Labels

Friday, May 23, 2008

Kesetiaan Kepada UMNO






Friday, May 23, 2008

http://www.chedet.com/2008/05/kesetiaan-kepada-umno.html

Kesetiaan kepada UMNO

1. Saya kurang faham dakwaan pemimpin-pemimpin tertentu UMNO bahawa mengkritik atau mendesak Presiden UMNO berhenti bermakna tidak setia kepada UMNO.

2. Tun Razak dan beberapa pemimpin UMNO yang lain telah tidak bersetuju dengan yang di Pertua UMNO Dato Onn Jaafar berkenaan dengan cadangannya untuk buka UMNO kepada semua kaum sehingga Dato Onn terpaksa undur.

3. Apakah sikap dan perbuatan Tun Razak dan rakan-rakannya ketika itu bermakna mereka tidak sayang dan tidak setia kepada UMNO?

4 Pada 1969-71 Tun Razak dan lain-lain pemimpin UMNO secara tidak langsung tidak bersetuju dengan kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tunku telah undur diri.

5. Apakah Tun Razak kerana menolak kepimpinan Tunku, iaitu tidak setia kepada Tunku sebagai Presiden UMNO maka dianya tidak setia kepada parti?

6. Pada tahun-tahun 1986-7 [Tun] Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan DATO SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI bertindak untuk menjatuhkan saya sebagai Presiden UMNO. Mereka jelas tidak setia kepada saya.


7. Apakah saya tuduh mereka tidak setia kepada parti? Apakah mereka dilarang berjumpa ahli-ahli UMNO? Apakah mereka ditegah berkempen untuk memburukkan nama saya, tidak undi saya? Apakah tentangan terhadap saya dianggap oleh saya dan oleh mereka sebagai tidak setia ada parti?

8. Sepatutnya setelah Dato Seri Abdullah kalah dia tidak diterima masuk UMNO Baru kerana tidak setia kepada saya.

9. Tetapi dia diterima masuk dan dibenar bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi dan kemudian Naib Presiden.


10. Jika saya pegang kepada tafsiran sesiapa yang tidak setia kepada saya tidak setia kepada parti, apakah akan saya lantik sekali lagi Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dan kemudian sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan seterusnya.

11. Saya tak suruh ahli UMNO sokong apa yang saya lakukan.

12. Tetapi fikirkanlah akan kewajaran dakwaan sesiapa yang tidak setia kepada Dato Seri Abdullah adalah tidak setia kepada parti UMNO.

13. Apakah UMNO adalah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah UMNO?

14. Jika Abdullah Ahmad Badawi dengan UMNO adalah sama dan satu, maka parti ini bukan lagi UMNO. Apa perlunya saya jadi ahli dalam parti Abdullah Ahmad Badawi?

15. Hanya mereka yang berkepentingan sahaja yang menyebar dan mendokong konsep UMNO adalah Dato Seri Abdullah dan tanpa kesetiaan kepada Dato Seri Abdullah maka ahli tidak setia kepada UMNO.

Penyu Menangis Pun Mahathir Tahu



PENDAPAT
http://www.detikdaily.net/v4/modules.php?name=News&file=article&sid=2048

Keputusan Tun Dr. Mahathir meninggalkan UMNO tidak ada bezanya dengan keputusan-keputusan yang diambilnya selama ini sebagai Perdana Menteri Malaysia dan juga sebagai negarawan. Lantaran seperti keputusan-keputusan Tun sebelum ini, ianya sukar difahami dan sukar diterima di dalam masa yang singkat.

Keputusan Tun Dr. Mahathir meninggalkan UMNO adalah hampir sama dengan keputusan yang diambilnya pada tahun 1998 iaitu keputusan mengikat ringgit dengan Dollar Amerika dan mengadakan sekatan modal. Ianya sukar diterima oleh mereka yang memahami ekonomi sama seperti mereka yang memahami politik hari ini dan ia ditolak mentah-mentah oleh penyokong setia Anwar Ibrahim, seperti mana mereka mempersendakan keputusan terkini Tun.
Keputusan Mukhriz Mahathir untuk kekal di dalam UMNO pula dijadikan lawak jenaka untuk memperkecilkan usaha Tun tetapi sebenar-benarnya, tindakan Mukhriz itu adalah didalam sedar atau tidak, adalah sebahagian dari perancangan besar Tun untuk menggugat pentadbiran Abdullah.

Tun sudah pasti yakin bahawa Mukhriz tidak akan keluar dari UMNO sebagaimana yang diserunya. Bahkan, beradanya Mukhriz didalam UMNO akan lebih mengancam masa depan pemerintahan Abdullah dan ini adalah yang dikehendakinya.

Tindakan Mukhriz, mendesak Abdullah meletakkan jawatan segera sewaktu mengumumkan untuk terus bersama UMNO merupakan satu percaturan hebat politik yang hanya Mahathir miliki. Abdullah lebih tertekan dan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO lebih tertekan dengan adanya Mukhriz di dalam UMNO. Kalau diambil kira pengamatan Musa Hitam bahawa keluarnya Mahathir bererti keluarnya duri dari dalam daging, maka Musa silap, kerana Mahathir masih meninggalkan duri yang besar di dalam UMNO menerusi Mukhriz.

Mahathir tidak menggesa Mukhriz untuk kekal di dalam UMNO sebagai sebahagian dari strateginya, sebaliknya Mahathir mempergunakan kesetiaan anaknya di dalam UMNO untuk menjayakan strateginya.

Apakah strategi Mahathir?

Mahathir tahu dan faham benar sejarah UMNO. UMNO yang ada sekarang adalah UMNO ciptaannya. Mahathir tahu seruannya supaya ahli-ahli UMNO keluar sementara dari UMNO tidak akan dapat menumbangkan UMNO. UMNO telah dibuktikan sejarah tidak tumbang akibat ahli-ahli keluar parti dengan majoriti ahli UMNO berakar umbi dari perjuangan Melayu yang setia kepada pemerintah. Tradisi UMNO terus berpegang kepada sumpah Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun.
Mahathir juga tahu tradisi UMNO jelas dibuktikan sejarah bahawa jawatan tertinggi UMNO tidak pernah dimenangi menerusi pertandingan sebaliknya menerusi satu peralihan kuasa dengan pengunduran Presiden. Feudalisme di dalam UMNO masih kukuh, kuasa diserahkan secara bulat dan bukan dirampas menerusi undian.

Mahathir hari ini juga terus membuktikan bahawa tradisi UMNO kekal, dengan bekas Presidennya hidup di luar UMNO dan sejarah tidak menafikan kesemua bekas Presiden UMNO menghembuskan nafas terakhirnya diluar UMNO.

Sejarah juga membuktikan bahawa bekas Presiden UMNO akan lebih cenderung kepada perjuangan pembangkang secara langsung atau tidak langsung setelah tiada lagi didalam tampuk kuasa UMNO.

Mahathir tahu itu semua. Siapa yang lebih tahu tentang tradisi UMNO jika bukan Mahathir? Tindakan Mahathir keluar dari UMNO bukanlah satu lawak jenaka dan tindakan Mukhriz kekal didalam UMNO bukanlah satu penderhakaan terhadap ayahnya. Mereka yang mempersendakan insiden ini sebenarnya mereka yang daif dalam politik Malaysia.

Tetapi ada sesuatu yang Mahathir tahu, namun ramai antara kita tidak tahu.

Dari sebelum menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO lagi, Mahathir mempunyai satu sentimen unik terhadap PAS. PAS bagi Mahathir adalah satu institusi penting bagi UMNO dan PAS adalah satu elemen utama didalam penyeimbangan kuasa di Malaysia.

Mahathir sering melihat kepentingan PAS dan yakin bahawa PAS perlu ada di luar Barisan Nasional. Bahkan, Mahathir membuktikan pemahamannya itu dengan menjadi tonggak instrumental didalam menyingkirkan PAS keluar dari Barisan Nasional selepas pilihanraya 1974.

Tiada siapa yang lebih bertanggungjawab menyingkirkan PAS dari Barisan Nasional melainkan Mahathir, kata-kata seorang tokoh PAS Kelantan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan sewaktu kemelut itu selepas Pilihanraya 1974 masih tergiang-ngiang ditelinga saya.

Masih juga terngiang-ngiang ditelinga saya, jawapan Tuan Guru Nik Aziz didalam sidang media pada 8 Mac 2008 sewaktu mengulas kemenangan besar PAS, Nik Aziz berkata, dia tidak rela melihat PAS kembali ke dalam Barisan Nasional.

Mahathir juga tentu berkongsi intipati pengakuan Nik Aziz itu. Mahathir juga tentu tidak ingin melihat PAS kembali ke dalam Barisan Nasional. Apatah lagi di dalam keadaan sekarang, kembalinya PAS ke dalam Barisan Nasional beerti hanya satu, iaitu Abdullah akan terus berada di dalam tampuk kuasa untuk masa yang lama.
Apakah Mahathir tahu dan kita sebenarnya tidak tahu bahawa ada usaha diperingkat tertinggi untuk membawa PAS kembali ke dalam Barisan Nasional? Usaha yang sebenarnya ditentang hebat diperingkat akar umbi PAS dan usaha yang sebenarnya akan mengkianati perjuangan rakyat?

Mahathir tentu terpanggil untuk memastikan usaha itu akan tidak menjadi kenyataan jika maklumat perisikan membisikkan ke telinganya bahawa usaha-usaha tersebut sedang diperingkat akhir.

Mahathir yakin ada segelintir didalam PAS yang melihat jika PAS kembali ke Barisan Nasional, PAS akan menjadi parti kedua terkuat mengikut jumlah wakil rakyat di Parlimen. PAS mempunyai 22 kerusi berbanding MCA hanya 15, PBB 14 kerusi, PRS 6 kerusi, SUPP 6 Kerusi dan lain lain komponen memiliki 4 kerusi atau kurang.

Sebaliknya di dalam Pakatan Rakyat, PAS pada waktu ini adalah Parti paling kecil dengan memiliki hanya 22 kerusi berbanding 28 kerusi untuk DAP dan 31 Kerusi untuk PKR. PAS juga adalah minoriti di Perak dan di Selangor dan tidak diiktiraf di Pulau Pinang.

Kembalinya PAS ke dalam Barisan Nasional akan menumbangkan kerajaan negeri Perak dan mengembalikan Kedah dan Kelantan ke dalam Barisan Nasional. Ini adalah kemenangan moral dan coup de tat terhebat buat Abdullah. Jika ini berlaku, harapan Mahathir melihat Abdullah tumbang tidak akan berlaku.

Mahathir juga tahu, jika PAS kembali ke dalam Barisan Nasional, sudah tentu akan mengakibatkan porak peranda di dalam PAS. Di dalam keadaan semangat bencikan Barisan Nasional begitu meluat-luat, PAS berharapan besar untuk musnah lantas akan melemahkan peranan PAS sebagai penyeimbangan kuasa di dalam politik Melayu.

Tentu sekali bila Nik Aziz menyambut keluarnya Mahathir dari UMNO sebagai sesuatu yang paling menggembirakannya, adalah kerana Nik Aziz juga tidak mahu PAS kembali ke dalam Barisan Nasional.

Apakah keputusan Mahathir keluar dari UMNO adalah sebahagian dari usaha Mahathir untuk menggagalkan kembalinya PAS ke dalam BN? Sudah pasti jika ada usaha-usaha itu ia pastinya ia akan tergendala buat sementara waktu.

Keluarnya Mahathir dari UMNO akan menyentap sebarang perundingan yang sedang berlaku secara rahsia, jika rundingan itu benar-benar sedang berlangsung, dan sudah tentu akan membantutkan usaha itu jika ada pihak sedang mengusahakannya.

Sebagai seorang yang negarawan, tindakan Mahathir meninggalkan UMNO juga amat sesuai dengan statusnya itu. Mahathir bukan milik UMNO dan perjuangan Mahathir sebagai negarawan tidak sepatutnya untuk UMNO tetapi untuk Malaysia.

Pemilihan detik pengumuman tindakan kontroversinya itu juga berkait rapat dengan khabar-khabar angin bahawa kerajaan pemerintahan Abdullah sudah hampir tumbang pada minggu lepas. Khabar-khabar angin itu juga mengatakan bahawa Anwar Ibrahim sudah memiliki lebih 40 ahli Dewan Rakyat dari Barisan Nasional yang bersedia untuk menyertai penubuhan kerajaan campuran Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian, tindakan keluarnya Mahathir juga mungkin adalah satu sabotaj terhadap usaha itu. Mahathir menyeru supaya ahli Dewan rakyat dari UMNO keluar dari kerajaan sekarang dan menjadi ahli Bebas. Apakah ini isyarat Mahathir kepada lebih 40 ahli Dewan rakyat tersebut?

Atau mungkinkah setelah berkali-kali usaha dilakukan oleh pihak Anwar untuk menemui Mahathir menemui jalan buntu, keluarnya Mahathir adalah sebagai memberi isyarat bahawa kini dia sudah boleh bertemu dengan bekas Timbalannya itu.

Apapun, hanya Mahathir yang lebih tahu dan yang pastinya, tindakan Mahathir keluar dari UMNO bukanlah sesuatu yang sejelas-jelasnya. Mahathir tidak akan melakukan sesuatu hanya untuk satu sebab sahaja. Mesti ada banyak sebab dan banyak yang sedang dipercaturkannya yang menyebabkan dia perlu keluar dari UMNO.

Seperti biasa, hanya masa yang akan dapat menyelongkar segala yang sedang dipercaturkan oleh Mahathir. Tetapi, adakah masa berada dipihak Mahathir?

Thursday, May 22, 2008

Dollah oh Dollah!!!!




ADA SERATUS SATU CARA “SINGKIRKAN” ABDULLAH


Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan di Johor Bahru Sabtu, 17 Mei 2008, bahawa terdapat 1001 satu pendekatan untuk “menyingkirkan” Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO, asalkan ahli UMNO komited kepada parti dan berani mengambil risiko.

Dua hari berikutnya, pada Isnin 19 Mei 2008, Tun Mahathir mengumumkan di Alor Setar, Kedah, beliau keluar daripada UMNO dan hanya kembali ke pangkuan parti selepas Abdullah tidak lagi memimpin UMNO. Abdullah dan MT menerima Tun Mahathir keluar parti.

Bagaimanapun, tindakan Tun Mahathir bukan yang pertama daripada 1001 pendekatan yang dimaksudkan di Johor Bahru.

Tengku Razaleigh Hamzah sudah mengumumkan pendekatan yang pertama – adakan EGM UMNO di peringkat bahagian dan pusat. Pendekatan ini diperlekehkan.

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mencadangkan pendekatan kedua – adakah post-mortem bebas untuk kaji sebab “musibah” kekalahan BN dalam PRU 12. Muhyiddin dipersendakan oleh Datuk Seri Nazri Aziz sebagai kurang bijaksana.

Datuk Seri Rais Yatim sudah ketengahkan pendekatan ketiga – tubuhkan suruhanjaya bebas kaji kekalahan BN dan nasib yang menimpa UMNO. Cadangan ini disambut sepi.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mokhriz membuat pendekatan keempat – terus berada dalam UMNO tapi akan bersuara lantang mendesak Abdullah mengosongkan kerusi Presiden UMNO. Kita tunggu berapa ramai lagi Ahli Parlimen dan ADUN UMNO berani bertindak seperti ini!

Veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa, hari ini mengketengahkan pendekatan kelima – berharap Agong ketemukan Mahathir dan Abdullah untuk selesaikan kemelut yang dihadapi UMNO. Reaksinya masih belum menyeluruh.

Seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, mengketengahkan pendekatan keenam - Abdullah berikan tarikh jelas dan pastikan dengan terus terang bilakah kuasa akan diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Reaksi cadangan ini juga belum diketahui.

Oleh itu, ahli-ahli UMNO perlu menggunakan kebijaksanaan masing-masing dan selami sendiri apakah kekuatan strategik yang ada pada diri masing-masing. Gunakanlah kekuatan strategik itu demi UMNO yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair!

Buat diri saya, pastinya saya akan terus berjuang menerusi blog sehingga satu hari nanti saya mungkin dikenakan tindakan disiplin dan dibuang daripada UMNO oleh rejim Abdullah – Ruhanie Ahmad

Wednesday, May 21, 2008

Reformasi....Dr Mahathir Vs Anwar




Sedekad berlalu, semua laung 'reformasi'


Kapten Dr Saiful| May 15, 08 3:21pm


Cepat sungguh masa berlalu. Sedar tidak sedar, tinggal beberapa bulan lagi “gerakan reformasi” Malaysia akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10.

Dalam tempoh satu dekad, pelbagai cabaran, onak dan duri telah dilalui, akan tetapi gerakan reformasi masih lagi hidup dengan subur dan mekar, terus relevan mewarnai arena politik negara.

Banyak peristiwa besar berlaku dalam sepanjang perjalanan gerakan “organik” yang telah melahirkan beberapa perubahan besar dalam politik negara.

Pencapaian tertinggi gerakan reformasi, antaranya, keputusan pilihanraya ke-12 lalu apabila kita dapat melihat ramai pengundi terutamanya di kawasan bandar telah berjaya “dicerahkan”.

Politik perkauman yang dahulu menjadi tunjang kekuatan Barisan Nasional kini semakin tidak relevan. Kita boleh lihat selepas pilihanraya, ramai pemimpin Umno cuba untuk membangkitkan agenda ketuanan Melayu tetapi gagal mendapat sokongan akar umbi.

Demonstrasi dan forum yang dianjurkan oleh kumpulan ini hanya dihadiri oleh peniaga-peniaga yang kehilangan kontrak kerajaan di beberapa negeri dan tidak daripada rakyat jelata.

Protes terpanjang

Perlu diingatkan bahawa perjuangan reformasi yang bermula pada 1998 adalah antara siri protes politik yang terpanjang dalam sejarah Malaysia. Pelbagai cara telah digunakan oleh pemerintah Malaysia untuk membunuh protes ini, namun tidak berjaya.

Semua jentera, “senjata” pemerintah seperti polis dan undang-undang kuku besi tidak berjaya mematikan gerakan ini.

Apakah rahsia gerakan reformasi mampu bertahan lama?

Apa-apa gerakan sekalipun, jika tidak mendapat sokongan rakyat dan tidak bergerak secara “organik” pasti tidak akan berjaya. Lihatlah apa yang terjadi kepada perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) satu ketika dahulu.

Walaupun PKM mempunyai agenda perjuangan yang suci iaitu untuk membebaskan Malaysia (Malaya) seratus peratus daripada penjajahan dan menegakkan keadilan sosial, oleh kerana tidak mendapat sokongan yang meluas daripada rakyat secara berterusan, akhirnya perlahan-lahan perjuangan tersebut menemui kegagalan.

Gerakan reformasi disokong oleh rakyat pelbagai latar belakang politik, sosial dan ekonomi - buruh, petani, nelayan, pekerja kerajaan, guru, pelajar dan ramai lagi. Ia juga melangkaui batasan kaum dan agama. Ada yang terlibat secara langsung dan ramai juga yang menyokong secara senyap-senyap.

Mereka inilah yang sebenarnya menjadi tunjang kekuatan gerakan reformasi. Mereka menyampaikan maklumat dari mulut ke mulut sehingga hegemoni media pemerintah yang mengawal maklumat terbarai.

Berita-berita yang disekat oleh media arus perdana sampai juga kepada rakyat, khususnya melalui internet, termasuk yang berada di kawasan luar bandar.

Golongan ini jugalah yang meramaikan demonstrasi-demonstrasi prodemokrasi yang dianjurkan. Mereka tidak takut walaupun berhadapan dengan pelbagai risiko seperti hilang pekerjaan, tangkapan polis dan macam-macam lagi.

Bongkar rasuah

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menang di beberapa negeri dalam pilihanraya yang lalu perlu sedar akan hakikat ini.

Kemenangan mereka kerana sokongan rakyat daripada pelbagai latar belakang. Mereka naik kerana rakyat mahukan reformasi; bukan kerana pemimpin atau parti politik semata-mata.

Rakyat telah muak dengan Barisan Nasional yang telah memerintah selama 50 tahun.

Jika wakil-wakil Pakatan Rakyat turut melupakan agenda perjuangan reformasi, mereka juga akan kehilangan sokongan daripada rakyat dan tidak mustahil penguasaan di beberapa negeri akan hilang.

Rakyat sekarang ini telah bijak untuk berfikir dan menilai.

Belajarlah daripada pengalaman Abdullah Ahmad Badawi. Ketika baru diangkat naik sebagai perdana menteri, harapan rakyat kepadanya menggunung selepas 22 tahun berada bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad yang kuku besi.

Abdullah menang pilihanraya 2004 dengan majoriti yang luar biasa besar kerana mendat dan harapan yang diberikan oleh rakyat untuk melihat perubahan berlaku di Malaysia.

Abdullah pada ketika itu berjanji untuk membawa reformasi dalam pemerintahannya, antaranya, agenda terpenting yang kononnya ingin dilaksanakan oleh Abdullah ialah membasmi rasuah.

Sebelum pilihanraya 2004, Abdullah berjanji untuk menghapuskan rasuah dan membawa pelaku-pelaku rasuah kemuka pengadilan.

Ketika itu Dr Rais Yatim sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan 18 kes rasuah yang berprofil tinggi akan dibawa ke muka pengadilan.

Kenyataan ini akhirnya terbukti hanyalah retorik untuk mendapat undi popular dan ternyata Abdullah dan Rais berbohong kepada rakyat.

Sebagai jawapan kepada penipuan Abdullah dan Rais ini, rakyat menghukum Barisan Nasional pada pilihanraya umum Mac lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah harus belajar daripada pengalaman Abdullah ini.

Sekarang, masanya Pakatan untuk membongkarkan segala kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pemerintahan terdahulu.

Kegiatan rasuah ini perlu diketahui oleh umum walaupun ia melibatkan Raja atau bekas menteri - tiada siapa yang kebal di sisi undang-undang.

'Cetak rompak' agenda reformasi

Selain Abdullah yang “mencetak rompak” agenda reformasi, Dr Mahathir yang pernah menjadi musuh nombor satu gerakan reformasi satu ketika dahulu juga turut tidak ketinggalan.

Dr Mahathir tahu, untuk terus kekal relevan, beliau harus berada selari dengan agenda dan tuntutan reformasi. Maka, apabila beliau bertembung dengan pemerintahan Abdullah, beliau juga bercakap tidak ubah seperti musuh utamanya Anwar Ibrahim.

Ramai yang terperanjat apabila Mahathir mengatakan Malaysia adalah "negara polis". Ramai yang berasa seperti berada di dalam mimpi apabila Mahathir bercakap amalan politik wang di dalam Umno.

Ramai yang tidak percaya apabila Mahathir mempertikaikan kebebasan media di Malaysia.

Sewaktu beliau masih berkuasa, inilah yang dilakukan oleh Mahathir. Tidak mengapalah, mungkin beliau telah insaf (atau lupa?) dan ingin membantu memenangkan agenda reformasi.

Menantu kesayangan Abdullah - yang kini ahli parlimen Rembau - tidak ketinggalan untuk bernada selari dengan agenda gerakan reformasi.

Baru-baru ini sewaktu berucap pada forum anjuran Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) bertajuk "Kebebasan Akhbar: Pilihanraya Umum 2008" sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Kuala Lumpur, Khairy Jamaluddin menuntut agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dimansuhkan.

Akta ini yang menjadi musuh utama kepada kebebasan media di Malaysia, menurut Khairy, perlu dimansuhkan agar media arus perdana terus relevan di mata rakyat.

Menantu PM juga tahu beliau masih lagi muda dan mahu terus kekal relevan dalam arena politik negara.

Maka beliau telah membuang egonya dan menyuarakan mengenai pentingnya kebebasan media yang merupakan salah satu daripada tuntutan utama gerakan reformasi.



Bahagian terakhir:Arus deras Reformasi 1998-2008



Kapten Dr Saiful| May 21, 08 2:12pm

Selain mengubah Umno dan BN, gerakan reformasi juga memberikan impak yang besar terhadap dua parti tua pembangkang iaitu PAS dan DAP.

Pada 1999, Parti Keadilan Nasional (sekarang PKR setelah bergabung dengan PRM), PAS, DAP dan PRM telah membentuk satu pakatan yang digelar Barisan Alternatif (BA).

BA memberikan saingan yang hebat kepada BN dalam pilihanraya umum ke-10. Penyatuan parti pembangkang bawah BA telah menyebabkan pertarungan satu lawan satu di antara dua parti (BN dan BA) di kebanyakan kawasan.

Sentimen anti-Mahathir yang begitu kuat telah menyebabkan undi orang-orang Melayu beralih kepada BA. Bagaimanapun majoriti undi bukan Melayu masih lagi memihak kepada BN.

Pilihanraya 1999 menguntungkan PAS apabila Terengganu jatuh bawah penguasaannya, Kelantan kekal dan mendapat 27 kerusi parlimen berbanding dengan hanya tujuh kerusi parlimen yang diperolehinya pada 1995.

DAP bernasib malang dalam pilihanraya tersebut apabila Lim Kit Siang dan Karpal Singh, dua jaguh DAP, gagal kembali ke parlimen.

Akan tetapi DAP mendapat lebihan satu kerusi, menjadikan jumlahnya 10 berbanding dengan sembilan kerusi yang diperolehinya pada pilihanraya umum sebelumnya.

Parti Keadilan Nasional, yang masih setahun jagung dan mentah, berjaya mendapat lima kerusi parlimen dan empat kerusi negeri.

Kejayaan gerakan reformasi dalam pilihanraya umum 1999 memberikan tamparan hebat kepada Mahathir selaku perdana menteri. Beliau diserang hebat dari dalam dan luar Umno.

Sebagai reaksi spontan kepada trend pengundi Melayu yang memihak kepada pembangkang, kerajaan Mahathir menyerang beberapa media cetak berbahasa Melayu yang bebas dan kritikal.

Tindakannya itu kerana semenjak permulaan gerakan Reformasi, Harakah, Eksklusif, Detik dan akhbar-akhbar tidak berkala menjadi sumber maklumat alternatif kepada orang-orang Melayu.

Akhbar mingguan independen Eksklusif dan majalah Detik ditutup, manakala Harakah telah dihadkan pengeluarannya dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan (sehinggalah saat ini).

Pakatan BA yang menjadi pencabar kuat kepada BN dalam pilihanraya 1999 tidak dapat bertahan lama, malangnya.

DAP sudah mula merasakan bahawa kekalahan Karpal, Kit Siang dan beberapa kawasan potensi adalah kerana penggabungannya dengan PAS dalam BA.

DAP akhirnya meninggalkan BA pada 21 September 2001, 10 hari selepas berlakunya tragedi 11 September di Amerika Syarikat.

Menurut Kerk Kim Hock dalam satu temubual selepas DAP keluar daripada gabungan pembangkang, penyokong-penyokong tradisi DAP tidak akan menyokong lagi parti itu jika DAP bekerjasama dengan PAS.

Dalam keadaan BN mengeksploitasikan isu negara Islam yang dibawa oleh PAS, ramai pengundi tradisi DAP tidak menyokong parti tersebut pada pilihanraya 1999.

PAS yang menjadi semakin kuat apabila berjaya menguasai Terengganu dan mempertahankan Kelantan sedikit demi sedikit menjadi angkuh dan melupakan agenda Reformasi.

PAS pada ketika itu terlupa atau "buat-buat lupa" bahawa kejayaan mereka merampas Terengganu atas dorongan rakyat mahukan Reformasi ditambah dengan sentimen kebenciaan rakyat kepada Mahathir yang sangat kuat.

Rakyat yang mengundi PAS juga mahukan skandal dan salah urus selama 25 tahun pentadbiran bekas MB Wan Mokhtar Wan Ahmad dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan.

Akan tetapi pemerintahan PAS Terengganu tidak mengutamakan agenda Reformasi dan memerangi rasuah. Pada 12 November 2003, PAS melancarkan Dokumen Negara Islam.

Pelancaran dokumen ini telah menyebabkan DAP menjauhkan lagi daripada PAS dan pengundi-pengundi bukan Melayu menjadi takut. PAS sudah tersilap baca. Kesilapan ini akhirnya membawa padah kepada parti Islam terbesar tersebut.

Perang "anti terorisme" yang dibawa oleh George W Bush, pemegang mahzab politik "neocon" disambut oleh kerajaan BN. Usaha menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dilakukan secara terancang.

Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Kumpulan "Mujahidin" Malaysia yang kemudian tidak semena-mena ditukar namanya oleh polis kepada Kumpulan "Militan" Malaysia (KMM) pada pertengahan 2001 sebelum berlakunya tragedi 11 September.

Penggunaan ISA besar-besaran dimulakan dengan penahanan 10 aktivis Reformasi pada April dan dua pemimpin mahasiswa dua bulan kemudian 2001. BN juga mula melarang sebarang ceramah politik.

Pada Ogos 2001, “perang anti terorisme” telah dimulakan di Malaysia apabila kerajaan Mahathir menahan 10 orang anggota KMM, termasuk anak Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apabila berlaku peristiwa 11 September, tindakan Mahathir menggunakan ISA menjadi “halal”. Kerajaan Mahathir berbangga apabila Amerika Syarikat juga mahu memperkenalkan “Patriot Act” yang mirip kepada ISA.

Yang menjadi tanda tanya dalam fikiran saya sehingga ini: Apakah penahanan KMM pada Ogos 2001 hanyalah satu kebetulan? Atau, pihak perisikan Malaysia sudah mengetahui tentang tragedi 11 September yang bakal berlaku di Amerika Syarikat?

Begitu eratkah hubungan perisikan Malaysia dengan CIA?

Rapuhnya pakatan BA telah memberikan kekuatan kepada BN menjelang pilihanraya umum 2004. Apabila Abdullah Ahmad Badawi naik sebagai PM, harapan baru diberikan dan mandat yang besar diperolehi oleh BN dalam pilihanraya tahun itu.

Terengganu berjaya dirampas kembali oleh BN - jika pada 1999, PAS menguasai 28 kerusi, kali ini PAS hilang pula 28 kerusi negeri. Kelantan walaupun masih dipegang oleh PAS, pentadbirannya sentiasa goyang akibat majoriti yang kecil.

Abdullah yang dibantu oleh "pemikir tingkat empat" mencedok konsep "Masyarakat Sivil" (civil society) daripada gerakan Reformasi dengan mengantikan namanya kepada "Masyarakat Hadhari".

Tetapi beliau gagal membawa Reformasi kepada negara - janji-janjinya tidak ditunaikan. Perang rasuah yang ingin dibawanya hanyalah cakap-cakap kosong.

Saki-baki orang-orang Mahathir dalam pemerintahannya tidak dibersihkan sehingga "memakan" dirinya kembali. Mahathir seperti yang dikatakan oleh Musa Hitam baru-baru ini adalah "duri dalam daging" pemerintahan Abdullah.

Ketika Abdullah lemah akibat serangan Mahathir dan konco-konconya yang bertalu-talu, Anwar Ibrahim memainkan peranan untuk memperkuatkan pakatan pembangkang.

Anwar muncul "pendamai" konflik ideologi senyap PAS-DAP. Akhirnya Anwar berjaya mendorong PAS dan DAP duduk semeja. Kedua-dua parti tersebut bersetuju Anwar sebagai calon perdana menteri mereka.

Akibatnya PAS memperkenalkan garis Negara Berkebajikan (welfare state) dalam manifesto pilihanrayanya yang lalu dan menggugurkan agenda negara Islam.

PAS dilihat oleh pengundi-pengundi bukan Melayu sebagai "lebih liberal" dan berwajah baru. Penjenamaan semula yang dilakukan itu, bersama sejumlah faktor lain, berjaya mempengaruhi rakyat pelbagai kaum.

DAP yang sebelum ini dilihat sebagai "chauvinis" Cina juga menunjukkan mereka komited untuk membela semua kaum dan berjaya melunakkan hati pengundi Melayu, khususnya di bandar dan pekan kecil, untuk bersama mereka.

Selepas menang di Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menjadi ketua menteri baru bertekad untuk mengamalkan pemerintahan ala "Umar bin Abdul Aziz", seorang khalifah Islam yang terkenal dengan pemerintahannya yang bersih dan telus.

Guan Eng telah berjaya menggagalkan rancangan jahat pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang yang mahu membangkitkan sentimen perkauman.

Menjelang 10 tahun gerakan reformasi yang akan genap usianya pada September ini, politik negara semakin berkocak.

Terbaru, Dr Mahathir keluar dari Umno dan menyeru pemimpin dan ahli untuk mengikut jejak langkahnya bagi memberikan tekanan kepada Abdullah untuk meletakkan jawatan. Dr Mahathir yang ditentang oleh gerakan Reformasi kerana pemerintahan kuku besinya masih lagi bebas "mengacau".

Kesilapan terbesar Abdullah ialah beliau tidak membersihkan sisa-sisa orang Mahathir dalam Umno dan pentadbirannya.

"Budak tingkat empat" yang menjadi pemikir kepada Abdullah hanya rakus untuk mengaut kekayaan daripada memberikan strategi politik yang betul kepada Abdullah.

Akibatnya, Abdullah hilang mandat besar yang diperolehinya pada 2004. Sekarang beliau terpaksa "bertarung" dengan pendekar-pendekar di dalam Umno (majoritinya orang Mahathir) yang menyalahkannya kerana BN hilang majoriti dua pertiga di parlimen.

Pakatan Rakyat yang lahir daripada gerakan Reformasi harus bijak mengharungi arus politik negara.

Jika tersilap langkah seperti apa yang dilakukan oleh PAS semasa memerintah Terengganu dan Abdullah Ahmad Badawi yang tidak membersihkan orang-orang Mahathir dalam pemerintahannya, Pakatan Rakyat juga akan menerima nasib yang sama.

Apakah 10 tahun Reformasi yang akan disambut pada September ini akan menyaksikan Pakatan Rakyat mengambil alih negara seperti yang dikatakan oleh Anwar baru-baru ini?

Ataupun Mahathir akan berjaya menaikkan Najib sebagai perdana menteri agar legasinya diteruskan?

Kita tunggu dan lihat. Sejarah telah membuktikan kemenangan sentiasa di tangan orang-orang yang berani dan bijak.


Lebih 2,000 hadiri Majlis Munajat Kedah


KOTA SARANG SEMUT, 21 Mei (Hrkh) - Lebih 2,000 ahli dan penyokong PAS memenuhi Dewan Dato' Fadzil Mohd. Nor, Kompleks PAS Kedah sempena Majlis Ibtihal atau Munajat PAS Kedah yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah baru-baru ini.

Orang ramai mulai hadir ke pekarangan kompleks seawal jam 11 malam dengan masing-masing melakukan ibadah mutlak secara bersendirian. Tepat jam 3.00 pagi, aturcara dimulakan dengan solat hajat berjamaah, bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Tuan Guru Salleh Musa.

Setelah itu, aturcara diteruskan dengan solat tahajud dan witir berjamaah diimamkan oleh Ustaz Sayuti Zainol al-Hafiz diikuti doa munajat oleh Syeikh Mohamad Abdullah.

Selepas solat subuh yang diimamkan oleh Ustaz Masmawi Sahak al-Hafiz, aturcara diteruskan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar Kedah.

Dalam kuliahnya, Ustaz Azizan menghuraikan pengajaran dari surah al-Insyirah yang menerangkan kemudahan yang diperolehi setelah kesusahan.

Tegas beliau, kesusahan adalah jalan perjuangan yang mesti dilalui oleh perjuangan Islam sebagaimana yang dilalui oleh Nabi-nabi dan salafus soleh terdahulu.

Ibrah dari kisah Fathu Mekah turut dijelaskan beliau dengan harapan para pejuang PAS mempunyai sikap pemaaf. Beliau juga menyingkap pengajaran dari peristiwa Perang Hunain yang membawa kepada sokongan dan dokongan yang semakin teguh kepada Islam.

Sementara itu, Setiausaha BPPNK, Muhamad Yusuf Husin berkata, tujuan program itu diadakan adalah sebagai menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT yang memberikan kemenangan kepada PAS dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Program ini sebagai menyatakan kesyukuran kita kepada Allah SWT serta memohon kepada Allah agar diberi kekuatan kepada kita untuk mengisi kemenangan ini dengan dakwah Islamiyah yang menjadi matlamat perjuangan parti.

"Kita juga memohon daripada Allah agar diberi kekuatan kepada kita menempuh segala kerenah, mehnah dan tribulasi," jelas beliau.

Pada 31 Januari lalu sebelum Pilihan raya Umum Ke-12 (PRU-12) diadakan, PAS Kedah telah menganjurkan majlis seumpama ini dalam memohon kepada Allah agar diberi kekuatan dan kemenangan. -

Tuesday, May 13, 2008

Sangka buruk....


Mengapa Perlu Sangka Buruk ?

Oleh

syeikhsifu@yahoo.com.my



Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)

Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah.

Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"

Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangak buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangak buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk' apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.

Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.

Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.

Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.

Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.

Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih. Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.

Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

"Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu"

Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).

Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diri taksub kepada team mereka.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.

Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.

Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.

Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada S.S Mufti Perlis. Akhir-akhirnya ini S.S Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,

Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihnraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek' kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
"Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!" Tempelak mereka.
Dan macam-macam lagi.

Saya kerap dengar komen "mengapa baru sekarang!!?" sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?

Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.

Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, Overridding Commission dalam MLM, Pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata

"Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot" Katanya.

Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?

Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata

"hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.

Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.

Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.

Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.

Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.


Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.

Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :"puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?"

"akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku"

Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA. Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.

Sebagai contoh lain.

Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-

a- "Ustaz ada dengar tak slot Dr Zainol Hadja pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr Zainol dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer"

b- "PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet"

c- "Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!", simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)

d- "eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak' dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen"

e- "Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang"

f- "Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?" Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.

g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : "jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan"

Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia Cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.




Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal, apa salahnya. Selagi mana zahir tindakan semua mereka tadi adalah baik dan menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.

Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ

Ertinya : "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam" ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.

Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".

Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

KESIMPULANNYA

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.

Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.

Sekian