Labels

Thursday, September 4, 2008

Ramadhan : Batalkah puasa anda jika.....
























Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :

Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )



10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

Sekian,

Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net



Zaharuddin Abd Rahman

13 Sept 2007

01 Ramadhan 1428 H

http://www.zaharuddin.net/

Merdeka: Mengubat Cinta Yang Terluka

Beberapa pihak bersungut tentang semangat patriotik generasi muda yang makin terhakis. Hal ini cuba dikaitkan dengan kemurungan mempamerkan semangat kemerdekaan. Juga pelbagai sikap yang lain generasi muda kita yang kelihatan seakan tidak lagi kisah dengan kedaulatan dan harga kemerdekaan negara. Saya tidak pasti sejauh manakah mendalamnya dakwaan ini. Jika benar itu berlaku, tentu ada sebab-sebabnya yang mengheret ke arah tersebut.

Cinta adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa, atau dibuat-buat. Cinta itu lahir daripada lubuk jantung insani disebabkan faktor-faktor tertentu. Cinta lebih mendalam daripada sekadar perasaan suka atau gembira. Cintalah yang telah membina seluruh rangkaian hidup di maya pada ini. Tidakkah kita lihat, tanpa cinta tiada agama, tiada keluarga, tiada negara, tiada kehidupan dalam ertikata yang sebenar.

Agama itu sendiri dibina atas kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang mendakwa beriman, tetapi kontang jiwa dari kesyahduan cinta kepada Allah dan RasulNya, dia sebenarnya seorang pendusta. Firman Allah: (maksudnya)

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal ang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”

(Surah al-Taubah, ayat 24).

Justeru Nabi s.a.w menyebut dalam hadisnya:

“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Cinta mutlak hanya boleh diperuntukkan untuk Allah dan RasulNya. Dalam jiwa insani tidak mungkin untuk berhimpun antara cinta mutlak dan cinta lain yang saling bertentangan. Tidak mungkin untuk sebuah keimanan yang luhur mengizinkan ruang jiwa diisi cintakan seorang kekasih secara mutlak, dalam masa yang sama mencintai musuh kekasih tersebut. Jika itu berlaku, itu adalah cinta yang tidak mutlak sama sekali.

Insan mungkin ada kelemahan dan kesilapan dalam kehidupan. Mungkin ada dosa dan kesalahan, tetapi tiada perkongsian dalam jiwa berhubung cinta mutlak kepada Allah dan RasulNya. Cinta mutlak ini akan dapat dinilai apabila berlaku pertembungan. Firman Allah: (maksudnya)

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun kaum keluarga mereka. Mereka (yang setia) itulah, Allah telah menetapkan iman dalam jantung hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya. Merekalah penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya”.

(Surah al-Mujadilah, ayat 22).

Maka tidak mungkin mereka yang mendakwa berjuang untuk Islam, dalam masa yang sama berkasih-sayang kepada penentang ajaran Islam secara terbukti. Bagaimana mungkin mereka yang ingin menegakkan Islam sebagai prinsip dan asas sesebuah negara akan berkasih saya dengan sesiapa yang menentang Islam sebagai teras sesebuah negara? Jika itu berlaku, cinta perjuangan itu tidak mutlak dan ada pembohongan di sebalik dakwaan.

Cinta penting dalam kehidupan. Lahirnya kehidupan insan segalanya atas cinta. Suami isteri hidup atas dasar cinta. Tanpa cinta, porak peranda segalanya. Cinta jugalah yang membesarkan seseorang insan. Cinta ibu, cinta bapa, cinta anak, cinta saudara, cinta sahabat dan seterusnya, itulah yang membuat alam ini berjalan dengan harmoni dan tenteram. Tanpa cinta, akan nampak kecacatan emosi dan ketidakseimbangan perasaan dalam kehidupan insan.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan antara tanda-tanda kebesaranNya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bermesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

(Surah al-Rum, ayat 21).

Sesuatu yang bergerak tanpa sayang dan cinta akan lahirlah kepincangannya. Jika seseorang mengakui beriman tapi jiwanya kosong dari mencintai Allah dan RasulNya, maka rosak pegangan dan amalannya. Suami isteri yang hidup tanpa cinta, bagaikan neraka dunia. Hubungan ibubapa dan anak tanpa cinta akan berlakulah penderhakaan. Demikian rakyat, apabila sudah tidak cintakan negara, atau kepimpinannya maka rosaklah ketenteraman dan keharmonian.

Ya! hadis yang menyebut “Cintakan negara itu daripada iman” merupakan hadis palsu, seperti yang diputuskan oleh para ulama hadis (lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Da‘ifah, 1/113). Maka tidak wajar untuk sesiapa pun cuba menyandarkan hadis ini kepada Nabi s.a.w. Sekalipun mungkin dari segi maksud, ada kebenarannya. Cuma, bukan semua cinta negara itu termasuk dalam iman.

Rakyat negara komunis juga mungkin mencintai negara mereka, tetapi mereka tidak beriman sama sekali. Kecintaan kepada negara boleh jadi disebabkan faktor iman, jika sesebuah negara itu tertegak dalamnya keadilan, kebenaran dan keharmonian bersesuaian dengan titah perintah Allah dan RasulNya. Bahkan mempertahankan tanahair Islam itu merupakan kewajipan yang difardukan kepada setiap individu muslim.

Secara fitrahnya, insan cintakan ibunya, ibu cintakan anaknya, suami cintakan isterinya, isteri cintakan suaminya, demikian rakyat cintakan negaranya. Jika terhakis perasaan cinta antara semua itu, sudah pasti ada faktor-faktor yang mempengaruhi. Boleh jadi ia disebabkan ada faktor luaran seperti hasutan atau racun perasaan yang ditaburkan. Atau, boleh jadi tindakan yang dilakukan oleh salah satu pihak telah melukai perasaan pihak yang lain.

Jika kita berbalik kepada semangat kemerdekaan, dahulu kita lihat rakyat kita setiap kali menjelang kemerdekaan begitu bersemangat mempamerkan kebanggaan mereka kepada negara ini. Namun kebelakangan ini kelihatan jelas semangat itu terhakis dan begitu malap. Ke mana pergi semangat itu semua? Mungkin berbagai faktor boleh disebutkan.

Namun saya berpendapat bahawa antara faktor utama adalah, banyaknya tindakan mereka yang diberikan amanah dalam negara ini telah benar-benar mengguris hati dan perasaan rakyat. Walaupun kebelakangan ini semacam ada usaha untuk membaiki keadaan, tetapi hati yang luka itu nampaknya amat sukar untuk dipujuk kembali. Tidak semestinya kerana mereka telah jatuh hati kepada kekasih baru, tetapi kebencian dan kemarahan boleh menjadikan manusia benar-benar berubah.

Dalam setiap negara dua perkara amat penting bagi sesebuah pemerintahan. Pertama; keadilan hukum antara rakyat. Sehingga tiada seorang pun yang diberikan keistimewaan mengatasi perundangan dan hukum. Jangan ada yang lemah sentiasa kalah, yang kuat sentiasa megah. Jika itu berlaku, kebencian akan merebak dan cinta akan terpadam.

Apabila orang-orang besar cuba menunjukkan kuasa mereka kepada orang bawahan, sehingga ada yang rasa mereka dizalimi, maka pemerintah akan dibenci. Pemerintah itu hendaklah bak kata Saidina Abu Bakr al-Siddiq:

“Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah”.

(Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Kedua; sikap amanah dalam menguruskan harta rakyat. Dalam zaman serba canggih dan serba nampak ini, seorang pemerintah bukan sahaja bersih, hendaklah juga kelihatan bersih. Bagaimana hendak ditafsirkan oleh rakyat bawahan jika seorang yang baru jadi wakil rakyat atau menteri, dalam masa yang singkat kekayaannya berlipat-lipat. Sehingga tidak masuk akal untuk dia memiliki harta sebanyak itu melainkan diragui ada penyalahgunaan kedudukan dan kuasa.

Apatah lagi jika dia mempamerkan kekayaan itu dengan penuh kesombongan. Bertambah pelik lagi jika dia dapat memiliki geran-geran tanah dan projek yang tidak dapat dicapai oleh orang lain secara usaha yang jujur. Rakyat tidak buta. Lebih-lebih lagi jika penyelewengan itu dibuktikan kepada mereka. Mereka tahu menilai bagaimana sesuatu projek berlipat harganya. Siapakah hantu yang menelan wang itu di tengah jalan seperti hantu kisah dongeng Badang yang memakan ikan dari lukahnya sehingga tiba-tiba yang tinggal hanyalah tulang belulang.

Masalahnya, wang projek-projek itu wang bukan ikan Badang, tetapi wang rakyat yang masih ramai hidup dalam kesusahan atas kerakusan orang lain. Perasaan rakyat jadi membengkak saban waktu. Lalu ia menjadi busung yang busuk mengandungi nanah dan darah. Dendam dan kebencian merebak. Segala penjelasan akan ditolak. Yang betul pun akan dikatakan salah, apatah lagi jika benar-benar salah. Rakyat membenci sehingga dalam perkara yang tiada sebab yang jelas. Apa sahaja hasutan apabila sampai ke peringkat seperti ini akan ditelan. Ketika itu negara akan parah. Tidak lagi mahu mendengar perintah. Lalu fitnah akan bertebaran tanpa mampu disekat lagi.

Justeru, Islam mengharamkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pembahagian harta orang ramai. Walaupun rasuah itu dalam banyak keadaan diberikan secara senyap, tetapi kesannya kepada hati dan perasaan mereka yang teraniaya begitu berbekas dan jelas. Daripada kesimpulan para sarjana fekah dapatlah kita rumuskan rasuah sebagai “pemberian yang menyebabkan ada pihak yang dizalimi atau menghalang keadilan ditegakkan”.

Allah berfirman (maksudnya):

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

(Surah al-Baqarah, ayat 188).

Sabda Nabi s.a.w:

“Allah melaknat pemberi dan pengambil rasuah”

(Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Jika ramai manusia yang dilaknat menguasai urusan rakyat, maka negara akan terus sakit, kecintaan akan terus kabur.

Semangat kecintaan kepada negara tidak mungkin dapat disuburkan kembali, melainkan dua perkara yang disebutkan itu mesti diperbetulkan secara agresif, bukan kosmetik. Bukan sekadar membarukan slogan, tetapi mesti dikikis insan-insan yang pernah menimbulkan masalah kepada rakyat dan dikembalikan negara kepada Islam tulen berasaskan Siasah Nabi s.a.w dan para khalifah al-Rasyidin.

Saya mengambil kesempatan ini memuji bajet yang dibentang baru-baru ini, kerana cuba membaiki keadaan rakyat. Ramai yang memujinya. Cuma, apa yang menjadi perkara penting adalah sikap amanah semua pihak dalam melaksanakan Bajet 2009 tersebut. Mesti ada kesungguhan yang jelas dalam membebaskan negara dari penyalahgunaan kuasa dan harta.

Banyak cita-cita yang baik akan terbengkalai apabila mereka yang diamanahkan menunaikan tugas itu mencemarinya. Maka pastikan tiada lagi sesiapa pun yang menganggap kuasa pemerintahan seakan kunci mendapatkan harta karun, atau menguasai tampuk kuasa itu bagaikan menguasai harta rampasan perang.

Marilah semua rakyat dan mereka yang mempunyai kuasa menghayati apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T ini dalam firmanNya:

“Wahai sekelian manusia! makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.

(Surah al-Baqarah, ayat 168).

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!

Sunday, August 31, 2008

Berubahkah politik negara?













DALAM program Sembang Politik Utusan Malaysia yang diadakan di Ibu pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur Rabu lalu, tiga ahli panel dijemput mengupas topik 'Hala Tuju Politik Negara Pasca Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh'.

Sehari sebelum itu, pada 26 Ogos, pilihan raya kecil Permatang Pauh telah diadakan, satu pertandingan yang mengecewakan Barisan Nasional (BN) kerana ia dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh undi majoriti yang lebih besar iaitu 15,524. Pilihan raya kecil itu menandakan kembalinya Anwar ke Parlimen, satu peristiwa politik yang memberikan rentak baru kepada politik tanah air.

Dalam program diskusi itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, DATUK IBRAHIM ALI berpendapat kemenangan Anwar itu telah dijangka tetapi beliau tidak percaya Anwar dapat membentuk kerajaan pada 16 September ini. Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. MOHD. PUAD ZARKASHI pula kecewa kerana mood rakyat yang diperlihatkan dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu masih kekal yang menuntut UMNO dan BN melakukan perubahan untuk tetap relevan.

Seorang lagi ahli panel, DR. MARZUKI MOHAMAD dari Jabatan Politik, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melihat pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai pertembungan antara nilai politik dan protes politik. Moderator program Sembang Politik tersebut ialah Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Baharom Mahusin. Rakaman video program itu boleh diakses melalui laman web www.utusanonline.tv.

BAHAROM: Saya ingin tujukan soalan yang pertama kepada Datuk Ibrahim Ali. Apakah yang Datuk tafsirkan daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh?

IBRAHIM: Dalam soal pilihan raya kecil Permatang Pauh, semua pihak pada awal lagi mengatakan Anwar akan menang. Saya kata, apa pun Anwar akan menang walaupun satu undi. Saya bagi alasan mudah.

Pertama, Permatang Pauh adalah lubuk Anwar, tempat dia berpangkalan. Kedua, bila pilihan raya kecil diadakan di Permatang Pauh, parti pembangkang sudah ada kekuatan iaitu Pakatan Rakyat terdiri daripada DAP, PKR dan Pas yang memerintah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah. Alasan ketiga, saya percaya Anwar mempunyai cukup kemudahan termasuk kewangan untuk menghadapi BN. Pendek kata, kalau BN ada duit, Anwar pun ada duit.Saya boleh bagi sebab-sebabnya, saya ada bukti-bukti yang saya dapat lihat dari luar. Alasan keempat, Anwar mempunyai sokongan dari luar dan dalam, yang kita tidak tahu, tetapi kuat. Kelima, Anwar juga ada kelebihan. Dia mempunyai jentera. Keghairahan jentera dan penyokongnya begitu bersemangat.

Undinya bertambah kerana lima perkara yang saya sebutkan tadi, terutama kerana Permatang Pauh adalah lubuk Anwar. Saya nak bagi contoh saya sendiri. Lubuk saya di Pasir Mas. Saya lama berpolitik di Pasir Mas. Hidup mati, jatuh bangun saya di Pasir Mas. Oleh kerana lubuk saya di Pasir Mas, boleh tengok bukti (kemenangan saya). Siapalah saya ini, pemimpin yang tidak ada pangkat, bukanlah Timbalan Perdana Menteri, bukan juga Menteri Kewangan.

Lubuk ini penting. Politik Anwar bermula di Permatang Pauh pada 1982, 1986, 1990 dan 1995. Bermakna empat kali pilihan raya dia menang di Permatang Pauh. Oleh itu saya tidak hairan dengan kemenangannya. Pandangan saya ialah kita kena terima hakikat bahawa dalam mindset rakyat, rakyat telah tolak kepimpinan yang ada sekarang. Selepas pilihan raya umum baru- baru ini, harga minyak naik lagi pada bulan Jun. Jadi, kemarahan rakyat yang menyebabkan mereka mengundi pembangkang (pada 8 Mac lalu) belum reda, tiba-tiba harga minyak naik lagi. Jentera BN di Permatang Pauh pula amat lemah. Saya tidak pernah tengok jentera BN selemah itu.

DR. MOHD. PUAD: Semua orang berkongsi pandangan bahawa keputusan pilihan raya Permatang Pauh ini memberi pelbagai makna, yang saya sendiri secara peribadi tidak terkata apa. Kadang-kadang saya susah hendak menjawab. Kadang-kadang saya juga senang hendak menjawab iaitu maksudnya trend pengundi tidak berubah sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu. Mereka tetap merasakan seolah-olah tidak ada perubahan pada BN. Itu jawapan yang paling mudah: tiada perubahan.

Tetapi saya sedikit berbeza dengan Datuk Ibrahim yang mengatakan bahawa jentera BN lemah, saya tidak fikir sangat jentera BN lemah. Sebenarnya banyak perkara yang dibuat, sebab saya pun ada di sana.

Apakah punca Anwar menambah undi majoriti. Apakah sebab karismanya atau seperti yang disebut oleh Datuk Ibrahim kerana Permatang Pauh kubu kuat Anwar. Ataupun kerana ada faktor yang lain. Jadi kalau dibuat analisis mengenai pilihan raya kecil ini, mungkin lebih adil kalau kita menunggu satu lagi pilihan raya kecil yang tidak melibatkan Anwar, tetapi di kubu kuat lain PKR, baru kita boleh buat perbandingan. Mungkin kita boleh tunggu di Kulim Bandar Baharu, kalau jadi pilihan raya kecil. Sekiranya peratusan undi PKR tidak berubah, bahkan naik, saya rasa ada sesuatu yang BN perlu rombak yang memerlukan tindakan drastik. Itu soal keputusan, tetapi apakah hala tuju masa depan politik negara kesan daripada pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Saya fikir yang menjadi kebimbangan kita sekarang ialah apakah akan berlaku satu perubahan yang lebih kuat pada pemikiran anak-anak muda. Saya melihatnya, baik dari segi jentera, pelobi dan mereka yang hadir dalam ceramah-ceramah, saya nampak ramai golongan muda. Dan saya lihat seolah-olah golongan muda tetap dengan pendirian mereka iaitu mereka masih tidak boleh memihak kepada BN. Ini satu perkara yang saya rasa perlu difikirkan dan saya fikir bahawa sudah tentu Anwar dan PKR akan terus merasakan bahawa hujah mereka dalam soal Malaysian Malaysia barangkali mempengaruhi pendirian rakyat.

Di Permatang Pauh, berdasarkan keputusan peti-peti undi, pengundi Cina tidak ada pun (menyokong BN), mereka tidak bagi pun undi kepada BN sebenarnya.

Saya rasa di Parlimen Anwar mungkin akan membawa Agenda Ekonomi Malaysia yang menjadi agenda yang berlawanan dengan Dasar Ekonomi Baru. Saya rasa wujud trend ini, dengan kehadiran Anwar di Parlimen membawa pemikiran seperti ini. DAP sudah tentu akan menyokong kuat sebab saya tahu DAP lebih mengharapkan kemenangan Anwar kerana mereka tahu dengan kehadiran Anwar, ia akan memberikan kekuatan tambahan kepada DAP. DAP akan mendapat manfaat yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya di Permatang Pauh.

Selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh, apakah trend politik di Malaysia lebih bersifat bukan perkauman. Apakah konsep bangsa Malaysia itu akan semakin kuat dan apakah orang Melayu akan lebih tertekan, terutama UMNO. Apakah mereka semakin berani menyuarakan isu-isu orang Melayu. Apakah ini akan menyebabkan kerajaan semakin melonggarkan dasar-dasarnya, yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu kerana tekanan seperti itu.


DR. MARZUKI: Dengan keputusan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, persoalannya apakah mungkin selepas ini akan berlaku perubahan kerajaan pada 16 September. Seperti mana yang disebut oleh Dr. Mohd. Puad tadi mengenai soal pemikiran politik, adakah pemikiran politik orang Melayu sudah berubah.

Ada orang mengatakan bahawa pilihan raya umum Mac 2008 adalah satu pilihan raya protes kepada BN. Ini bermaksud nilai politik rakyat tidak berubah, cuma mereka memprotes. Dan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, kita nampak mood yang sama, jadi ini menimbulkan satu persoalan apakah itu satu protes ataupun nilai politik sudah berubah?

Pada bulan Julai lalu, di UIA, kami mengadakan satu tinjauan pendapat mengenai nilai politik orang Melayu dengan menemu bual lebih kurang 1,500 responden Melayu di seluruh Semenanjung. Kita tanya beberapa soalan yang kita boleh tafsirkan sebagai nilai politik, misalnya apakah pandangan mereka mengenai pilihan raya. Kita hendak tahu sama ada mereka sudah ada satu nilai politik yang menerima proses demokrasi.

Kita tanya soalan, perlukah pilihan raya diadakan sekiranya kerajaan dapat menyediakan pembangunan ekonomi. Daripada jawapan, kita dapati 70 peratus mengatakan walaupun kerajaan berjaya memberikan pembangunan ekonomi kepada rakyat, pilihan raya masih perlu diadakan. Maksudnya, bagi orang Melayu, proses demokrasi itu masih perlu dijalankan walaupun kerajaan dikatakan berwibawa untuk membawa pembangunan ekonomi. Dalam konteks pemikiran pembangunan ekonomi, kita mendapati mereka berpendapat kejayaan ekonomi sahaja tidak cukup. Proses demokrasi juga diperlukan.

Kemudian kami bertanya tentang hak keistimewaan orang Melayu. Sebanyak 90 peratus responden tidak bersetuju hak orang Melayu dihapuskan. Mereka mahukan hak keistimewaan orang Melayu dikekalkan tetapi dalam pada masa yang sama kaum-kaum lain harus diberi layanan yang adil.

Sebanyak 69 peratus mengatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara. Ini bermaksud mereka mahukan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dihapuskan. Dalam konteks pilihan raya kecil Permatang Pauh, kita boleh perhatikan bahawa inilah mesej yang disampaikan oleh Pakatan Rakyat. Demokrasi dan layanan yang adil untuk semua kaum dan dalam masa yang sama mereka juga mengatakan hak orang Melayu mesti dipertahankan.

Datuk Ibrahim mengatakan Permatang Pauh ialah lubuk Anwar. Ada kemungkinan faktor lubuk juga perlu kita ambil kira. Kalaulah pilihan raya dibuat di tempat lain, mungkin situasinya berbeza. Tetapi sekurang- kurangnya di Permatang Pauh ia menunjukkan bahawa orang Melayu juga menyokong Pakatan Rakyat. Orang bukan Melayu dalam tinjauan kempen pilihan raya itu kita dapati menunjukkan sokongan yang berbeza kepada Pakatan Rakyat.

Jadi yang kita lihat pada masa depan dalam konteks politik Melayu ialah bagaimanakah nilai-nilai politik itu ditangani oleh parti-parti politik Melayu seperti UMNO misalnya. Legitimasi dasar politik sesebuah parti politik bergantung kepada bagaimana orang melihat parti politik itu. Kalau parti politik itu memperjuangkan sesuatu yang telah selari dengan nilai yang diperkatakan, mereka akan mengatakan bahwa parti itu mempunyai kesahan politik dan mereka boleh menyokong parti itu.

Dalam konteks ini, bagaimanakah parti politik Melayu seperti UMNO dan Pas, umpamanya, ingin respons kepada pemikiran-pemikiran politik yang baru. Saya nampak akhirnya akan berlaku pertembungan idea-idea politik yang lebih hebat daripada dulu selepas Anwar masuk ke Parlimen dan menggunakan Parlimen sebagai satu medan untuk memperjuangkan idea-ideanya.

Selera pengundi nampaknya berubah. Adakah keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh melambangkan isu pembangunan tidak laku lagi?

IBRAHIM: Ini adalah persoalan antara nilai dan protes. Kita ambil contoh isu Melayu iaitu isu membuka 10 peratus Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan Melayu. Saya masih ingat lagi, ada isu yang lebih hebat daripada isu itu. Waktu MCA membangkitkan isu ketuanan Melayu pada tahun 1987, ada Operasi Lalang dan ramai yang kena tahan.

Bagaimanapun, pilihan raya selepas itu BN menang. Sebelum-sebelum itu pun begitu. Kemudian selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih (kepimpinan) daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, lagi hebat kemenangannya pada tahun 2004. Perubahan cuma berlaku dalam empat tahun kebelakangan ini. Itu persoalannya. Apakah soal nilai, saya tidak nampak nilai boleh berubah dalam masa empat tahun.

Saya mempertahankan hujah saya. Kita ambil contoh UMNO dan Pas. Bila sebahagian orang UMNO tidak puas hati, dia pergi kepada Pas. Mereka tidak pergi ke parti lain. Orang Cina pula, bila mereka melihat Melayu tidak kuat lagi, mereka berubah. Bagi saya, jentera pilihan raya amat penting. Saya seorang aktivis yang mempunyai pengalaman dalam banyak pilihan raya. Pada saya, jentera yang cukup kuat amat penting.

Di Permatang Pauh, awal-awal lagi strategi BN mengatakan Anwar akan menang. Bila sebut Anwar akan menang, kempen BN sudah lemah semangat. Dari segi psikologinya, orang berkata lebih baik kita duduk sebelah Anwar sebab Anwar akan menang.

Dalam soal spin doctor, kalau ada spin doctor pun, jika sikap orang UMNO tidak berubah, sampai bila pun tidak berubah. Kita tengok, sejak malam penamaan calon, pada pukul 2 pagi budak-budak PKR dan Pas tahan kereta di Permatang Pauh dan sebarkan risalah pilihan raya. Mereka menaiki kereta yang pasang bendera sampai selesai pilihan raya. Bermakna, jentera PKR telah berjaya mewujudkan mood iaitu mood Anwar akan menang. Jentera Pemuda UMNO pula saya tengok langsung tidak bergerak, tidak boleh lawan jentera PKR.

Di Permatang Pauh, saya melawat juga markas-markas BN yang saya tengok lesu. Mungkinlah pemimpin BN kempen sana sini, tapi di Parlimen saya tengok ada ramai menteri. Saya tanya, “Tak pergi Permatang Pauh ke? Jawab mereka: ‘Dah pergi semalam, tunjuk muka je la bos’.” Waktu saya mempertahankan UMNO dulu selepas Anwar dipecat, saya bergadai nyawa. Golongan muda yang baru jadi menteri, jadi timbalan menteri, jadi ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya tengok penuh di Hotel Sunway Seberang Jaya. Mereka bukan berkempen, dok bercakap di bahagian dia dapat berapa pencalonan, dan sama ada pemilihan UMNO kali ini dapat naik lagi. Ketika itu budak-budak jentera PKR berada di kawasan bekerja (mempengaruhi pengundi).

