Labels

Friday, April 4, 2008

Pengampu Dan Penasihat Yang Membawa Malapetaka.


Pengampu Dan Penasihat Yang Membawa Reba Dan Rebah

Posted on Mar 23, 2008 by syeikhsifu.


Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Saya pernah menyebut dalam satu tulisan yang lepas tentang nasihat Syaiban al-Ra‘i kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”. Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”.

Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”. Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.

Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Para penasihat yang jujur yang memberitahu hakikat yang sebenar, -sekalipun boleh menimbulkan keresahan- adalah lebih baik untuk seseorang pemimpin daripada pengampu yang membohonginya sehingga dia buta dengan keadaan negara dan rakyatnya. Penasihat yang jujur akan memberitahu hakikat yang sebenar tentang suasana negara, rakyat dan tanggungjawab itu semua di hadapan Allah sekalipun mungkin akan menimbulkan ketakutan kepada seorang pemimpin.

Dengan ketakutan itu, pemimpin membaiki diri dan keadaan, maka ketakutan akan bertukar menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Adapun pengampu, demi kepentingan diri, kedudukan dan harta yang diharapkan dari pemimpin, maka mereka akan mendendang lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur dibuai mimpi indah sehingga akhirnya ketakutan pun menjelang tiba. Hanya cerita-cerita indah sahaja yang sampaikan ke telinga pemimpin, lalu pemimpin pun gembira dan buta hakikat sebenar rakyatnya.

Saya teringatkan kisah dongeng raja telanjang yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak. Kononnya, ada seorang raja yang gilakan pakaian yang cantik-cantik. Lalu muncul beberapa orang penipu yang kononnya boleh menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya. Raja pun bersetuju. Mereka meminta beberapa hari untuk menenunnya di sebuah bilik di istana. Saban malam raja tersebut melawat hasil kerja yang sedang ditenun mereka.

Namun, beliau tidak melihat sebarang benang atau kain yang terhasil, sebaliknya hanya tenunan kosong semata. Apabila raja bertanya, mereka menjawap: “jika tuanku tidak nampak, menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang merbahaya dan boleh membawa maut”. Dalam ketakutan raja menjawap: “Ya, saya nampak, alangkah cantiknya”.

Demikianlah juga menteri-menteri dan para pengiring raja juga mengaku perkara yang sama, kerana ingin mengampu raja. Sehingga pada hari yang dijanjikan, raja pun memakai pakaian yang tidak wujud itu dan disarungkan secara tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu raja memuji keindahan pakaian yang tidak wujud itu, padahal raja sedang bertelanjang.

Apabila raja keluar menemui rakyat, maka semua mata terbeliak dan mulut ternganga. Raja menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah. Tiba-tiba beberapa budak kecil menjerit: “Hei! Lihat! Raja kita sedang bertelanjang”. Maka semua rakyat ketawa. Barulah raja tahu bahawa dia telah ditipu oleh ‘taukeh-taukeh’ tenun dan para pengampu yang berada di kelilingnya. Namun masa telah terlambat, dia telah dimalukan di hadapan rakyat.

Walaupun cerita ini dongeng, namun janganlah ia menjadi realiti dalam dunia politik kita hari ini. Seorang pemimpin amatlah malang jika dia ditipu oleh para pengampu sehingga akhirnya dia ditertawakan oleh rakyatnya dek kesilapan yang dilakukannya. Atau dia dibenci oleh rakyatnya, kerana dia ditipu oleh para pengampu konon rakyat sentiasa puas hati dan sukakannya.

Sebab itulah, dosa para pengampu amatlah besar. Dengan nasihat yang buruk, jatuhnya kerajaan-kerajaan lampau dan akan datang. Tuan penasihat ‘dua puluh lima persen’ seperti dalam filem “Tiga Abdul” boleh menyebabkan orang yang dinasihati itu dijual secara lelong. Wahai pemimpin! Berhati-hati dengan para penasihat kalian!”.

Saya tertarik dengan perkataan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi apabila Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan meminta dia mensifatkan fitnah. Perkataan ‘fitnah’ seperti yang telah saya sebutkan bermaksud ketidak tenteraram, kekacauan atau hilang keamanan dan kedamaian. Kata al-Hajjaj: “Fitnah itu merebah dengan bisikan, ianya lahir dari aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).

Maka bisikan dan aduan rakyat bawahan janganlah dipandang ringan. Jangan pemimpin hanya akan mendengar aduan golongan koperat dan berpangkat semata. Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga seorang pemimpin jika dia hanya dikelilingi oleh manusia-manusia pengampu dan mencari kemewahan semata.

Jika seseorang ingin menjadikan jawatan kepimpinan sebagai tempat ‘makan angin’ dan santai maka dia seorang yang sangat fasik dan jahat. Pemecah amanah lagi khianat. Sabda Nabi s.a.w: “Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Media juga janganlah memperbodohkan rakyat dan menipu para pemimpin. Jangan hanya disiarkan berita mengampu semata, sebaliknya siarkan kisah duka dan derita rakyat. Kerana, jika tiada saluran untuk mereka meluahkan rasa, maka ianya akan menjelma dalam bisikan senyap dan aduan pada bukan tempatnya. Maka api fitnah akan merebah, lalu membakar keamanan masyarakat dan negara.

Jika sesuatu isu tidak adil untuk rakyat, janganlah media membuat pembohongan dengan menyiarkan temubual insan-insan yang terpinggir dari realiti sebenar. Lalu pemimpin atasan tertipu, rakyat rasa diperbodohkan. Lantas mereka menyimpan perasaan dendam. Lalu hilang kasih-sayang antara rakyat dan pemimpin akibat perbuatan para pengampu.

Wahai pemimpin, bukalah ruang seluas-luasnya untuk setiap orang mendapatkan haknya. Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa gangguan dan tekanan. Jangan pula hanya yang berharta boleh menuntut hak mereka, sementara yang miskin dan susah terpaksa merintih untuk mendapatkannya. Kata Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a.: “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201)

Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang kerahmatannya dirasai oleh setiap lapisan rakyat. Seperti kata Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah, katanya: “Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Jangan pula pemimpin hanya jadi godfather kepada taukeh-taukeh besar yang menjadi pengampu dan tidak mengambil pusing tangisan insan-insan bawahan. Apabila anda memimpin sebuah negara, maka seluruh rakyatnya adalah di bawah tanggung jawab anda. Jika tidak jangan mengidam jawatan kepimpinan. Wujudkan saluran yang ikhlas agar suara orang bawahan sampai ke pendengaran anda. Hapuskan para pembodek yang membohongi anda sehingga garam dikatakan gula, pasir dikatakan beras, tangisan rakyat diberitakan sebagai senyuman.

Saya sentuh tajuk ini kerana saya melihat yang cuba mencari sebab kenapa rakyat menolak mereka. Sesungguhnya sebab itu tidak dapat diperolehi, jika pemberi maklumat atau penganalis itu masih lagi membodek dan pengampu. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan selalu bercakap benar. Di situ akan terubatlah banyak luka dan cedera yang dialami.

Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantong’ dan kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’.

Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu’awiyah r.a. kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu’awiyah: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan.

Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya) (Sikap kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!“(Surah al-Hasyr: 16).

Dalam ayat lain Allah berfirman: (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya” (Surah al-Anfal: 48).

Ya Allah! Daku telah menyampaikan!!.

Dr Asri nasihat dan tegur TV3






27hb. Mac 2008

Penerbit Buletin Utama TV3,
Sri Pentas
No.3 Persiaran Bandar Utama,
47800 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

Assalamualaikum wbt

Tuan,

KEPERLUAN BERITA YANG SAHIH LAGI BERSIH DARI SEBARANG
PROVOKASI


Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara.
Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau
sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang
tidak adil terhadap mereka. Firman Allah dalam Surah al-Maidah:
8:(maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi
menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Dalam suasana negara sedang mengharungi kerencaman aliran politik dan
pemikiran pada mutakhir ini, saya mengharapkan agar sumber-sumber berita
sama ada TV, atau internet, akhbar dan seumpamanya bersifat adil dalam
menyiarkan sesuatu berita.

Sampaikanlah berita yang benar sekalipun mengenai pihak yang berbeza aliran dengan kita. Jauhi unsur-unsur prasangka dan provokatif. Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya. Biarlah rakyat yang
matang membuat penilaian setelah mendapat maklumat yang sahih. Jika
tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita
bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.


Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama
dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapat
kepercayaan umum.
Sekian,

DR. MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Ku Li senarai 3 punca utama Umno lemah.



From Detikdaily.com
Post by syeikhsifu
4/4/2008 1:15pm

Jadi, mesej atau isyarat pengundi agak terang dan jelas: Mereka mahukan perubahan kerajaan. Mereka mahukan kerajaan yang lebih cekap, telus, bersih, beramanah, adil dan pro-rakyat tanpa mengira kaum.

"Beberapa perkembangan yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 itu diadakan, memperkuatkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap keupayaan dan komitmen kerajaan BN untuk memerintah negara ini dengan cekap, bersih, amanah dan adil, untuk menyelesaikan masalah-masalah asas ekonomi, sosial, perumahan dan pendidikan rakyat miskin, untuk menghapuskan rasuah yang semakin menjadi-jadi di kalangan orang atasan dan yang berkuasa, termasuk dari kalangan wakil rakyat sendiri. - TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

TRANSKRIP penuh Ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kelantan, Semasa Merasmikan Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang, Bertempat Di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang Pada Hari Jumaat 4hb April, 2008, bersamaan 27hb Rabiulawal, 1429 Jam 10.00 pagi.

Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah Izin-Nya, kita semua dapat bertemu di perjumpaan ini pada ketika kita sedang menghadapi pengalaman yang sangat pahit dan membimbangkan kita semua, iaitu pengalaman buruk yang dilalui oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang baru lepas.

Sejak tertubuhnya UMNO pada 11 Mei, 1946, parti kebangsaan Melayu ini tidak pernah tercabar begitu hebat – dan teruk – seperti yang berlaku padanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 itu. UMNO lahir dari semangat perjuangan kebangsaan menentang muslihat dan gagasan British untuk menghapuskan kedaulatan bangsa Melayu, negeri Melayu dan raja Melayu di tanah air mereka sendiri.

Kita berjaya menumpaskan gagasan penjajah itu dan meneruskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan hanya dengan bersenjatakan semangat cinta kepada bangsa, agama, budaya dan tanah air.

Itulah agenda kebangsaan Melayu waktu itu dan itulah sumber kekuatan yang telah menyatukan bangsa Melayu sehingga kita akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan tanpa terpaksa berperang kerana pihak British menyedari bahawa bangsa Melayu waktu itu mempunyai kekuatan sejarah dan warisan yang kuat, dan sukar ditentang.

2. Kekuatan UMNO itu terbukti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pertama yang diadakan dalam tahun 1955. Parti Perikatan yang diterajui oleh UMNO dengan dukungan rakan-rakan dari MCA dan MIC mencapai kemenangan yang cemerlang.

Daripada 52 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan (sekarang Parlimen) yang ditandingi, Perikatan memenangi 51 kerusi dan menguasai lebih 2/3 atau hampir 95% kerusi Majlis Perundangan Persekutuan.

Yang penting kita ingatkan diri kita semula ialah, kerusi UMNO melebihi 2/3 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan dengan memenangi 33 kerusi.

Ini bererti bahawa kuasa politik Melayu pada waktu itu cukup kuat dan itulah salah satu asas ketuanan bangsa Melayu.

3. Malangnya kita tidak bertahan dan tidak mampu memperkukuhkan kedudukan itu dalam pilihan-pilihan raya berikutnya.

Empat puluh tahun kemudian, iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dalam tahun ini, UMNO jatuh tarafnya sebagai parti yang terkuat dan yang didukung oleh majoriti orang Melayu tiba-tiba jatuh menjadi parti yang kecil perwakilannya dalam Parlimen padahal parti ini adalah parti yang terbesar di negara ini, mempunyai 191 Bahagian di seluruh Malaysia dan jumlah anggotanya melebihi 3 juta orang.

UMNO cuma berjaya memenangi 78 buah kerusi Parlimen, menurun sebanyak 32 buah kerusi dari jumlah 110 buah kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-11.

4. Yang memeranjatkan kita ialah, parti baru, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi Parlimen. Dalam tahun 2004 parti ini cuma mempunyai seorang ahli Parlimen.

Daripada 31 ahli parlimen PKR itu, 18 ialah orang Melayu. PAS memenangi 23 kerusi. Dalam tahun 2004 parti ini mempunyai 6 orang ahli Parlimen sahaja. Akibatnya, BN kehilangan kuasa majoriti 2/3 majoriti dalam Parlimen.

5. Dua perkembangan lain yang tidak disangka-sangka oleh UMNO (tetapi mungkin tidak memeranjatkan orang lain) ialah pertama, jatuhnya empat buah negeri – Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang - ke tangan parti Pakatan Rakyat, iaitu gabungan parti PAS-PKR-DAP.

PAS di Kelantan menjadi bertambah kuat. Dan kedua, kalahnya banyak calon MCA, MIC dan Gerakan di tangan calon DAP dan PKR.

6. Itu petanda bahawa BN dan UMNO yang telah memerintah negara ini dengan tidak putus-putus sejak Merdeka atau sejak tahun 1955 tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia dari semua kaum.

Berdasarkan statistik tentang kadar jumlah undi popular seluruh rakyat Malaysia, didapati bahawa hanya 48% sahaja daripada pengundi seluruh negara yang menyokong (mengundi) BN, manakala jumlah undi popular seluruh negara yang menyokong parti-parti lawan ialah 52%.

Jadi, mesej atau isyarat pengundi agak terang dan jelas: Mereka mahukan perubahan kerajaan. Mereka mahukan kerajaan yang lebih cekap, telus, bersih, beramanah, adil dan pro-rakyat tanpa mengira kaum.

7. Beberapa perkembangan yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 itu diadakan, memperkuatkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap keupayaan dan komitmen kerajaan BN untuk memerintah negara ini dengan cekap, bersih, amanah dan adil, untuk menyelesaikan masalah-masalah asas ekonomi, sosial, perumahan dan pendidikan rakyat miskin, untuk menghapuskan rasuah yang semakin menjadi-jadi di kalangan ‘orang atasan’ dan yang berkuasa, termasuk dari kalangan wakil rakyat sendiri.

Kita sebut satu kes sahaja, iaitu kes yang berkaitan dengan ‘rakaman video Lingam’ yang didedahkan kepada Suruhanjaya yang dilantik untuk mendengar kes ini.

Segala cerita yang disampaikan kepada Suruhanjaya kes ini memperlihatkan kepada rakyat betapa korap dan lemahnya sistem pelantikan dan cara membuat keputusan mahkamah.

Bayangkan, seorang peguam bela dalam kes tertentu boleh menulis keputusan (‘judgement’) mahkamah dan hakim yang berkenaan hanya membaca keputusan yang telah disediakan oleh peguam itu.

Bayangkan juga, para tauke atau tauke judi boleh ‘campur tangan’ dalam soal pelantikan hakim.

8. Kes seperti ini tidak sahaja mengaibkan darjat hakim – hakim bangsa Melayu beragama Islam pula – tetapi ia dengan jelas memusnahkan kredibiliti kerajaan BN yang nampaknya membiarkan perkara-perkara yang buruk dan dahsyat itu berlaku terhadap sistem kehakiman negara.

Orang akan takut untuk menghadapi mahkamah yang dikendalikan oleh hakim yang boleh dibeli.

9. Ada beberapa kes lain – ada yang masih belum selesai, iaitu masih dalam proses pembicaraan – yang juga tidak kurang besar pengaruhnya terhadap sentimen dan pola pemilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Tidak usah saya sebutkan kes-kes itu – saudara sekalian yang membaca surat khabar tentu mengetahuinya. Apakah Respons Kita Terhadap Kemerosotan Kuasa Politik UMNO Ini?

10. Sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan BN mengalami ‘malapetaka’ politik yang dahsyat itu, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti untuk membincangkan sebab-sebab mengapa ‘malapetaka’ itu berlaku pada UMNO dan BN.

Tidak ada usaha untuk mengajak para perwakilan UMNO dari semua peringkat – peringkat Bahagian dan Cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, secara kritis tetapi tenang.

Matang dan rasional, tidak beremosi, dari hati ke hati sesama anggota parti sendiri, membincangkan ‘masalah rumah’ sendiri ini, dan mencari jalan yang baik dan benar dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan menghindari berlakunya kejadian yang lebih buruk lagi baik sekarang mahu pun dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

11. Kita mendengar bermacam-macam reaksi, pandangan dan keluhan, kritik dan tuduh menuduh dari orang-orang perseorangan UMNO, yang paling banyak ialah dari beberapa orang pemimpin dan menteri UMNO.

Ada yang mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak kalah, kita masih menang; ada yang berkata, ‘BN akan bangkit semula untuk menebus kekalahannya’; ada yang menyalahkan orang Melayu yang memilih parti lain, dan berkata orang Melayu itu ‘tidak mengenang jasa’ (tidak tahu saya ‘jasa siapa dan apa’); ada yang menyalahkan generasi muda Melayu kerana kononnya mereka ‘tidak faham perjuangan UMNO’ atau kerana mereka tidak mendapat berita, maklumat dan cerita yang sebenar tentang kerajaan, UMNO dan BN yang disiarkan dalam surat khabar arus perdana, tetapi membacanya dari blog-blog ‘anti kerajaan’ dan ‘anti UMNO’ dalam Internet.

12. Jadi, nampaknya, kita masih mengekalkan fiil dan budaya lama, fiil tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik. Kita mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan.

Para pemimpin parti – walaupun tidak semuanya – cuba menutup suara rakyat akar umbi UMNO, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka. Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi UMNO tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh UMNO sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani dengan sebaik-baiknya – mereka diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Apakah mereka tidak sedar bahawa yang menjadi punca besar kelemahan UMNO yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi UMNO tetapi ialah kelemahan kepimpinan UMNO, ini termasuk para menteri UMNO, yang setengah-setengahnya tidak mempunyai rekod peribadi, moral dan budaya yang baik.

Merekalah yang tidak mahu UMNO berubah; merekalah yang mahu kepimpinan UMNO yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.

13. Masalah UMNO bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli UMNO. UMNO bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’. UMNO ialah parti politik kebangsaan Melayu.

Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti ‘Tanah Air’.

Apabila UMNO tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat UMNO akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akan ditinggalkan oleh bangsa Melayu.

14. Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota UMNO sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya.
(Tiga Perubahan Besar Yang Harus Berlaku dalam UMNO)

15. Anggaplah masalah yang kita hadapi itu sebagai darurat UMNO. Untuk menangani sesuatu darurat kita perlu bertindak segera sebelum darurat itu merebak dan merosakkan seluruh asas tamadun dan perjuangan UMNO yang telah dibina sejak tahun 1946.

Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan UMNO yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup UMNO selama 60 tahun, untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan UMNO selama ini dan memikirkan visi baru UMNO untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Rakyat hari ini tidak sama lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas.

Harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka. UMNO perlu terus relevan dengan cita-cita, harapan dan tuntutan mereka.

16. Saya hendak menyentuh tiga perkara pokok yang saya anggap menjadi punca kelemahan UMNO, terutama mulai tahun 1980-an sehingga akhirnya menyebabkan UMNO (dan BN) nyaris-nyaris terlungkup dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pertama: Musnahnya Demokrasi dalam UMNO.

17. Ini bermula apabila Perlembagaan UMNO dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada Bahagian UMNO. Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 Bahagian daripada jumlah 191 Bahagian UMNO.

Tujuannya kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain.

Saya tidak fikir anggota UMNO yang tahu diri dan berbudaya dengan sesuka hati sahaja akan mencabar presiden UMNO, lebih-lebih lagi jikalau Presiden itu diketahui oleh semua anggota parti sebagai pemimpin yang baik, cekap, bijak, adil, bersih dan tegas.

Sebelum kuota itu diperkenalkan UMNO pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja. Ini ‘peraturan’ yang munasabah dan tidak terlalu ‘undemocratic’.

18. Parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri, bagi saya, ini adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa.

Parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik.

Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti. Akibatnya parti menjadi beku.

Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik.

Orang lebih taat kepada pemimpin daripada kepada parti dan perjuangan parti. Rasuah politik akan dan memang sedang berlaku dalam parti sebagai cara untuk membeli undi atau untuk mengekalkan kedudukan pemimpin yang lemah.

Maka lahirlah banyak ‘pak turut’ dan ‘tukang ampu’ dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.

19. Inilah keadaan yang berlaku dalam UMNO hingga sekarang. Setiap kali menjelang pilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden Parti, atau Timbalan Presiden, Ketua Wanita, atau Ketua Pemuda tidak ditandingi.

Sebenarnya mereka tidak berhak berbuat demikian. Memilih pemimpin parti dari peringkat Presiden hingga ke peringkat pemimpin akar umbi adalah hak anggota parti.

20. Jadi, untuk menyelamatkan UMNO dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam UMNO.

Saya mengesyorkan dua perubahan: Pertama, kuota yang ada itu dihapuskan dan kedua, parti hendaklah mengawal kerajaan.

21. Ahli UMNO yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh lebih berkuasa dari parti. Partilah yang seharusnya mengawal, memantau dan menilai prestasi mereka. Jika mereka menjalankan dasar yang bertentangan dengan dasar parti, mereka boleh dipersoalkan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Logik cadangan ini mudah dan jelas: Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri dari UMNO tidak akan memegang jawatan itu sekiranya mereka tidak lebih dahulu dipilih oleh perwakilan UMNO sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti dan oleh rakyat sebagai ahli Parlimen.

Kalau P.M yang juga Presiden UMNO menggubal dan melaksanakan dasar yang boleh menjahanamkan bahasa Melayu dan agama Islam, maka dia mesti ditegur dan didisiplinkan oleh parti. UMNO perlu mewujudkan mekanisme yang sesuai dan cekap untuk melaksanakan sistem ‘parti mengawal kerajaan’ ini.

Kedua, Dasar dan Visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat
sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

22. Dasar dan visi UMNO yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan Alif, Ba, Ta, seperti yang saya sebutkan tadi, tetap dipertahankan tetapi dalam soal untuk memajukan keadaan hidup ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, UMNO hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

Kita mahu UMNO menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan ‘visi tradisionalnya’: iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan. Dasar dan perjuangan parti UMNO ini tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.

23. Imej UMNO selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat kita bahagikan kepada tiga jenis: Pertama, imejnya kepada orang Melayu ialah: UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala. UMNO dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin. Ini memarahkan orang Melayu.

Di samping ini orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen UMNO untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu. Institusi Raja-Raja Melayu ialah institusi yang tertua di Tanah Melayu dengan usianya melebihi 700 tahun dan institusi inilah yang menjadi salah satu penyelamat tamadun Melayu walaupun kita dicabar oleh tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan British.

Negeri Melayu dan kedaulatan Melayu kekal sampai sekarang kerana adanya institusi ini sebagai penyelamat bangsa. Imej kedua ialah imej UMNO di mata orang bukan Melayu, iaitu: mereka menganggap UMNO ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain; UMNO dianggotai oleh orang Melayu yang ‘fanatik Melayu’, suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain, entah apalah sebabnya.

Imej UMNO yang ketiga ialah imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’ di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum. Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu.

24. UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. UMNO mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, kita lihat ada orang dari kaum India dan kaum Cina, misalnya, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS di kawasan kuat UMNO.

Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau di-Islamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada UMNO terhadap kaum bukan Islam.

Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin UMNO Kelantan.

25. Inilah cabaran yang dihadapi oleh UMNO hari ini. UMNO terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum. UMNO terpaksa menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Ketiga: perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan

26. Kita perhatikan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12, kelakuan beberapa calon UMNO tidak beradab. Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen UMNO memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit.

Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon Parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di K.L memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Aziz, MB Kelantan.

Bahkan seluruh jentera UMNO digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam.

27. Saya faham, PAS ialah parti lawan UMNO tetapi bukan itulah caranya orang Melayu-Islam cuba mengalahkan pihak lawan sesama bangsa dan sesama agama.

Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu – bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun – meluat dan menyampah dengan fiil dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng.

Akhirnya, kita kalah – kalah lebih teruk daripada dalam tahun 2004, bukan kerana dasar UMNO tidak baik tetapi kerana orang UMNO itu yang tidak baik, dan merekalah yang merosakkan imej parti.

28. Saya rasa kelakuan yang semakin biadab itu timbul daripada beberapa sebab, antaranya dapat kita sebut: (a) kerana terlalu yakin pada kekuatan parti – dan tidak nampak apakah kelemahannya – lalu orang-orang seperti itu berasa megah, berani bercakap besar dan memberi tahu pengundi ‘Aku akan menjadi Menteri Besar’ atau akan menjadi menteri jika dipilih; (b) ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik UMNO untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam UMNO untuk kepentingan kepimpinan, tidak untuk kepentingan rakyat dan anggota akar umbi UMNO. Jiwa dan roh Melayu orang UMNO mulai digantikan dengan ‘roh perut’. Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam UMNO.

29. Jadi, untuk menyelamatkan UMNO, kita kena buang segala anggota UMNO di atas itu yang jahat, yang korap, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana.

Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak diangkat oleh UMNO untuk menjadi pemimpin mereka.

Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai ‘roh atau semangat Melayu’ yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat.

Mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu.

30. Mungkin banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan oleh UMNO yang menjadi punca kelemahan UMNO. Kita tidak boleh menyerahkan semua perkara ini kepada beberapa orang pemimpin sahaja untuk memikirkannya.

Mereka boleh jadi tidak mempunyai ‘feed-back’ yang cukup, yang benar, yang ikhlas dari bawah, dari anggota akar umbi UMNO, untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku dalam UMNO yang menyebabkan parti nyaris-nyaris tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

31. Inilah sebabnya mengapa saya menggesa supaya Perhimpunan Agung Khas itu diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan.

Kita tidak mahu nanti perwakilan yang datang ke persidangan pemilihan itu datang seperti fiil lama, tidak mengetahui apakah kelemahan dan masalah UMNO, lalu mereka memilih atau disuruh memilih calon-calon yang sama, yang lemah untuk memimpin parti.

32. Kalau begitu gayanya, saya khuatir kita akan mengalami malapetaka yang lebih buruk lagi.

Aqidah Ahli Sunnah?




Aqidah Ahlussunnah wal Jama’ah Yang Bertentangan dengan Al-Qur’an

AI-Asy’ari sebagai pelopor mazhab al-Asya’irah kemudian dikenali dengan mazhab Ahlu Sunnah Wa I-Jama’ah, adalah seorang yang pernah hidup di abad ketiga Hijrah. Beliau dikatakan meninggal dalam tahun 330H? Ini bererti tiga abad selepas kewafatan Nabi Sawa orang-orang Islam tid­ak berpegang kepada mazhab al-Asya’irah atau mazhab Ahlu s-Sunnah Wa I-Jama’ah.

Menurut al-Syahrastani (w. 548H), bermulanya mazhab Ahlu Sunnah Wa I-Jama’ah apabila ai-Asy’ari berkecimpung dengan golongan al-Sifatiyyah (menetapkan sifat-sifat azaliyyah bagi Allah S.W.T) dan menyokong pendapat-pendapat mereka dengan hujah-hujah Ilmu I-Kalam. Dan semen­jak itulah nama al-Sifatiyyah bertukar kepada al-Asy’a’iyyah. (al-MiIal Wa n-NiIial, Cairo, 1968, I, him. 93)

Al-Asy’ari dalam Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilafal-Musalliyyin, Cai­ro, 1950, I, hIm. 320, apabila membicarakan tentang pendapat-pendapatnya alto akidah-akidahnya, dia menyebutkan “ini adalah sebahagian daripada pendapat (Qaul) Ashab al-Hadith dan Ahl al-Sunnah.” Sementara di dalam al-lbanah an Usul al-Diyanah, Cairo, 1385 H, him. 8, dia menyebutkan “ini adaIah pendapat (Qau[) Ahl al-Haq dan al-Sunnah.”

Di dalam kedua-dua kenyataan tersebut, dia tidak menyebut perkataan aI-Jama‘ah. Kemungkinan aI-Baghdadi (w.429H) adalah orang pertama di kalangan al-Asya’irah yang mengguna perkataan al-Jama’ah selepas per­kataan Ahlu s-Sunnah (Ai-Baghdadi, Al-Farq bain al-Firaq, Beirut, 1973, hIm. 304), kemudian diikuti oleh Al-Syahrastani (Al-Milal Wa n-Nihal, I, him. Ii). Al-Jama’ah yang hakiki, menurut Imam Ali A.S ialah bersama Ahli kebenaran sekalipun mereka itu sedikit. Al-Furqah (perpecahan) ialah mengikut AhI al-Batil sekaiipun mereka itu ramai (Qadhi Abd al-Jabbar, Fadhl al-I ‘tizal, Cairo, 1955, him. 185). Sementara al-Asy’ari al-Qummi (w.301H) berkata: al-Jama’ah iaiah golongan ramai, menyokong mana-mana pemerintahan tanpa mengira sama ada pemerintahan itu adil atau pun zalim. Mereka bersepakat (berjema’ah) bukan kerana keugamaan. Malah penger­tian al-Jama’ah yang sebenar bagi mereka adalah penpecahan (al-Furqah) kerana dendam mendendam berlaku sesama mereka terutamanya mengenai Tauhid, hukum-hukum, fatwa-fatwa dan lain-lain. Mereka bertengkar dan mengkafir sesama mereka (Kitab al-maqalat wa l-Firaq, Tehran, 1963, hlm.15)

Oleh itu tidak hairanlah jika al-Asy’ari sendiri bertelagah dengan Ahmad bin Hanbal mengenai perbincangan di dalam ‘ilmu l-Kalam, dia menulis buku al-Istihsan bagi menentang musuhnya Ahmad b. Hanbal, walaupun pada muIanya al-Asy’ari mengakuinya sebagai imam.Begitu juga pengikut ai-Hanbali mengkafirkan pengikut aI-Asy’ari kerana menyangka bahawa dia telah membohongi Rasul Sawa .Al-Asy’ari pula mengkafirkan Mu’tazilah dengan alasan mereka membohongi Rasul Sawa di dalam pengithbatan (Sifat) ilmu, qudrat dan lain-lain (ai-Ghazali, Fisal al-Tafriqah baina- I-Islam wa Zandaqah, Cairo, 1970, hIm. 126). A1-Asy’ari pula mengkafirkan Murji’ah (al-Maqalat, I, him. 202). Tindakan al-Asy’ari melahirkan perasaan tidak puas hati di kaiangan pengikut-pengikut Abu Hanifah. Lantaran itu mereka kemudian mengatakan Abu Hanifah seorang Murji’ah tetapi ianya adalah Murji’ah Ahlu s-Sunnah. Justeru itu tidak hairaniah jika al-Zamakhsyari (w.537H) memandang begitu negatif terhadap Ahlu s-Sunnah wa I-Jama’ah, malah dia menanamkan mereka al-Mujbirah (al-Kasysvaf, Cairo, 1 307H. I, him. 421). OIeh itu al-Jama’ah menurut pengertian yang kedua adalah simbol Perpaduan lahiriyah sesama mereka di bawah satu pemerintahan tanpa kaitan dengan keugamaan (Perpaduan Politik). Pada hakikatnya ia adalah perpecahan dan perselisihan dari segi hukum, fatwa dan lain-lain.

Walau bagaimanpun di sini dipenturunkan sebahagian daripada akidah al-Asy’ari dan ai-Asya’irah atau akidah-akidah Ahlu s-Sunnah wa l- Jama’ah yang bertentangan dengan al-Qur’an sepenti berikut:

1. Ja’fari:Allah tidak menghendaki orang-orang kafir menjadi kafir.

Al-Asy’ari: Allah (swt) menghendaki orang-orang kafir menjadi kafir dan mengunci hati mereka(al-Asy’ari, al-Ibanah, hlm. 10; al-Asy’ari, al-Maqalat, hlm. 321).

Lantaran itu pendapat ini adalah bertentangan dengan firman Allah (swt) dalam Surah al-Muddathir (74): 43-46, terjemahannya,”Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar?” Mereka menjawab:”Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan sembahyang, dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin, dan adalah kami membicarakan yang batil, bersama dengan orang-orang yang membicarakannya, dan kami mendustakan hari pembalasan.” Sekiranya Allah telah menghendaki mereka menjadi kafir - memasuki neraka, kenapa Dia pula bertanya,”Apakah yang memasukkan kamu ke neraka Saqar?” Dan orang-orang kafir pula akan menjawab: Kami memasuki neraka Saqar kerana kamu (Tuhan) telah menghendaki kami menjadi kafir? Dan Allah (swt) tidak bertanya di dalam firman-Nya dalam Surah al-Baqarah (2):28, terjemahannya,”Mengapa kamu (jadi) kafir (kepadaku)?.” Justeru itu jikalau apa yang dikatakan oleh al-Asy’ari itu betul, nescaya Tuhan tidak akan bertanya lagi kepada mereka kerana mereka telah dijadikan kafir oleh-Nya. Sedangkan Dia juga berfirman: Surah al-Zumar (39), terjemahannya,”Dan Dia tidak meredhai kekafiran bagi hamba-hamba-Nya.”

2. Ja’fari: Allah (swt) tidak akan menyiksa seseorang hamba kerana perbuatanNya padanya dan tidak akan mencelainya.

Al-Asyar’irah: Allah (swt) akan menyiksa seorang hamba di atas perbuatanNya, malah Dia menjadikan padanya kekafiran, kemudian menyiksanya (al-Milal wa n-Nihal, I, hlm. 96).

Oleh itu pendapat al-Asya’irah adalah bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-An’am (6):164, terjemahannya,”Dan tidaklah seseorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri, dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” Dan firman-Nya dalam Surah al-Fussilat (41):46, terjemahannya,”Dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menzalimi hamba-hamba-Nya.”Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan menyiksa seseorang kerana perbuatan orang lain.

3. Ja’fari: Taklif adalah mendahului perbuatan.

Al-Asya’irah: Taklif semasa melakukan perbuatan dan bukan sebelumnya (al-Milal Wa n-Nihal, I, hlm. 96).

Ini bererti seorang itu tidak menjadi penderhaka (’asi) kerana penderhakaan adalah menyalahi perintah. Dan jikalau penderhakaan tidak boleh berlaku melainkan semasa melakukan sesuatu, oleh itu masa penderhakaan ialah masa tidak melakukan sesuatu. Justeru itu ia (seseorang) tidak ditaklifkan (dibebankan) pada masa itu. Jika tidak, taklif mestilah mendahului perbuatan dan ini adalah bertentangan dengan mazhab mereka. Walau bagaimanapun al-’Isyan (penderhakaan) telah berlaku menurut al-Qur’an, firmanNya dalam Surah Taha (20):93, terjemahannya,”Maka apakah kamu (sengaja) menderhakai perintahku?,” firman-Nya dalam Surah al-Kahf (18):69, terjemahannya,”Dan aku tidak akan menderhaka (menentang)mu dalam sesuatu urusan,” dan firman-Nya dalam Surah Yunus (10):91, terjemahannya,”Apakah sekarang (baru kamu percaya) pada hal sesungguhnya kamu telah derhaka sejak dahulu.” Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa taklif adalah mendahului perbuatan. Justeru itu pendapat al-Asya’irah adalah bertentangan dengan nas.

4. Ja’fari: Allah tidak menjadikan kejahatan hamba-hamba-Nya tetapi mereka sendiri yang melakukannya.

Al-Asy’ari: Kejahatan hamba-hamba-Nya (Sayi’at al-’Ibad) dijadikan oleh Allah SWT, dan mereka tidak ada pilihan (al-Maqalat, I, hlm. 32; al-Ibanah, hlm. 10).

Lantaran itu pendapat al-Asy’ari adalah bertentangan dengan firman Allah dalam Surah al-Fussilat (41):46, terjemahannya,”Barang siapa yang mengerjakan amal soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang berbuat jahat maka (dosanya) atas dirinya sendiri; dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menzalimi hamba-hamba(Nya).” Ayat tersebut menerangkan bahawa kejahatan tidak dijadikan oleh Tuhan malah manusia yang melakukannya di atas pilihan mereka sendiri. Justeru itu pendapat al-Asy’ari tersebut menyalahi nas.

5. Ja’fari: Qudrat (kuasa) mendahului perbuatan.

Al-Asy’ari dan al-Asya’irah: Qudrat tidak mendahului perbuatan malah ia bersama perbuatan (al-Ibanah, hlm. 10; al-Milal wa n-Nihal, I, hlm. 96).

Ini bererti taklif di luar kemampuan, kerana orang kafir dibebankan (ditaklifkan) di luar kemampuannya dengan keimanan. Dan sekiranya ia mampu beriman semasa kafirnya, ini adalah bertentangan dengan mazhab mereka iaitu Qudrat bersama perbuatan, dan tidak mendahului perbuatan sebaliknya jika ia tidak mampu beriman, bererti taklif di luar kemampuan. Sedangkan Allah (swt) tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” Justeru itu Qudrat semasa melakukan sesuatu adalah bertentangan dengan akal dan nas.

6. Ja’fari: Allah SWT melakukan sesuatu kerana tujuan tertentu (gharad) menurut hikmah dan kemuslihatan orang-orang yang ditaklifkan.

Al-Asya’irah: Tidak harus bagi Allah (swt) melakukan sesuatu kerana tujuan dan kemuslihatan tertentu, kembali kepada hamba-hamba-Nya (Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Cairo, 1962, XVII, hlm. 11).

Ini memberi implikasi bahawa terdapat perbuatanNya yang sia-sia. Lantaran itu pendapat al-Asya’irah bertentangan dengan firman Allah (swt) dalam Surah al-Anbiya’ (21):16, terjemahannya,”Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.” Dan firmanNya dalam Surah Ali Imran (3):191,terjemahan,”Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia.” Oleh itu pendapat al-Asya’irah tersebut adalah menyalahi nas.

7. Ja’fari: Allah (swt) tidak membebankan (taklif) seseorang apa-apa yang ia tidak mampu, kerana membebankan seorang apa yang ia tidak mampu adalah terkeluar daripada Hikmah (kebijaksanaan) Allah (swt). Oleh itu adalah tidak harus bagiNya membebankan seorang yang lumpuh terbang ke udara, menghimpunkan dua perkara yang berlawanan supaya berhimpun, mengembalikan hari kelmarin, menurunkan bulan dan matahari dan lain-lain.

Al-Asya’irah: Allah (swt) membebankan seseorang apa yang ia tidak mampu (al-Milal wa n-Nihal, I, hlm. 96). Justeru itu pendapat al-Asya’irah adalah bertentangan dengan firman Allah (swt) dalam Surah al-Baqarah (2):286, terjemahannya,”Sesungguhnya Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang ia mampu,” dan iannya juga bertentangan dengan firman-Nya dalam Surah al-Kahf (18):49, terjemahannya,”Tuhan kamu tidak akan menzalimi seorang pun daripada kamu.”Justeru itu pendapat al-Asya’irah adalah bertentangan dengan nas.

8. Ja’fari: Nabi (Saw.) menghendaki apa yang dikehendaki oleh Allah (swt). Dia membenci apa yang dibencikan oleh Allah (swt) dan ia tidak menyalahi-Nya di dalam masalah Iradah dan Karahah (kebencian).

Al-Asya’irah: Nabi (Saw.) menghendaki apa yang dibencikan oleh Allah (swt). Dan ia membenci apa yang dikehendaki oleh Allah (swt). Kerana Allah (swt) menghendaki kekafiran daripada orang kafir, kemaksiatan daripada orang yang melakukan maksiat, kejahatan daripada penjahat, kefasikan daripada orang yang fasik (al-Ibanah, hlm. 10; al-Milal wa n-Nihal, I, hlm. 96). Sedangkan Nabi (Saw.) menghendaki ketaatan daripada mereka. Justeru itu al-Asya’irah adalah diantara apa yang dikehendaki oleh Allah (swt) dan apa yang dikehendaki oleh Nabi (Saw.). Oleh itu Allah (swt) membenci ketaatan daripada orang fasik, iman daripada orang kafir, tetapi Nabi (Saw.) sebaliknya menghendaki kedua-duanya.

Al-Asya’irah juga menyalahi di antara apa yang dibencikan oleh Allah (swt) dan apa yang dibencikan oleh Nabi SAWA. Lantaran itu mengikut al-Asya’irah, Allah (swt) tidak menghendaki taat daripada orang yang melakukan maksiat, sebagaimana dikehendaki oleh Nabi (Saw.). Oleh itu pendapat al-Asya’irah adalah menyalahi firman Allah (swt) dalam Surah al-Isra’(17):38, terjemahannya,”Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu,” dan firman-Nya dalam Surah al-Zumar (39):7, terjemahannya,”dan Dia tidak meredhai kekafiran bagi hamba-hamba-Nya.”

9. Ja’fari: Imamah dan Khilafah adalah sebahagian daripada rukun Islam, dan ianya berlaku melalui nas.

Al-Asy’ari: Ianya bukanlah sebahagian daripada agama (al-Din). Dan ianya berlaku melalui al-ittifaq (persetujuan) atau al-ikhtiyar (pemilihan) (al-Milal Wa n-Nihal, I, hlm. 103). Oleh itu persoalannya siapakah yang lebih berhak Khalifah tidaklah penting. Tetapi apa yang lebih penting baginya ialah siapakah yang telah memegang jawatan khalifah dengan cara tersebut. Dan ianya tidak ada kaitan dengan nas. Justeru itu pendapat al-Asy’ari adalah bertentangan dengan beberapa ayat al-Qur’an yang tidak memisahkan (Imamah) politik dengan agama, firman-Nya dalam Surah al-Baqarah(2):124, terjemahannya,”Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu imam bagi seluruh manusia.”Ibrahim berkata,”Saya memohon juga dari keturunanku.”Allah berfirman:”JanjiKu ini tidak meliputi orang yang zalim.” Dan firman-Nya dalam Surah al-Nisa’(4):59, terjemahannya,”Hai orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah Rasul-Nya dan Uli l-Amr daripada kamu,” kedua-dua ayat tersebut menunjukkan bahawa politik (Imamah) tidak terpisah daripada agama, kerana Dia mewajibkan ketaatan kepada Uli l-Amr sebagaimana Dia mewajibkannya kepada rasul-Nya ke atas umatnya. Justeru itu pendapat al-Asy’ari yang memisahkan politik (Imamah) dan agama adalah bertentangan dengan nas.

10. Ja’fari: Tidak mengakui kepimpinan orang yang tidak ada istiqamah dengan berpandukan al-Qur’an.

Al-Asy’ari: Mengakui kepimpinan mereka sekalipun tidak ada istiqamah (zalim) dan sekali-kali tidak boleh menentang mereka secara kekerasan, malah memadailah dengan berdoa untuk kebaikan mereka (al-Ibanah, hlm. 12; al-Maqalat, I, hlm. 324). Lantaran itu pendapat al-Asy’ari adalah bertentangan dengan firman Tuhan Surah Hud (11): 113, terjemahan,”Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim maka kamu akan disentuh api neraka.” Dan firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ (4):59, terjemahannya,”Hai orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah Rasul-Nya dan Uli l-Amr daripada kamu.” Uli l-Amr yang wajib ditaati selepas rasul-Nya ialah orang yang ada istiqamah, bukannya pelaku kezaliman. Lantaran itu tidak hairanlah jika pendapat al-Asy’ari diterima oleh pemerintah dan dijadikan akidah negara sepanjang abad.

11. Ja’fari: Penentangan kepada segala bentuk kezaliman sekalipun melibatkan peperangan adalah berterusan dengan apa cara sekalipun kerana ianya tuntutan Allah dan Rasul-Nya.

Al-Asy’ari: Peperangan (penentangan) di dalam keadaan fitnah hendaklah dihentikan (Tark al-Qital Fi l-Fitnah), (al-Ibanah, hlm. 12). Lantaran itu pendapat al-Asy’ari adalah bertentangan dengan firman Tuhan Surah al-Baqarah (2): 193, terjemahannya,”Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi….”Dan firmanNya Surah al-Hujurat (49): 9, terjemahannya,”Perangilah golongannya yang melakukan kezaliman itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah.” Justeru itu pendapat beliau itu adalah menyalahi nas.

12. Ja’fari: Tidak sah sembahyang di belakang Fajir (orang yang derhaka kepada Allah).

Al-Asy’ari: Sah sembahyang di belakang fajir. Beliau berpegang kepada perbuatan Abdullah bin Umar yang telah mengerjakan sembahyang di belakang al-Hajjaj(al-Maqalat, I, hlm. 324; al-Ibanah, hlm.12). Bagi al-Asy’ari al-Hajjaj adalah seorang fajir dan Abdullah bin Umar adalah seorang birr (yang baik). Walau bagaimanapun apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Umar tidak boleh dijadikan dalil atau bukti sahnya sembahyang di belakang fajir. Kerana ianya bertentangan dengan firman-Nya Surah al-Infitar (82): 14, terjemahannya,”Sesungguhnya Fujjar (orang-orang yang derhaka) benar-benar berada di dalam neraka,” dan firman-Nya dalam Surah Hud (11): 113, terjemahannya,”Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim (fajr), maka kamu akan disentuh api neraka.” Lantaran itu pendapat al-Asy’ari adalah menyalahi nas.

13. Ja’fari: Sahabat ada yang baik, ada yang jahat dan ada yang munafiq berdasarkan nas. Oleh itu mereka mestilah dinilai dengan al-Qur’an dan Sunnah Nabi (Saw.) yang tidak bertentangan dengan al-Qur’an secara keseluruhan. Segala pujian atau celaan Tuhan kepada mereka adalah daripada Sifat fi’l (sementara), bukan daripada Sifat Dhat (kekal). Lantaran itu ianya tergantung di atas kelakuan mereka sama ada menyalahi nas atau pun tidak.

Al-Asy’ari: Kepatuhan kepada semua Sahabat (Sa’ira Ashab al-Nabi) (al-Ibanah, hlm. 12) kenyataan al-Asy’ari memberikan implikasi:

a) Sahabat semuanya menjadi ikutan. Tidak ada perbezaan di antara Sahabat yang mematuhi nas, dan Sahabat yang menyalahi nas.
b) Mentaqdiskan (mensucikan) Sahabat tanpa menggunakan penilaian al-Qur’an, sedangkan banyak terdapat ayat-ayat al-Qur’an yang mencela perbuatan mereka, kerana mereka menyalahi nas (lihat umpamanya dalam Surah al-Juma’at (62): 11).
c) Mengutamakan pendapat sahabat daripada hukum Allah (swt) seperti hukum seorang yang menceraikan isterinya tiga kali dengan satu lafaz, jatuh satu menurut al-Qur’an dalam Surah al-Baqarah (2): 229, terjemahannya,”Talak (yang dapat dirujuk) dua kali.” Tetapi apabila Khalifah Umar mengatakan ianya jatuh tiga (al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 137), al-Asya’irah menerimanya dan dijadikannya “hukum” yang sah sekalipun ianya menyalahi nas (al-Farq baina l-Firaq, hlm. 301).
d) Mengutamakan Sunnah Sahabat daripada Sunnah Nabi (Saw.) seperti membuang perkataan Haiyy ‘Ala Khairil l-’Amal di dalam azan dan iqamah oleh khalifah Umar, sedangkan pada masa Nabi ianya sebahagian daripada azan dan iqamah. Begitu juga Khalifah Umar telah menambahkan perkataan al-Salah Khairun mina l-Naum (al-Halabi, al-Sirah, Cairo, 1960, II, hlm. 110).
e) Kehormatan Sahabat tidak boleh disentuhi oleh al-Qur’an, kerana mereka berkata: Semua sahabat adalah adil walaupun menyalahi al-Qur’an dan Sunnah Nabi (Saw.).
f) Menilai kebenaran Islam menurut pendapat atau kelakuan Sahabat, dan bukan al-Qur’an dan Sunnah Nabi (Saw.) yang sebenar. Mereka berkata kebenaran berada di lidah Umar. Lantaran itu mereka berpegang kepada pendapat Khalifah Umar yang mengatakan dua orang saksi lelaki di dalam talak tidak dijadikan syarat jatuhnya talak. Sedangkan Allah (swt) berfirman dalam Surah al-Talaq (65): 3, terjemahannya,” dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil.” Mereka juga berkata,” Iman Abu Bakr jika ditimbang adalah lebih berat daripada iman umat ini.” Sekiranya iman khalifah Abu Bakr itu lebih berat daripada iman keseluruhan umat ini termasuk iman Umar dan Uthman, kenapa tidak dijadikan kebenaran itu pada lidah Abu Bakr? Di tempat yang lain mereka berkata,” Nabi (Saw.) tidak segan silu kepada Abu Bakr dan Umar tetapi beliau malu kepada Uthman.”

