Labels

Wednesday, December 24, 2008

BAIK UNTUK UMNO, BAIK UNTUK PAS

Malaysiakini melaporkan Dato' Kapt. Zahar Hashim, bekas Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan telah menyertai PAS. Menurut laporan Malaysiakini lagi, beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang.

Turut hadir pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali. Klik di sini dan di sini untuk membaca laporan Malaysiakini mengenai isu tersebut. Menurut laporan Malaysiakini lagi, penyertaan beliau disertai oleh beberapa orang ketua cawangan dan ahli-ahli parti.

Melalui beberapa tulisan dan aktiviti beliau, saya yakin Kapt Zahar adalah seorang "determined" dan komited kepada perjuangannya.

Lantaran itulah maka saya agak kecewa apabila membaca sebuah website penyokong UMNO yang menulis bahawa "UMNO tidak rugi apa-apa" dan dia "tidak layak bersama UMNO". Saya tak mahu promosi laman web itu. Anda carilah sendiri.

Saya fikir itu adalah satu kenyataan yang cukup angkuh. Apabila seorang ahli UMNO (apatah lagi pemimpin peringkat bahagian) keluar UMNO, ia merupakan satu kerugian bagi parti; lebih-lebih lagi pada masa ini di mana UMNO bukanlah berada pada kedudukan yang kuat. UMNO memerlukan sokongan semua orang Melayu -- sama ada mereka berada dalam parti atau di luar parti.

Nah, kita ada dua pilihan bagaimana untuk melihat isu ini.

Kita boleh melihatnya seperti melihat gelas air "separuh kosong." Atau, kita boleh melihatnya seperti gelas "separuh penuh".

Saya memilih untuk berfikiran positif dan melihat gelas "separuh penuh".

Untuk sekian lama, pelbagai pihak mengkritik UMNO dan PAS sebagai tidak mampu berfikiran dan bertindak secara strategik. UMNO dan PAS dikatakan menari mengikut rentak orang lain. Lantaran itulah maka sesetengah tindakan UMNO dan PAS dipersoalkan oleh orang Melayu sendiri. Malah, ada beberapa orang cendikiawan Melayu yang mempersoalkan adakah tindakan UMNO dan PAS adalah berdasarkan kepentingan sempit parti masing-masing, ataupun atas kepentingan agama dan bangsa yang lebih besar.

Ini berbeza dengan parti-parti politik Cina. Walaupun mereka berbeza entiti, namun mereka mempunyai "wahdatul fikr" atau kesatuan fikrah. Kita tidak melihat pemimpin politik Cina berbalah soal-soal yang menyentuh kepentingan bersama. Ambil isu sekolah wawasan atau SRJKC. Parti-parti politik MCA, DAP dan Gerakan tidak bercanggah pendapat.

Bagaimanapun UMNO dan PAS tidak begitu.

Ambil isu hudud. Sepatutnya Dato' Husam Musa dan Saudara Khairy Jamaluddin tidak perlu bersifat apologetik, apatah lagi menjadikannya sebagai satu bahan polemik politik. Usah politikkan. Usah bertanya soalan itu untuk memerangkap orang lain. UMNO dan PAS sepatutnya bersatu dalam isu ini. Biarlah DAP atau MCA menggertak, UMNO dan PAS seharusnya menjelaskan bahawa ini hukum Allah s.w.t. It is non-negotiable. Hudud wajib. Kalau tak mampu nak laksanakan sekarang, itu soal lain.

Saya boleh sebutkan banyak lagi isu yang sepatutnya UMNO dan PAS bersama, tetapi entah atas kepentingan apa, kedua-dua parti politik Muslim-Melayu ini tidak sekata. Dengan ikhlas, saya berharap ia bukanlah kerana kepentingan duniawi yang sedikit.

Sehingga kini, saya tidak melihat adanya usaha untuk mewujudkan kesatuan fikrah antara UMNO dan PAS. Usah salah faham. Saya tak cadangkan UMNO dan PAS bergabung. Saya juga tak cadangkan PAS masuk BN, atau UMNO masuk Pakatan Rakyat. Biarlah UMNO jadi UMNO. Dan, biarlah PAS menjadi PAS. Biarlah orang Melayu ada dua buah parti politik yang saling bersaing secara sihat.

Apa yang saya minta ialah wujudkan kesatuan fikrah. Bersatu dalam soal-soal yang menyentuh kepentingan agama dan bangsa. Kalau nak berbalah pun, biarlah dalam soal-soal operasi saja.

Selepas PRU12 lalu, beberapa orang pemimpin UMNO dan PAS cuba duduk semeja berbincang. Habis riuh-rendah, heboh dalam media massa. Saya nak tanya, adakah pemimpin-pemimpin MCA, DAP dan Gerakan tidak pernah duduk semeja berbincang mengenai kepentingan bersama?

Inilah penyakit pemimpin politik Melayu. Bertelur sebiji, riuh sekampung. Orang lain lahirkan anak gajah, orang sebelah rumah pun tak tahu!

Nah, saya katakan tadi bahawa saya suka melihat kemasukan Kapt Zahar ke dalam PAS dari perspektif yang positif; seperti melihat air separuh penuh, bukannya air separuh kosong.

Saya berharap kemasukan beliau ke dalam PAS boleh membina jambatan antara kedua-dua parti ini. Mengenali Kapt Zahar, saya tidak fikir beliau manusia yang membakar jambatan. Ya, dia seorang yang tegas dan iltizam dengan perjuangannya, namun saya cukup yakin Kapt Zahar berjiwa besar dan mampu meletakkan perjuangan agama dan bangsa mengatasi kepentingan sempit politik kepartian.

Kapt Zahar boleh memainkan peranan sebagai elemen penyatu antara UMNO dan PAS. Hubungan baiknya dengan pemimpin UMNO dan PAS adalah merupakan aset yang cukup berharga. Saya cukup positif dalam soal ini.

Ada orang yang akan berkata, "Ah, mana mungkin!"

Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Cuma saya sekadar ingin menyebut bahawa dalam kelompok tertentu PAS Selangor sudah wujud apa yang disebutkan sebagai PROMISE. Apa tu PROMISE? Aha, PROMISE bermaksud "pro Melayu Islam Selangor."

Siapakah ketuanya dan apakah agenda PROMISE?

Itu kita jadikan bahan tulisan dalam posting pada masa akan datang, apabila keadaan mengizinkan. Cerita sikit-sikit cukuplah.

Untuk sementara waktu, cukuplah kalau saya katakan kemasukan Kapt Zahar dalam PAS adalah sesuatu yang baik. Baik untuk UMNO. Baik untuk PAS.

Ok, Kapt? Kita jumpa di Kuala Terengganu nanti!

No comments: