu untuk masa depan dan berlakunya penurunan besar nilai mata wang tersebut berbanding ringgit. Oleh itu tidaklah salah kalau dikatakan kerugian sebenar ialaj RM12.8 bilion pada tahun 1992, sungguhpun setengah daripada kerugian itu masih belum pasti, ataupun apa yang dikatakan kerugian atas kertas.”

Dr. Jomo membuat beberapa anggaran tentang jenis kerugian yang ditanggung, iaitu selain spekulasi tukaran asing, antaranya ialah kos menyerap dan akibat kenaikan nilai ringgit. Untuk membendung inflasi, Bank Negara telah menyerap kecairan yang berlebihan.

Kecairan berlebihan ini muncul terutamanya kerana kemasukan modal jangka pendek dari luar negeri akibat kadar faedah Malaysia yang agak tinggi, terutamanya pada awal 1992. Pada 1992 saja, Bank Negara telah menyerap RM17.1 bilion daripada sistem bank dan RM6.7 bilion deposit-deposit lain. Kalau dijumlahkan dengan deposit-deposit sebelumnya, pada akhir 1992, Bank Negara mempunyai deposit bernilai RM40.6 bilion.

Menurut keterangan Bank Negara, deposit ini nampaknya dismpan oleh Bank Negara di bank-bank Amerika Syarikat pada kadar faedah 2.5 peratus setahun sedangkan ia perlu membayar kira-kira lapan peratus setahun kepada bank-bank dan lain-lain di Malaysia dan dengan demikian, menanggung kos perbezaannya sebanyak 5.5 peratus. Lain-lain dokumen Bank Negara menunjukkan kebanyakan daripada langkah menyerap itu hanya berlaku mulai suku kedua tahun 1992 yang bererti, deposit-deposit yang dipegang oleh Bank Negara tidak pun sampai setahun penuh.

Lagi pula, sesiapa biasa dengan pasaran tukaran asing akan mendapati bahawa margin sebanyak 5.5 peratus itu pada ketika itu amat besar. Sungguhpun dengan andaian maksimum demikian, kos maksimum seluruh operasi itu tidak mungkin melebihi RM2.2 bilion (iaitu RM0.055 x 40.6 bilion).

Dr. Jomo menjelaskan : “Seperti telah dijelaskan oleh Menteri Kewangan dan juga Gabenor Bank Negara, pengukuhan nilai ringgit pada 1992 mengakibatkan penurunan nilai rizab bank bila dihitung dalam wang ringgit. Laporan itu juga memberitahu ringgit kukuh sebanyak 5.6 peratus berbanding dengan longgokan komposit mata wang asing, yang mencerminkan rakan dagang lama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kerugian yang berlaku ke atas nilai deposit oleh kerana kenaikan nilai ringgit pada 1992 sepatutnya tidak lebih daripada RM2.3 (iaitu RM0.056 x 40.6 bilion), andaikata semua deposit itu telah ditukar menjadi tukaran asing (kemungkinan besar tidak semuanya ditukar). Ini bermakna langkah menyerap dan kenaikan nilai ringgit hanya boleh menyebabkan kerugian kurang dari RM4.5 bilion, bererti sejumlah RM8.3 bilion lagi masih belum dipertanggungjawabkan.”

Kit Siang juga menolak hujah Anwar bahawa oleh kerana kedudukan ekonomi negara kukuh, maka kita tidak harus khuatir akan kerugian pertukaran asing Bank Negara :

“Sekarang ini pasaran saham amat bullish dan meningkat dengan banyak kaunter yang berkaitan dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengepalai senarai saham yang amat aktif. Dan terdapat desas-desus bahawa pasaran saham yang hangat dan meningkat ini adalah berkaitan dengan tabung kempen dana war chess lebih kurang RM200 juta seorang pemimpin UMNO untuk pemilihan parti. Dan tentulah ia mencatat rekod. Tetapi adakah ini bererti kita harus menutup mata kita terhadap apa yang tidak sihat dan salah dalam pasaran saham.”

Mengulas suatu jawapan yang diberikan oleh Anwar, Kit Siang berkata :

“Imaginasi yang karut ini tidak boleh diterima langsung disebabkan ia adalah serupa dengan membandingkan seekor ayam dengan seekor itik. Yang Berhormat Menteri tidak memahami bahawa rizab asing adalah disebabkan oleh imbangan bayaran yang positif akibat pertumbuhan ekonomi negara sedangkan kenaikan atau kejatuhan lain-lain rizab adalahbergantung kepada prestasi Bank Negara. Kedua-dua ini tidak ada kaitan langsung.”

Ketua pembangkang itu kemudiannya menasihatkan Anwar supaya mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi antarabangsa daripada Setiausaha Parlimen ataupun Timbalan Menteri :

“Tetapi Setiausaha Parlimen (Kementerian Kewangan) yang merupakan seorang ahli ekonomi yang terlatih dan rujuklah kepada rencananya dalam Berita Harian, 24 April 1993. Dalam rencana ini, beliau telah menghiraukan dengan tepatnya bahawa tambahan dalam rizab bergantung kepada sama ada kita mempunyai pertimbangan bayaran yang positif yang bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.”

Anwar yang tidak pernah terlatih dalam bidang ekonomi tentunya mendapat pengajaran yang bermakna dalam isu, apatah lagi bila Kit Siang menegaskan :

“Adakah amat mengejutkan bahawa Yang Berhormat Menteri Kewangan nampaknya tidak memahami ekonomi antarabangsa yang asas ini sehingga saya bimbang bahawa Yang Berhormat Menteri sedang teraba-raba dalam kegelapan dan Malaysia memang mujur kerana tiada bencana kewangan besar yang berlaku sehingga kini. Yang Berhormat Menteri sepatutnya berhenti daripada mengelirukan orang ramai dengan mengatakan kerugian dalam rizab-rizab lain sebanyak RM10.1 bilion oleh Bank Negara tidak penting disebabkan ia boleh dioffset oleh lebihan sebanyak RM16.5 bilion dalam rizab asing"

Bukan sahaja ini adalah salah dalam ertikata ekonomi asas tetapi perbandingan secara selektif adalah amat salah dalam ertikata perakaunan sehingga mana-mana pelajar perakaunan tidak membuat kesilapan sedemikian rupa. Tidak hairanlah mengapa Gabenor Bank Negara dan juga seorang chartered accountant kelihatan begitu muram apabila Yang Berhormat Menteri membuat perbandingan ini dalam Parlimen semalam. Namun ini mencerminkan dengan buruknya penasihat-penasihat ekonomi dan perakaunannya sehingga tidak dapat mengajar dan membuatkannya (Anwar) memahami asas-asas dengan baik dan jelas.

“Ingin saya mencadangkan, demi kepentingan negara, agar beliau menukar penasihat-penasihat ekonomi dan perakaunannya. Saya juga berharap Yang Berhormat Menteri akan memberi penjelasan awam yang penuh dengan merujuk kepada semua perkara teknikal yang dibangkitkan secara bertanggungjawab dan janganlah ghairah berpolemik politik, “ tegas Kit Siang menutup ucapannya mengenai kerugian Bank Negara.

Dalam ucapan penggulungannya, pada 10 Mei 1993, Anwar mengulangi tuduhannya kepada pembangkang kerana terus mengira dua kali. Katanya, pelbagai pihak cuba membuat serkap jarang untuk menambah kekeliruan. Beliau tetap mempertahankan kemerosotan lain-lain rizab bernilai RM9.3 bilion dan bukannya RM10.1 bilion. Seterusnya Anwar menyifatkan kemerosotan itu berpunca dari gabungan beberapa faktor, antaranya ialah pengukuhan ringgit, kos mengawal inflasi turun naik mata wang antarabangsa dan lain-lain.

“Kita harus sedar bahawa kenaikan nilai ringgit, antara faktor yang menyebabkan kemerosotan nilai lain-lain rizab, telah membawa manfaat kepada rakyat dan negara amnya, “tegas Anwar.

Dari jawapannya itu, Anwar seolah-olah menegaskan Bank Negara akan terus berspekulasi dengan hujahnya :

“Ada yang berpendapat Bank Negara perlu mengambil sikap konservatif. Pandangan ini gagal melihat realiti sebenar. Bank Negara dan mana-mana bank pusat tidak perlu mengambil risiko untuk berdagang jika dasar pasif atau berdiam diri tidak mempunyai risikonya. Realitinya ialah berdagang dan tidak berdagang adalah dua pilihan yang membawa risiko masing-masing. Dengan berdagang, risikonya ialah ramalan dan unjuran yang dibuat dalam gerakan mata wang tidak tepat, justeru itu mengalami kerugian. Tetapi tidak berdagang juga bermakna menghadapi risiko kerugian akibat turun naik nilai antarabangsa mata wang dalam pegangan.”

Menyedari sebahagian jawapan Anwar itu ditujukan kepada tulisan Dr. Jomo, yang disiarkan dalam Harakah 10 Mei 1993, saya segera menghubungi Dr. Jomo, melalui telefon. Dr. Jomo menghabiskan masa lebih satu jam untuk memberi penjelasan dan beberapa contoh bagi memudhkan saya untuk memahaminya.

“Dasar Bank Negara, seperti yang ditegaskan oleh Anwar, salah dari segi Islam. Kita tidak dibenarkan berspekulasi. Kita tidak boleh membeli buah semasa pohon baru berbunga. Apa hujah Anwar membolehkan kita berspekulasi sebegitu rupa? Amat janggal apabila Bank Negara mengambil sikap untuk lebih berspekulasi dalam tukaran asing lebih daripada bank-bank perdagangan lain, “jelas Dr. Jomo.

Beliau mengulangi hujah yang pernah dikemukakan oleh Dr. Syed Hussin Ali : “Oleh kerana bank pusat pada pokoknya ialah mengawas, soalan yang timbul ialah siapakah yang akan mengawasi pengawas ini bila polisi-polisi yang tidak bijak dibiarkan berlaku"

Yang lebih dikesali oleh Dr. Jomo ialah jawapan Anwar itu menggambarkan tidak bersedia untuk mengaku kesilapan yang telah dilakukan, sebaliknya bertegas untuk meneruskan dasar yang silap itu. Mungkin ia terpaksa dilakukan untuk mendapatkan semula kerugian yang dialami tetapi yang pasti, menurut Dr. Jomo, ia tidak ada jaminan.

“Tapi harus diingat bahawa kita mungkin juga akan ditimpa kerugian yang lebih besar lagi,” tegasnya.

Walaupun Dr. Jomo mengakui bahawa dasar berspekulasi sebelum tahun 1992 sedikit sebanyak membawa keuntungan kepada Bank Negara tetapi “kerugian ini telah menghapuskan semua keuntungan itu kerana kerugian ini jauh lebih besar daripada keuntungan sebelumnya”.

Dalam kenyataan selepas itu, Dr. Jomo menegaskan : “Hanya kaki judi akan terus bertaruh dengan harapan menebus balik kerugiannya setakat tertentu. Dan barangkali kerugiannya akan terus bertambah walaupun mungkin terdapat ‘kemenangan’ sementara.”

Dalam tulisannya Dr Jomo berhujah konservatisme dalam soal-soal begini (spekulasi tukaran asing) bermakna kebijaksanaan dan tanggungjawab, bukannya menentang kemajuan :

“Memang diketahui Bank Negara tidak terlibat dengan begitu mendalam dengan perdagangan tukaran asing sebelum berlaku perubahan dalam Kementerian Kewangan dalam pucuk pimpinan bank itu sendiri pada pertengahan 1980-an.”

Rasanya Anwar menujukan ucapan kepada Dr Jomo bila beliau berkata : “Pihak tertentu menganggap bahawa berlaku perubahan besar dalam dasar pengurusan rizab sejak pertengahan tahun 80-an. Mungkin mereka yang berpendapat sedemikian terlalu ghairah untuk mempertahankan dasar sebelum pertengahan 80-an. Kenyataannya ialah Bank Negara meneruskan dasar yang sama iaitu meneruskan dasar berhemat. Bank Negara sebelum pertengahan 80-an tidak perlu berdagang dengan jumlah yang besar kerana jumlah rizab ketika itu adalah rendah, bahkan jauh lebih rendah dari hutang luar negara.”


Dalam jawapannya kepada saya, Dr Jomo menasihatkan supaya lebih baik ditekankan soal pucuk pimpinan Bank Negara, dan bukannya lebih tertumpu kepada Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaleigh. Sekiranya Tengku Razaleigh dibabitkan perbahasan mengenai isu penting ini tidak dapat dijalankan secara matang dan objektif.

Dr. Jomo memberitahu Bank Negara di bawah pimpinan Tun Ismail Ali dan Tan Sri Abdul Aziz Taha tidak pernah merestu spekulasi besar-besaran. Bagaimanapun apabila Tun Daim mengambil alih Kementerian Kewangan hal ini berubah. Tetapi ia tidak bermakna Anwar perlu meneruskan dasar Daim. Menurut Dr. Jomo, Anwar ada pilihan, sama ada melangsungkan dasar Daim ataupun mengambil sikap yang lebih bijaksana.

“Anwar sepatutnya tidak terikat dengan Daim dan boleh kembali mengikut apa yang telah dilakukan oleh Tun Ismail, “ tegas Dr. Jomo.

Menjawab dakwaan Anwar bahawa pembangkang membuat kiraan dua kali bagi menentukan kemerosotan lain-lain rizab, Dr. Jomo berkata :

“Anwar sendiri keliru dan kemudiannya mengelirukan Dewan Rakyat. Dari segi ini seolah-olah menunjukkan Anwar tidak boleh memahami matematik sekolah rendah!”

Dr. Jomo kemudiannya membuat sedikit pembetulan terhadap tulisannya di Harakah. Katanya :

“Saya telah menganggarkan kos menyerap wang asing yang masuk ke Malaysia, supaya tidak menyebabkan inflasi, tidak boleh melebihi RM2.2 ribu juta, sedangkan pengukuhan nilai ringgit boleh menyebabkan “kerugian atas kertas” sebanyak RM2.3 ribu juta. Maka, saya telah membuat kesimpulan bahawa baki kerugian sebanyak RM12.8 ribu juta – iaitu sekurang-kurangnya RM8.3 ribu juta – pasti disebabkan kerugian urus niaga mata wang asing. Saya juga telah mengatakan bahawa perubahan dalam cara kira-kira Bank Negara boleh menyembunyikan jumlah kerugian bank pusat itu pada tahun 1992, yang mungkin melebihi RM12.8 ribu juta, yang dianggarkan mengikut laporan rasminya. Nampaknya saya salah dari beberapa segi, dan oleh itu, patut memohon maaf dan memberi penjelasan"

Jomo seterusnya mengemukakan hujah majalah Far Eastern Economic Review, 13 Mei 1993 yang menegaskan mata wang asing yang diserap itu telah digunakan untuk membeli sterling British, yang mendatangkan kadar bunga lebih tinggi daripada kadar bunga di Malaysia.

Maka, Bank Negara tidak mengalami kos menyerap – seperti digambarkan oleh pihak berkuasa – tetapi sebaliknya, telah menikmati untung sementara daripada kelebihan kadar bunga berkenaan, walaupun akhirnya kerugian lebih tinggi kerana nilai mata wang sterling itu telah jatuh.

Menurut Review, sumber-sumber yang rapat dengan Kerajaan Malaysia telah mengakui bahawa lebih daripada 80 peratus dari jumlah kerugian RM12.8 ribu juta itu hilang di London, hampir semuanya akibat urus niaga mata wang asing yang melibatkan sterling. Ini bermakna sekurang-kurangnya RM10.2 ribu juta kehilangan akibat kejatuhan sterling yang mesti melibatkan pembelian sterling sekurang-kurang RM45 ribu juta! Kalaulah diuruskan secara bijaksana, mata wang asing yang dibeli oleh bank pusat sebuah sepatutnya mencerminkan rakan perdagangannya, tetapi hanya 4.0 peratus dari jumlah eksport Malaysia dan 3.4 peratus dari importnya pada 1992 melibatkan Britain.

Menurut majalah itu lagi, perubahan cara kira-kira Bank Negara disediakan bagi tahun 1992 telah menyebabkan pihak Ketua Audit Negara menolak kira-kira itu pada mulanya dan walaupun diterima kemudian, Ketua Audit Negara telah menasihatkan bank pusat supaya jangan terus berspekulasi dalam mata wang asing pada masa hadapan.

Dalam pada itu jawapan Anwar tentunya tidak dapat memuaskan sesiapa sahaja, apatah lagi Lim Kit Siang. Ketika membahaskan anggaran perbelanjaan tambahan 1992 dan 1993 sebanyak RM5.6 bilion, pada 17 Mei 1993, Ketua Pembangkang itu jelas tidak lupa isu kerugian pertukaran asing.

“Apabila kerajaan minta Parlimen meluluskan anggaran perbelanjaan tambahan kepada apa yang diluluskan dalam belanjawan tahunan, kerajaan hendaklah memuaskan Parlimen dan negara bahawa ia telah berhati-hati dalam menguruskan wang perbelanjaan kerajaan, bahawa tiadanya pemborosan dan pembaziran, bahawa rasuah, amalan-amalan curang dan segala bentuk salah guna kuasa telah disekat, bahawa tahap kecekapan dan kompetet yang tinggi telah dipelihara, fan paling penting lagi, bahawa kerajaan telah mematuhi prinsip tanggungjawab, akauntabiliti dan transparensi.”

Maka dalam keadaan sedemikian, katanya, adalah lumrah untuk mengkaji permintaan kerajaan untuk anggaran perbenlajaan tambahan berjumlah RM5.6 bilion ini dalam ertikata kerugian pertukaran asing Bank Negara yang berjumlah RM10.1 bilion hingga RM12.8 bilion. Ini kerana kerajaan tidak perlu menanggung anggaran perbelanjaan tambahan sebanyak RM5.6 bilion sekiranya Bank Negara tidak mengalami kerugian yang begitu besar.

Beliau juga menghujahkan kembali kenyataan Anwar bahawa jika sekiranya Bank Negara menyimpan rizab wang asingnya dalam pasaran antarabangsa secara “selamat” dan tidak memperdagangkannya, “kita masih akan rugi besar disebabkan ringgit kita adalah kukuh”.

Kit Siang menjelaskan, Bank Negara sepatutnya rugi kira-kira RM3.2 bilion dalam mata wang asing akibat usahanya untuk memerangi inflasi dengan meresap pengaliran masuk wang asing dan juga disebabkan naiknya nilai ringgit serta penilaian semula pegangan mata wang asing. Akan tetapi ini tidak dapat menjelaskan kerugian pertukaran mata wang asing Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion hingga RM12.8 bilion.

“Kerugian pertukaran mata wang asing boleh berjumlah RM16 bilion sekiranya kita mengambil kira satu lagi perkara – penilaian semula pegangan emas Bank Negara pada tahun lalu. Ini adalah kali pertama Bank Negara dalam sejarah 33 tahunnya menilai semula pegangan emasnya dan adalah dianggarkan keuntungan kira-kira RM3 bilion dapat diperolehi akibat penilaian semula emas. Namun demikian, tiada angka mengenai penilaian semula pegangan emas kelihatan dalam kunci kira-kira Akaun Bank Negara untuk tahun 1992 dan sekiranya RM3 bilion ini juga telah hilang, ini akan bermakna bahawa jumlah kerugian pertukaran mata wang asing Bank Negara adalah dalam lingkungan RM16 bilion, “ jelasnya.

Oleh kerana Anwar gagal untuk memberi penjelasan yang memuaskan kepada Parlimen di atas kerugian pertukaran asing itu, Kit Siang menegaskan, Jawatankuasa Akaun Parlimen harus menjalankan satusiasatan khas mengenainya dan membentangkan laporan siasatan itu kepada Dewan Rakyat untuk perbahasan. Jawatankuasa Akaun Parlimen mempunyai kuasa untuk menyaman Gabenor Bank Negara, Tan Dri Jaffar Hussien dan Penasihat Bank Negara yang bertanggungjawab dalam urusan dan spekulasi pertukaran asing Bank Negara untuk memberi satu penjelasan yang penuh kepada kerugian itu.

Dalam siasatannya, Jawatankuasa Akaun Parlimen harus juga meminta perangkaan tentang kerugian pertukaran asing terkini yang dialami oleh Bank Negara dan kedudukan keuntungan dan kerugian tahunan urusan dan spekulasi pertukaran asing Bank Negara sejak pertengahan tahun 1980-an apabila Bank Negara pertama kali menjadi peserta aktif dalam pasaran pertukaran asing antarabangsa.

Satu ulasan yang menarik mengenai isu ini ialah artikel yang diterbitkan di dalam Dewan Masyarakat, Jun 1993 juga menegaskan kesangsiannya terhadap kenaikan nilai ringgit yang dikatakan punca utama kerugian Bank Negara. Saya menyifatkan menarik kerana ia diterbitkan oleh sebuah agensi kerajaan.

Dan bagi mereka yang agak sangsi dengan pendirian Dr. Jomo, apatah lagi Lim Kit Siang boleh memerhatikan hujah, (tapi perhatikan bagaimana kiraan dibuat) penulis artikel “Kerugian Atas Kertas Atau Kegagalan Spekulasi?”, Nawi Abdullah :

“Sepanjang tahun 1992 purata kenaikan nilai ringgit meningkat sebanyak 4.6 peratus. Ini bermakna, Malaysia akan mengalami kerugian sebanyak 4.6 peratus daripada nilai pertukaran asing akibat daripada kenaikan tersebut. Dengan kenaikan tersebut, Malaysia akan hanya mengalami kerugian sebanyak RM462.43 juta (RM10,053 juta [rizab 1991] x 4.6 peratus). Katakan belanja untuk membendung inflasi ialah sebanyak 4.8 peratus maka belanja untuk mengawal inflasi ialah sebanyak RM482.544 juta (4.8 peratus daripada RM10,053 juta). Begitu juga, akibat daripada kemasukan nilai dolar AS, terdapat perbezaaan margin keuntungan yang negatif sebanyak 5.5 peratus yang terpaksa ditanggung oleh Bank Negara. Jadi kerugian akibat daripada margin ini ialah sebanyak RM552.91 juta (RM10,053 juta x 5.5 peratus)"

“Daripada fakta ini menunjukkan negara hanya akan mengalami kurangan dalam rizab asing sebanyak RM1,497.884 akibat kerugian daripada kenaikan ringgit dan mengawal inflasi serta margin kerugian. Ini terjadi akibat daripada pegangan dollar AS kerana kemasukan pelaburan asing yang meningkat dalam bentuk dolar bagi tahun 1992......Ada ahli ekonomi yang berpendapat bahawa kerugian itu disebabkan oleh kegagalan permainan spekulasi mata wang asing. Kunci kira-kira yang ditunjukkan oleh Bank Negara menunjukkan rizab yang merosot daripada RM10,043 juta. Pada tahun 1991 kepada RM752 juta pada akhir tahun kewangan 1992. ini bermakna negara mengalami kejatuhan sebanyak 92.5 peratus daripada pertukaran asing negara dalam masa cuma satu tahun!”

Seterusnya tulisan Dewan Masyarakat itu bersetuju bahawa Bank Negara telah mendedahkan kedudukannya kepada risiko yang tinggi akibat terlalu aktif berspekulasi atau berjudi!

Ketika saya menyusun kembali tulisan ini, saya terpandang ruangan Inside, Sunday Star, halaman pertama, 27 Jun 1993 yang menonjolkan amaran Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad tentang kegiatan spekulasi di Bursa Saham Kuala Lumpur, di halaman ketiga.

Ya, apa yang dicatatkan dalam ruangan itu, sebagai ringkasan kenyataan PM mengenai spekulasi? Okey, saya catatkan, khusus buat Anwar : “Gambling on shares. The Prime Minister said some people will get their fingers burnt if they gambled in the stock market