Mungkin ada perubahan nilai, mungkin ada sedikit sebanyak, tetapi yang paling berat saya nak kata pengaruh Tun Mahathir. Dalam blog Che Det, beliau membawakan isu-isu yang ditulis dengan bahasa yang mudah dan pendek-pendek. Risalah yang mengandungi komen Dr. Mahathir dalam blog Che Det itu yang saya jumpa di kedai- kedai di kawasan Permatang Pauh. Ia digunakan oleh pembangkang.

Dua isu yang besar ialah isu Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersumpah dan isu UiTM. Strategi BN mengatakan ini bukan politik, tak ada kena mengena dengan Permatang Pauh. Tapi kecekapan jentera Anwar, macam mana dia boleh ambil pula imam Masjid Wilayah Persekutuan bawa turun ke Permatang Pauh. Orang tidak terfikir, soalnya dia hanya jadi saksi (kepada sumpah) itu tapi bagi sesetengah orang imam datang mari nafi, itu pun dah boleh mengubah mereka.

Isu UiTM. Saya antara yang kuat mempertahankan UiTM, ini darah daging saya tetapi saya tidak bersetuju dengan cara penglibatan Naib Canselor UiTM yang kenyataan-kenyataannya dalam televisyen nampak berlebihan dan tidak nampak keintelektualan bila menjawab kenapa UiTM perlu dikekalkan statusnya. Budak-budak UiTM tunjuk perasaan. Ini yang jadi mood rakyat. Cawangan UiTM ada dalam Permatang Pauh. Budak- budak keluar tunjuk perasaan, di kawasan sekitar itu ada pengundi bukan Melayu yang tunjuk perasaan, ini memberi kesan kepada mereka.

Datuk Ibrahim mengatakan bahawa pemimpin politik UMNO tidak ada semangat juang untuk mempertahankan kerajaan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. Benarkah gejala ini berlaku?

DR. MOHD. PUAD: Sejak pilihan raya Mac lalu, dengan kemerosotan undi yang dihadapi oleh bukan sahaja BN tetapi juga UMNO, saya melihat masih tidak ada formula baru yang diketengahkan untuk membuat pembetulan baik kepada BN mahupun kepada UMNO sendiri. Saya rasa lebih baik saya berterus terang. Isunya adalah isu kepimpinan.

Bukankah UMNO telah ada pelan pemulihan UMNO dan BN selepas pilihan raya umum lalu?

DR. MOHD PUAD: Saya rasa tidak ada. Terus terang saya rasa tidak ada (pelan pemulihan). Kalau tidak, kenapa ia tidak sampai kepada akar umbi parti.

Selain itu, saya rasa Anwar telah menjadi satu faktor yang menyatupadukan Pakatan Rakyat. Akhirnya politik masa depan kita adalah pertembungan antara gabungan, ia akan menjadi sistem dua parti dalam bentuk gabungan antara BN atau Pakatan Rakyat. Kejayaan Pakatan Rakyat (di Permatang Pauh) ialah mereka berjaya menguasai pemikiran pengundi. Tentang soal perubahan nilai, itu saya rasa menjadi satu perbahasan. Saya anggap apa yang berlaku lebih kepada persepsi. Persepsi yang gagal. Isu yang berbangkit lambat diselesaikan. Cara untuk menyelesaikannya pun tidak betul, jadi persepsi itu terus melekat pada pemikiran rakyat.

IBRAHIM: Bila kita kata pengundi Melayu sudah lari daripada UMNO, ia berkaitan dengan bagaimana hak keistimewaan Melayu dipertahankan. Apa yang berlaku sebenarnya? Orang Melayu memang melihat bahawa dalam konteks hak ketuanan Melayu, UMNO ini sudah tinggal retorik. Kita memang pertahankan tapi masalahnya ia dah jadi hanya retorik, sebab itu mereka (orang Melayu) tidak puas hati, lari kepada Pas. Bila orang Melayu lari kepada Pas, Cina melihat kredibiliti BN yang lemah.

Adakah politik kita sedang berganjak ke arah sistem dua parti?

DR. MARZUKI: Sebenarnya, sistem dua parti ini bukan macam sistem dua parti di Amerika Syarikat. Sistem dua parti ini dalam bentuk gabungan dan kalau kita lihat dalam Pakatan Rakyat juga bersifat kaum. Walaupun mereka (pemimpin pembangkang) akan katakan bahawa politik yang cuba dibawa itu bentuknya tidak bersifat kaum, tetapi akhirnya kalau kita perhatikan, misalnya dalam isu muzakarah UMNO-Pas, isu yang dibincangkan juga bersifat kaum dan agama. Dalam konteks sistem dua parti itu, yang berubah ialah tiada parti yang dominan dalam sistem politik negara.

Dalam ketiga-tiga parti utama Pakatan Rakyat iaitu PKR, Pas dan DAP, ada dua perkara: Satu, matlamat ideologi; kedua, matlamat kuasa. Dari segi matlamat ideologi, Pas ada ideologinya, PKR ada ideologi sendiri dan DAP dengan ideologi DAP. Tetapi matlamat kuasa menyatukan tiga parti yang berbeza ideologi itu, menyebabkan orang Pas sanggup menyokong Anwar yang berbeza ideologi atau kalau ada pilihan raya diadakan di mana-mana kawasan DAP, penyokong Pas boleh menyokong calon DAP.

DR. MOHD. PUAD: Itu sudah berlaku di tempat saya. Kita boleh kaji berdasarkan keputusan peti-peti undi. Di peti undi di kawasan saya di Sekolah Chung Hwa, calon Dewan Undangan Negeri ialah orang Pas tapi undi pengundi Cina pergi kepadanya. Kita tahu di situ ada cawangan DAP. Itu membuktikan sudah tidak timbul masalah, sebab itu saya kata faktor Anwar telah menyebabkan mereka sanggup kompromi semua ini. Yang penting ialah tidak ada sebuah parti boleh memerintah negara ini tanpa ada gabungan.

IBRAHIM: Sama ada akan jadi sistem dua parti tidak mudah tapi ia mungkin jadi realiti. Kalau Pas berhenti dengan slogan dan matlamat mewujudkan negara Islam dan (pelaksanaan) hukum hudud manakala DAP tidak ungkit lagi soal Malaysia sebagai negara Islam, maka sistem dua parti itu kini sedang dalam proses. Kalau ini terjadi, lagi penatlah BN.

Di Permatang Pauh, mula-mula saya tengok mood pengundi Melayu banyak lari kepada BN. Bila keluar isu sumpah Saiful, lagilah nampak kuat orang Melayu nampak hendak menyokong BN tetapi isu itu overblown. Bila overblown, semua ulama Pas mempertahankan Anwar secara senada. Pada saat-saat akhir, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pergi ke Permatang Pauh. Dia ulas bab Saiful dua hari sebelum mengundi, selepas itu semua undi Melayu (Pas) kembali kepada Anwar.

Pada masa depan, saya tengok Anwar masih lagi di persimpangan jalan. Dia perlu lepas dulu rintangan kes Saiful yang sudah jadi kes mahkamah dan yang terbaru dakwaan dia terbabit dalam rasuah RM60 juta yang didakwa oleh Datuk Nallakaruppan (sebagai suapan yang diberi oleh syarikat Magnum Corporation).

Tarikh pembentukan kerajaan pada 16 September, saya sendiri pun sebagai Ahli Parlimen merasakan ia tidak akan menjadi kenyataan. Ini ditambah pula dengan (dakwaan) Anwar, dengan segala kekuatan dia mampu meyakinkan rakyat bahawa akan berlaku perubahan kerajaan pada 16 September ini. Sudah ada dalam mindset rakyat bahawa kerajaan akan berubah pada 16 September ini. Kempen ini cukup berkesan.

Walhal banyak orang tidak sedar. Orang tidak tanya Anwar, 16 September itu tahun mana. Perasan atau tidak, Anwar tidak pernah sebut 16 September 2008. Dia hanya sebut 16 September. Ia boleh jadi 2009, boleh jadi 2010. Cuma mimpi saya, ia boleh jadi apa saja tahun. 16 September itu bulan puasa, tahu ke? Parlimen tidak bersidang.

Gosip politik yang tersebar di Permatang Pauh ialah kebanyakan orang Cina di situ kononnya mengundi Anwar kerana mereka berharap kalau Anwar membentuk kerajaan, Timbalan Perdana Menterinya ialah pemimpin Cina dan India. Adakah gosip ini akan jadi kenyataan?

DR. MOHD. PUAD: Ya, ini pun dibimbangi oleh Pas. Sebab itu timbul cerita Pas melakukan muslihat cuba memujuk 10 Ahli Parlimen UMNO untuk bersedia, sekurang-kurangnya bagi nama dahulu tanda beri kebenaran bagi mengelak Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri, memandangkan kerusi DAP di Parlimen lebih banyak daripada Pas.

Pas hendak bawa senarai itu kepada Anwar, dan kata, “Kami sudah ada 10 Ahli Parlimen UMNO yang bersedia masuk Pas, daripada 22, bilangan Ahli Parlimen Pas menjadi 32, maka kamilah yang lebih layak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri.” Ini bukan soal gosip tapi saya rasa satu realiti yang menjadi kebimbangan pada Pas dan saya tidak menolak ini punca berlakunya muzakarah antara Timbalan Presiden Pas dengan Perdana Menteri. Yang menjadi satu isu sekarang ialah (kekuatan sebenar) PKR. Apabila Anwar masuk Parlimen, apakah PKR akan menjadi kuat berasaskan kepada kekuatan sistemnya.

Ini menjadi isu sebenarnya, sebab itu saya kata bahawa UMNO dengan Pas ini adalah parti akar umbi yang terdidik dengan pemikiran tertentu. Tetapi kita tidak boleh lupa bahawa Pas sendiri sudah semakin terbuka. Saya tahu kerana ramai Ahli Parlimen muda dalam Pas merupakan rakan-rakan saya semasa menjadi aktivis pelajar dahulu. Saya rasa mereka sudah berjaya mempengaruhi pemikiran di dalam Pas supaya menjadi lebih terbuka.

IBRAHIM: Kuat (saya) kritik Pas dulu. Pas kini semakin pragmatik. Walaupun dia kata dia Islam, dia lebih pragmatik daripada UMNO. Cara bertindak Pas memang pragmatik. UMNO pula dah tidak jadi pragmatik, orang UMNO sendiri pun dia buang ikut suka hati dia saja… tanggunglah.

Tadi Datuk Ibrahim ada kata bahawa beliau tidak begitu percaya Anwar boleh membentuk kerajaan pada 16 September ini.

DR. MOHD. PUAD: Memang tidak akan berlaku. Saya tahu Anwar berpolitik sebab Anwar ini dia mempunyai satu sifat iaitu dia seorang yang strong character, good negotiator, good manipulator. Bagi sayalah, kesan daripada pilihan raya kecil Permatang Pauh ini, dengan masuknya Anwar ke dalam Parlimen, dia akan mewujudkan lebih banyak kekeliruan dalam pemikiran politik orang Melayu.

DR. MARZUKI: Saya lebih melihat, kalau pun ia tidak berlaku, soal Anwar Ibrahim sebagai pembida dalam politik, terutama dalam konteks dasar-dasar kerajaan, akan terus berlegar. Sekiranya momentum ini cuba dibawa oleh Anwar yang pada hari ini dibantu oleh media baru dan kadang-kadang media cetak, saya melihat walaupun kerajaan baru Pakatan Rakyat tidak boleh diwujudkan pada 16 September, tetapi pertarungan idea itu akan terus berterusan.

IBRAHIM: Saya rasa (keadaan) lebih sihat, maknanya saya tengok UMNO akan lebih sedar.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Friday, August 29, 2008

MENGINGATI PEJUANG-PEJUANG KEMERDEKAAN

By Dr. Mahathir Mohamad at August 28, 2008 6:28 PM

1. Jeff Hamaz menarik perhatian kepada pejuang-pejuang kemerdekaan Malaya sebelum UMNO. Saya bersetuju kita harus beri tempat kepada orang-orang seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Mohammad, Dr Burhanuddin Helmi dalam perjuangan ini.

2. Tetapi saya tidak bersetuju bahawa UMNO adalah pro-British. Kelainan antara pejuang-pejuang KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan MNP (Malay Nationalist Party) ialah tentang cara dan pendirian. KMM sanggup menyokong Jepun dan ramai yang menjadi Heiho, angkatan separuh tentera yang didirikan oleh Jepun sementara Malay Nationalist Party mirip kiri dan bersimpati dengan Komunis yang hampir semuanya terdiri daripada orang Cina yang telah bermusuh dengan orang-orang kampung selepas Jepun kalah.

3. Pemimpin UMNO pula tidak kiri dan tidak kanan. Mereka utamakan orang Melayu yang akan hilang tanahair mereka jika Malayan Union ditubuh. Tak dapat tidak UMNO terpaksa menentang British. Hanya yang tidak dilakukan oleh UMNO ialah perjuangan ganas melalui perang gerila.


4. UMNO tidak pilih perang gerila kerana kemungkinan mendapat kemenangan melawan tentera British yang kuat, amat tipis. Lagipun perang gerila bersahabat dengan gerila Komunis.

5. Ada pihak yang berasa kemerdekaan melalui rundingan tidak sama dengan kemerdekaan melalui peperangan. Parti Islam umpamanya menyifatkan Kemerdekaan Malaya sebagai kemerdekaan setengah masak. Kita tidak dapat berbangga dengan hero-hero yang terkorban dalam perjuangan. Kita tidak boleh puja mereka.

6. Tetapi tidak siapa boleh pertikaikan kemerdekaan kita. Bukan sahaja dapat kita bangunkan negara lebih baik daripada penjajah, tetapi kita bebas menegur dan mengkritik penjajah, bahkan bertindak memboikot penjajah dan kuasa-kuasa Barat apabila mereka bertindak secara tidak adil atau ganas di mana-mana sahaja. Kita punyai pendirian kita tersendiri dalam dunia antarabangsa.

7. UMNO mudah lupa jasa pejuang-pejuangnya. Bukan sahaja UMNO dan Kerajaan pimpinan UMNO tidak memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Mohammad dan Dr Burhanuddin, tetapi jasa Dato Onn Jaafar pun tidak dihargai seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lain walhal Dato Onn bukan sahaja Yang Dipertua UMNO yang pertama tetapi dibawah pimpinannya UMNO dan orang Melayu berjaya menewas rancangan British, sebuah kuasa dunia yang baru sahaja menang perang, daripada merampas negeri-negeri Melayu untuk diberi kepada siapa sahaja yang ingin memilikinya.

8. Dato Onn memimpin orang Melayu yang miskin dan daif, yang berpecah kepada rakyat masing-masing negeri supaya bersatupadu dalam UMNO dan menentang British sehingga British terpaksa tunduk kepada tuntutan Melayu dan menggugurkan Malayan Union kurang dari dua tahun ianya ditubuh.

9. Jasa Dato Onn kepada orang Melayu, kepada UMNO amatlah besar dan jasanya harus dikenang dan diberi penghargaan yang tidak kurang dari jasa Tunku Abdul Rahman, pejuang kemerdekaan.

10. Sesungguhnya orang Melayu dan UMNO mudah lupa dan kurang mengenang budi.

Wednesday, August 27, 2008

Rakyat tunjuk kematangan di Permatang Pauh


KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Hrkh) - Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh membuktikan bahawa rakyat telah menunjukkan kematangan dan mahukan perubahan segera dilakukan kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa.

Sambil mengucapkan rasa syukur dan syabas di atas kemenangan tersebut beliau juga menjelaskan bahawa keputusan itu juga menunjukkan bahawa politik kotor yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat.

"Pilihan raya kecil Permatang Pauh merupakan pilihanraya yang paling sengit dan terkotor dalam sejarah dengan pelbagai penyalahgunaan jentera kerajaan dan media dilakukan oleh BN selain dipenuhi dengan fitnah yang menjadi modal kempen mereka," ujar beliau.

Husam juga menjelaskan bahawa keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh itu juga membuktikan bahawa agenda perubahan yang diinginkan oleh rakyat mendapat lonjakan baru dan ianya juga adalah petanda jelas bahawa kerajaan BN yang memerintah negara harus segera ditukar.

"Keputusan ini juga turut mengambarkan kerjasama kukuh parti-parti dalam Pakatan Rakyat dimana kita lihat bukan sahaja pemimpin ketiga parti yang bekerjasama tetapi diperingkat akar umbi juga jentera kempen berjalan lancar dan salin bekerjasama," ulas beliau lagi.

Suasana itu jelas beliau, membuktikan segala usaha BN dengan menabur fitnah dan menjalankan pelbagai propaganda yang mengambarkan keretakan dalam Pakatan Rakyat adalah tidak benar.

Pengundi Permatang Pauh juga kata beliau telah menunjukkan kematangan kerana tidak terpengaruh dengan segala propaganda dan fitnah yang dilakukan oleh BN.

Dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam, calon KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim memperolehi 31,195 undi, calon BN Dato' Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi.

Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Mantan Perdana Menteri itu memperolehi majoriti undi sebanyak 15,671 meninggalkan jauh lawan beliau dari BN.

Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi semalam.

Sementara itu seorang lagi Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu menjelaskan bahawa kemenangan besar Anwar merupakan isyarat jelas kepada BN bahawa rakyat tidak berpuashati dengan keadaan eknomi negara pada masa ini.

"Kadar inflasi yang semakin tinggi menyebabkan pengundi di Permatang Pauh bangkit menunjukkan protes terhadap BN," kata beliau.

Kemenangan itu juga jelas beliau, adalah disebabkan penurunan harga minyak sebanyak 15 sen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih tidak dapat meringankan beban rakyat.

Bagi Ustaz Ahmad Awang yang merupakan salah seorang Naib Presiden PAS, kemenangan itu membuktikan segala usaha BN termasuk menggunakan masjid dan surau untuk bersumpah serta menyumbangkan derma tidak mendatangkan hasil.

Selain itu, kempen yang mengatakan calon BN adalah yang terbaik kerana kononnya seorang yang mudah didekati dan amat disenangi oleh penduduk Permatang Pauh serta dikatakan penyokong PAS pun akan mengundi calon mereka juga telah ditolak.

"BN telah membuktikan bahawa mereka tidak lagi relevan dan sikap angkuh mereka selepas tsunami politik 8 Mac lalu sekali lagi telah dihukum oleh pengundi Permatang Pauh,"jelasnya.

Beliau yang turut berada di Permatang Pauh ketika kempen dan di hari pengundian juga menjelaskan, bahawa bukan hanya orang Cina dan India menolak BN tetapi turut tidak diterima oleh orang Melayu. Kemenangan itu juga kata beliau, adalah bukti bahawa rakyat mahukan perubahan dan sudah tidak lagi dapat menerima BN sebagai kerajaan.


http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16675&Itemid=1

Tuesday, August 26, 2008

Non Muslim Lebih Hargai Perbankan Islam ?


Satu persoalan yang agak memalukan untuk disebut kerana ia seolah membuka kelemahan umat Islam di Malaysia khususnya dan di dunia umumnya.

Jika anda membaca petikan artikel di bawah. Ia menyebut dengan jelas bahawa 70% pelanggan yang menggunakan khidmat perbankan Islam di Hong Leong Islamic Bank Malaysia, Bank Rakyat adalah pelanggan berbangsa Cina yang majoritinya (di Malaysia) bukan beragama Islam. Malah statistic yang hampir sama juga pernah dikeluarkan oleh bank-bank Islam lainnya.

In Malaysia, for example, non-Muslims are major users of Islamic finance products. Banks such as the Hong Leong Islamic Bank, and the Malaysian cooperative bank, Bank Rakyat, report a 70 per cent uptake of Islamic financial products by Chinese customers. So, why are non-Muslim customers attracted to Islamic banks?

Sebahagian memberikan respon spontan sambil berkata :-

"Mudah saja sebabnya, bukankah orang Cina lebih banyak terlibat dengan bisnes, kerana itulah mereka lebih kerap berurusan dengan bank"

Mungkin ada benarnya pandangan spontan ini, namun orang Cina yang disebut ini bukan hanya melanggan produk perbankan Islam berkaitan dengan pembiayaan korporat untuk bisnes mereka sahaja, malah mereka juga menggunakannya untuk pembiayaan perumahan, kereta dan lain-lain produk. Yang mana produk ini tergolong dalam kategori retail and consumer banking products yang bersifat kegunaan individu dan bukannya untuk bisnes dan syarikat.

TOLAK BANK ISLAM KERANA POLITIK KEPARTIAN

Persoalannya, kemanakah perginya individu Muslim dan Muslimah?

Timbul satu lagi cubaan respon yang mendakwa :

"Buat apa ambil produk perbankan Islam yang bermain silap mata, ia adalah helah dan dibuat oleh kerajaan BN dan Islam hadhari bukan Islam hakiki"

Adalah tidak sihat menurut perspektif Islam jika sesuatu pegangan politik kepartian membawa kebencian dan sangka buruk sehingga ke tahap menutup segala jenis kebenaran dan kebaikan yang dianjurkan oleh pihak parti lain.

Islam menerima segala yang baik walaupun ia lahir dan diperkenalkan oleh kumpulan penjahat seperti Yahudi. Iaitu selagi mana ia boleh diubahsuai bagi manfaat umat Islam. Demikian kesimpulan berasaskan nas ayat Al-Quran dan hadis yang dihuraikan oleh para ulama silam dan kontemporari. (Rujuk Thaqafatuna bayna infitah wal inghilaq, Al-Qaradawi, hlm 40)

Dalilnya mudah sahaja iaitu sabda Nabi s.a.w sebagai respond kepada Abu Hurairah yang menerima satu ilmu dari Syaitan Ifrit, sabda Nabi :

‏صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ ذَاكَ شَيْطَانٌ

Ertinya : Ia (Syaitan) itu telah berkata benar, walaupun ia adalah maha pendusta, itulah dia Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3275, 6/404)

Pengajaran dari hadis membuktikan apa sahaja yang sampai kepada kita dari sebarang sumber yang bukan Islam khususnya, boleh disemak menurut neraca Islam. Jika tidak bercanggah dan boleh membawa kebaikan, kita sepatutnya menyokong dan bukan menentang secara buta.

Jika benarlah terdapat mereka yang menolak perbankan Islam hanya kerana ia adalah anjuran dan dimulakan oleh pihak kerajaan yang berlainan dengan partinya, maka ia adalah satu sikap yang patut dikesali.

Telah sering saya sebutkan dahulu bahawa perbankan Islam di Malaysia berkait rapat dengan perbankan Islam di seluruh dunia. Ulama Malaysia yang berdamping dengan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia serta mengatur arahnya pula bukanlah dari kalangan individu yang terlibat dengan dunia politik kepartian kecuali seorang dua, namun mereka tidalah berpengaruh dalam penentuan hala tuju dan fatwa berkaitan kewangan Islam ini.

Selain itu, melalui hubungan rapat industri kewangan Islam di seluruh dunia, Malaysia tidak boleh terlepas dari penilaian, kritikan membina dan perhatian dari ulama Shariah dan kewangan Islam di seluruh dunia.

Hasilnya, kritikan membina ulama dunia ini membawa perkembangan baru dalam produk-produk kewangan Islam di Malaysia seperti wujudnya Komoditi Murabahah, konsep Unilateral Promise dalam transkasi Forex, Tawarruq Masrafiy, Musharakah Mutanaqisah, Bai al-Mutaradif Bil Ajal dalam Forex, Parallel Istisna dan lain-lain.

Kebanyakan produk,konsep dan kontrak produk Islam ini berlaku di luar pengaruh politik tempatan dan ia biasanya hanya berlaku hasil perbincangan ilmiah di kalangan ahli akademik non partisan dan industry managers dari dalam dan luar negara.

Adapun, beberapa produk dan konsep perbankan Islam di Malaysia seperti Bai al-Inah (Sell and buy back) dan Bay ad-Dayn (Discounted debt trading) yang tidak dipersetujui oleh ulama antarabangsa, ia adalah keputusan sekumpulan Ilmuan Shariah Malaysia yangmana mereka meluluskan pelaksanaan dua jenis konsep tanpa sebarang kaitan dengan politik kepartian. Namun ia dibuat secara ‘temporary' dan berdasarkan pertimbangan akademik dan hukum. Sejauh manapun ketidaksetujuan kita dengan pandangan dan produk ini, ia tetap terlingkung dalam keputusan adademik dan bukannya fatwa politik.

Tidak saya nafikan wujudnya pengeluaran fatwa-fatwa atas kehendak dan tekanan politik, ia dikeluarkan oleh badan-badan tertentu untuk tunduk terhadap kehendak parti politik tertentu atau menjaga kemaslahatan parti dan imej pemimpinnya.

Namun boleh saya katakan ia tidak berkait dengan produk-produk perbankan Islam yang diperkenalkan oleh bank-bank Islam. Ia biasanya hanya berkait dengan produk atau plan yang dilancar oleh institusi kerajaan sepenuhnya serta tidak mempunyai penasihat Shariah yang berkelayakan. Ia agak jarang berlaku kepada institusi swasta.

Kesimpulannya, barangsiapa yang mengkritik dan menolak bank Islam hanya kerana didasari oleh kebencian terhadap parti tertentu. