Labels

Friday, April 26, 2013

Malaysia dan hutang

Tidak ada masalah untuk berhutang. Individu, syarikat mahupun negara boleh berhutang asalkan ada tujuan mustahak dan tahu untuk membayar semula.

Biasanya kita berhutang sewaktu kita tiada/kurang duit dan kita akan membayar hutang tersebut apabila kita sudah ada/banyak duit.

Negara kita mengalami belanjawan defisit sejak tahun 1999 selepas Dr Mahathir menjadi Menteri Kewangan menggantikan Anwar Ibrahim yang dipecat. Kita akui, waktu itu negara berdepan dengan krisis kemelesetan ekonomi, maka banyak wang diperlukan untuk disuntik dalam pasaran bagi merancakkan ekonomi.

Kita juga akui bahawa pada waktu itu negara tidak punyai hasil yang banyak. Dividen Petronas pada tahun 1998 hanya berjumlah RM3.1 billion. Jika dicampur dengan cukai pendapatan petroleum (RM4.046 billion), royalti petroleum (RM1.1 billon) dan duti eksport petroleum (RM563 juta) ia hanya berjumlah RM8.81 billion. Ia mewakili 15.5 peratus daripada keseluruhan hasil negara bagi tahun 1998.

Pada tahun 2012, hasil negara berasaskan petroleum telah meningkat dengan ketara. Dividen Petronas bertambah 10 kali ganda iaitu RM30 billion. Jika dicampur dengan cukai pendapatan petroleum (RM31.97 billion), royalti petroleum (RM5.5 billion) dan duti eksport petroleum (RM2.39 billion) ia akan berjumlah RM69.86 billion. Ia mewakili 33.7 peratus daripada keseluruhan hasil negara bagi tahun 2012.

Petroleum tidak akan selamanya ada. Walaupun Petronas meluaskan aktivitinya di negara luar, petroleum di negara luar juga tidak kekal lama. Sampai masanya nanti, ia akan habis. Najib menjawab sehingga 2046 tetapi maklumat dalaman Petronas yang dibocorkan Wikileaks mendakwa tempoh itu akan lebih singkat.

Apabila hasil negara berkurangan, kita akan semakin sukar untuk melangsaikan hutang yang semakin bertimbun.

Hari ini kita berbelanja sakan. Bina menara tinggi mencakar bintang. Umum pelbagai program di situ dan disini. Tabur segala bagai umpan untuk menarik undi rakyat.

Hari esok, saat anak cucu kita mewarisi negara ini, hutang yang bertimbun mahu dibayar dengan apa?

Jangan pelik jika suatu hari nanti, kamera AES akan memenuhi jalanraya. Jangan pelik jika suatu hari nanti, lampin dan baju bayi juga dikenakan cukai (GST) yang tinggi. Jangan pelik jika suatu hari nanti, nak masuk masjid pun kena bayar bayar tol dan caj parking yang tak masuk akal.

Dalam tempoh 58 tahun, ini adalah kesempatan terbaik untuk kita membuat perubahan.

No comments: