Labels

Saturday, December 29, 2012

Usman Awang perpaduan melalui puisi

Membaca kembali puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua” yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang pada 1961 jelas menunjukkan pemikiran sosial golongan sasterawan dan karyawan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Ketika negara baru empat tahun mencapai kemerdekaan, api perkauman sudah terasa apabila masing-masing mahu memiliki negara ini.
Antara petikannya berbunyi:
“Lihatlah makam nenek moyang sebagai sejarah terpahat
Darahnya dalam darahmu segar di kulit kuning langsat
Esok, ketika tahun baru akan kukirimkan sebuah angpau
Dalamnya sebuah cinta dari jantung tanah dan pulau.”
Puisi ini memperlihatkan sikap terbuka Usman Awang terhadap bukan Melayu asalkan mereka menganggap negara ini satu-satunya nusa tercinta mereka. Nampaknya puisi ini terus sesuai dengan pergolakan sosial dan politik sepanjang zaman. Ketika perpaduan kaum begitu rapuh, puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua” elok dibaca semula dan difahami.
Menyeru perpaduan adalah melampaui slogan. Semangat perpaduan mesti disuburkan dari dalam diri setiap warga. Slogan hanya bersifat sementara dan terlalu luaran. Tetapi menerusi karya-karya sastera yang menjurus kepada perpaduan, rakyat akan terasuk oleh pemikiran sasterawannya. Sekalipun bukan tokoh politik, agenda perpaduan Usman Awang diperlihatkan juga menerusi penganjuran Malam Puisi Pelbagai Kaum yang menghimpunkan penyair daripada pelbagai kaum.
Pada acara yang diadakan pada 1984, antara ucapan beliau ialah:
“Musuh kita bukan Melayu dan juga bukan Cina. Musuh utama kita adalah kemiskinan.”
Usman Awang cuba menyedarkan bahawa kemiskinanlah yang membuatkan antara kaum saling berprasangka antara satu dengan yang lain. Sastera telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk memupuk kesedaran terhadap hakikat sosial di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum ini.
Perjuangan beliau dalam sastera ialah menyuarakan kedamaian tanpa mengira kaum dan agama. Kemerdekaan adalah hasil perjuangan Melayu, tidak kira di bidang politik atau wira yang mengangkat senjata menentang penjajah.
Wira Melayu yang mengangkat senjata menentang penjajah sudah tercatat dalam sejarah, begitu juga perjuangan politik Melayu hingga negara mencapai kemerdekaan. Tetapi selepas merdeka, Melayu tidak meminggirkan kaum-kaum lain yang datang dari luar lingkungan Nusantara. Itulah juga maksud puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua”.
Kerana itu juga tidak hairanlah kalau Usman Awang juga menjadi penganjur deklamasi puisi Malam Merpati Putih yang melibatkan semua parti politik termasuk pemimpin DAP pada akhir tahun 1980-an. Beliau berusaha untuk menyeberangi sempadan pemikiran politik kaum yang sempit kepada agenda perpaduan yang besar. Beliau tidak memikirkan keuntungan politik sebab beliau bukan orang politik.
Tidak kira bangsa atau agama. Kita akan lebih memahami antara satu sama lain jika kita buang sifat sangka buruk. Seperti petikan puisi “Pemuda dan Gadis Tionghua” karya Usman Awang:
“Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?”

BERKAITAN:

Artikel drsifu.wordpress.com

Friday, December 21, 2012

Bibit-bibit munafiq

Orang Munafiq mula wujud pada ketika Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat berada di Madinah. Di antara faktor utama wujudnya orang-orang Munafiq adalah kerana pengaruh Islam semakin kuat dengan tersebarnya ajaran Islam. Malah ketika itu Islam berjaya menakluki pemerintahan negara Madinah.

Maka dengan itu, ramai yang ingin menumpang pada kekuatan Islam ataupun mereka takut menyatakan penentangan, lalu mereka duduk bersama dalam barisan kaum Muslimin.

Sifir yang sama mungkin akan berlaku apabila Islam mula berkuasa pada akhir zaman. Awas, sinar Islam kian menyinsing di seluruh dunia, namun titik-titik hitam munafiq mungkin akan turut melekat bersama. Berhati-hatilah! Berwaspadalah!

Terlalu banyak gambaran mengenai perihal Munafiq yang telah terdampar di dalam al-Qur’an mahupun Hadith Nabi S.A.W untuk kita kenali dan menjauhkan diri dari tergolong dalam kalangan mereka.
Ya Allah, jauhkanlah aku dari menjadi orang Munafiq dan bersifat Munafiq, serta ancaman daripada orang-orang Munafiq!