Labels

Saturday, October 22, 2011

Kolonel Muammar Ghadafi akhirnya tewas


Ada sebuah ungkapan Inggeris yang berbunyi “he who lives by the sword, dies by the sword.” Secara literalnya, ia bermaksud, sesiapa yang hidup dengan pedang akan mati kerana pedang.

Selama 42 tahun, selepas menjatuhkan Raja Idris dengan kekuatan “pedang” pada bulan September 1969, Kolonel Muammar Ghadafi aka “King of Kingsmemerintah dengan kuasa “pedang”. Semalam, pada 20 Oktober, beliau mati di mata “pedang”. Ironiknya beliau mula memerintah Libya sewaktu remaja lagi iaitu ketika berumur 27 tahun dan meninggal dunia ketika usia 69 tahun.

Menurut laporan Associated Press, beliau ditarik keluar cedera daripada lubang persembunyiannya. Beliau merayu kepada penangkapnya: “Jangan bunuh aku anak-anakku.” Tetapi, sudah terlambat. Mereka bukan lagi anak-anak beliau. Mereka adalah anak-anak revolusi musim bunga Arab.

Mereka “meronyeh-ronyeh” dan mencabut rambutnya. Belum jelas sama ada beliau benar-benar mati kerana cedera atau mati dibunuh oleh penangkap-penangkapnya. Ada laporan mengatakan dia tertembak di kepala ketika pasukan yang setia kepadanya berbalas-balas tembak dengan tentera rakyat.

Tetapi apa yang berlaku selepas itu ialah, mayatnya diikat kepada bonet kereta dan diarak di jalan-jalan raya bandar kelahirannya, Sirte.

Selepas Presiden Zine El Abidine Ben Ali, Tunisia dan Presiden Hosni Mubarak, Mesir, Ghadafi adalah pemerintah kuku besi dunia Arab yang ketiga jatuh dalam masa tidak sampai setahun. Yang berbeza hanyalah darah yang mengalir di bumi Libya. Revolusi jalanan Tunisia dan Mesir umumnya mengambil masa yang singkat dan tidak banyak mengorbankan nyawa dan harta benda.


Kejatuhan Pemimpin Libya Muammar Ghadafi menunjukkan kemenangan sebahagian rakyat Libya yang disokong oleh Pakatan NATO.  NATO sebenarnya adalah Organisasi ketenteraan Atlantik Utara yang dianggotai oleh 28 negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Sepanyol, Italy, Portugal, Belgium dan lain-lain lagi. Perbelanjaan ketenteraan gabungan semua negara-negara NATO membentuk lebih 70% daripada perbelanjaan pertahanan di dunia. Maka yang sebenarnya gembira dgn kemenangan ini pastilah negara-negara NATO.  

Soalnya sekarang ialah ke manakah Libya akan menghala selepas ini? Revolusi Tunisia dan Mesir sudah mula menampakkan kesan positif. Keamanan semakin pulih walaupun usaha mengubah kesan pemerintahan kuku besi yang berdekad-dekad lamanya bukanlah mudah dan tentunya memakan masa.Adakah selepas ini Libya menjadi lebih maju dan aman dari sebelumnya??? Adakah pentadbiran baru Libya akan menjadi alat perkakas NATO???



Ke Arah Mana Revolusi Arab?

Dan apa pula akan terjadi di Syria dan Yaman, di mana rakyat jelatanya juga bangun menuntut perubahan, dalam revolusi jalanan yang  berdarah?

Bagi memudahkan analisis, kita boleh menuduh kebangkitan musim bunga Arab itu sebagai satu lagi konspirasi Barat.

Tetapi kita juga perlu akui bahawa suasana politik, ekonomi dan hak asasi manusia di negara-negara yang terbabit adalah jauh daripada sempurna.

Libya kaya dengan minyak dan gas – nombor sembilan di dunia dengan rizab dianggarkan 40 bilion tong – dan antara negara Afrika paling maju. Paras kemiskinan mengikut Rancangan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) adalah 7.6 peratus pada tahun 2009 dan pengangguran 10 peratus. Malah GDP per capita Libya pada tahun 2010 adalah sebanyak US$13,845.65. Dan Bank Dunia melaporkan bahawa Libya salah sebuah negara 'Upper Middle Income Economy', bersama-sama dengan tujuh negara lain di benua Afrika. Pendidikan, kesihatan, elektrik, benih pertanian adalah percuma dan segala bentuk bantuan di sediakan oleh Ghadafi untuk rakyatnya.

Tetapi rakyat Libya nampaknya mahu lebih daripada hak ekonomi. Mereka mahu hak asasi dan hak politik. Dan dunia, khasnya Barat, mahukan bekalan minyak negara itu.

Apa yang kita saksikan di kebanyakan negara Arab, sama ada yang sedang bergolak atau yang di permukaannya nampak tenang, adalah perubahan aspirasi massa.



Antara Tirani Kuku Besi Dan Anarki

Mereka tidak boleh lagi menerima tirani kuku besi, pemerintahan oleh kelas elit dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi.

Mereka mahu demokrasi dan ekonomi bebas, walaupun demokrasi dan kapitalisme pasaran sedang mengalami keruntuhan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Serentak dengan kematian Ghadafi di Libya, beribu penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Athens, Greece dan di New York, Amerika Syarikat.

Di Athens mereka menentang dasar jimat-cermat kerajaan Greece yang muflis dan di New York mereka menentang tirani pasaran bebas yang hanya mengaut keuntungan kelompok kaya.

Sedangkan di negara kita sendiri, pelbagai transformasi sedang dipromosikan oleh kelompok elit politik dan ekonomi atas nama pasaran bebas, globalisasi, meritokrasi dan pelbagai penjenamaan semula.
Dunia tanpa sempadan dan komunikasi tanpa batasan kini menjadi wadah kepada anarki intelektual dan fizikal. Facebook dan Twitter menyebabkan London terbakar beberapa minggu lalu. Takut-takut, demokrasi yang dicari, anarki menjadi realiti.

Sumber:
Tukar Tiub siri 1
Tukar Tiub siri 2
Kenyataan Kesatuan Ulama' Dunia (Bahasa Melayu)
Kenyataan Kesatuan Ulama' Dunia (Bahasa Arab)
IMF economic data
World Bank economic data

Ucapan ketika pemberontak dan pakatan NATO ingin menyerang kerajaan Libya pimpinan beliau




Video bagaimana Ghadafi menempelak pemimpin Arab yang penakut dengan Israel Zionist





Video bagaimana Ghadafi ditangkap dan dibunuh oleh puak pemberontak yang disokong NATO



No comments: