Labels

Wednesday, September 16, 2009

"Saya Pun Melayu" - Kupasan Buku




Pada 13 September 2009 yang lalu (hari Ahad) kawan saya (Hamzah Syahir) telah meminjamkan saya sebuah buku yang agak menarik tentang bangsa saya sendiri.

Buku itu bertajuk “SAYA PUN MELAYU” yang ditulis oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 2003, bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu Kelantan(2001-2004), bekas Ahli Parlimen UMNO Kota Bharu (2004-2008) dan bekas ahli UMNO. Sekarang beliau baru sahaja menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 13 Jun 2009.

Beliau juga merupakan seorang peguam yang handal dalam menghadapi kes-kes di mahkamah dan mempunyai sebuah firma persendirian iaitu Zaid Ibrahim & Co., yang sehingga 2008 adalah firma perundangan terbesar di Malaysia dengan 140 orang peguam.

Walaupun tajuk buku ini nampak agak “racist” tetapi apabila dibaca saya dapati banyak didalamnya terkandung nasihat yang amat berguna kepada orang Melayu khususnya dan masyarakat Islam amnya.

Dewasa ini orang Melayu terlalu bergantung kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Saya bukanlah penyokong DEB tetapi saya lebih suka mengkritik bagaimana DEB digunakan oleh kerajaan dan pelaksanaannya serta golongan sasarannya. Kerana terlalu bergantung kepada kerajaan, Melayu menjadi pemalas dan tidak dapat bersaing dengan masyarakat bukan Islam terutamanya masyarakat cina. Sebagai contohnya total equiti dan aset kapital di Malaysia lebih 70 peratus dikuasai oleh masyarakat cina. Malah jika digunakan dasar meritokrasi dalam pengambilan pelajar di IPT mungkin saya rasa majoriti pelajar adalah dikalangan bukan Melayu.

Berikut adalah kupasan dan ringkasan dari buku beliau setebal 320 muka surat tidak temasuk kulit depan dan belakang buku dan pendahuluan :

“PADA saya tidak ada untungnya kita menjadikan tafsiran siapa itu Melayu sebagai satu stereotaip atau memperkecilkan kumpulan lain yang juga Melayu semata-mata kerana kita bertentangan pemikiran dan nilai, dan cara hidup. Tidak patut ada stereotaip Melayu kerana seperti bangsa dan kaum lain di dunia ini, Melayu mempunyai banyak serpihan dan lapisan, banyak ketidaksamaan, banyak asam ragam.

Ilmu dan pelajaran serta nilai dan sikap yang positif, selaras dengan keperluan dan cabaran semasa, adalah lebih penting kepada kemajuan orang Melayu. Ini lebih penting dari asal-usul dan keturunan, dan dari parti mana orang Melayu itu bersandar. Malah nilai dan sikap positif amat penting dalam bidang yang mana orang Melayu dianggap sangat berjaya — politik — kerana ia memerlukan nafas dan pendekatan baru. Politik Melayu amat memerlukan reformasi dari dalam dan luar diri.



Hari ini kepimpinan politik negara dilihat sebagai politik cowboy. Dalam siri TV The Wild Wild West yang saya tonton pada zaman muda dahulu, watak-wataknya yang ada pistol dan sanggup serta cekap menggunakan pistol itulah yang berkuasa. Tidak ada undang-undang dan peraturan; kalaupun ada undang-undang, ianya boleh dijual beli. Inilah budaya politik cowboy yang menerap dalam negara kita sekarang ini.



Saya bimbang dengan cara ini, di mana kuasa boleh dibeli, dan menggunakan kuasa untuk mencari kesahihan, ia akan menghancurkan segala pencapaian yang ada. Sesetengah orang Melayu sudah tidak tahu lagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk dalam penentuan nilai politik mereka. Wang ringgit dan kuasa sudah membuatkan wawasan mereka kabur.



…Saya harap orang Melayu mengekalkan semangat toleransi dan kesederhanaan. Buku ini cuba mengingatkan kita betapa bahayanya perkauman dan nilai fasis yang bahaya. Bukankah kita terkenal dengan budi pekerti dan sikap berbaik dengan semua kaum dan bangsa? Jangan matikan nilai dan cara hidup ini. Dalam apa hal sekalipun, biarlah orang Melayu jangan menjadi ekstrem, jangan menjadi ganas, dan jangan menjadi budak upahan pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab yang selalu mengapi-apikan perpecahan dan perkauman.

Kita kaum dan bangsa yang bermaruah, dan inilah masanya kita tunjuk kepada mereka yang rakus kuasa dan sombong bahawa Melayu ada harga diri dan Melayu mahukan keamanan dan kesejahteraan untuk semua.
…Demokrasi di negara kita ini adalah demokrasi “kangkung” iaitu demokrasi murahan. Kita digelar demokrasi kerana kita ada pilihan raya lima tahun sekali. Itupun dengan penuh muslihat dan rintangan. Ciri-ciri negara demokrasi yang bebas dan rakyat hidup selesa tanpa takut ditahan pada pagi hari kerana pandangan politiknya malam tadi masih belum wujud di negara kita.

Malaysia juga banyak undang-undang tetapi tidak semuanya berteraskan keadilan. Undang-undang tanpa keadilan adalah instrumen atau alat untuk melakukan kekerasan dan kekejaman terhadap rakyat. Oleh itu rakyat mestilah bersatu hati memperkuatkan tekad mempertahankan sistem yang berteraskan keadilan yang hanya ada dalam demokrasi yang tulen. Inilah cabaran bangsa Melayu dan Bangsa Malaysia sekarang ini.



Baru-baru ini kedengaran suara Hishammuddin Hussein dan rakan-rakannya dalam Pemuda Umno yang berteriak kuat bahawa mereka rela menitiskan darah terakhir untuk membela kedudukan raja-raja Melayu. Begitulah kuatnya semangat Hishammuddin, sepertilah sebelum ini dia juga menghunus keris sewaktu perhimpunan agung Umno untuk membela nasib bangsa. Semua ini kita alu-alukan kerana ini adalah berlainan sekali dengan ucapan para pemimpin Umno 15 tahun dahulu yang mahu menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu.

Saya amat berharap mereka juga akan sanggup berjuang ke titisan darah terakhir untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di negara tersayang. Ini perlu demi kebaikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, ataupun kedudukan dan pangkat.

Bercakap tentang kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia, saya teringat kepada kepercayaan orang Cina tentang angka “8″ yang dianggap ong atau bertuah kerana ia boleh membawa nasib yang baik. Dengan itu ada orang menganggap tahun 2008 akan membawa tuah.

Tetapi tahun 2008 membawa pelbagai cabaran dan dugaan politik dalam hidup saya. Inilah tahun di mana saya digugurkan dari menjadi calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kota Baru, tahun di mana saya memegang jawatan menteri selama lima bulan 27 hari, tempoh paling singkat dalam sejarah tanahair, dan juga tahun di mana saya dipecat daripada Umno.
Namun, semua peristiwa itu tidak pula membuat saya resah gelisah atau sedih tak menentu. Ia juga bukanlah perkara yang memalukan saya atau menjejaskan imej dan reputasi saya. Tidaklah sampai seperti apa yang P Ramlee nyanyikan “makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah”.

Cuma ramai kawan dan orang ramai yang bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap diri saya kerana mereka masih tertanya-tanya apakah isu sebenar yang membawa kepada peristiwa-peristiwa tersebut….

Lebih-lebih lagi semasa saya berhenti dan juga sewaktu dipecat daripada parti, begitu ramai orang Umno dari pemimpin tertinggi hinggalah kepada tukang kempen parti yang diberi ruang oleh media arus perdana yang kita semua tahu milik Umno. Marah sungguh mereka kepada saya. Kata-kata yang digunakan panas dan perit didengar sedangkan “kesalahan” saya bukannya besar sangat berbanding dengan orang Umno yang lain. Jadi rasanya amat sesuai saya memberi sedikit ulasan dan pandangan serta perspektif saya melalui buku ini tentang bagaimana saya menilai dan melihat semua yang berlaku itu.

Diharap para pembaca dapat menilai siapa yang benar dalam usaha mencari pendekatan politik yang terbaik untuk negara.

Secara kebetulan pula saya menulis buku ini semasa Datuk Seri Najib Razak sedang bersiap sedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara. Jadi saya turut mengambil peluang dalam buku ini untuk menulis tentang apa yang saya kira penting dari segi sifat dan nilai yang patut ada pada seseorang pemimpin.

Nilai dan akhlak pemimpin serta pemikiran pemimpin tersebut menentukan rupa bentuk kerajaan dan negara yang dipimpinnya. Pemimpin yang menghormati dan memuliakan nilai tinggi kemanusiaan dan agama, yang mahu melihat budaya mengejar kecemerlangan, yang mahu mengatasi kelemahan atau mediocrity, yang mahu kepada keadilan mengatasi kekejaman dan kemungkaran, amat dialu-alukan.

Sejarah Islam juga membuktikan betapa pentingnya pemilihan pemimpin dibuat secara musyawarah dan konsensus, bukan secara anointed atau diaturkan seperti peralihan kuasa Umno Baru. Contohnya, berlaku perang saudara di antara kumpulan Yazid anak Muawiyah dengan Husayn ibn Ali adalah kerana pemimpin-pemimpin elit Islam pada masa itu menolak pendekatan musyawarah.


Kalaupun pandangan saya kritis, sama ada dalam soal hak dan keistimewaan bumiputera atau soal Umno tidak disenangi oleh pihak tertentu, saya harap mereka janganlah merempuh masuk pejabat saya atau mengugut saya seperti mana Pemuda Umno menyerang untuk menyekat Ahli Parlimen DAP Karpal Singh yang berkerusi roda itu masuk ke Parlimen untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab rasmi beliau baru-baru ini.

Gunalah saluran intelek dan kebebasan bersuara sebagai platform untuk menjawab apa yang saya catatkan dalam buku ini. Itulah cara kita berkomunikasi dalam masyarakat yang bertamadun. Hujah dilawan hujah; kalau dilawan tangan, itu biadab namanya. Melayu sepatutnya tidak biadab kerana tinggi hati budi dan luhur jiwanya.

Saya juga menyentuh dalam buku ini tentang orang Melayu dan isu-isu yang berkisar dengan amalan agama khususnya dari segi politik. Sejak bertahun-tahun lamanya saya telah mengulangi pendirian saya secara terbuka bahawa orang Melayu sama gagah, sama kuat dan sama bijak dengan kaum lain dari segi kebolehan dan kemampuan diri mereka.

Seperti juga kaum-kaum lain, sudah tentu ada yang rajin dan ada yang malas. Saya bimbang Dasar Ekonomi Umno yang bukan lagi menjiwai Dasar Ekonomi Baru yang menggalakkan subsidi melampaui batas, yang menggunakan projek kerajaan untuk kesenangan diri dan jentera parti, dan yang mendapat keutamaan dalam mendapatkan kontrak kerajaan semata-mata kerana warna kulit, telah menjejaskan keupayaan orang Melayu sendiri.

Saya melihat setiap bangsa yang maju di dunia ini semuanya terdiri daripada bangsa yang berdikari atau self-reliant, yang tidak lari daripada persaingan dan mempunyai daya usaha yang tinggi.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ialah setelah berpuluh tahun mendapat kontrak kerajaan, dengan ratusan skim dan rancangan untuk bumiputera, hari ini sukar sekali mencari sebuah syarikat Melayu/bumiputera yang cekap membuat pendawaian atau wiring untuk bangunan yang canggih. Itulah rintihan seorang pemimpin persatuan peniaga bumiputera yang meluahkan rasa hatinya kepada saya.

Tetapi saya tidak terkejut kerana apalah perlu bagi bumiputera untuk mempelajari apa-apa yang rumit, sukar dan memakan masa jika dia dengan mudah boleh mendapat komisen dari kontrak tersebut tanpa membuat apa-apa kerja kerana dia sudah pajakkan kerja kepada bukan bumiputera. Di manakah kontraktor bumiputera yang berwibawa hari ini, selain 60,000 kontraktor kelas F, yang juga tidak ada kerja?

Saya tidak mengatakan bantuan dan pertolongan tidak boleh diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukannya tetapi dasar yang memberi keistimewaan dan hak yang tidak berasaskan kepada keperluan telah membuatkan satu kaum itu menjadi malas dan takut maju.

Sudah pasti saya tidak setuju langsung dengan andaian stereotaip kononnya Melayu malas tetapi Cina rajin, ataupun semua Melayu pemurah manakala semua Cina tamak. Penjajah yang memulakan fitnah tafsiran ini sebagai alasan untuk “membela” Melayu sedangkan niat dan amalan mereka jelas untuk menjajah dan menguasai politik dan ekonomi negara kita. Malangnya ada golongan elit Melayu dan golongan berpendidikan tinggi yang masih menyahut tafsiran ini.

Jadi dalam buku ini, saya cuba memperjelaskan bahawa kita mesti sanggup berdikari dan menunjukkan kepada semua bahawa Melayu yang bermaruah adalah Melayu yang tidak mengemis atau meminta-minta (sama ada dalam suara bengis menuntut hak atau sayu merayu untuk mendapat habuan).

Bagi saya, Melayu boleh berjaya atas kaki sendiri dan tidak perlu melutut kepada sesiapa kecuali kepada Allah SWT. Saya mahu melihat Melayu yang tahu harga diri, yang malu apabila gagal dan yang sanggup menerima tugas dan tanggungjawab sebagai satu ibadah.”

Kupasan buku Datuk Zaid Ibrahim bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan bekas ahli UMNO.



Kupasan oleh,

syeikhsifu



16/9/2009 - Wednesday

26 Ramadhan 1430H

Friday, July 10, 2009

Berhentilah Menjadi Gelas

  


” Kenapa kau selalu murung, Nak? Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah kesyukuranmu? “, tanya Sang Guru.

” Guru, kebelakangan ini hidup saya diselubungi berbagai masalah. Masalah datang seperti tiada penghujungnya “, jawab seorang anak muda.

” Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawa kemari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu “, arah Sang Guru sambil menghadiahkan seukir senyuman buatnya.

Si anak muda pun berlalu pergi bagi memenuhi permintaan gurunya itu, lalu kembali lagi membawa gelas dan garam sebagaimana yang dipinta.

” Nak, masukkan segenggam garam itu ke dalam gelas yang berisi air. Setelah itu, minumlah airnya sedikit “, kata Sang Guru.

” Uwekk. Masinnya ! “, wajahnya kini merengis menahan rasa masin air garam itu.

Sang Guru tersenyum kecil memerhatikan gelagat anak muda itu.

” Sabar Nak. Sekarang tebarkan garam yang masih berbaki itu ke dalam sungai pula, dan cuba minum airnya “, arah Sang Guru sambil mencari batu untuk didudukinya.

Si anak muda itu pun menangkupkan kedua tangannya, mengambil air sungai, lalu meneguknya.

” Bagaimana rasanya? “, soal Sang Guru.

” Alhamdulillah, segar. Segar sekali. Tiada rasa masin sedikitpun “, kata si anak muda itu bersungguh-sungguh.

” Nak, Itulah hakikat sebuah kehidupan. Segala masalah dalam hidup ini hanyalah seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam “, si anak muda itu terdiam mendengarkannya.

” Tetapi Nak, rasa ‘masin’ dari penderitaan yang kau alami itu, sangat bergantung kepada besarnya hati yang menampungnya. Jadi, supaya tidak merasa menderita, berhentilah menjadi gelas. Jadikanlah hatimu sebesar sungai itu. Nescaya kau akan sentiasa tenang “, sambung Sang Guru sebelum berlalu pergi.

Jadikanlah hatimu sebesar sungai itu. Nescaya kau akan sentiasa tenang !


PENSIL YANG BERWARNA DENDAM



Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah memberi maaf, maka kemaafan itu boleh diberikan.

Andai yang disuruh pilih, hitungannya adalah memohon maaf, maka kemaafan itu juga boleh dipohon.

Tetapi jika yang disuruh pilih, ketentuannya adalah dendam, maka selama-lamanya sudah pasti keburukan yang menjadi ketentuannya.

Mengapa terlalu sukar untuk memberi kemaafan kepada orang lain? Mengapa merelakan diri diselubungi dendam yang tidak pernah padam?

Sedarlah, setiap orang ada kelemahan dan kekurangannya. Mungkin hari ini hari kita. Apakah kita jamin yang kita tidak akan melakukan salah dan silap?

Ingatlah bahawa semua yang terjadi ini hakikatnya adalah dari Allah jua. Dia mahu melihat apakah kita dapat menerima masalah itu dengan sebaik-baiknya ataupun tidak.

Namun, jika kita tetap tidak mahu memaafkan kesilapan orang, tiada apa-apa keuntungan darinya. Yang tinggal hanyalah sebuah kehidupan yang serba tidak tenang.

Sabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik manusia adalah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda apabila sudah marah dan sejahat-jahat manusia adalah orang yang lekas marahnya dan lambat pula reda marahnya itu”

Adakah anda sejahat-jahat manusia?


DEMI SEBUAH BAHAGIA







Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf?

Kerana kita adalah hamba yang mendambakan maaf dan keampunan dariNya.

Kita hamba yang tak punyai apa-apa, sering melakukan dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita.

Oh Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan ayah dan ibuku atas kesilapan dan kekurangan diri mereka.

Ku maafkan setiap salah dan silap sahabat-sahabatku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku.

Semata-mata kerana aku dambakan keampunanMu.

Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa.

Maafkan aku, hamba yang berdosa.

Moga ada sinar bahagia, di hari muka.



Sekian,



syeikhsifu



7/7/2009 -Selasa

Saturday, June 27, 2009

Kura-Kura Kembar




Melihat gambar di atas, terkenang kembali kisah perlumbaan antara

Kura-Kura dan Arnab. Malah ia dibukukan menjadi sebuah novel sastera Tingkatan 4 yang berjudul Perlumbaan Kedua.


Novel ini merupakan antara novel yang paling diminati oleh saya selain novel sastera Tingkatan 5 iaitu Novel Julia.


Berbalik kepada kura-kura,meskipun ia dikenali sebagai binatang yang serba lambat, tetapi sebenarnya banyak motivasi berguna yang boleh dikutip dari seekor kura-kura.


Mungkin inilah sebabnya kenapa binatang ini diangkat sebagai watak utama dalam filem Kungfu Panda. Tanpa nasihat daripada Mahaguru Ho Fei, adakah si Panda mampu memiliki gelaran ‘Dragon Warrior’?


Apatah lagi jika anda semua memerhatikan kelibat si kura-kura kembar siam ini. Kedua kura-kura kembar ini tumbuh bagaikan isi dan kuku. Layaknya kutub utara dan selatan, saling membelakangi antara satu sama lain.



Saya yakin bahawa anda semua memahami keperitan yang ditanggung oleh kura-kura tersebut. Jika kura-kura normal mampu berjalan sepantas 2 jam, si kembar siam ini mungkin 4 jam. Bukan begitu?



Namun, dalam keterbatasan itu, adakah anda sedar bahawa kura-kura ini masih mampu meneruskan kelangsungan hidupnya tanpa bantuan sesiapapun. Mereka tidak memerlukan pembedahan, apatah lagi sebuah kerusi roda untuk terus hidup.



Mengapa agaknya?



HIDUP INI MEMERLUKAN KESABARAN





Meskipun dilahirkan sebagai kura-kura kembar siam dan menempel di perut, kekurangan itu tidak menjadikannya semakin lemah, bahkan ianya memberi semangat untuk terus berjuang.


Kenapa?


Kerana si kembar siam itu faham bahawa hakikat kejayaan itu bukanlah umpama mee segera. Cepat dimasak, lebih sedap dimakan. Tuangkan sahaja air panas, selepas 3 minit boleh makan.


Kejayaaan bukan seperti itu. Kejayaan memerlukan kesabaran dan usaha berterusan yang tidak mengenal erti putus asa.


Ini semua adalah kelangsungan daripada kesedaran bahawa kita hanya mampu merancang, tetapi yang menentukannya hanyalah Allah. Hasilnya, meskipun kita gagal dalam sesuatu perkara, itu bukanlah yang terakhir dan kita akan terus mencuba.


Kerana kita menyedari bahawa Allah itu Maha Adil. Dan yang anda suka itu, tidak semestinya yang terbaik buat anda. Terkadang ianya mengundang kecelakaan buat diri sendiri.


BAHAGIA ITU PILIHAN





Suatu ketika, diriku diulit rasa kesedihan yang menyebakkan. Dalam situasi ini, hanya air mata sahaja yang menjadi teman berbicara. Aku diulit kesedihan bila mengenang nasib diri yang selalunya ku rasa tidak sebaik nasib orang lain.


Sedang hati dilanda kesedihan, tiba-tiba aku terpandang seekor kura-kura yang sedang merangkak perlahan menyeberangi jalan. Melihat keadaan si kura-kura itu, rasa sedihku hilang. Semangat kuatku kembali menapak dalam diri.


Aku mempunyai jawapan pada persoalan yang sering aku tanyakan pada diriku sebelum ini.



Mengapa harus aku merasa sedih. Sedangkan aku sepatutnya harus merasa bahagia kerana aku seorang manusia. Manusia yang ada segala-galanya. Kalau dibandingkan dengan si kura-kura itu.


Kura-kura juga sendirian, tetapi si kura-kura tidak pernah bersedih. Malah si kura-kura tetap menjadi dirinya yang penyantun dan penyabar.


Terkadang kita mengukur kebahagiaan di mata orang, lantas kita mengorbankan erti bahagia di mata sendiri. Sedangkan bahagia itu letaknya di hati. Kita tidak mampu berasa bahagia kalau kita merasakan tidak boleh bahagia.


Kita melangkah tatkala bahagia hanya beberapa langkah di hadapan dan kita mengambilnya tanpa perlu merampas daripada sesiapa.


Berbahagialah selalu kerana bahagia itu adalah milik setiap orang yang telah bersedia untuk berasa bahagia. Nikmatilah kebahagiaan itu sebaik mungkin.


Semoga berbahagia selalu.


Terima kasih Kura-Kura…


syeikhsifu



27/6/2009 - Saturday

Friday, June 26, 2009

Bunuh diri di India


Video hiasan ini berstatus ganas! Abaikan jika anda tidak bersedia.



Perbuatan bunuh diri adalah jalan singkat untuk menyelesaikan masalah.

Islam mengharamkan perbuatan ini kerana ia menggambarkan sikap putus asa. Adakah benar tanggapan bahawa ianya merupakan jalan penyelesaian terbaik bagi setiap masalah?

Bagi saya, tidak. Bahkan mungkin ia akan membawa lebih banyak masalah kepada kaum keluarga dan sahabat-sahabat lain selepas dia meninggal dunia. Kata Joseph Conrad, sebenarnya tiada manusia yang berjaya dalam kesemua yang dilakukannya.

Dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Tetapi yang penting kita tidak menjadi lemah dek kegagalan tersebut dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat. Usah putus harapan, kerana harapan kita hanya kepadaNya. Fikir-fikir dan renungkanlah...

Mari Belajar Bahasa Mandarin (Bahagian 1)….

Basic History

Bahasa Mandarin merupakan antara bahasa cina yang paling banyak digunakan. Ia menjadi bahasa rasmi kebanyakan masyarakat cina seperti People Republic of Chinese (Tanah Besar China), Taiwan, Macau,Republik Singapura, Malaysia (selepas Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris),Thailand (selepas bahasa Thai), Vietnam (selepas bahasa Viet) dan menjadi bahasa minoriti dikebanyakan negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Filipina, Indonesia, Peru dan Mauritius.

Malah menurut wikipedia, Mandarin merupakan bahasa nombor satu dalam ketogeri bilangan penuturnya dan yang kedua terpenting dalam dunia selepas Bahasa Inggeris.

Dalam PBB(Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu) juga digunakan sebagai bahasa rasmi. Ada 6 Bahasa rasmi yang digunakan di PBB iaitu Arabic, Chinese, English, French, Russian, and Spanish.

Dewasa ini bahasa Mandarin menjadi begitu penting dalam industri perdagangan sama ada perdagangan dalam negeri ataupun perdagangan luar negara. Negara China sekarang sedang menuju pertumbuhan ekonomi yang begitu drastik sama ada sistem makro atau micro. Tahun lepas saja 11% pertumbuhan ekonomi dicatat oleh negara Tembok Besar itu.

Perdagangan dalam Malaysia juga penting kerana ekonomi Malaysia sekarang di kuasai oleh orang-orang cina malah tahap aset yang dimiliki oleh bangsa cina adalah yang tertinggi dalam negara iaitu sehingga 57%.

Jadi, untuk memudahkan pertuturan sesama peniaga,pembeli,pemborong dan pedagang yang kebanyakan dari mereka adalah dikalangan bangsa cina maka Bahasa Mandarin adalah relevan untuk memastikan kelancaran urus niaga.

Di Malaysia umpamanya, terdapat banyak dialek cina yang dipertuturkan selain Mandarin seperti Kantonis,Hokkien,Taoichwa dan Wu.

Antara yang paling susah dialek ialah kantonis kerana ia mempunyai 7 tingkatan suara manakala mandarin hanya mempunyai 4 tingkatan suara (menurut Cikgu Mandarin saya Puan Jing Yang).

Walaubagaimanapun, perkara yang susah kalau kita berminat dan berusaha dengan gigih Insyaallah akan dipermudahkan oleh Allah.

Berikut adalah asas (basic) untuk mempelajari bahasa Mandarin. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat memberi kebaikan bersama.



Asas-asas penuturan BahasaMandarin (Ri Chang Yong Yu)

Wo –saya
Ni - kamu
Ni hao ma? – kamu apa khabar?
Wo hen hao – saya dalam keadaan sangat baik
Xiexie –terima kasih
Bu yong xie (bu keqi) – sama-sama
Zaoshang hao – selamat pagi
Wanshang hao –selamat petang
Zaijian – selamat tinggal
Mingtian Jian – esok jumpa lagi
Wang taitai, xiexie ni ! – madam (puan/cik), terima kasih ye.
Ni lei ma? – adakah kamu penat?
Wo bu lei – saya xpenat
Hoa...wo lei ji le –benar, saya penat betul
Xue – belajar
Zhong wen – Bahasa cina
Wo zheng zai xue zhong wen- saya sedang belajar bahasa cina


Bersambung.........................

Sekian,

syeikhsifu@yahoo.com.my

Thursday, June 25, 2009

Kapitalisme penyebab krisis ekonomi dunia?

Hari ini kapitalisma sedang menghadapi krisis yang tenat. Pelbagai hujah telah diberikan untuk menerangkan kepada orang ramai tentang krisis ini. Manifestasi dari krisis kapitalisma ini sedang dialami oleh kita semua justeru tidak perlu lagi kita berdolak dalik untuk menafikan kewujudan krisis ini.

Apa yang masih belum jelas ialah kenapa krisis ini berlaku. Ada yang mengatakan bahawa krisis ini timbul kerana banyak peraturan perniagaan telah dilupuskan. Ada pakar ekonomi yang mengatakan bahawa krisis ini muncul kerana gaji CEO , pengarah syarikat dan pemegang saham telalu tinggi. Ada yang mengatakan bahawa krisis ini timbul kerana tamak haloba. Semua ini betul. Semua ini tidak salah.

Sebab itu, jawapan-jawapan ini hanyalah manifestasi dari sistem kapitalis itu sendiri. Justeru adalah salah untuk menerangkan bahawa krisis hari ini adalah krisis kewangan. ¨Financial Crisis¨ ini hanyalah symptom dari krisis kapitalisma itu sendiri. Sistem kapitalisma ini mencakupi semua – keewangan, khidmat, pembuatan, pengeluaran dan pengguna.

Jika kita sakit kepala pasti ada bahagian tubuh badan kita yang kurang sempurna. Jika kita deman pasti ada puncanya. Jika kereta rosak maka kita akan mencari apa yang telah patah atau skrew mana yang tercabut. Tubuh badan kita adalah satu sistem. Enjin kereta yang bergerak itu juga adalah satu sistem. Ekonomi yang kita gunakan ini juga adalah satu sistem.

Permasalahan yang muncul hari ini wajib dilihat bukan hanya pada sebiji skrew, sehelai wire tetapi melihat keseluruhan sistem itu sendiri.

Kapitalisma bergerak atas dasar membuat keuntungan maksima. Inilah asas kapitalisma yang tidak pernah berubah-ubah. Jika ianya bukan berasaskan keuntungan maksima, maka sistem itu bukan lagi sistem kapitalis.

Untuk mendapat keuntungan maksima, maka langkah pertama yang akan dilakukan oleh para kapitalis ialah membayar ubah tenaga yang rendah. Dengan upah tenaga yang rendah bermakna kaum pemodal akan mendapat keuntungan maksima. Lebihan tenaga buruh ini akan menjadi tambahan untuk keuntungan kaum pemodal. Lebih murah upah diberi maka akan lebih banyak keuntungan yang akan dipungut.

Sistem ekonomi kapitalis telah menanamkan nilai konsumer/pengguna kepada kaum buruh dan pekerja. Nilai konsumer ini amat penting dalam budaya kapitalisma. Tanpa menghayati dan menyembah budaya konsumer, maka kapitalisma tidak dapat berkembang. Konsumer dan kapitalisma adalah isi dengan kuku.

Dalam budaya kapitalisma nilai hidup dan erti hidup dihitung dengan barang yang dimiliki, harta yang dipunyai, percutian yang dilalui dan benda-benda yang digunakan dalam kehidupan sehari-hari. Untuk mendapatkan produk maka kita diwajibkan menjualkan tenaga kita kepada kaum kapitalis.

Melalui upah yang kita dapati ini, justeru kita akan boleh membeli barang dan produk konsumer. Lebih banyak barang konsumer yang kita beli dan pakai, kita akan dinilai sebagai berjaya dalam budaya kapitalisma.

Di sini muncul krisis dari sistem kapitalisma. Dari satu sudut - para kapitalis ingin barangan yang mereka keluarkan dari kilang dijual dan digunakan. Dari sudut yang lain - bakal si pembeli dan pengguna ini wajib diberi upah yang murah untuk memastikan keuntungan maksima. Namun, dengan upah yang murah mana mungkin si pembeli dapat dan berupaya membeli produk-produk ini.

Inikah kontradiksi dalam sistem kapitalis. Kontradiksi ini tidak akan dapat diselesaikan oleh sistem kapitalisma.

Percubaan untuk menyelesaikan kontradiksi ini telah dijalankan. Kita melihat sendiri di Malaysia di mana kaum pemodal tempatan dan antarabangsa untuk melipat gandakan keuntungan enggan menaikkan upah tenaga kaum buruh. Hingga ke hari ini tidak ada dasar gaji minima untuk kaum buruh, walau pun kaum pemodal memiliki dasar keuntungan maksima.

Untuk melarikan dari tuntutan upah tinggi, maka apa yang telah dilakukan oleh para kapitalis tempatan dan luar negara ialah mengimpot tenaga buruh dari luar. Tenaga buruh dari luar ini telah berjaya menurunkan tuntutan upah dari kaum buruh tempatan.

Hasilnya taraf kehidupan warga terus tidak berubah malah secara nisbah semakin merosot. Cita-cita untuk menikkan taraf kehidupan terus gagal kerana upah untuk bekerja amat murah.

Upah yang rendah ini juga tidak memungkin berkembang dan merancakkan tahap ekonomi dalam negara. Warga yang tidak berduit tidak mungkin ianya akan berbelanja. Upah murah bermakna para konsumer tidak memiliki memiliki tenaga beli.

Perkara yang sama juga telah dilakukan oleh kaum kapitalis di Amerika dan Eropah. Mereka mengimpot tenaga murah dari dunia ketiga. Untuk terus melipat gandakan keuntungan, mereka telah menjalankan dasar apa yang dipanggil out sourcing. Mengupah orang luar dengan upah yang rendah untuk melakukan pekerjaan yang dahulunya dilakukan dalam negara. Bila ini berlaku maka sekali warga Amerika dan Eropah sendiri kehilangan pekerjaan kerana buruh impot dan buruh luar sanggup menerima upah yang lebih murah.

Tidak cukup dengan ini kaum pemodal ini telah menutup kilang di Amerika dan Eropah dan membuka di wilayah-wilayah dunia ketiga dimana harga buruh amat murah. Kaum buruh di Amerika dan Eropah sekali lagi hilang pekerjaan apabila kilang kilang mula berpindah ke Vietnam, Malaysia, China dan Thailand.

Hari ini hampir 100 peratus barangan yang terjual dari WalMart di Amerika didatangkan dari negara China.
Kontradiksi ini bertambah meruncing. Produk produk yang dibuat di China ini bertujuan untuk dibeli oleh pengguna di Amerika. Tetapi para pengguna di Amerika telah hilang pekerjaan — bermakna tidak memiliki keupayaan untuk membeli. Apa yang terjadi — barangan yang dibuat murah di China semakin menggunung kerana tidak dapat dijual.

Justeru inilah yang telah ditunjukkan oleh Karl Marx bahawa kapitalisma ini membunuh diri sendiri.
Kapitalisma dapat berkembang hebat – boom time - apabila menemui tanah baru seperti Amerika, Australia dan Kanada. Kapitalisma berkembang hebat apabila ada penemuan-penemuan teknologi baru – letrik, jalan keretapi, tenaga nuklear termasuk internet. Boom time ini akhirnya akan menjadi burst time dan pancet. Ini adalah sifat asli kapitalisma.

Penemuan baru akan memungkinkan kaum pemodal membuat keuntungan berlipat ganda. Apabila Britain membuat enjin kereta ianya mengambil hampir 100 tahun sebelum Malaysia dapat menirunya. Selama 100 tahun ini nisbahnya Britain memiliki monopoli – ini antara Britain dengan Malaysia. Tetapi hakikatnya apa sahaja penemuan baru ianya hanya dapat bertahan dari tahun ke tahun sebelum teknologi itu ditiru. Malah teknoloji telah berkembang luas – apa sahaja penemuan teknologi baru akan ditiru dengan cepat.

Jika ini berlaku, nampaknya boom time cukup singkat sebelum sampainya burst time. Contoh terbaik terjadi dalam dotcom boom di akhir tahun 80’an dahulu.

Apabila tiru meniru terjadi, apabila semua negara mengeluarkan produk yang hampir sama, maka hasilnya ialah pengeluaran yang berlebihan dari permintaan. Supply and demand mengikut teori Adam Smith akan mewujudkan ‘tangan halimunan’ untuk memperseimbangkan dua pekara ini. Ini tidak pernah berlaku kerana yang halimunan ini tidak pernah wujud. Tangan halimunan ini adalah satu illusi dalam teori kapitalsima.

Hari ini telah terbukti pengeluaran telah melimpah ruah melebihi permintaan. Lambakan demi lambakan produk murah dari China misalnya sedang mengancam sistem kapitalis ini sendiri.

Pengeluaran melimpah ruah ini juga adalah sifat kapitalisma itu sendiri. Setiap kapitalis akan merahsiakan barangan dan produk yang mereka hasilkan. Kapitalis ingin dapat mengeluarkan satu produk yang eksklusif. Tetapi ini hanyalah angan-angan kerana semua kaum kapitalis memiliki sifat yang sama. Justeru mereka bersaing dan melawan antara satu sama lain dalam usaha untuk melahirkan dan mencipta produk. Di sini jelas pembaziran tenaga, modal dan fikrah.

Satu lagi cara untuk terus unggul di pasaran ialah memurahkan harga barangan mereka. Awalnya ini dapat dilakukan dengan upah buruh yang murah. Atau dengan teknologi baru. Teknologi akhirnya akan ditiru. Upah buruh murah akan membunuh kuasa pembeli. Maka hasilnya ialah lambakan barang murah yang tidak ada pengguna.

Kontradiksi ini tidak dapat diselesikan oleh kapitalisma.

Percubaan telah dilakukan untuk menyelesaikan kontradiksi upah murah ini. Di Amerika – konsumer terbesar dalam dunia – tidak memiliki daya beli. Apa yang telah dilakukan oleh kaum kapitalis semenjak tahun 80’an ialah memberikan bakal konsumer ini duit pinjaman. Duit yang dipinjamkan ini diharapkan akan mengerakkan pasaran jual beli konsumer.

Di Malaysia sendiri skim ini telah dijalankan oleh bank dengan memberi kad kredit. Ini untuk menggalak lahirnya para konsumer untuk membeli produk. Dari laporan media, kita mengetahui hari ini hutang kad kredit yang tidak terpungut hampir mencecah 10 bilion ringgit. Ini hanya di Malaysia.

Di Amerika pukul rata warga memiliki lebih dari lima keping kad kredit. Memang betul untuk satu masa yang pendek ada pergerakan jual beli konsumer produk dengan berhutang. Apabila sampai masanya untu memungut hutang maka didapati bahawa sipiutang ini tidak ada keupayaan untuk membayar. Inilah dia subprime loan yang sedang meracun kapitalisma.

Sebenarnya, kapitalisma ini sebenarnya tidak ada bezanya dari sistem ekonomi Pak Man Telo.

Selama hampir 150 tahun, sistem ini telah bergerak dan berkembang. Membuka dan mencari pasaran baru. Mengeluar produk baru. Tetapi masanya telah sampai di mana sistem ini tidak dapat bergerak lagi. Seperti Pak Man Telo – orang terakhir untuk membeli labu peramnya telah sampai. Tidak lagi ditemui pembeli baru. Pak Man Telo tidak dapat memusing dan memutar lagi. Akhinya semuanya lungkup.

Amerika dan Eropah sedang berusaha untuk menampal lubang lubang kapitalisma yang sedang bocor dengan menggunakan berbilion duit rakyat. Untuk seketika ini kapitalisma masih bergerak dengan tempang. Satu demi satu bank jatuh muflis. Satu demi satu syarikat gergasi masuk gaung. Kaum buruh semakin banyak hilang pekerjaan. Rumah semakin banyak tergadai. Kemiskinan semakin meluas. Jurang mereka yang kaya dengan mereka yang miskin semakin melaut.

Hakikatnya sistem kapitalis ini penuh dengan kontradiksi yang membunuh dirinya sendiri.

Jawapan kepada krisis kapitalisma bukan memperbaiki sistem ini, tetapi menghumbankan sistem ini dan memunculkan satu sistem ekonomi terancang yang bukan berasaskan keuntungan maksima. Satu sistem ekonomi yang demokratik di mana jual beli diuruskan oleh orang yang menjual dan orang yang membeli.

Pendemokrasian perniagaan ini amat penting untuk dijadikan asas di mana pembuatan dan pengeluaran adalah untuk keperluan bukan untuk keuntungan. Pembuatan dan pengeluaran adalah untuk kebaikan ramai bukan untuk kebaikan individu atau peribadi tertentu sahaja. Mereka yang membuat barang di kilang bukan hanya membuat barang tetapi akan turut sama membuat dasar kilang.

Jadi, sebelum keruntuhan sistem Pak Man Telo adalah lebih baik kita gunakan tenaga dan akal fikiran untuk mencipta satu sistem ekonomi yang lebih adil dan yang berdiri di bumi yang nyata dan bukan berilusi dengan ‘the invisible hand’. (HR)

Nota: Makalah ini diedarkan sewaktu Seminar Ekonomi Alternatif, anjuran ASASI pada 23 Mei 2009, di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM.

Saturday, June 13, 2009

Maksud Najd dalam hadith Bukhari

Pertama: Maksud “Najd”.

Maksud “Najd” Di Sisi Al-Bukhari.

Al-Bukhari rahimahullah meletakkan hadith ini dalam bab berjudul: Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Fitnah itu (datang) dari sebelah timur”. Kemudian, beliau meriwayatkan beberapa hadith, termasuklah doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan matan (lafaz):

اللهم بارك لنا في شامنا اللهم بارك لنا في يمننا، قالوا: يا رسول الله! وفي نجدنا، قال: اللهم بارك لنا في شامنا اللهم بارك لنا في يمننا، قالوا: يا رسول الله! وفي نجدنا، فأظنه قال في الثالثة: هناك الزلازل والفتن وبها يطلع قرن الشيطان.

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda (terus) berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”.

Aku (perawi hadith) agak pada (permintaan) yang ketiga Baginda bersabda: “Padanya (Najd) (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan”[1]

Berdasarkan judul bab ini, ternyata Al-Bukhari tidak menentukan secara pasti apa yang dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan negeri Najd kerana ungkapan beliau ‘dari sebelah timur’ adalah terlalu umum. Kemungkinan ia bermula dari kawasan luar Madinah sampailah ke Iraq, Iran dan seterusnya. Ini bermakna, Al-Bukhari tidak memahami maksud perkataan Najd itu sebagai satu kawasan yang khusus di Semenanjung Tanah Arab.

Maksud “Najd” Berdasarkan Bandingan Dengan Riwayat-Riwayat Lain.

Selain daripada riwayat Al-Bukhari di atas, hadith ini juga telah diriwayatkan dalam beberapa kitab sumber hadith yang lain dengan matan seperti berikut:

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: اللهم بارك لنا في مدينتنا وبارك لنا في مكتنا وبارك لنا في شامنا وبارك لنا في يمننا وبارك لنا في صاعنا ومدنا، فقال رجل: يا رسول الله! وفي عراقنا، فأعرض عنه فقال: فيها الزلازل والفتن وبها يطلع قرن الشيطان.

Maksudnya: Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Madinah kami, berkatilah negeri Makkah kami, berkatilah negeri Syam kami, berkatilah negeri Yaman kami dan berkatilah (sukatan) gantang dan cupak kami”.

Tiba-tiba seorang lelaki mencelah: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Iraq kami. Lalu Baginda berpaling darinya seraya bersabda: “Padanya (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan”[2].

Matan (lafaz) riwayat ini dilihat berbeza dengan matan riwayat Al-Bukhari kerana di dalamnya ada penambahan doa untuk keberkatan negeri Madinah dan Makkah, manakala perkataan Najd yang ada dalam matan riwayat Al-Bukhari pula diganti dengan perkataan Iraq.

Meskipun ada perbezaan matan antara kedua riwayat tersebut, tetapi pada hakikatnya ia adalah riwayat yang sama, kerana sanad (rantaian perawi) kedua-dua riwayat itu bertemu pada seorang Sahabat yang sama iaitu ‘Abd Allah Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma. Matan riwayat Al-Bukhari diriwayatkan melalui jalan sanad Nafi’ daripada Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma, manakala matan riwayat Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir itu pula diriwayatkan melalui jalan sanad Salim daripada Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma.

Mengikut kaedah ilmu hadith, kedua-dua riwayat Nafi’ dan Salim itu saling menyokong antara satu sama lain secara mutabaah (sokongan dalam konteks riwayat yang datang daripada Sahabat yang sama). Justeru oleh kerana kedua-dua riwayat itu pada hakikatnya adalah riwayat yang sama, maka kedua-dua matannya perlu dilihat sebagai penjelas maksud antara satu sama lain.

Dengan perkataan lain, matan riwayat Al-Bukhari menjadi penjelas kepada maksud matan riwayat Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir, sebagaimana matan riwayat Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir juga menjadi penjelas maksud matan riwayat Al-Bukhari.

Ini bermakna, perkataan Najd yang ada dalam matan riwayat Al-Bukhari menjadi tafsiran bagi maksud perkataan Iraq yang ada dalam matan riwayat Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir, sebagaimana perkataan Iraq juga menjadi tafsiran bagi maksud perkataan Najd. Berdasarkan hakikat ini, maka jelaslah bahawa perkataan Najd yang dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam doanya itu ialah negeri Iraq dan bukan daerah khusus yang terdapat di negara Arab Saudi yang dikenali sebagai Najd.

Maksud ini diperkuatkan lagi dengan matan riwayat Muslim, dimana Salim Ibn ‘Abd Allah Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah berkata:

يا أهل العراق! ما أسألكم عن الصغيرة وأركبكم للكبيرة! سمعت أبي، عبدالله بن عمر يقول:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: إن الفتنة تجئ من ههنا وأومأ بيده نحو المشرق من حيث يطلع قرنا الشيطان...

Maksudnya: “Wahai penduduk Iraq! Alangkah banyaknya persoalan kamu tentang perkara kecil dan alangkah banyaknya pula dosa besar yang telah kamu lakukan, aku mendengar ayahku (yakni) ‘Abd Allah Ibn ‘Umar berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya fitnah itu datang dari sebelah sini, lalu Baginda mengisyaratkan tangannya ke sebelah Timur, (arah) di mana terbitnya dua tanduk Syaitan…”[3].

Riwayat muslim ini jelas menunjukkan bahawa kata-kata Nabi SAW itu ditujukan kepada penduduk Iraq dan isyarat tangan Baginda itu juga ditujukan kepada negeri Iraq. Maka, berdasarkan keseluruhan riwayat-riwayat ini, dapatlah disimpulkan bahawa perkataan Najd yang terdapat dalam riwayat Al-Bukhari itu merangkumi seluruh negeri cIraq secara umum dan bukan menjurus kepada suatu tempat yang khusus di Negara Arab Saudi.

Maksud “Najd” Berdasarkan Huraian Para Ulama.

Selain pendekatan memahami hadith melalui perbandingan dengan riwayat-riwayat lain, maksud perkataan Najd juga dapat diperolehi daripada huraian para ulama terhadapnya. Dalam konteks ini, Al-Hafiz Ibn Hajar Al-’Asqalani rahimahullah memetik kata-kata Al-Khattabi rahimahullah (388H):

نجد من جهة المشرق، ومن كان بالمدينة كان نجده بادية العراق ونواحيها وهي مشرق أهل المدينة، وأصل نجد ما ارتفع من الأرض وهو خلاف الغور فإنه ما انخفض منها، وتهامة كلها من الغور ومكة من تهامة.

Maksudnya: “Najd itu di sebelah timur, sesiapa yang berada di Madinah maka najdnya ialah pendalaman negeri Iraq dan persekitarannya yang menjadi arah timur (bagi) penduduk Madinah. Ini kerana asal (perkataan) najd (dari segi bahasa) ialah kawasan tanah tinggi yang menjadi lawan kepada ghaur yang bermaksud kawasan tanah rendah (lembah), sedangkan Tihamah keseluruhannya adalah lembah dan Makkah pula termasuk sebahagian dari Tihamah”[4].

Kemudian, Al-Hafiz Ibn Hajar mengomentari kata-kata Al-Khattabi dengan katanya:

وعرف بهذا وهاء ما قاله الداودي إن نجدا من ناحية العراق فإنه توهم أن نجدا موضع مخصوص وليس كذلك بل كل شيء ارتفع بالنسبة إلى ما يليه يسمى المرتفع نجدا والمنخفض غورا.

Maksudnya: “Dan dengan ini dapat diketahui kelemahan pendapat Ad-Dawudi yang waham (menyangka) bahawa najd itu suatu tempat khusus di sebelah Iraq, sedangkan ia bukan sedemikian, bahkan setiap (tempat) yang tinggi berbanding sekelilingnya, (maka) dinamakan yang tinggi itu najd manakala yang rendah pula ghaur”[5].

Maksud “Najd” Dari Sudut Bahasa.

Sumber rujukan bahasa yang utama seperti Lisan Al-’Arab[6], Mu’jam Maqayis Al-Lughah[7] dan Al-Qamus Al-Muhit[8] telah mengesahkan bahawa makna asal perkataan najd ialah kawasan tanah tinggi, sama seperti yang telah dinyatakan oleh Al-Khattabi dan Al-Hafiz Ibn Hajar. Justeru gelaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada negeri Iraq dengan nama najd mesti dilihat sebagai penjelasan bagi bentuk muka bumi negeri berkenaan yang berada di kawasan tanah tinggi dan bukannya panggilan bagi suatu tempat yang khusus.

Maksud “Najd” Berdasarkan Fakta Sejarah.

Dalam hadith berkenaan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menggambarkan negeri Najd sebagai tempat yang banyak berlaku gempa bumi dan fitnah. Realiti sejarah telah membuktikan bahawa tempat yang banyak berlaku gempa bumi ialah kawasan sekitar negeri Iraq dan Iran.

Begitu juga dengan fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam, bermula dari zaman Sahabat sehinga ke hari ini, kebanyakannya berpunca di Iraq. Gerakan bughah (penentang khalifah), Khawarij dan Syiah pada zaman Khalifah ‘Uthman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhuma yang menjadi punca tercetusnya fitnah perselisihaan di kalangan umat Islam bermula di Kufah. Begitu juga Perang Jamal, Siffin, Nahrawan, fitnah pembunuhan Husain cucunda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, fitnah Mukhtar Ath-Thaqafi yang mendakwa kenabian dan serangan tentera Tartar pada zaman kerajaan Bani Abbasiyyah, semuanya berlaku di Iraq.

Dalam konteks sejarah perkembangan hadith, Kufah terkenal sebagai pusat penyebaran hadith palsu sehingga para perawi yang pergi dan datang dari sana di ‘kuarantinkan’ riwayat mereka oleh para ulama sebagai langkah berwaspada.

Manakala dalam konteks sejarah moden pula, dapat disaksikan bagaimana dahsyatnya peperangan antara Iraq dan Iran, diikuti oleh krisis perang Teluk pada tahun 1992 dan seterusnya penaklukan oleh Amerika yang berterusan hingga ke hari ini. Ini berlanjutan dengan peristiwa pembunuhan dan pengeboman di Iraq yang berlaku saban hari dan ketika, manakala kesan dari segala fitnah itu pula dirasai dan diratapi oleh umat Islam di seluruh dunia.

Semua fenomena yang berlaku di Iraq sejak dari dahulu sampai sekarang adalah suatu fitnah yang benar-benar menepati apa yang digambarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya itu. Bahkan banyak riwayat hadith sahih yang menunjukkan bahawa kemunculan Dajjal di akhir zaman juga berlaku di sebelah Iraq, iaitu di kawasan Asbahan dan Khurasan yang sekarang ini termasuk dalam sempadan negara Iran.

Maksud “Najd” Dari Sudut Geografi.

Dari sudut geografi pula, kawasan Najd yang meliputi daerah Hijaz dan Al-Yamamah (tempat lahir Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab) secara tepatnya terletak di sebelah Timur Makkah, dan bukannya di sebelah Timur Madinah. Justeru oleh kerana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengisyaratkan bahawa fitnah itu datang dari sebelah Timur Madinah, maka ia sudah tentu bermaksud negeri Iraq kerana ia sememangnya terletak pada arah yang berkenaan. Dengan mengambil kira tafsiran daripada keseluruhan riwayat hadith, penjelasan para ulama, asal usul bahasa, geografi dan realiti sejarah, maka sahlah bahawa perkataan Najd yang dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadith itu ialah negeri Iraq dan kawasan persekitarannya yang turut merangkumi negeri Iran pada masa kini.

Maksud “Najd” Dari Sudut Umum Atau Khusus.

Meskipun hadith itu menunjukkan kedudukan negara Iraq (dan sekarang termasuk Iran) sebagai tempat yang banyak menimbulkan fitnah bagi umat Islam, namun yang demikian itu langsung tidak menggambarkan kejahatan tempat tersebut secara umum. Ini kerana penentuan sesuatu tempat sebagai punca fitnah bukan bererti kecaman pada tempat tersebut secara mutlak, tetapi ia bermaksud kecaman pada suasana yang berlaku di tempat itu pada suatu masa yang tertentu[9].

Sesuatu tempat yang dianggap sebagai tidak baik tidak semestinya menggambarkan kejahatan seluruh penduduknya sepanjang masa, sebagaimana sesuatu tempat yang dianggap sebagai baik juga tidak semestinya menggambarkan kebaikan seluruh penduduknya sepanjang masa.

Justeru di samping fitnah yang banyak berlaku, negeri Iraq juga melahirkan ramai tokoh ulama Islam yang terbilang, bahkan Kota Baghdad pernah menjadi pusat pemerintahan dan perkembangan ilmu yang terbesar dalam sejarah tamadun manusia.

Demikian juga di samping kebaikan yang ada pada negeri Yaman, Syam, Makkah dan Madinah, fitnah masih tetap berlaku di negeri-negeri berkenaan pada masa-masa yang tertentu. Sebagai contoh, dari negeri Yaman puak Yahudi datang ke Madinah, dari negeri Yaman juga tentera bergajah Abrahah datang menyerang Makkah dan di negeri Yaman juga muncul Al-Aswad Al-’Anasi sebagai nabi palsu. Di negeri Syam pula muncul Luqait Al-Azdi sebagai nabi palsu dan di situlah tempatnya medan pertumpahan darah antara umat Islam, Yahudi dan Kristian kerana perebutan tempat suci. Negeri Makkah dan Madinah juga menyaksikan pertumpahan darah kerana menegakkan kalimah tauhid pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam meninjau-ninjau di atas sebuah tembok Kota Madinah Baginda bersabda:

إني لأرى الفتن تقع من خلال بيوتكم كوقع المطر.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat fitnah menimpa rumah-rumah kamu seperti titisan air hujan”[10].

Semua ini menggambarkan betapa kesucian sesuatu tempat bukan jaminan bagi terhindarnya fitnah. Demikian juga dengan kawasan-kawasan yang tidak disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai lokasi fitnah, seperti Amerika, Eropah, Afrika dan Asia Tenggara, bukanlah bermakna ia bebas daripada fitnah. Bahkan fitnah yang berlaku di India misalnya mungkin lebih banyak daripada yang berlaku di Iraq itu sendiri.

Kesimpulan lain yang dapat juga diambil daripada perbincangan ini adalah, jika diandaikan perkataan Najd yang dimaksudkan oleh Nabi merujuk kepada negara Arab Saudi yang meliputi daerah Hijaz dan Al-Yamamah (yakni tempat lahir Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab), maka yang demikian itu langsung tidak menggambarkan kecaman terhadap individu tertentu yang tinggal di sana.

Kedua: Maksud “Tanduk Syaitan”.

Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah mengemukakan empat pendapat yang berbeza bagi menjelaskan maksud ungkapan ‘tempat muncul tanduk syaitan’, iaitu[11]:

I. Sebagai kiasan bagi menggambarkan kekuatan Syaitan dan apa saja yang memohon pertolongan kepadanya (Syaitan) dalam penyesatan (manusia).

II. Bahawa Syaitan menyelaraskan tanduknya dengan (arah) Matahari ketika terbitnya, supaya penyembahan golongan penyembah Matahari akan terarah kepadanya.

III. Bahawa bagi Matahari itu ada Syaitan yang mana ia terbit antara dua tanduknya.

IV. Bahawa pada hari itu penduduk sebelah timur Madinah terdiri daripada golongan kafir, manakala fitnah yang pertama (fitnah pembunuhan ‘Uthman radhiallahu ‘anhum) datangnya dari sebelah Timur, dan ia menjadi sebab berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam, sedangkan perpecahan itu disukai dan digembirai oleh Syaitan.

Semua tafsiran di atas langsung tidak menunjukkan sasaran kepada mana-mana individu secara khusus.

[1] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Isma’il, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, 6: 2598, No: 6681. Tetapi dalam bab yang bermaksud: “Apa yang dikatakan dalam hal gempa bumi dan tanda-tanda Kiamat” beliau meriwayatkannya secara mauquf (terhenti setakat Ibn Umar radhiallahu ‘anhum) sahaja. Lihat rujukan yang sama, 1: 351, No: 990.

[2] Abu Nu’aim Al-Asbahani, Ahmad Ibn Abd Allah, Hilyah Al-Auliya’, Dar Al-Kitab Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1405H, 6: 133 dan Ibn ‘Asakir, ‘Ali Ibn Al-Hasan Ash-Shafi’ie, Tarikh Madinah Dimashq, Dar Al-Fikr, Beirut, Lubnan, 1995, 1: 130. Matan (lafaz) ini juga diriwayatkan oleh Ya’kub Al-Fasawi dalam Al-Ma’rifah, Al-Mukhallis dalam Al-Fawaid Al-Muntaqah dan Al-Jurjani dalam Al-Fawaid, Lihat: Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1996, 5: 271-302.

[3] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Tahqiq: Muhammad Fuad ‘Abd Al-Baqi, Dar Ihya’ At-Turath Al-’Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 4: 2229, No: 2905. Selain daripada riwayat Muslim ini, riwayat At-Tabrani juga jelas menyebut negeri ‘Iraq sebagai punca datangnya fitnah. Lihat: At-Tabrani, Sulaiman Ibn Ahmad, Al-Mu’jam Al-Kabir, Tahqiq: Hamdi ‘Abd Al-Majid As-Salafi, Maktabah Al-’Ulum Wa Al-Hikam, Mausil, ‘Iraq, 1984, 2: 54-55, No: 1270 dan 6: 91, No: 5608.

[4] Al-’Asqalani, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, 1379H, 13: 47.

[5] Al-’Asqalani, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, 1379H, 13: 47.

[6] Ibn Manzur, Muhammad Ibn Mukrim, Lisan Al-’Arab, Dar Sadir, Beirut, Lubnan, t.th, 3: 413-419.

[7] Ibn Faris, Ahmad Ibn Faris, Mu’jam Maqayis Al-Lughah, Dar Al-Jil, Beirut, Lubnan, 1991, 5: 392.

[8] Al-Fairuzabadi, Muhammad Ibn Ya’kub, Al-Qamus Al-Muhit, Muassasah Ar-Risalah, Beirut, Lubnan, 1987, Hal: 410.

[9] ‘Abd Ar-Rahman Ibn Hasan, Majmu’ah Ar-Rasail Wa Al-Masail, Dalam: Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2003, Hal: 282-283

[10] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Isma’il, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, 6: 2589, No: 6651.

[11] Al-’Asqalani, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, 1379H, 13: 46-47.


SUMBER

Monday, June 8, 2009

Kerajaan Perpaduan- Kelebihan Buat PAS?

Kerajaan Perpaduan adalah satu idea yang futuristik dari seorang Presiden Pas yang memandang jauh kehadapan yang mana ada ahli-ahli Pas masih tercari-cari jawapan yang sebenar,mengapa kerajaan perpaduan ini timbul dari mulut seorang Presiden PAS.
Kedudukkan kerusi Parlimen selepas PRU-12 ialah,,UMNO= 78,PAS= 23,PKR= 31 dan DAP= 28, dan dijangkakan UMNO akan kehilangan kerusi lagi pada PRU -13,maka jangkaan dan andaian yang di buat kerusi Parlimen selepas PRU ke 13 ialah tiada lagi parti yang dominan menguasai kerusi Parlimen,,di mana di jangkakan parti Umno akan terus merosot bilangan kerusinya dan parti-parti lain pula tiada yang paling dominan,



kemungkinan kedudukan kerusi PRU 13 ialah UMNO= 48, PAS= 53, PKR= 35,DAP = 30, maka ketika itu barulah kerajaan Perpaduan itu Relevan dan di sedari oleh ahli-ahli Parti Pas bahawa betapa pentingnya tidak menolak kerajaan perpaduan sebegitu awal.

Jika di tolak sedari awal bermakna ruang tertutup untuk berbincang dengan Parti-parti lain yang hampir mempunyai kerusi yang sama,dan ia akan memberi kesempatan dan Ruang kepada PKR untuk bekerjasama dengan UMNO.Tapi Presiden Pas yang berpandangan jauh melihat ia satu kelebihan bagi Pas jika idea ini di gembar-gemburkan.

Pas akan menjadi mutiara rebutan antara Parti-parti Politik di Malaysia selepas PRU ke 13 ketika itulah baru dapat di lihat siapa tunggang siapa dan siapa yang menrayu siapa untuk berkuasa.Jika kedudukan kerusi ramalan saya seperti di atas sudah tentu Parti-parti lain memberi kerusi PM kepada Pas walaupun ia hanya melebihi 3 atau 4 kerusi sahaja dari UMNO atau parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Secara logiknya Pas telah kehadapan dalam isu ini di mana isu perpaduan ini menyebabkan Pas Menjadi Parti yang berdiri sendiri tidak di tunggangan oleh Pakatan Rakyat dan juga Umno.Masa akan menentukan idea kerajaan perpaduan ini sangat relevan buat PAS.

Penganalisi Politik dari Univerisiti Malaysia,Dr.Abu Hassan Hasbullah berkata,idea kerajaan Perpaduan ini sangat tepat pada masanya kerana abad kini adalah abad pluralisma dalam esopocial ( Economy-Politik-Social ),manakala abad singular atau pendekatan primatif "memerintah dengan kelebihan undi walaupun 1 undi " akan gagal.
PAS Selangor pula sedar lebih awal dengan menyifatkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang di buat Presiden PAS,Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai satu cadanagan yang futuristik dan wajar di terima ahli Parti Pas.

Keputusan Kemenangan Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasharudin menjadikan Pas berdiri sendiri dengan megah sebagai Parti Politik yang tidak di tunggangi oleh mana-mana parti politik,Jika kemenangan Datuk Husam Musa dengan jelas ia akan menjadi tunggangan PKR secara tidak sedar,awasilah permainan politik.Idea kerajaan Perpaduan menyebabkan PAS akan di hormati dalam Pakatan Rakyat dan akan juga di hormati oleh UMNO,ini bermakna tiada siapa yang boleh menindas PAS, kerana PAS boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan siapa saje selepas ini.

Kerajaan Perpaduan sebenarnya akan menyebabkan peluang Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri musnah sama sekali.Datuk Seri Abduk Hadi Awang pula semakin cerah dan relevan sebagai PM malaysia ke 7.

Walluhualam...

Sunday, May 17, 2009

Orang Politik Memang ‘Pemurah Pahala’

Ramai orang politik memang pemurah. Semua orang cakap begitu. Sifat pemurah orang politik mempunyai banyak makna. Mungkin kerana ingin menolong orang lain disebabkan mereka merasakan mereka itu pemimpin. Mungkin juga kerana ingin menjaga undi dan sokongan. Sehinggakan Ketua Dewan Ulama PAS pun mengeluh tentang ‘unsur rasuah politik’ dalam partinya. Samada dinamakan rasuah atau apa sahaja; orang politik itukan pemurah?!



Sekalipun mungkin ada maknanya yang tersendiri. Ya! Kuasa, pengaruh, nama, pangkat dan segala yang berkaitan dengannya bukan mudah hendak dilepaskan, juga bukan mudah untuk diubati jika sudah mabuk. Benarlah kata tokoh umat Islam yang terbilang al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):

“Aku tidak melihat paling kurangnya kezuhudan itu melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Namun ramai orang politik dan ‘tidak politik’ bukan sahaja murah duit atau ‘harta dunia’ tapi juga murah pahala. Dengan mudah sahaja mereka memberikan ‘pahala’ mereka kepada orang lain, atau dengan mudah rela menanggung dosa orang lain jika mereka tidak dapat memberikannya pahala.

Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda :

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita selalu berusaha dan ingin mengelaknya. Malangnya, dalam kehidupan sesetengah ahli politik yang tidak berteraskan wahyu kita ada dapati bagi mereka memaki hamun orang, menuduh orang tanpa bukti, memakan harta orang atau rakyat, menumpahkan darah orang samada mencedera atau membunuhnya tanpa sebab yang diizinkan syarak bagaikan ‘rukun politik’ yang wajib dan ‘haram’ ditinggalkan. Lebih buruk lagi jika itu semua dihalalkan atas berbagai alasan.

Mengkritik dan memberikan pandangan berbeza dalam politik adalah tidak mengapa. Bahkan merupakan satu keperluan. Jika membabitkan hak rakyat, maka rakyat perlu dibela. Apatah lagi dalam ‘reka bentuk’ politik demokrasi yang diamalkan. Namun, memaki-hamun, mencerca, sehingga ada yang mencarut adalah bertentangan dengan syarak. Lebih buruk lagi ada yang mengutuk sifat peribadi orang lain yang Allah ciptakan seperti memperrsendakan ‘botak’, ‘hidung besar’, ‘mamak’ dan berbagai lagi. Makian, kutukan, sendaan itu dijadikan bahan ketawa yang ‘dikongsi dosa’ bersama pengikut dan penyokong.

Jika ada tuduhan terhadap musuh politiknya, belum pun ada bukti atau sokongan bukti, terus sahaja diperkatakan secara ‘yakin tanpa syak’. Bersorak sorai pengikut meraikan ‘kemurahan pahala’ orang politik. Sementara membelasah harta orang dilakukan oleh banyak pihak yang tidak jujur dan amanah. Namun, dalam banyak keadaan ramai orang politik yang mempergunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya. Demikian sejarah juga menunjukkan penumpahan darah dan penyeksaan ke atas hamba-hamba Allah yang lain sering mempunyai hubungan dengan politik.

Lebih buruk lagi, ada yang menghalalkan kesalahan-kesalahan tersebut atas alasan demi menegakkan kebenaran. Lalu dipetiklah kata-kata sarjana itu dan ini seperti al-Imam al-Ghazali dan al-Nawawi bagi menjustifikasikan perbuatan salah tersebut. Padahal jika dilihat kepada konteks huraian yang mereka sebutkan, bukan demikian maksudnya.

Mana mungkin mereka menghalalkan maki-hamun, carut-marut atau menuduh tanpa bukti atas alasan untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran apa jika begitu rupanya?! Peperangan mempertahankan agama yang dihalalkan Allah dan rasulNya pun, tidak dibenarkan kita melampaui batas, apakah kita boleh melampaui batas ketika berpolitik ?

Firman Allah : (maksudnya)

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampaui batas. (Surah al-Baqarah: ayat 190)

Saya masih teringat seorang penceramah politik tertentu, beliau juga terkenal dengan alunan zikir munajatnya. Semasa saya menjadi mufti, beliau berceramah atas pentas politiknya bersama dengan pendengarnya mengalunkan ‘istighfar dan zikirnya’. Habis sahaja ceramah beliau memaki hamun saya di atas pentas yang sama dengan menggelar saya ‘bapa syaitan’. Beliau mahu memancung saya dengan tuduhan saya akan menulis buku khas mengkritik partinya dan beberapa tuduhan lain yang tidak benar. Padahal buku tersebut tidak pernah muncul dan saya tiada cukup masa untuk itu. Saya hanya tersenyum sinis melihat rakaman tersebut dalam you-tube. Saya juga mungkin berterima kasih atas sedekahnya itu untuk saya yang kekurangan pahala ini. Cuma saya begitu kagum ; bagaimana politik boleh menukar watak manusia daripada berzikir kepada memaki hamun orang. Maka jangan hairan jika politik boleh menukar manusia menjadi pencerca, perompak harta, penyeksa bahkan pembunuh sekalipun. Ya, orang politik memang pemurah pahala.

Sikap tidak professional yang dilakukan oleh orang-orang politik seperti inilah yang membantutkan manfaat intelektual dan menyumbang kepada keretakan masyarakat. Malangnya, hal ini sering dilakukan oleh orang politik yang sedang berkuasa, juga yang ingin mendapatkan kuasa. Apa tidaknya, jika seseorang yang memberikan pandangan yang berbeza atau mengkritik dalam batasan yang wajar diambil tindakan, maka terbantut idea-idea yang baik.

Juga, apabila tindakbalas itu diambil dalam bentuk maki hamun, atau kezaliman yang lain, maka retak dan bergeserlah masyarakat. Sebab itu, saya dapati dalam negara kita ramai intelektual takut, atau tidak dilatih untuk memberikan pandangan ‘ketiga’ atau yang berbeza dengan ‘kumpulan-kumpulan politik’ yang ada. Ini kerana, jika kumpulan atau badan politik itu mempunyai kuasa kita akan diambil tindakan secara kuasa. Jika mereka belum berkuasa, senjata cercaan, makian dan kutukan akan digunakan yang menyebabkan banyak pihak tidak mampu menanggungnya.

Dengan itu, sifat murah pahala orang politik itu bukan sahaja untuk pesaing politik mereka, juga untuk sesiapa yang enggan akur kepada pandangan mereka, sekalipun tidak menyokong musuh mereka. Sehingga kadang-kala kita mungkin kecewa dan perit dengan sikap yang seperti itu. Namun Allah itu adil.

Sabda Nabi s.a.w :

“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).

Cumanya, jika kita semua ; samada kita orang politik atau tidak, merenungi hadis ini dan yang sebelumnya, mungkin kita akan tidak pemurah pahala lagi, atau akan kurang pemurah. Ini kerana setiap kita memang sukar untuk mengawal tabiat ‘boros pahala’ ini, namun mengingati hadis ini akan membataskan kita. Sifat pemurah memang dianjurkan oleh Islam kerana ia boleh membantu orang lain juga mengeratkan hubungan antara kita. Namun, jangan pemurah pahala kerana ia merosakkan orang lain dan meretakkan hubungan antara kita.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Sunday, May 3, 2009

Ketua Pemuda PAS Pusat yang baru?

Saya berpendapat keberanian Nik Abduh Nik Aziz, selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, dan Exco Dewan Pemuda Pas Pusat wajar dihargai oleh ahli-ahli PAS sempena pemilihan akan datang ini. Nik Abduh adalah pemimpin masa hadapan PAS yang jujur, serta sanggup menanggung risiko apabila 'menmeecelupkan' pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Saya tidak fikir beliau tergesa-gesa menulis entri tersebut (dalam blognya) seperti yang disangkakan. Nik Abduh menyatakan 'saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah.' Beliau tentulah arif, dan bijak. Sebagai 'ahlul bait Nik Aziz', Nik Abduh tentulah lebih faham dan dapat melihat dengan telus apa yang sedang mengasak Mursyidul Am sebuah parti Islam. Sahabat dan pembantu ayahandanya yang didakwa 'mengambil kesempatan' tentulah wajar dicegah. Kebenaran tentunya harus ditegakkan. Sebagai anakanda Mursyidul Am tentulah beliau lebih dekat berbanding pembantu bapanya (yang hanyalah sekadar pembantu). Keikhlasan hubungan darah tidak dapat memadam keakraban hubungan persahabatan. Kerana itulah saya rasai kejituan nukilan beliau: "Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan."



Kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Nik Aziz itulah kita dapat memahami kebimbangan, dan sekaligus keikhlasan beliau, seperti yang dicatatkannya lagi: "Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua berasa tidak tenteram. Saya menyerang pada puncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya, anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan". Kita berharap ahli PAS akan segera mengambil iktibar dan bertindak. Sahabat dan pembantu boleh sahaja ada muslihat tersembunyi, tetapi seorang ahli keluarga tentu tidak akan mengkhianati.






Tidaklah menghairankan orang seperti Nik Abduh akan dimomokkan dan disudutkan oleh sesetengah orang yang ingin menutup kebenaran. Begitulah sejarah terdahulu pernah mengambil tempat. Saudara tentu faham apa maksud saya. Kena tepat. Saya kira beliau tidak perlu menamakan sesiapa, kerana tujuan beliau bukanlah melakukan 'pemenggalan politik'. Sekadar misalan; ahli keluarga Rasulullah saw dahulu, misalnya mempunyai maklumat yang cukup mengenai musuh-musuh dalam selimut baginda, tetapi memilih untuk 'tidak menamakan siapa orangnya secara terbuka'. Justeru, saya kira Nik Abduh hanya menulis untuk mendedahkan keadaan ini, kerana itu sahaja cara yang terlihatkan. Untuk yang makan cili tentunya merasa pedas.
Ini juga menunjukkan PAS lebih transparen dari parti-parti lain.
Sesungguhnya dalam kekaburan mencari Ketua Pemuda PAS Pusat yang baharu, kemunculan berharga Nik Abduh ini wajar disambut dan disahut dengan pantas oleh ahli yang masih menyayangi kepimpinan ulama. Kita mengalu-alukan dan berterima kasih dengan kesungguhan beliau.
Hari ini saya berdoa semoga beliau akan diberi tempat yang wajar di dalam PAS dan segala kekeruhan yang berkocak akan kembali jernih. Ini kerana, dalam kekalutan parti-parti di luar sana, PAS mampu menyinar dengan modal moral. Pemuda seperti beliaulah yang dapat kita harapkan untuk memulihkan semula sinar dan keserian kepimpinan ulama yang telah dikotori kumpulan Islam Liberal dalam PAS.

Sekian,

Terima kasih.

Wednesday, April 29, 2009

Ustaz Fadhil Dan Perubahan Umat

[artikel ini ditulis oleh DR MAZA hampir sembilan tahun lalu (tahun 2000) dalam Majalah Tamadun semasa beliau masih pelajar di IIUM. Semasa itu al-marhum Dato’ Fadhil Noor masih hidup. Tulisan disiarkan semula sekadar bahan bacaan ‘sejarah’ yang pernah ditulis oleh DR MAZA semasa belum memiliki Ph.D, belum menjadi pensyarah universiti, mufti dan belum dikenali seperti sekarang]

Y.B Dato’ Fadhil Noor terkenal sebagai tokoh yang terbuka dalam menilai keadaan dan suasana. Wataknya ini telah banyak mencetus rentak perubahan berfikir sebahagian mereka yang jumud. Saya menyanggap beliau sebagai tokoh politik pro-Islam yang moderat.

Baru-baru ini saya agak tertarik dengan kenyataan Y.B Dato’ Fadhil Noor, dalam suatu temuramah dengan beliau oleh wakil malaysiakini mengenai penubuhan negara Islam.

Kata beliau: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi. Kita perlu mencari strategi bertemu dengan rakyat supaya ia dapat diterima oleh semua pihak”

Mungkin ada sebahagian di kalangan yang kurang faham menganggap Ustaz Fadhil dengan kenyataan ini seolah-olah mula longgar dengan perjuangannya. Namun bagi yang mengkaji nas-nas Islam secara meluas dan mendalam akan menilai kenyataan ini, sebagai suatu kenyataan.yang pengucapnya memahami tabiat Islam.

Golongan yang gopoh, yang berkempen negara Islam tanpa ilmu yang masak, seperti yang menghafal sepatah dua ayat dan berceramah tidak mungkin dapat mengucapkan satu unggapan yang begini. Ucapan ini lahir daripada memahami hakikat dan tabiat din yang sebenar.

Kita perlu faham bahawa di dalam agama ada perkara yang sebut sebagai adillah qat`iyyah iaitu dalil-dalil yang putus yang hanya memberi suatu makna jelas yang tidak difahami selain makna tersebut yang ianya juga qat`iyyah al-thubut iaitu yang sampai kepada kita secara mutawatir.

Dan ada pula yang disebut sebagai adillah zanniyyah ianya boleh ditafsir lebih dari satu makna dan kepastian tentang ketulenannya juga zan (tidak putus) atau kita katakan tidak sampai ke darjat mutawatir.

Bahagian inilah yang mencetuskan khilaf pendapat di kalangan ulamak mujtahidin.Dalam hukum-hakam dan dalil-dalil syarak kebanyakan adalah zaniyyah dalam ertikata ianya boleh menyebabkan khilaf dalam memahaminya. Inilah yang disebut para penulis Usul al-Fiqh yang klasik mahu yang baru.

Kebanyakan hadith-hadith yang termaktub dalam kitab-kitab sahih mengandungi dalil-dalil zaniyyah, samada disebabkan ianya hadith-hadith aahad yang tidak sampai ke darjat mutawatir atau disebabkan ianya boleh difahami dengan berbeza-beza maksud”

Malangnya, ada yang dipanggil ustaz tetapi tidak dapat membezakan dua perkara di atas. Umpamanya, dalam suatu forum kebetulan saya salah seorang panelnya, seorang tokoh, beliau menyatakan Rasulullah dalam baiah tidak bersalam denga perempuan, itu adalah dalil qat`i haram bersalam dengan perempuan” Inilah tanda jahilnya dia terhadap maksud dalil qat`i. Saya bukan menyokong bersalam dengan perempuan ajnabi atau bukan mahram, tetapi ianya adalah masalah khilaf.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam dalam buku al-Fatwa al-Mu`asarah mengharuskannya. Itu adalah tarjih beliau disebabkan dalilnya tidak qat`i. Al-Syeikh `Abd al-Hamid Qafa mentarjihkan sebaliknya.

Semua kita yakin, perlunya ditegakkan kerana pemerintahan yang menjunjung titah perintah Allah dan RasulNya s.a.w. Namun strategi untuk sampai kepadanya memerlukan kebijaksanaan yang cukup. Apatah lagi Islam tidak menentukan suatu cara khusus dalam menegakkan daulah Islamiyyah.

Kita juga tidak dapat menerima kenyataan sebahagian orang yang menyatakan bahawa seperti mana Islam mengajar solat demikianlah juga Islam mengajar tentang pembentukan negara Islam. Ini tidak benar, solat diajar oleh Islam dari awal hingga akhir dengan tidak boleh kita membuat sebarang penambahan melebihi apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. kerana itu adalah bid`ah, adapun negara Islam, kita hanya diajar beberapa asas-asas utama sahaja dan baki adalah masalah ijtihadiyyah (ijtihad)

Kita juga perlu tahu bahawa zaman dan tempat tidak menentukan rupa bentu Islam, tetapi Islam meraikan perubahan manusia, tempat dan zaman. Inilah yang disebut oleh ulamak usuliyyin: Taghair al-Fatwa bi taghair al-Amkinah wa al-Azminah iaitu berubahnya fatwa disebabkan berubahnya tempat dan zaman. Umpamanya di dalam hadith-hadith yang sahih termasuk yang diriwayatkan oleh al-Bukhari Rasulullah s.a.w. melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari.

Pada tahun berikut para sahabat bertanya Nabi s.a.w.apakah mereka perlu buat seperti tahun lalu? Kata Nabi s.a.w.: Makan dan simpanlah kerana pada tahun lepas orang ramai dalam keadaan susah dan aku mahu kamu menolong mereka”. Dalam riwayat yang lain disebutkan disebabkan daffah iaitu orang ramai yang datang dari luar Madinah.

Jelas sekali bahawa adanya larangan Nabi s.a.w. disebabkan oleh keadaan tertentu atau punca tertentu yang sebut dalam usul al-Fiqh sebagai illah al-Hukum. Apabila hilang punca dikeluarkan sesuatu hukum maka hukum pun dipadamkan. Dengan itu, al-Imam as-Syaf`i sebagai tokoh terawal menulis dalam Usul al-Fiqh memasuk bab al-`Ilal fi al-Ahadith (`ilah-ilah di dalam hadith-hadith) dalam kitabnya al-Risalah.

Banyak lagi contoh-contoh yang lain di dalam hadith kalau nak disebutkan, yang menunjukkan perubahan zaman mengubah fatwa. Inilah juga amalan para sahabah yang menghukum beberapa perkara tidak sama seperti hukuman pada zaman Nabi s.a.w. disebabkan perubahan yang berlaku, umpamanya Saidina Umar tidak memberi zakat kepada golongan al-muallaf qulubhum (yang cuba didekatkan kepada Islam) pada zamannya sekalipun hak mereka disebut di dalam al-Quran dan mereka diberikan zakat oleh Rasulullah s.a.w..

Ini disebabkan perubahan keadaan dan suasana dengan kata Umar : Allah telah memuliakan Islam dan tidak memerlukan mereka!” Sesiapa yang ingin pendetilan dia boleh menyemak tuisan para ulama termasuk tulisan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah.

Para ulama ketika mengeluarkan pendapat, fatwa dan huraian juga melihat perubahan keadaan dan masa. `Umar bin `Abd al-Aziz ketika mentadbir Madinah hanya menuntut seorang saksi dan sumpah. Namun ketika di Syam beliau menuntut dua orang saksi disebabkan orang Syam tidak seperti orang Madinah. Inilah juga yang menyebabkan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah ketika mengulas hadith “Para pemimmpin itu dari kalangan Quraish” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhih: sanadnya jaiyyid) ialah disebabkan kerana ketika itu Quraish memilik kekuatan kaum dan puak.

Maka mana-mana bangsa dan individu yang mempunyai kekuatan seperti itu dia layak sekalipun bukan Quraish. Ini disebabkan beliau menilai punca lahirnya arahan Nabi s.a.w.
Begitu juga dalam hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dengan al-Tirmizi mensahihkannya, baginda Nabi s.a.w enggan menetapkan harga barang untuk para peniaga pada zaman baginda sekalipun diminta berbuat demikian.

Jika kita laksanakan hadith ini pada zaman ini dengan tidak ditetapkan harga siling untuk para pedagang pasti orang ramai akan kesusahan dan para peniaga akan bermaharajalela dengan menaikkan harga gula, beras, daging dan sebagainya mengikut kehendak mereka. Dengan itu para ulama menyatakan Rasulullah s.a.w tidak menetapkan harga disebabkan tidak ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian ketika itu.

Para fuqaha mengizinkan untuk para pemerintah mentapkan harga jika perlu. Ini dibahaskan oleh mereka termasuk al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Turuq al-Hukmiyyah, bahkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa menyatakan kadang-kala wajib ditetapkan harga jika keadaan menuntut demikian.

Apa yang saya ingin nyatakan ialah kita perlu menilai perubahan kerana ini tuntutan Islam itu sendiri. Islam agama yang hidup setiap masa dan zaman. Barangkali inilah yang menyebabkan Ust. Fadhil menyebut: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi”

Sebenarnya dalam banyak keadaan, melaksanakan Islam pada zaman ini jauh lebih susah daripada zaman lampau. Memegang Islam bagaikan memegang bara yang panas. Umpamnya, riba dengan mudah sahaja diharamkan pada zaman Nabi .s.a.w.. Dengan penegasan baginda s.a.w., para sahabah berhenti berurusan dengan riba dan negara bersih dari riba. Namun pada zaman ini pengharaman riba memerlukan usaha yang jauh lebih besar dan susah. Ianya bukan hanya melibatkan individu, tetapi bank-bank, bukan sahaja bank-bank biasa tetapi juga Bank Negara, bank negara pula berusan dengan bank-bank di peringkat antarabangsa yang mengamalkan riba. Usaha kita perlu jauh lebih besar.

Dalam keadaan sekarang jika kita ingin menguasai syarikat-syarikat besar dan utama yang menentukan kepentingan umat seperti elektrik negara, air negara dan seumpamanya, terpaksa terjerumus ke dalam kancah riba. Jika dibiarkan pula golongan pihak lain akan mengambilnya dan masa depan umat dalam bahaya. Inilah menyebabkan beberapa tokoh ekonomi Islam seperti al-Syeikh Mustafa al-Zarza, mengizinkan penglibatan muslim dalam hal yang sebegini.

Pemikiran dan kefahaman terhadap agama perlu mendalam dan jauh menjangkau agar Islam tidak dipinggirkan dan dianggap tidak mampu. Usaha mengujudkan daulah Islamiyyah yang memayungi umat adalah kewajipan kita. Namun usaha ke arah itu perlu dengan kefahaman yang mantap terhadap ruh syariat.


SUMBER

Monday, April 27, 2009

PAS menuju kemusnahan

Tajuk yang saya pilih memang ingin mengejutkan orang orang PAS yang sedang tidur. Sekian ramai orang PAS masih tidak memahami bahawa PAS hanyalah satu wadah dalam memperjuangkan Islam. PAS hanyalah satu parti sedangkan Islam adalah agama. Sebab itu banyak ahli PAS sendiri kurang faham bila Tuan Guru Nik Aziz mencabar UMNO “mari kita bubar UMNO dan PAS , dan tubuh parti lain yang memperjuangkan Islam”.

Seruan ini umpama serampang dua mata. Di samping mencabar UMNO, ia juga untuk memberi faham untuk membuang ketaksuban melulu.

Bila disebut PAS hanyalah sebuah parti maka sudah tentu tidak sunyi dari cubaan dan dugaan seperti lumrah parti parti di dunia ini. Untuk memelihara konsisten ahlinya sangatlah rumit. Ramai ahli PAS hanya saban hari seronok mendengar ceramah. Seronok dengan sentimen yang dimainkan tetapi jarang sangat yang memberi impak kepada cara pemikiran. Masih ramai ahli PAS masih melihat ’siapa yang berkata’ tetapi tidak melihat ‘apa yang dikata’.

Kerana itu jika sekiranya orang yang berkata adalah orang yang tidak dikenali maka mulalah merasa tidak setuju dan sebagainya. Tambah tambah lagi kalau yang disebut adalah keburukan dan kelemahan dalam PAS.

Ada setengah ahli PAS berkata, pertandingan adalah sesuatu yang lumrah di dalam PAS. Ini kerana PAS terbuka. Memang betul pertandingan adalah bagus tetapi nampaknya ramai ahli PAS tidak sensitif dan tidak tahu betapa teruknya setengah ahli PAS sekarang. Sepertimana juga satu ketika pernah pemimpin pemimpin PAS menafikan tentang perpecahan di dalam PAS. Tetapi pada masa yang sama diadakan satu perkampungan di Pantai Chenang Langkawi bertujuan untuk merapatkan kembali saf kepimpian PAS.
Kalau tidak ada perpecahan kenapa perlu rapatkan saf?

Begitu juga tentang trend pencalonan sekarang. Banyak tempat seperti ingin melagakan TG Haji Hadi dan TG Nik Aziz. Banyak pencalonan seolah olah menggambarkan TGHH membuat berbagai kesilapan. Alangkah besarnya kesilapan TGHH sehinggakan dia seolah-olah dibenci oleh orang-orang PAS. Padahal yang pincangnya adalah rasa benci yang berlubuk dihati sanubari orang orang ini. TGHH hanya mengemukakan idea. Idea boleh diterima atau ditolak. Yang anehnya idea ini telah membuat dia tidak disukai oleh setengah orang. Siapa orang ini? Orang yang telah dipengaruhi oleh anasir anasir yang ingin mendatangkan perpecahan di dalam PAS.

Yang paling anehnya, dua orang tuan guru yang disegani cuba dilagakan. Cubalah ahli PAS renungkan sendiri dari jenis apakah hati anda? Pejamkan mata anda dan berfikir sejenak, apakah faedahnya anda melagakan dua tokoh pemimpin anda sendiri?

Berselisih pendapat tidak salah. Kerana itu adalah keindahan di dalam Islam. Tetapi bila hati anda rasa marah dan hilang hormat pada pemimpin anda sendiri maka di situlah salahnya. Anda yang salah. Sifat anda seperti melihat satu keburukan yang sangat kecik menjadi besar sehingga membutakan anda melihat berpuluh puluh kebaikan yang lain. Begitulah anda memandang pemimpin yang dulu anda sendiri sayangi dan sanjungi.

Tentang anasir anasir yang ingin melaga lagakan pemimpin pemimpin pun masih ramai ahli PAS yang tidak ingin ambil tahu. Sekarang telah keluar kenyataan dari anak TGNA sendiri. Kalau orang lain yang memberitahu tentu ramai ahli PAS masih menafikan dan marah bila menyatakan. Ustaz Nik Abduh Nik Aziz sangat sayang dan hormat pada TG Haji Hadi. Apatah lagi pada ayahandanya sendiri TG Nik Aziz. Sifat sayang inilah yang mempengaruhi pertimbangan yang seadilnya dalam pertembungan dua tokoh tersebut.

Sepatutnya ahli ahli PAS kena ada perasaan sayang pada kedua dua tuan guru tersebut. Barulah tidak timbul rasa marah dan rasa kurang hormat pada salah seorang dari mereka. Umpama anda sayang kedua ibu dan ayah anda, barulah segala kesilapan yang ibubapa anda lakukan, anda dapat terima dengan hati yang terbuka.

Janganlah anda menjadi seperti seorang yang seolah olah sangat gerun bila disebut ‘neraka‘ tetapi pada masa yang sama anda masih berperangai seperti orang yang layak berada di dalamnya. Begitu juga dengan tajuk yang saya tuliskan, jika sekiranya kehancuran sangat jauh dan sangat dibenci oleh ahli ahli PAS , maka bermuhasabahlah dan bertaubatlah. Rapatkan kembali saf anda.

Baca tulisan Ustaz Nik Abduh: http://nikabduh.wordpress.com/2009/04/24/kerja-kerja-bodoh-dalam-pas/