Persoalannya, kenapa Nabi (Saw.) tidask malu kepada orang yang paling berat imannya di dalam umat ini? Dan kenapa Nabi (Saw.) tidak malu kepada orang yang mempunyai lidah kebenaran? Pendapat-pendapat tersebut telah disandarkan kepada Nabi (Saw.) dan ianya menyalahi nas dan hakikat sebenar, kerana kebenaran adalah berada di lidah Nabi (Saw.) dan al-Qur’an.
g) Meletakkan Islam ke atas Sahabat bukan Rasulullah (Saw.), mereka berkata: Jika Sahabat itu runtuh, maka runtuhlah Islam keseluruhannya lalu mereka jadikannya “aqidah” sedangkan Sahabat sendiri bergaduh, caci-mencaci dan berperang sesama mereka.
h) Mengamalkan hukum-hukum Sahabat (Ahkamu-hum) dan Sirah-sirah mereka adalah menjadi Sunnah Ahli Sunnah (al-Baghdadi, al-Farq baina l-Firaq, hlm. 309), sekalipun ianya bertentangan dengan nas, kerana “bersetuju” dengan Sahabat adalah menjadi lambang kemegahan mereka. Mereka berkata lagi:”Kami tidak dapati hari ini golongan umat ini yang bersetuju atau menyokong semua Sahabat selain daripada Ahlu s-Sunnah wa l-Jama’ah (Ibid, hlm.304). Lantaran itu Ahlu l-Sunnah adalah mazhab yang mementingkan “persetujuan” dengan Sahabat sekalipun Sahabat menyalahi nas.
i) Mempertahankan Sahabat sekalipun Sahabat menyalahi al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAWA dengan berbagai cara sekalipun. Jika seorang pengkaji ingin mengetahui kedudukan sebenar sahabat itu sebagaimana dicatat di dalam buku-buku muktabar, mereka berkata:” Ini adalah suatu cacian kepada Sahabat sekalipun ianya telah ditulis oleh orang-orang yang terdahulu.”

Mereka berkata lagi:”Kajian tersebut adalah merbahaya dan ianya merupakan barah kepada “aqidah” mereka, jangan dibiarkan ianya menular di dalam masyarakat.” Nampaknya mereka sendiri tidak dapat menilai bahan-bahan ilmiah sekalipun mereka berada di institusi-institusi pengajian tinggi. Sebaliknya apabila bahan-bahan ilmiah yang mencatatkan sahabat tertentu yang melakukan perkara-perkara yang menyalahi al-Qur’an, mereka menganggapnya pula sebagai cerita dongeng atau 1001 malam. Lihatlah bagaimana mereka menjadikan sahabat sebagai aqidah mereka wal hal ianya bukanlah dari rukun Islam dan rukun Iman! Akhir sekali mereka menyuruh “pihak berkuasa” supaya mengambil tindakan, kerana khuatir mereka tidak begitu mampu lagi untuk mempertahankan “aqidah” mereka yang bertentangan dengan al-Qur’an.

Oleh itu pihak berkuasa terus menerima cadangan tersebut, dan diletakkan pengkaji tersebut di kandang orang salah. Sebenarnya mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran al-Qur’an dan keadaan sebenar “umat manusia.” Mereka menganggapnya sebagai barah pada hakikatnya itulah penawar. Tetapi ianya tidak dapat diketahui dan dinilai oleh orang yang tidak mempunyai fikiran yang luas dan mendalam. Wahai Tuhanku! Di manakah keadilan di dunia ini!

14. Ja’fari: Memihak kepada Sahabat yang benar di dalam semua perkara.

Al-Asy’ari: Berkecuali, tidak memihak kepada mana-mana sahabat sekiranya berlaku pertelingkahan atau peperangan di kalangan mereka (al-Ibanah, hlm. 12; al-Maqalat, II, hlm. 324). Lantaran itu pendapat al-Asy’ari adalah bertentangan dengan firman Allah (swt) dalam Surah al-Hujurat (49):9, terjemahannya,”Dan jika ada dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah,” dan ianya juga bertentangan dengan firmanNya dalam Surah Hud (11): 113, terjemahannya,” Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, maka kamu akan disentuh api neraka.” Lantaran itu pendapat al-Asy’ari adalah menyalahi nas kerana tidak ada pengecualian di dalam menyokong kebenaran.

15. Ja’fari: Allah (swt) tidak dapat dilihat di dunia dan di akhirat kerana Dia bukan jism dan setiap yang bukan jism tidak dapat dilihat.

Al-Asy’ari: Allah SWT dapat dilihat di akhirat firmanNya dalam Surah al-Qiyamah (75): 22-23, terjemahannya,” Wajah-wajah pada hari itu berseri-seri kepada Tuhannyalah ia (Wajah-wajah) melihat.” Al-Asy’ari mengatakan Allah dapat dilihat di akhirat seperti dilihatnya bulan penuh purnama (al-Ibanah, hlm. 10; al-Maqalat, I, hlm. 321).

Sebenarnya apa yang dipegang oleh al-Asy’ari itu adalah ayat Mutasyabihah. Oleh itu ianya hendaklah dirujuk kepada ayat Muhkamah iaitu firman-Nya dalam Surah al-An’am (6): 103, terjemahannya,”Dia tidak dapat dicapai penglihatan, sedang Dia dapat melihat segala yang kelihatan; dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” Dan juga ianya hendakklah dirujuk kepada firman-Nya dalam Surah al-A’raf (7): 143, terjemahannya,”Dan tatkala Musa datang pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa,”Ya Tuhanku, nampaklah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat Engkau.” Tuhan berfirman,”Kamu sekali-kali tidak dapat melihatku (Lan tara-ni), tetapi lihatlah ke bukit, maka jika ia tetapi di tempatnya nescaya kamu dapat melihatku.” Tatkala Tuhannya nampak bagi bukit itu, maka bukit itu hancur lebur dan Musa pun jatuh pengsan.”

Ayat tersebut menunjukkan:
a) Allah tidak dapat dilihat kerana Tuhan berfirman,”Sekal-kali (Lan tara-ni) kamu tidak akan melihatKu.”
b) Allah mengaitkan “penglihatan” kepada perkara yang mustahil iaitu sekiranya bukit itu tetap. Tetapi terbukti ianya hancur lebur.
c) Permintaan Musa untuk melihat Tuhan adalah di atas desakan kaumnya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ (4): 153,”Ahli Kitab meminta kepadamu agar menurunkan kepada mereka sebuah kitab dari langit. Maka sesungguhnya mereka telah meminta kepada Musa yang lebih besar dari itu. Mereka berkata: perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata.” Maka mereka disambar petir kerana kezaliman. Lantaran itu Allah tidak dapat dilihat di dunia dan di akhirat.

16. Ja’fari: Amalan baik (ta’at) seorang mukmin berhak diberi pahala jikalau tidak, ianya menjadi sia-sia dan kezaliman dikaitkan kepada Allah (swt) .

Al-Asy’ari: Amalan baik yang dilakukan oleh seorang mukmin belum tentu mendapat pahala daripada Allah (swt) .

Sebaliknya ia boleh dimasukkan ke neraka tanpa mengira kebaikannya. Dan Tuhan pula tidak boleh dikatakan zalim jika Dia berbuat demikian (al-Maqalat, I, hlm. 322; al-Milal wa n-Nihal, I, hlm. 101). Ini bererti orang yang paling tinggi takwanya seperti Nabi (Saw.) belum pasti ianya ke syurga atau orang yang paling jahat seperti Fir’aun belum tentu dia dimasukkan ke neraka. Lantaran itu pendapat al-Asy’ari adalah bertentangan dengan firmanNya dalam Surah al-Qasas (28): 84, terjemahanya,”Barang siapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya.” Dan firmanNya dalam Surah al-An’am (6): 160, terjemahannya,”Barang siapa membawa amal yang baik baginya (pahala) sepuluh kali ganda, dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat maka Dia tidak memberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya.”

Oleh itu pendapat al-Asy’ari tidak memberangsangkan seseorang mukmin supaya melakukan amalan yang lebih baik kerana belum pasti, dia akan mendapat pahala. Sebaliknya ia merangsangkan orang fasiq untuk meningkatkan kefasikannya kerana belum pasti, dia akan dimasukkan ke neraka.

17. Ja’fari: Perbuatan manusia bukan al-Jabr (terpaksa menurut apa yang telah “ditetapkan” oleh Allah (swt) dan bukan al-Tafwid (diberi kebebasan mutlak) tetapi ianya di antara kedua-duanya.

Al-Asy’ari: Perbuatan manusia dijadikan oleh Allah (swt) (makhluqah) (al-Ibanah, hlm. 9; al-Maqalat, I, hlm. 321)

Al-Asy’ari berpegang kepada Surah al-Saffat (37): 96, terjemahannya,”Dan Allah telah menjadikan kamu dan apa yang kamu buat.” Sebenarnya ayat tersebut adalah menunjukkan keingkaran Allah (swt) terhadap perbuatan penyembah-penyembah berhala kerana mereka mengukir berhala-berhala mereka dari batu dan kayu kemudian menyembahnya pula. Sedangkan kayu-kayu dan batu-batu tersebut adalah kejadian Allah (swt) .

Dan jikalaulah ianya sebagaimana yang dikatakan oleh al-Asy’ari ini bererti Tuhan tidak akan menyiksa hamba-hamba-Nya kerana perbuatanNya. Jika tidak, Dia tidak menepati janji-Nya dan Dia dikatakan zalim. Justeru itu ianya bertentangan dengan firman-Nya dalam Surah Taha (20): 15, terjemahannya,”Tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.”Dan firmanNya dalam Surah al-An’am (6): 160, terjemahannya,”Barang siapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalannya dan barang siapa yang membawa amal yang jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya. Sedangkan mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).” Oleh itu jika seorang itu dipaksa (majbur) di dalam perbuatannya, nescaya ia mempunyai hujah yang kuat di hadapan Allah (swt) apabila Dia mahu menyiksanya di atas perbuatan maksiatnya yang telah dikehendaki oleh Allah SWT, kerana dia tidak diberi pilihan untuk tidak melakukannya.

Kerumitan yang dihadapi oleh al-Asy’ari mengenai “perbuatan manusia adalah perbuatan Allah (swt)” agak ketara dan beliau cuba mencipta teori al-kasb atau al-iktisab (usaha), tetapi ia bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah, malah ianya bertentangan dengan formulanya sendiri; kekafiran dan kejahatan dikehendaki Allah. Beliau memberi definisi al-iktisab sebagai perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan kuasa baru (qudrah muhdathah) selepas Allah SWT menjadikan perbuatan tersebut (al-Maqalat, hlm. 199; al-Asy’ari, al-Luma’, Cairo, 1955, hlm. 97). Atau Allah menjadikan perbuatan dan seseorang itu (al-Abd) berusaha (muktasib) untuknya.” (al-Milal wa n-Nihal, I, hlm. 96).

Persoalannya bagaimana seorang itu dapat melakukan al-kasb atau al-iktisab (usaha) menurut pilihannya sedangkan usahanya (al-kasb) itu sendiri adalah penerusan daripada perbuatan Allah (swt) yang telah menetapkan kekafiran, kefasikan dan kejahatan hamba-hambaNya? Oleh itu, teori al-kasb atau al-iktisab yang diciptakan oleh al-Asy’ari kemudian diikuti pula oleh al-Asya’irah (al-Baghdadi, al-Farq baina al-Firaq, hlm. 328), nampaknya tidak dapat melepaskan mereka daripada fahaman Jabariyyah (al-Allamah, Ja’far Subhani, Ma’alim al-Tauhid, Tehran, 1980, hlm. 308) kerana mereka percaya bahawa tidak ada mu’aththir (pelaku) yang sebenar selain daripada Allah SWT.

Justeru itu perbuatan manusia bukanlah al-Jabr (terpaksa menurut apa yang telah ditetapkan Allah (swt) , dan bukan juga al-Tafwid (diberikan kebebasan mutlak), tetapi ianya di antara kedua-duanya. Lantaran itu Imam Ridha AS berkata:”Sesiapa yang menyangka bahawa Allah membuat perbuatan kita, kemudian Dia menyiksa kita kerana perbuatanNya, maka dia telah berkata (Fahaman) Jabariyyah dan sesiapa yang berkata bahawa Allah telah menyerahkan perbuatan dan rezeki kepada manusia, maka dia berkata dengan (Fahaman) al-Tafwid (Mu’tazilah) (Akhbar ‘Uyun al-Ridha, Tehran, 1980, hlm. 325). Oleh itu manusia mestilah melakukan amalan yang baik untuk mendapat ganjaran sebagaimana dijanjikan oleh-Nya. Sebaliknya manusia mestilah mejauhkan amalan maksiat kerana dengannya ia disiksa. Imam Musa al-Kazim AS berkata:”Maksiat sama ada datang daripada Allah, justeru itu hamba tiada kaitan dengannya, dan Dia tidak akan menyiksa hambaNya. Atau ianya daripada hambaNya. Atau ianya bersyarikat dengan Allah (swt) . Oleh itu sekutu yang lebih kuat (Allah (swt) ) tidak akan menyiksa sekutu yang lebih lemah (manusia) dengan dosa yang mereka berdua lakukan bersama (Yusuf al-Najafi, al-Aqa’id al-Imamiah, Najaf, 1982, hlm. 64).

Di sini diperturunkan sebahagian daripada ayat-ayat al-Qur’an yang bertentangan dengan aqidah-aqidah al-Asy’ari dan al-Asya’irah atau aqidah-aqidah Ahlul Sunnah Wa l-Jama’ah secara langsung seperti berikut:

Pertama: Ayat-ayat yang menunjukkan celaan kepada hamba-hamba-Nya kerana kekafiran dan kemaksiatan

1.Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah (2): 20, terjemahannya,”Mengapa kamu (jadi) kafir (kepadaKu?)”Keingkaran dan celaan kepada orang yang lemah atau tidak mampu beriman kepada-Nya adalah mustahil.

2.Firman-Nya dalam Surah al-Kahf (18); 55, terjemahannya,”Dan tidak ada sesuatupun yang menghalangi manusia dari beriman, ketika penunjuk telah datang kepada mereka.” Bagaimana Dia mencela orang kafir jika mereka tidak mampu beriman.

3.Firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ (4): 39, terjemahannya,”Apakah kemudharatannya bagi mereka kalau mereka beriman kepada Allah.”

4.Firman-Nya dalam Surah Sad (38): 75, terjemahannya,”Apakah yang menghalang kamu sujud.”

5.Firman-Nya dalam Surah Taha (20): 92, terjemahannya,”Apa yang menghalang kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat.”

6.Firman-Nya dalam Surah al-Muddathir (74): 49, terjemahannya,”Maka mengapa mereka (orang-orang kafir) berpaling dari peringatan (Allah)?”

7.Firman-Nya dalam Surah al-Insyiqaq (84): 20, terjemahannya,”Mengapa mereka tidak mahu beriman.” Firman-Nya dalam Surah al-Taubah (9): 43, terjemahannya,”Semoga Allah memaafkan kamu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang).”

8.Firman-Nya dalam Surah al-Tahrim (66); 1, terjemahannya,”Mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagimu.” Bagaimana harus Dia berkata: Mengapa kamu lakukan? Sedangkan dia tidak melakukannya.

9.Firman-Nya dalam Surah Ali Imran (3): 71, terjemahannya,”Mengapa kamu mencampuradukan yang haq dengan yang batil.”

10. Firman-Nya dalam Surah Ali Imran (3): 99, terjemahannya,”Mengapa kamu menghalang-halangi dari jalan Allah…?”

Lantaran itu tidak hairanlah jika al-Sahib bin ‘Abbad (w. 995M), Perdana Menteri di bawah Muayyid al-Daulah berkata: Bagaimana Dia menyuruh seorang supaya beriman tetapi Dia tidak menghendakinya? Dia melarang kemungkaran dan Dia menghendakinya? Dia menyiksa orang yang melakukan kebatilan sedangkan Dia telah menetapkannya? Bagaimana Dia memalingkannya daripada keimanan? Sedangkan Dia berfirman dalam Surah Yunus (10): 32, terjemahannya,”Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)? Dia menjadikan pada mereka kekafiran kemudian Dia berfirman dalam Surah al-Baqarah (2): 28, terjemahannya,”Mengapa kamu (jadi) kafir (kepadaku?).” Dia mencampuradukkan kebatilan pada mereka, kemudian Dia berfirman dalam Surah Ali Imran (3): 71, terjemahannya,”Mengapa kamu mencampuradukkan yang haq dengan yang batil?”

Dia telah menghalangi mereka dari jalan benar, kemudian Dia berfirman dalam Surah Ali Imran (3): 99, terjemahannya,”Mengapa kamu menghalang-halangi dari jalan Allah?”

Dia telah mendindingkan mereka daripada keimanan kemudian Dia berfirman dalam Surah al-Nisa’(4): 39, terjemahannya,”Apakah kemudharatannya bagi mereka, kalau mereka beriman kepada Allah?”

Dia menghilangkan kewarasan mereka, kemudian berfirman dalam Surah al-Takwir (81): 26, terjemahannya,”Maka kemanakah kamu akan pergi?”

Dia menyesatkan mereka daripada ugama sehingga mereka berpaling kemudian Dia berfirman dalam Surah al-Muddathir (74): 49, terjemahannya,”Maka mengapa mereka (orang-orang kafir) berpaling dari peringatan (Allah)?”

Kedua: Ayat-ayat yang menunjukkan pilihan hamba-hamba pada perbuatan-perbuatan mereka dengan kehendak mereka sendiri

1.Firman-Nya dalam Surah al-Kahf (18): 29, terjemahannya,”Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Fussilat (41): 40, terjemahannya,”Perbuatan apa yang kamu kehendaki.”

3.Firman-Nya dalam al-Taubah (9): 105, terjemahannya,”Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu.”

4.Firman-Nya dalam al-Muddathir (74): 37, terjemahannya,”Bagi siapa yang di antaramu yang berkehendak akan maju atau mundur.”

5. Firman-Nya dalam Abasa (80): 12, terjemahannya,”Maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah ia memperhatikannya.”

6.Firman-Nya dalam al-Muzzammil (73): 19, terjemahannya,”Maka barangsiapa yang menghendaki nescaya ia menempuh jalan (yang menyampaikannya) kepada Tuhannya.”

7.Firman-Nya dalam Surah al-Naba’ (78): 39, terjemahannya,”Maka barangsiapa yang menghendaki, nescaya ia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya.”

Dan sesungguhnya Allah SWT mengingkari orang yang menafikan kemahuan (al-masyi’ah) daripada diri mereka dan mengaitkannya kepada Allah Ta’ala:

8.Firman-Nya dalam Surah al-An’am (6): 148, terjemahannya,”Orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, akan mengatakan: Jika Allah menghendaki, nescaya kami tidak mempersekutukannya.”

9.Firman-Nya dalam dalam Surah al-Zukhruf (43): 20, terjemahannya,”Dan mereka berkata: Jika Allah Yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyalah mereka (mala’ikat).”

Ketiga: Ayat-ayat yang menyuruh hamba-hamba yang melakukan amalan-amalan dan bersegera melakukannya

1.FirmanNya dalam dalam Surah Ali Imran (3): 133, terjemahannya,”Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Ahqaf (48): 31, terjemahannya,”Sahutilah dan berimanlah kepadaNya.”

3.Firman-Nya dalam Surah al-Anfal (8): 24, terjemahannya,”Sahutilah seruan Allah dan Rasul.”

4.Firman-Nya dalam Surah al-Hajj (22): 77, terjemahannya,”Hai orang-orang yang beriman, rukuklah dan sujudlah kamu.”

5.Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah (2): 21, terjemahannya,”Sembahlah Tuhanmu.”

6.Firman-Nya dalam Surah al-Isra’ (17): 107, terjemahannya,”Berimanlah kamu kepada-Nya.”

7.Firman-Nya dalam al-Zumar (39): 55, terjemahannya,”Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu.”

8.Firman-Nya dalam Surah al-Zumar (39): 54, terjemahannya,”Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu.”

Bagaimana Dia menyuruh melakukan ketaatan dan bersegera kepadanya sedangkan orang yang disuruh itu ditegah, tidak mampu untuk melakukannya?

Keempat: Ayat-ayat yang memberangsangkan supaya memohon pertolongan denganNya

1.Firman-Nya dalam Surah al-Fatihah (1): 5, terjemahannya,”Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Nahl (16): 98, terjemahannya,”Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari Syaitan yang terkutuk.”

3.Firman-Nya dalam Surah al-A’raf (7): 128, terjemahannya,”Mohonlah pertolongan kepada Allah.”

Sekiranya Dia telah menjadikan kekufuran dan kemaksiatan sebagaimana didakwa oleh al-Asya’irah atau Ahlul Sunnah wa l-Jama’ah, bagaimana pertolongan dan perlindungan diminta daripadaNya?

Kelima: Ayat-ayat yang menunjukkan sandaran perbuatan kepada hamba

1.Firman-Nya dalam Surah Maryam (19): 37, terjemahannya,”Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah (2): 79, terjemahannya,”Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka.”

3. Firman-Nya dalam Surah al-An’am (6): 148, terjemahannya,”Kami tidak mengikuti kecuali persangkaan belaka.”

4. Firman-Nya dalam Surah al-Anfal (8): 53, terjemahannya,”Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkannya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

5.Firman-Nya dalam Surah Yusuf (12): 18, terjemahannya,”Sebenarnya diri kamulah yang memandang baik perbuatan (buruk) itu, maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku).”

6.Firman-Nya dalam Surah al-Ma’idah (5): 30, terjemahannya,”Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah.”

7.Firman-Nya dalam Surah al-Tur (52): 21, terjemahannya,”Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

8.Firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ (4): 123, terjemahannya,”Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan kejahatan itu.”

9. Firman-Nya dalam Surah Ibrahim (14): 22, terjemahannya,”Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku.”

10.Firman-Nya dalam Surah al-Kahf (18): 7, terjemahannya,”Agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.”

11.Firman-Nya dalam Surah al-Jathiah (45); 21, terjemahannya,”Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh?”

12.Firman-Nya dalam Surah al-Sad (38): 28, terjemahannya,”Patutkah kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Patutkah (pula) kami menganggap orang-orang yang bertaqwa sama dengan orang-orang yang berbuat baik?”

13.Firman-Nya dalam Surah al-Najm (53): 31, terjemahannya,”Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang mereka telah kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).”

14.Firman-Nya dalam Surah Fussilat (41): 46, terjemahannya,”Barangsiapa mengerjakan amal saleh, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa yang berbuat jahat maka (dosanya) atas dirinya sendiri.”

15.Firman-Nya dalam Surah Taha (20): 82, terjemahannya,”Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat beriman, beramal saleh kemudian tetap dijalan yang benar.”

Bagaimana Dia menyuruh dan melarang tanpa orang melakukannya? Jikalaulah begitu keadaannya, maka ianya sepertilah menyuruh dan melarang al-Jamad (benda yang tidak bergerak)! Nabi SAWAW bersabda:”Niat seorang mukmin adalah lebih baik daripada amalannya (al-Muttaqi al-Hindi, Kunz al-Ummal, III, hlm. 242).

Keenam: Ayat-ayat yang menunjukkan pengakuan para nabi ke atas amalan-amalan mereka:

1. Firman-Nya (Surah al-A’raf 7:23) terjemahannya:’Ya Tuhan kami,kami telah men ganaya dir kami sendiri’
.2. Firman-Nya(Surahal-Anbiya’21:87) terjemahannya:’Maha Suci
Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang- orang zalim’.

3.Firman-Nya (Surah al-Qasas 28:16) terjemahannya:’Ya Tuhan sesungguhnakutelah menganiaya diriku sendiri’.

4. Firman-Nya (Surah Yusuf 12:18) terjemahannya:’Sebenarnya

dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk)

itu”

5.Firman-Nya (Surah Yusuf 12:100) terjemahannya:’Setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku’.

6.Firman-Nya (Surah Hud 11:47) terjemahannya: ‘Nuh berkata: ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dan memohon kepada Engkau seperti yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya’.

Ayat-ayat di atas menunjukkan pengakuan para nabi A.S.di atas per­buatan-perbuatan mereka dan merekalah yang melakukannya, tidak Se­bagaimana pendapat al-Asya’irah atau AhIu s-Sunnah Wa I-Jama’ah yang menyatakan Allah telah menjadi perbuatan-perbuatan mereka sehingga mereka tidak mempunyai pilihan. Pengakuan kesalahan tersebut adalah dari bab “Hasanat al-A brar Sayyi ‘at al-Mu qarrabin

Ketujuh: Ayat-ayat yang menunjukkan pengakuan orang-orang kafir dan penderhaka di atas perbuatan mereka

1.Firman-Nya dalam Surah Saba’ (34): 31-32, terjemahannya,”kalau kamu lihat ketika orang-orang yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhan mereka….”Kamikah yang telah menghalangi kamu dari petunjuk sesudah petunjuk itu datang kepadamu? Sebenarnya kamu sendirilah orang-orang yang berdosa.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Muddathir (74): 43- 46, terjemahannya,”Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar?” Mereka menjawab:”Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”

3.Firman-Nya dalam Surah al-Mulk (67): 8-9, terjemahannya,”Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka:”Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?” Mereka menjawab:”benar ada”, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kamu mendustakannya.”

4.Firman-Nya dalam Surah al-A’raf (7): 37, terjemahannya,”Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah atau mendustakan ayat-ayatNya? Orang-orang itu akan memperolehi bahagian mereka di dalam al-kitab.”

5.Firman-Nya dalam Surah al-A’raf (7): 39, terjemahannya,”Maka rasakanlah siksaan kerana perbuatan yang telah kamu lakukan.”

Kelapan: Penyesalan orang-orang kafir di akhirat di atas kekufuran mereka dan menuntut supaya dikembalikan di dunia

1.Firman-Nya dalam Surah Fatir (35): 37, terjemahannya,”Dan mereka berteriak di dalam neraka itu:”Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan apa yang telah kami kerjakan.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Mukminun (23): 99, terjemahannya,”Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang aku tinggalkan.”

3.Firman-Nya dalam Surah al-Sajdah (32): 12, terjemahannya,”Dan jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata):”Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”

4.Firman-Nya dalam Surah al-Zumar (39): 58, terjemahannya,”Atau supaya jangan ada yang berkata ketika ia melihat azab kalau sekiranya aku dapat kembali (ke dunia) nescaya aku akan termasuk orang-orang yang berbuat baik.”

Kesembilan: Ayat-ayat yang menunjukkan perbuatan Allah SWT tidak menyerupai perbuatan makhluk, tidak seimbang tanpa perselisihan dan kezaliman

1.Firman-Nya dalam Surah al-Mulk (67): 3, terjemahannya,”Kami sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Sajdah (32): 7, terjemahannya,”Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya.” Oleh itu kekufuran dan kezaliman bukanlah suatu yang baik.

3.Firman-Nya dalam Surah al-Hijr (15): 85, terjemahannya,”Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara kedua-duanya, melainkan dengan benar.” Oleh itu kekufuran bukanlah suatu kebenaran.”

4.Firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ (4); 40, terjemahannya,”Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah.”

5.Firman-Nya dalam Surah Fussilat (4): 46, terjemahannya,”Dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menganiaya hamba-hamba (Nya).”

6.Firman-Nya dalam Surah Hud (11): 101, terjemahannya,”Dan Kami tidak menganiaya mereka.”

7.Firman-Nya dalam Surah al-Isra’ (17): 7, terjemahannya,”Dan mereka tidak dianiaya sedikitpun.”

Kesepuluh: Ayat-ayat yang memuji Mukmin kerana imannya dan mencela Kafir kerana kekafirannya

1.Firman-Nya dalam Surah al-Tur (52): 16, terjemahannya,”Kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.”

2.Firman-Nya dalam Surah al-Mu’min (40): 17, terjemahannya,”Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya.”

3.Firman-Nya dalam Surah al-Najm (53): 37, terjemahannya,”dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji.”

4.Firman-Nya dalam Surah al-Najm (53): 38, terjemahannya,”Bahawa seorang yang berdosa itu tidak akan memikul dosa orang lain.”

5.Firman-Nya dalam Surah Taha (20): 15, terjemahannya,”tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.”

6.Firman-Nya dalam Surah al-Rahman (27): 60, terjemahannya,”Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).”

7.Firman-Nya dalam Surah al-Naml (27): 90, terjemahannya,”Tiada lah kamu dibalasi, melainkan (setimpal) dengan apa yang dahulu kamu kerjakan.”

8.Firman-Nya dalam Surah al-An’am (6): 160, terjemahannya,”Barangsiapa yang membawa amal baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda.”

9.Firman-Nya dalam Surah Taha (20): 124, terjemahannya,”Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanku.”

10.Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah (2): 86, terjemahannya,”Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia.”

11.Firman-Nya dalam Surah Ali Imran (3):86, terjemahannya,”Sesungguhnya orang-orang kafir sesudah beriman.”

Demikianlah dikemukankan ayat-ayat al-Qur’an yang bertentangan dengan aqidah al-Asya’irah atau aqidah Ahlul Sunnah wa l-Jama’ah. Kesemua ayat-ayat di atas “adalah yang tidak datang kepadanya kebatilan baik depan mahupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji [Surah al-Fussilat (41): 42]

Justeru apakah keuzuran untuk tidak berpandukan kepada fahaman yang selaras dengan aqidah al-Qur’an? Kenapa mereka meninggalkan ayat-ayat tersebut wal hal ianya jelas dan nyata? Atau hanya bertaqlid kepada orang-orang yang terdahulu tanpa kajian dan renungan?

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf (7): 28, terjemahannya,”Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata:”Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya, katakanlah: Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji.” Mengapa kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am (6): 70, terjemahannya,”Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.”

Firman-Nya dalam Surah al-Zumar (39): 56, terjemahannya,”Supaya jangan ada orang yang mengatakan:”Amat besar penyesalanku atau kesalahanku terhadap Allah sedang aku sesungguhnya termasuk orang-orang yang memperolok-olokkan (agama Allah).”

Dan firman-Nya dalam Surah al-An’am (6): 91, terjemahannya,”Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya.”

Banyak lagi penyelewengan ajaran Ahlu s-Sunnah wa l-Jama‘ah dari segi akidah, Syari‘at Allah yang belum dikemukan.Justeru itu, jika mereka yang mengikut 100 peratus hukum al-Qur’an dan Sunnah Rasulullh saw itu dikira sesat atau menyeleweng dan perlu dipuluh/dimurnikan akidah mereka, maka mereka yang mengikut sunnah Abu Bakr, Umar, Uthman dan Mu‘awiyah yang bertentangan dengan al-Qur’an dan Sunnah Rasul-Nya adalah lebih sesat atau menyeleweng lagi dan lebih perlu dipulih/dimurnikan akidah mereka oleh Imam Mahdi (a.s).

Siapa Ku Li?


Bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dijangka memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan presiden.

Ahli parlimen Gua Musang itu memerlukan 30 peratus iaitu 58 pencalonan daripada 193 bahagian Umno di seluruh negara. Ini ekoran hebatnya desakan para pemimpin di peringkat akar umbi supaya dipulihkan kekuatan Umno, sebagai parti terbesar orang Melayu yang menjadi tunggak utama kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, mereka turut membantah cadangan supaya pemilihan parti ditangguhkan hingga tahun depan.

Berikutan itu, dalam mesyuaratnnya semalam, MT memutuskan pemilihan pucuk pimpinan Umno diadakan tahun ini juga pada 16 hingga 20 Disember depan.

Manakala pemilihan di peringkat cawangan akan bermula pada 17 Julai-24 Ogos, dan bahagian pada 9 Oktober-19 November.

Cipta sejarah

Malah Abdullah sendiri dapat merasainya. Dalam sidang akhabar semalam, beliau mengakui: "Saya terpaksa menghadapinya... saya tidak boleh lari (daripada berdepan dengan cabaran)."

Ekoran itu, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li dijangka bakal mencipta sejarah kali kedua mencabar penyandang jawatan tersebut.

Kali pertama Ku Li mencabar jawatan tersebut ialah pada 1987 apabila beliau menentang Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tewas dengan 47 undi.

ketika itu belum ada sistem kuota pencalonan. Ia hanya diperkenalkan selepas penubuhan Umno baru pimpinan Dr Mahathir.
Pada 2004, Ku Li gagal mendapatkan pencalonan yang mencukupi apabila hanya bahagiannya mencalonkan beliau bertanding jawatan presiden.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Umno, Ku Li dijangka mendapat pencalonan daripada bahagian-bahagian Umno di mana pemimpin utama mereka tidak dipilih atau digugurkan dari senarai calon BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Jumlah bahagian terbabit ramai...boleh dikatakan 40 peratus nama dalam calon yang dikemukakan oleh hampir semua Umno negeri, telah digugurkan dan digantikan dengan muka baru, yang sebahagiannya tidak ada pun jawatan di peringkat bahagian," kata sumber-sumber itu lagi.

Peluang cerah

Di samping itu, katanya, mereka juga beranggapan bahawa barisan pucuk pimpinan Umno sekarang tidak berkesan kerana mereka sibuk dengan jawatan yang disandang dalam kerajaan.

"Ekoran itu, ada bahagian-bahagian yang dijangka mengemukakan usul supaya pemegang jawatan tinggi dalam parti, tidak dilantik menganggotai kerajaan, supaya mereka dapat menumpukan kepada usaha memulihkan kekuatan Umno," katanya lagi.

Lagi pula, tegasnya, senario politik sekarang berbeza dengan 1987 dan ini mencerahkan harapan Ku Li untuk mendapat pencalonan yang mencukupi bagi bertanding jawatan presiden.

"Pada tahun 1987, wujud dua puak - Team A dan Team B. Kali ini tidak wujud puak seumpama itu tetapi rata-rata ahli dan pemimpin Umno, khususnya di peringkat akar umbi, sependapat bahawa Umno tidak sekuat dahulu kerana pucuk pimpinannya lemah.

"Mereka tindakan drastik diambil untuk memulihkan kekuatan Umno. Ini bermakna peluang Ku Li lebih cerah kali ini untuk mencipta sejarah menewaskan presiden Umno dalam pemilihan parti Disember ini," katanya.

Wednesday, April 2, 2008

Perlukah aku meninggalkan perjuangan PAS?




"Wajarkah aku meninggalkan PAS?"
Posted on Wednesday, April 02 @ 20:23:53


Oleh syeikhsifu
http://syeikhsifu.blogspot.com/

Seorang teman saya, seorang pejuang gerakan Islam dan pendokong Parti Islam Semalaysia veteran sangat berdukacita partinya kini bersikap lunak dengan seseorang yang memiliki rekod 'tidak mesra gerakan Islam'.

Malah partinya juga akan 'bersatu' (mungkin mut'ah) dengan sebuah parti lain yang tiada produk ideologi jelas. Parti itu juga katanya dipenuhi dan didokongi oleh kumpulan Islam liberal dan penyanjung IFC (tahu kes Lina Joy bukan? Takkan lupa cepat sangat?).
Menurut teman saya itu, adalah lebih baik bersekongkol dengan DAP dari bersama dengan 'parti tak tentu' tersebut. Ini kerana sejarah PAS-DAP walaupun tidak lancar; tetapi harus diingat kedua-duanya mempunyai prinsip politik yang terang benderang.

Meski dari segi polisi PAS-DAP sering berselisih tetapi dalam hal membela keadilan dan kebenaran sebagai prinsip; Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu misalnya sudah pernah duduk semeja.

Fakta kes: Untuk mereka yang tahu 'kes gadis bawah umur di Melaka' dengan seorang pemimpin kanan parti pemerintah satu masa dahulu akan cepat terpanggil satu fakta sebenar bahawa PAS-DAP memang boleh bersama dalam hal menegakkan kebenaran.
Ketika susah bersama kedua-dua parti pembangkang itu, tokoh lain yang melaungkan keadilan hari ini masih empuk dibuai kuasa. Lebih-lebih lagi, kedua-duanya, yakni PAS dan DAP belum ada rekod yang betul-betul munasabah untuk dinilai dengan parti yang sebuah lagi.

Apakah aktivis gerakan Islam seperti teman saya tersebut berada di persimpangan hari ini?

Saya terhimbau gejala yang hampir sama, latarnya Lubnan. Latar Lubnan sebetulnya tidak banyak beza dengan latar Malaysia meskipun pada banyak tempat ada banyak bezanya.
Bukan mesti mengikut dan menjadikan ia model; sekadar merenung persamaannya: sila baca dan berfikir dengan tekun.

Satu masa dahulu seorang tokoh gerakan Islam Lubnan bernama Sayyid Musa al-Sadr telah mengadakan kerjasama politik dengan ahli-ahli politik Kristian untuk membawa reformasi politik di Lubnan. Bagaimanapun, muncul seorang tokoh lain bernama Sayyid Musawi yang menolak untuk menerima formula persepakatan yang kelihatan tidak seimbang.

Ulangan: formula persepakatan yang tidak seimbang.

Penentangan Musawi tersebut mendapat dokongan seorang alim yang lain iaitu Ayatollah Muhammad Hussein Fadlallah, seorang mujtahid yang juga pernah menuntut di Najaf dan telah pulang ke Lubnan dalam tahun 1966. Ayatollah Fadlallah yang menolak dasar-dasar Sayyid Musa al-Sadr, bersama beberapa ulama syiah yang lain telah menubuhkan Parti Da'wa yang menumpukan perhatian kepada khidmat masyarakat, dengan rangkaian klinik, sekolah dan pelbagai kerja kebajikan yang lain.

Kemunculan parti Da'wa yang tidak berminat untuk berkuasa dengan kerusi di parlimen, tetapi berminat untuk berkuasa di hati rakyat dengan kerja kebajikannya telah merubah lanskap politik Lubnan buat selama-lamanya. Dalam masa yang sama Sayyid al-Sadr hilang secara misterius ketika sedang dalam rangka lawatan ke Libya.

Dalam masa yang sama juga seorang tokoh kunci di Lubnan waktu itu, Nabih Berri, seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan Syria mengambil alih tampuk pimpinan Pertubuhan Amal (sebuah gerakan Islam utama Lubnan waktu itu). Di bawah Nabih Berri, seorang yang berfahaman sekular, ramai ulama menghindar diri dari Pertubuhan Amal.
Gerakan itu dilihat tidak lagi mampu membawa aspirasi masyarakat syiah Lubnan dan dipandang sebagai sebuah gerakan sekular. Dasar Nabih Berri untuk melibatkan Pertubuhan Amal dalam Jawatankuasa Bantuan Kebangsan yang bertujuan untuk memulihkan ekonomi dan pentadbiran Lubnan setelah pencerobohan Israel kurang digemari oleh sebahagian besar golongan ulama. Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh tentera Pertubuhan Phalangis di mana komandernya Bashir Jumayyil diketahui pro Zionis. Di antara ulama berpengaruh yang meninggalkan Pertubuhan Amal waktu ialah Ali Amar, Hussein Khalil dan Hussein al-Musawi. Ulama tersebut telah mendirikan Pertubuhan Amal Islami.

Baik, jika anda berhati-hati membaca fakta di atas dan seterusnya, anda akan menemui persamaan-persamaan tertentu dengan konteks politik Malaysia kini khususnya dalam hal melibatkan gerakan Islam.

Pada masa itulah Hassan Nasrallah kembali dari pengajiannya di Najaf, beliau mulai mengajar agama di hauzah yang ditubuhkan oleh Abbas Musawi di Baalbak. Sebagai ulama muda, penuh karismatik dan kemampuan berhujah yang menarik minat ramai pemuda, perlahan-lahan Nasrallah membina jumlah pengikut yang besar. Beliau juga menyertai Pertubuhan Amal Islami.

Dalam masa yang sama terdapat beberapa gerakan Islam lain seperti Lijan al-Amal al-Islami yang menjalinkan hubungan akrab dengan al-Fatah di Palestina. Mereka ikut bekerjasama dengan kerajaan Iran yang baru sahaja menjatuhkan pemerintah Shah. Kumpulan yang tidak seragam ini disatukan kemudiannya oleh seorang ulama muda bernama Sayyid Hani Fahs. Perlahan-lahan gerakan Islam mendapat kekuatan semula. Tekanan yang diberikan oleh Presiden Lubnan ketika itu Amin Jumayyil terhadap ulama syiah dengan tuduhan mereka siap untuk menubuhkan negara Islam ala Iran telah membantu semangat setiakawan dalam kalangan gerakan Islam.

Pencerobohan Israel ke atas Lubnan dalam bulan Jun tahun 1982 telah mendapat perhatian Republik Islam Iran yang menghantar bantuan dalam bentuk ketenteraan. Sebuah organisasi baru mulai terbentuk dengan sendirinya. Nasrallah sendiri meninggalkan Pertubuhan Amal Islami dan bersama-sama dengan gurunya Abbas Musawi membawa sama ramai pengikut.
Organisasi baru ini mulai membaja gerakan gerila menentang kehadiran askar Zionis di Lubnan. Pada 16 Februari tahun 1985, sempena majlis memperingati syahidnya Sheikh Raghib Harb di sebuah husainiyyah di al-Shayyah, Hezbollah dengan rasminya wujud dan mulai mengisytiharkan jihad menentang pendudukan Zionis di bumi Lubnan.
Motto Hezbollah ternyata memikat sejak awal iaitu menjadi umat yang menghubungkan dan menyatukan Muslim di seluruh dunia.
Nasrallah malah diangkat menjadi salah seorang komander militari Hezbollah yang berjaya menyingkirkan penguasaan militia Amal di beberapa posisi sekitar Beirut. Sayyid al Musawi meletakkan batu asas yang penting dalam kalangan gerakan Islam dengan menggabungkan gerakan Islam yang ada di bawah satu pertubuhan al-Muqawwamah al-Wataniah al Lubnaniyyah.

Hari ini Hezbullah adalah pemain sebenar dalam politik Lubnan meskipun mereka tidak memerintah dan berkuasa di parlimen. Ulangan: Hezbullah adalah pemain sebenar dalam politik Lubnan meskipun mereka tidak memerintah dan berkuasa. Hezbullah juga mendapat tempat di hati rakyat dengan kerja kebajikan yang modelnya diambil dari parti Da'wa dan Amal Islami yang kemudian bergabung dengan Hezbullah.

Hari ini juga, di Lubnan, model reformasi pentadbiran dan agenda ekonomi Nabih Berri yang persis mahu dilakukan oleh seorang tokoh di sini dianggap lapuk, melucukan dan ketinggalan zaman. Malah Hezbullah, meski tidak berkuasa terus mendapat dokongan kumpulan kristian dan pelbagai bangsa lain. Nabih Berri dan sekian pemimpin liberalis dengan wajah pro Barat (poster boy majalah Barat katakan) telah luput. Hezbullah membuktikan satu strategi politik yang hebat dan jebat untuk gerakan Islam: berkuasa tidak semestinya berkuasa. Ulangan: berkuasa tidak semestinya berkuasa.

Soalan saya kepada teman saya itu, dengan melakukan satu comparative political scenario (jika tuan-tuan tidak tahu, dalam disiplin politik ada lapangan ini); jika ada tokoh dalam PAS meski dia seorang pimpinan besar yang mahu mengorak langkah seperti Sayyid Musa al-Sadr, apakah akan ada keberanian untuk menolaknya? Seperti yang dilakukan oleh Sayyid Musawi dan Ayatollah Muhammad Hussein Fadlallah. Siapakah dalam PAS yang akan berani menjadi seperti mereka berdua? Siapakah yang akan berani menolak 'Nabih Berri' di sini?

Rasa kecewa teman saya itu (di sebalik kebangkitan PAS selepas 8 Mac lalu) bukan sesuatu yang harus didiam dan diketepikan. Lambat-laun ia jadi bara dan akan terus memercik apinya kepada yang lain juga.

Apakah akan ada gejala baru dalam politik gerakan Islam di Malaysia? Yakni apakah akan ada wadah baru yang 'memberontak' dari gejala masa kini lalu akhirnya muncul sebagai pemenang sebenar ala-ala Hezbullah?

Apakah akan ada 'Sayyid Hassan Nasrallah Malaysia' yang menolak persekongkolan dengan gerakan sekularisme tetapi dalam masa yang sama memaksa gerakan sekularisme tunduk kepadanya? Apakah akan ada tokoh sehebat Nasrallah yang berani berkata tidak, tidak, tidak kepada tokoh pro Barat dan menempik dan bertindak tidak, tidak, tidak kepada Zionis?

Siapa yang akan menyelamatkan hala tuju gerakan Islam di Malaysia dari terjerumus menjadi Pertubuhan Amal di bawah Nabih Berri?

Kita semua mengaku dan tahu, era 'percekcokan' IRC-PAS-ABIM telah berlalu, tetapi tidakkah perkembangan terbaru ini akan membawa jurus lain dalam gerakan Islam. Apakah PAS sedang menjadi 'semakin sekular?' seperti Pertubuhan Amal di bawah Nabih Berri? Apakah PAS sedang menempa jalan Musa al Sadr yang nyata silap? Akan adakah ulama atau aktivis PAS yang 'membawa hati' secara senyap kalaupun tidak secara terang-terang? Lalu mereka menganjurkan: poros tengah, jalur lain, wadah baru yang satu hari nanti akan bergengsi ala-ala Hezbullah (yang kini diterima secara meluas oleh penganut Kristian Lubnan sekalipun)


Betul, iklim gerakan Islam di Lubnan berbeza dengan Malaysia. Perbezaan itu sentral, kerana mereka yang kita bicarakan di Lubnan tadi jelas sekali golongan taabudi yakni menyerahkan soal kepimpinan secara total kepada marja mereka.
Kerana menurut mazhab syiah soal kepimpinan mesti ditentukan secara nas (al-Quran, sunnah nabi dan pandangan ahlul bait). Sedangkan gerakan Islam di Malaysia yang berasaskan ahlus sunnah wal jamaah akan menentukan sikap dengan syura, ijtihad dan sebagainya.
Di sinilah letak bezanya. Syura yang akan ditentukan oleh sekumpulan ulama, masih terdedah kepada keputusan yang longgar dan interpratif.
Berbanding dengan keputusan yang berasas mutlak kepada nas. Oleh kerana itulah apabila Hezbullah ditanya apakah rahsia kejayaan mereka menghalau Israel dari Selatan Lubnan, Sayyid Hassan Nasrallah seorang Arab telah menjawab: Rahsia kami ialah kerana kami berpegang kepada wali faqih (pemimpin umat Islam syiah iaitu Sayyid Ali Khamenei di Iran yang berbangsa Parsi-Turki).

Soalan teman saya sangat mengejutkan, malah provokatif. Di celah-celah sambal nasi lemak dan teh tarik dia bertanya kepada saya, ikhlas dan jujur:

'Wajarkah aku meninggalkan PAS?'