Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Wednesday, April 2, 2008
Mukhriz Dan Mahathir.....
Mukhriz sudah hentam Pak Lah secara terbuka tapi berbeza pandangan dengan Dr Mahathir terhadap Najib…
Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Mukhriz mempunyai pendirian yang sama terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Semua orang sudah tahu mereka mahu Perdana Menteri letak jawatan kerana tsunami politik yang melanda Barisan Nasional dalam pilihanraya umum 8 Mac.
Namun kedua-dua mereka nyata sudah berbeza pendirian terhadap timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dr. Mahathir dan Mukhriz menjadi fokus utama pada forum menilai keputusan pilihanraya 8 Mac yang dianjurkan oleh laman mykmu.net di Hotel Singahsana Petaling Jaya pagi Selasa
Dr. Mahathir yang hadir untuk menyampaikan ucap utama di forum itu meneruskan serangannya terhadap Abdullah termasuk menggunakan gelaran “Sultan Abdullah’ terhadap Perdana Menteri.
Beliau juga mempersoalkan kenapa Abdullah masih tidak berundur.
Katanya, dalam sejarah negara, tidak pernah terdapat Perdana Menteri yang datang dari negeri yang ditadbir oleh pembangkang.
Dalam ucaputamanya beliau mengulangi kenyataannya bahawa satu Perhimpunan Agung Khas UMNO perlu diadakan untuk membincangkan kemelut yang melanda parti sekarang serta meminda sistem kuota pencalonan bagi mereka yang nak bertanding merebut jawatan.
Dr. Mahathir juga berulang kali menghentam dan menyindir menantu Perdana Menteri yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang disifatkanya sebagai budak berhingus.
Beliau hairan kenapa menteri-menteri pun gerun padanya.
Semasa sesi soal jawab Dr. Mahathir telah ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin mendakwa beliau menjadi salah satu faktor utama prestasi teruk BN dalam piliharaya umum baru-baru ini.
Beliau mengakuinya tetapi mempertahankan tindak-tanduknya. Katanya, beliau tidak akan menyokong seorang pemimpin yang lemah.
Oleh itu beliau tidak kisah dipersalahkan.
Sementara itu menjawab satu soalan lain bekas Perdana Menteri berkata, beliau kini sudah ‘ ubah fikiran’ mengenai Najib yang sebelum ini pernah berkali-kali dinyatakannya layak menggantikan Abdullah.
“Dulu Najib, entah kenapa…. saya ubah fikiran. Kita beri peluang kepada sesiapa bagi mempelawa diri dan kalau munasabah dia harus disokong,” katanya.
Menurutnya, peluang harus diberi kepada sesiapa yang tampil ke hadapan untuk bertanding jawatan Presiden sama ada Najib, Abdullah, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau pemimpin-pemimpin lain.
Mukhriz yang ditanya oleh wartawan semasa dalam sidang akhbar selepas forum itu siapakah yang beliau fikir paling layak menjadi Perdana Menteri secara tegas menjawab, “ Datuk Seri Najib….”
Ditanya adakah beliau menyokong Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh (Ku Li) untuk bertanding jawatan Presiden UMNO, Mukhriz berkata, secara peribadi beliau tidak menyokong Ku Li bertanding jawatan berkenaan.
Forum yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang itu telah berlangsung dalam suasana ‘ panas’ sejak ia bermula pada jam 9.30 pagi.
Satu di antara insiden yang dapat mengambarkan betapa panasnya suasana forum itu berlaku sekitar jam 11 pagi.
Terdengar bunyi sorakan kuat dalam dewan yang sesak.
Ketika itu sesi soal jawab dengan tiga orang penal forum iaitu Mukhriz, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo dan ahli parlimen Batu Pahat dan Ketua Penerangan UMNO Johor ,Dr Fuad Zakarshi.
Dr. Mahathir turut berada dalam dewan masa itu.
Riuh rendah itu timbul apabila seorang hadirin yang bangun bertanya soalan ingin tahu kenapa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dibawa masuk balik ke dalam UMNO.
Ada yang menjerit ‘ kurang ajar’ dan ‘ biadab’ waktu itu. Untuk mengelak kejadian tidak diingini lelaki itu telah ditarik keluar dari dewan.
Dr Khir juga tidak terlepas dari sorakan sesetengah hadirin semasa berucap kerana Selangor kecundang kepada pembangkang. Beliau bagaimanapun kelihatan tenang menghadapinya.
Sorakan para hadirin juga terus bergema setiap kali Mukhriz dan kemudiannya Dr. Mahathir mengkritik kepimpinan Abdullah.
Mukhriz yang baru-baru ini menulis surat peribadi meminta Abdullah letak jawatan…dalam ucapannya di forum itu secara terbuka telah menghentam Perdana Menteri kerana tsunami politik yang melanda Barisan Nasional dalam pilihanraya umum 8 Mac.
Beliau antara lain membangkitkan bagaimana hasratnya untuk aktif politik lebih awal tersangkut kerana bapanya sewaktu Perdana Menteri tidak mahu beliau dikacau oleh kaum keluarganya sendiri.
“Kini ada benda yang amat tidak kena dengan negara kita…ada benda yang tidak kena dengan parti kita…dan ada benda yang tidak kena dengan kepimpinan kita iaitu YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Beliau mendakwa rakyat tidak dapat merasai faedah, rasuah berleluasa, amalan nepotisme dan kronisme tinggi ,keselamatan anak-anak tidak terjamin, masalah harga barang naik dan meningkat.
“Dan masalah yang paling besar ialah Perdana Menteri tak dapat selesaikan isu-isu ini,” katanya sambil menegaskan kekalahan BN di enam negeri ( termasuk Wilayah Persekutuan) tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO.
“Tetapi ada yang kata kalah tu kalahlah..kalah tu biasalah..ada yang kata mungkin benar kita kalah tetapi sebenarnya kita cuma 8 kerusi dari (majoriti) dua pertiga, ada juga yang kata sebenarnya UMNO menyokong kepimpinan kita, Barisan Nasional berdiri teguh belakang kepimpinan kita…tapi kalau tengok sejarah silam kita..walau dulu pun pernah a lami macam-macam masalah yang berat-berat tetapi akhirnya dapat selesaikan dengan baik menyelamatkan keadaan.
“Waktu itu kita dibenarkan bersuara luahkan perasaan kita .Kini kita disuruh tutup mulut .Media arus perdana digunakan sebagai propaganda untuk pihak-pihak tertentu saja bukan untuk kepentingan rakyat malah bukan pun untuk kepentingan UMNO tetapi untuk kepentingan individu tertentu saja.Media perdana tidak mencerminkan rasa resah dirasai oleh rakyat.
“Bagaimana ini semua boleh timbul…siapa yang harus kita persalahkan ..sudah tentu ada pihak yang lebih bertanggungjawab dari pihak-pihak lain ..mereka ini harus dipertanggungjawabkan…tapi kebenaranya kalau mahu lihat siapa yang harus dipersalahkan kita harus lihat pada cermin.
“Saya tahu kenapa kita benarkan ini berlaku... kerana takut…takut tak dapat jawatan ..takut tak dapat kontrak..takut dituduh tak sokong pemimpin..banyak sebab kita takut…ketakutan kita menguasai hidup hingga lupa perjuangan asal kita untuk agama bangsa dan negara.
“Kalau saudara tak nampak kelemahan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan tak mengerti mesej rakyat yang telah disampaikan dalam pilihanraya baru ini..maka buat biasa tak payah buat apa-apa…buat seolah-olah kita tidak dilanda musibah.
“Tapi kalau tuan-tuan nampak apa yang saya nampak..kalau tuan-tuan sedar apa yang saya sedar…kalau tuan-tuan nak cari kebenaran seperti saya nak cari maka saya minta,mohon dan merayu kepada tuan-tuan berdirilah di sisi saya.
“Kita yakinkan balik rakyat khususnya orang melayu pada UMNO..mesti dapatkan balik bangsa melayu kita.Itulah perjuangan kita yang belum selesai.”tegasnya.
Dr Fuad pula berpendapat UMNO kini tidak boleh lagi ditabir secara tradisional sebaliknya ia harus ditabir seperti sebuah negara.
Katanya tempo kepimpinan juga harus pantas selaras dengan peredaran semasa.
Beliau juga menilai Pemuda UMNO gagal menawan hati anak muda dan reformasi kepimpinannya harus dilakukan.
Beliau yakin UMNO boleh bangkit semula jika mengambil pendekatan yang betul.Ini,tambahnya, kerana UMNO pernah melalui krisis yang lebih besar termasuk parti diharamkan.
Dr. Khir berkata, beliau merasa bertanggungjawab penuh atas kekalahan BN di Selangor dan atas sebab itu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.
Sambil mengakui UMNO perlu buat reformasi beliau tidak mahu para ahli UMNO bersikap terlalu emosional sebaliknya berusaha segera mengembalikan keyakinan rakyat pada BN.
“Bukan emosi tetapi apa yang kita cari ialah bagaimana nak bina masa depan negara,”katanya.
Dr Khir tidak melihat langkah menukar kepimpinan boleh mengubah keadaan dan sebaliknya semuanya harus bergerak bersama untuk mencapai matlamat yang diharapkan.- 2/4/2008
Labels:
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment