Labels

Sunday, March 29, 2009

UMNO dah berubah, PAS bila lagi.....


Semasa menunggu saat 'earth hour' semalam, Mak Lang Munirah pot pet pot pet tentang Perhimpunan Agung UMNO. Di sebalik gosip dan umpatan politik ada satu yang amat menarik apabila jiran saya tersebut mengatakan begini: "Untuk berdepan dengan 'orang itu' kami UMNO sanggup berdamai dan bersatu. Lupakan segala perbezaan."

Saya telan liur.

Dan kemudian Mak Lang Munirah menyambung, "PAS jugak yang jadi bodoh kerana berpecah untuk mempertahankan 'orang itu'. Sepatutnya, PAS dan UMNO juga bergabung tenaga (saya percaya yang beliau maksudkan bukan dalam satu organisasi) untuk berdepan dengan agenda 'orang itu'. 'Dia tu' bahaya."

Tetapi begitulah, PAS terperangkap diperkudakan memikul biawak hidup.

Perpecahan makin besar, meski dinafikan. Pimpinan semakin tidak malu 'mengutuk' sesama sendiri.

Bak kata teman saya, "Macam zaman ni tak ada emel, telefon bimbit atau sms! Semua orang dah tahu."

PAS bercakap tentang Islam. Kerana 'orang itu' PAS semakin tenggelam. Islam dan liberalisme tidak mungkin duduk sekali, melainkan PAS memilih haluan menjadi Islam Liberal sepenuhnya.

"Mengapa PAS begitu (menerima 'orang itu')?" Tanya Mak Lang.

Lampu KLCC pun terpadam. Kanak-kanak pun saling menjerit, "oii tutup lampu."

Saya tahu, seperti sebahagian mereka yang tidak mengendahkan kempen 'earth hour' untuk memadamkan 'cahaya palsu yang banyak', mereka ini memang tidak peduli.

Dan ketidakpedulian mereka menyakitkan dan menyusahkan kita yang peduli.

Wrote by syeikhsifu

Ayuh mari bercinta

Apabila disebut tentang cinta, ia tidak semestinya cinta di antara “boyfriend and girlfriend”. Cinta memiliki skop yang lebih luas dan skop yang luas inilah yang diberi tumpuan oleh Islam. Sebelum ini dalam Dara.com edisi Jun 2007, kita telah sama-sama pelajari kepentingan bercinta kerana Allah. Kita mencintai seseorang kerana Allah, membenci seseorang kerana Allah serta adakalanya cinta dan benci secara serentak kerana Allah. Pada kali ini kita akan pelajari tentang cinta lagi, iaitu cinta sesama umat Islam.

Para pembaca sekalian janganlah terasa aneh atau terkejut apabila saya memberi tumpuan kepada subjek cinta. Subjek ini sengaja menjadi pilihan saya kerana kelihatannya ia sering dilupai atau tidak diketahui langsung oleh kita umat Islam. Padahal kita sebenarnya adalah umat yang paling romantik, paling cinta-mencintai. Ia bukan sekadar perasaan di hati, tetapi dibuktikan dengan lisan. Rasulullah s.a.w. pernah berpesan: “Jika salah seorang dari kalian mencintai saudaranya, maka khabarkanlah kepada saudaranya itu.” [Shahih Sunan Tirmizi, no: 2391] Maksud saudara dalam hadis di atas ialah seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t.: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” [al-Hujurat, ayat 10]

Berkenaan cinta sesama umat Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah (sempurna) iman seseorang kalian sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” [Shahih al-Bukhari, no: 13] Dalam sebuah hadis lain yang seumpama, baginda bersabda: “Sesiapa yang menyukai agar diselamatkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka hendaklah ketika ajal menemuinya dia dalam keadaan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta dia memberi kepada manusia apa yang dia suka diberikan kepadanya.” [Shahih Muslim, no: 1844]



Bagaimana membuktikan kecintaan sesama umat Islam?

Demikian dua buah hadis yang agak pendek tetapi memiliki nilai yang amat tinggi di dalamnya. Berikut dikemukakan beberapa contoh bagaimana mempraktikkan kedua-dua hadis di atas.

Apabila berinterkasi dengan ibubapa, letakkanlah diri kita di tempat mereka. Nescaya kita menghendaki agar anak-anak kita berinteraksi dengan cara yang terbaik kepada kita. Maka dengan itu juga, apabila berinteraksi dengan ibubapa kita, pilihlah cara yang terbaik.

Apabila melihat orang lain melakukan sesuatu kesalahan, letakkanlah diri kita ditempatnya. Nescaya kita akan menghargai apabila ada orang yang sudi memaafkan kita serta memberi nasihat dan teguran. Ini kerana tidak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka dengan itu maafkanlah kesalahan orang lain dan berusahalah mencari ruang menasihati dan menegurnya.

Apabila ingin membetulkan kesalahan orang lain, letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita mengingini agar orang yang membetulkan kita melakukannya dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Maka dengan itu juga, betulkanlah kesalahan orang lain, sama ada yang melakukan maksiat atau bid‘ah, secara tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Jangan menghebohkannya, bersikap keras dan kaku.

Apabila ada berita tidak baik yang tersebar, semaklah terlebih dahulu. Jika ia adalah dusta, maka wajib kita membela dan membersihkan nama saudara kita yang dianiaya oleh berita tersebut. Jika ia adalah benar, maka wajib kita menasihati saudara kita yang tersilap itu dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah.

Apabila tergerak di hati kita untuk berburuk sangka atau mencari dan menyebarkan gosip berkenaan orang lain, letakkan diri kita di tempatnya. Nescaya kita benci tindakan sedemikian dilakukan ke atas diri kita tanpa mengira sama ada sangkaan atau gosip tersebut benar atau tidak. Miaka dengan itu tahanlah diri daripada berburuk sangka atau mencari dan menyebarkan gosip.

Ingin ditambah bahawa berburuk sangka dan mencari-cari gosip di kalangan sesama umat Islam adalah sesuatu yang dilarang. Berkenaan hal ini Allah s.w.t. berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda: “Berhati-hatilah kalian terhadap buruk sangka kerana sesungguhnya ia adalah perkataan yang paling dusta. Dan janganlah saling mencari-cari khabar kesalahan, janganlah saling memata-matai, janganlah saling meninggikan harga untuk menarik perhatian pembeli, janganlah saling mendengki, janganlah saling membenci dan janganlah saling membelakangi. Wahai para hamba Allah! Jadilah kalian bersaudara!” [Shahih al-Bukhari, no: 6066]

Seterusnya, apabila saudara kita memiliki sesuatu kelebihan seperti ilmu, kedudukan, kemasyhuran atau harta, maka letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita bergembira dan bersyukur atas kelebihan-kelebihan tersebut. Maka dengan itu juga, hendaklah kita turut bergembira dan bersyukur apabila di kalangan saudara kita ada yang diberi atau memiliki sesuatu kelebihan.

Lawan kepada sikap ini ialah dengki. Dengki ialah membenci apa-apa kelebihan yang dimiliki oleh saudara kita. Sikap dengki menyebabkan kita merasa hanya diri kita yang layak memiliki kelebihan tersebut dan bukannya saudara kita. Sikap dengki bertolak belakang dari kedua-dua hadis yang dikemukakan di atas. Sikap dengki ialah “dia membenci untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” Sikap dengki juga ialah “dia enggan memberi kepada manusia apa yang dia suka diberikan kepadanya.” Oleh itu berhati-hatilah dengan kedengkian kerana ia adalah isyarat kecacatan iman dan faktor penghalang daripada syurga Allah s.w.t..

Sikap dengki adalah satu penyakit hati yang amat merbahaya sehingga Allah s.w.t. mengajar kita sebuah doa khas untuk menjauhinya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” [Surah al-Hasyr, ayat 10]

Saturday, March 28, 2009

Dr Mahathir dan Pak Lah berdamai akhirnya


Perhimpunan agung Umno kali ini merakam sejarah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpelukan di atas pentas.

Sebelum itu, Dr Mahathir membuat kejutan apabila muncul di dewan persidangan pada jam 12.29 tengahari tadi ketika majlis pergulungan ucapan sedang berlangsung.

Ketibaan Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut tepukan gemuruh para perwakilan yang turut bangun memberi hormat kepada kedua-dua tokoh tersebut.

Timbalan Presiden Umno yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu sedang menyampai ucapan penggulungannya, berkata kehadiran Dr Mahathir itu menandakan mantan perdana menteri mengiktiraf kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Manakala Abdullah pula, dalam ucapan penggulungannya berkata, beliau telah memaafkan semua pihak yang tidak senang dengannya.

Katanya, beliau juga memaafkan Muhyiddin jika menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu beranggap telah melakukan perkara tidak baik.

Walaupun tidak menyebut nama-nama yang lain, Dr Mahathir memang diketahui amat kritikal mengkritik pentadbiran Abdullah selama ini.

Naik ke pentas

Manakala Najib dalam ucapan penggulungannya menyuarakan hasrat ahli parti untuk melihat kedua-dua tokoh tersebut berbaik-baik dan menjadi teladan kepada ahli-ahli parti.



Selepas selesai majlis penggulungan tersebut, Dr Mahathir kemudian berjumpa dan berpelukan dengan Najib sebelum melangkah naik ke pentas dan menemui Abdullah.

Kedua-duanya kemudian berpelukan di atas pentas di tengah-tengah tempukan gemuruh pada perwakilan.

Dr Mahathir juga kemudiannya mengesahkan kepada pemberita bahawa beliau akan menyertai Umno semula.

Sebelum itu, Najib berharap dapat bersama kedua-dua "negarawan" tersebut demi kepentingan negara dan parti itu.

"Harapan saya agar dapat bersama dua negarawan tersebut - Datuk Seri Abdullah dan Tun Dr Mahathir - bagi membincangkan masalah serta masa depan parti dan negara. Walaupun pertemuan pertama mungkin kekok sedikit, tetapi lama-lama kemesraan akan terjalin.

Rapatkan barisan

"Yang penting bukan kepentingan diri, yang penting Umno dan negara kita. Insya-Allah, jika negarawan kita menunjukkan teladan yang baik, kita akan berjaya merapatkan barisan kita.

"Yang di bawah ini akan ikut bersama. Mereka akan mendapat inspirasi daripada negarawan kita," katanya dalam ucapan lantang dan berapi-rapi.

Beliau juga menyeru kedua-dua pihak jangan mengkritik secara terbuka, sebaliknya menyelesaikan sesuatu perkara secara dalaman.

"Apabila ahli setia kepada pemimpin, pemimpin yang bersara juga perlu setia kepada parti yang pernah berjasa kepada kita. Ini merupakan kehendak perwakilan Umno," katanya yang mendapat sorakan dan tepukan daripada perwakilan.

"Hari ini Tun Dr Mahathir hadir bersama-sama kita. Saya cuba tafsir kehadiran beliau. Saya percaya dalam hati kecil beliau, darah beliau adalah darah Umno," katanya.

Jerlun dan Mukhriz-Ulasan


1.Sebelum anda membaca ayat-ayat yang seterusnya, lebih baik saya terangkan dulu kepada anda yang saya bukanlah penyokong UMNO. Apa yang saya tulis hanyalah berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian saya seagai seorang pelajar yang langsung tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk bercakap tentang politik. Tetapi atas niat prihatin dan atas dasar kasih sayangnya terhadap agama , bangsa dan negara, saya menjadikan menulis sebagai satu cara untuk menumpahkan sejuta rasa dari dalam hatinya.

2.Semasa di zaman budak-budak dulu, saya memang penyokong kuat UMNO. Sokongan itu didasarkan atas kakaguman kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berumur 83 tahun. Saya bukanlah taksud, atau sebahagian orang yang digelar mahathist , tetapi kagum dengan keupayaan dan kebolehannya memotivasikan sesiapa sahaja yang mendengar ucapannya termasuklah saya.

3.Tun Mahathir bukanlah hebat berpidato seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh saja membakar semangat dam mempengaruhi orang lain,tidak pula membosankan seperti Dato' Seri Abdulllah Ahmad Badawi yang selalu saja ucapannya membuatkan orang mengantuk, tetapi setiap kata-kata Tun akan didengar dengan teliti dan orang tidak berganjak dari tempat duduk.

4.Saya masih ingat lagi , ketika satu perhimpunan Agung UMNO, Tun Mahathir bercakap tiga jam tanpa henti. Satu rekod untuk seorang yang sudah berumur 70-an. Walaupun pada perhimpunan Agung UMNO, ucapannya tidaklah sangat berkisar tentang parti itu tetapi lebih kepada cerita tentang orang Islam dan Melayu. Cerita tentang betapa orang islam perlu kuat dalam pendidikan ekonomi , ketenteraan dan segala-galanya untuk mengembalikan semula kegemilangannya suatu ketika dulu. Untuk memastikan juga umat islam tidak sewenang-wenangnya ditindas seperti yang berlaku di palestin. Kepada orang melayu pula, nasihat yang diberikan adalah jelas.Mereka perlu merubah minda dan sikap. Jangan asyik mengambil jalan mudah untuk berjaya, segalanya perlu diusahakan, jangan nanti kita menjadi kuli di tanah air sendiri.

5.Sebagai seorang yang tinggal di kampung dan tidak sangat terdedah kepada dunia luar, amat sukar untuk saya mencari sesuatu yang betul-betul boleh membuka minda dan memotivasikan diri. Tapi alhamdulillah tabiat menonton tv, banyak membuka ruang kepada minda untuk melihat dunia bukan setakat berkisar di pekan kecil Ayer Hitam tapi lebih jauh lagi sehinggalah ke semenanjung Gaza. Setiap kali Tun Mahathir memberikan ucapan, saya pasti akan tercegat di hadapan tv kerana saya yakin setiap apa yang disampaikan pasti akan menyuntik semangat ke dalam diri terutamanya tentang orang Melayu.

6.Di kawasan saya rata-rata orang melayu bekerja sebagai petani atau lebih tepat lagi pesawah. Walaupun saya anak pesawah , sudah agak lama saya tidak turun ke bendang.. Memalukan bukan..he…he…?.walaupun kebanyakan tanah sawah dipunyai oleh orang –orang melayu, tapi hampir 80%(hanya anggapan saya) kilang-kilang pemprosesan padi di miliki oleh orang-orang cina. Kalau ada pun orang melayu, meraka tidaklah sangat maju, ala-ala seperti hidup segan mati tak mahu. Rata-rata orang melayu lebih suka menjual padi kepada tauke-tauke cina. Malah,perniagaan runcit juga di monopoli oleh orang-orang cina. Orang melayu pula maju dalam perniagaan makanan dan restauran.

7.Untuk pengetahuan anda,saya berasal dari pekan kecil Ayer Hitam,Jerlun Daerah Kubang Pasu.Pada Pilihanraya lepas, Dun Ayer Hitam dimenangi oleh calon pas Ustaz Abdul Ghani Ahmad manakala Parlimen Jerlun dimenangi oleh calon UMNO Datuk Mukhriz Mahathir, anak lelaki Tun Mahathir. Itu pun kemenangan Mukhriz adalah dengan majoriti yang agak kecil. Mengikut ibu saya, kebanyakan pengundi yang memangkah beliau adalah kerana mereka teringatkan jasa-jasa Tun Mahathir.

8.Datuk Mukhriz menjadi calon untuk jawatan ketua pemuda UMNO dalam pemilihan yang berlangsung dua hari lepas. Agak malang , beliau tewas. Memang saya sejak dari awal-awal lagi berharap yang beliau akan memenangi jawatan tersebut.Kalau tidak silap saya,Datuk Mukhriz merupakan pengelola Aman Malaysia, Petubuhan Bukan Kerajaan yang banyak menganjurkan activiti-activiti berbentuk keamanan sejagat.

9.UMNO cuba menunjukkan yang ia merupakan parti yang bersih dengan mewujudkan Jawatankuasa Bertindak Disiplin UMNO dalam membenteras gejala politik wang. Ia nampaknya agak berkesan kerana bukan sahaja ikan kecil yang kena tetapi juga ikan-ikan besar yang mempunyai kedudukan tinggi dalam parti. Jika dulu Tan Sri Isa Samad dikenakan tindakan,yang terbaru Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula yang hilang kelayakan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tapi apa yang peliknya, ada juga beberapa ahli yang didapati bersalah tapi hanya diberi amaran. Pelik. Cuba bayangkan, seorang didapati bersalah di makhamah, tapi akhirnya hanya di beri amaran tanpa perlu menjalani hukuman. Pelik bukan?

10.Akhirnya,seorang ahli UMNO yang didapai bersalah dan hanya diberi amaran berjaya mengepalai salah satu sayap penting dalam UMNO. Ia agak memalukan. Selepas saja dia diumumkan menang, ramai ahli UMNO yang bertempik menentang kerana kemenangannya itu tidak menggambarkan sokongan dari akar umbi.

11.Tun Mahathir tidak hadir pada pembukaan mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO kerana kesal dengan tindakan perwakilan salah satu sayap UMNO yang seolah-olah merestui politik wang dengan memilih orang yang sudah didapati bersalah menjadi pemimpin. Ramalan beliau, jika Datuk Seri Najib memilih pemimpin itu sebagai menteri kabinet kelak, pasti pada PRU 13, BN akan kalah teruk. UMNO akan dilihat jijik dimata rakyat, kerana mempunyai pemimpin yang pernah terlibat dengan rasuah politik.

12.Novelis terkenal,Faisal Tehrani menyifatkan kemenangan calon politik wang tersebut sebagai suatu yang bagus.. Tidak seperti Datuk Mukhriz yang menyokong, pemimpin tersebut menolak PPSMI, sekaligus mendapat sokongan dari orang-orang yang digelar pejuang bahasa. Tapi soalnya, adakah semua orang yang berdemontrasi beberapa minggu lepas mendesak PPSMI dimansuhkan akan menyokong pemimpin ini hanya kerana sehaluan dalam isu PPSMI ini?. Mungkin tidak. Politik tetap politik, orang politik akan mencari apa saja cara untuk menjatuhkan ahli politik yang lain.

13.Moga-moga segalanya akan kembali baik di masa hadapan.

14.Itu saja dari saya kali ini.Terima kasih kerana membaca, moga-moga anda sihat sentiasa. Kepada yang akan menghadapi peperiksaan akhir semester, moga-moga DIA mempermudahkan segalanya. Insya-Allah. Berusahalah, walaupun pada akhirnya anda tidak berjaya, tapi paling tidak ia mendidik anda menjadi lebih rajin. Di masa hadapan anda akan terbawa-bawa dengan sikap itu dan insya-Allah, kelak anda akan berjaya (Nasihat ini ditujukan pertamanya kepada saya).

::Written by syeikhsifu, Yang Meluahkan Seribu Rasa dari Jiwa
::11:30 p.m
::Friday,March 09, 2009

Thursday, March 19, 2009

Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal


Aku sangat tertarik membaca kisah Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18 yang telah mendapat kelulusan 20A iaitu 19A1 & 1A2 dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Tapi tak boleh lawan junior aku kat SMKA Yan Kedah, Azali Azlan, 19, Pelajar Terbaik SPM 2007 21A (20A1 & 1A2).

Apa yang memeranjatkan adalah rumah tempat tinggal Nur Madihah yang beralamat di Kg. Parang Punting, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Kalau dilihat rumah tersebut, nak kata rumah pun tidak nak kata reban pun tidak.
Macam mane Nur Madihah tinggal bersama adik beradik dan ibubapanya dalam rumah tersebut.

Dan nak bayangkan macam mane Nur Madihah dapat mentelaah pelajaran hingga mencapai kejayaan hebat tersebut. Aku diberitahu antara rahsia kejayaan Nur Madihah ialah beliau sentiasa bangun tahajjud.

Cuba bayangkan beliau masih mampu bangun tahajjud dalam keadaan rumah yang sebegitu daif!

Terasa malu plak bagi mereka yang punya rumah hebat siap air-con tapi jangankan tahajjud, takut subuh pun tak terkejut!!

Tapi apa yang lebih membingungkan aku adalah bagaimana kedaifan keluarga ini langsung tidak diketahui samada oleh pihak sekolah, pihak jawatankuasa masyarakat, jabatan-jabatan kerajaan samada peringkat negeri mahupun persekutuan saperti JKM, PPD dan lain-lain.

Aku terbaca laporan bagaimana Nur Madihah terpaksa berlapar dan berpuasa kerana tiada kemampuan untuk belanja. Inilah contoh terbaik kepada remaja masa kini. Tidak pernah ku temui insan sebegini.

Allah Humma ya Allah..begitu besar Rahmat & Rahim Mu Ya Allah.

Berilah kami kekuatan dan kecekalan dalam menghadapi segala pancaroba dan cabaran serta kejayaan sebagaimana Engkau berikan kepada Nur Madihah. Dan kepada Nur Madihah, Engkau berikan kejayaan kepada beliau dan berilah keberkatan kepada apa jua yang Engkau berikan kepada beliau.

Ameen ya robbal ‘alamin..

Friday, March 6, 2009

Hayah

Hidup ini bagaikan roda,sekejap di atas sederap dibawah.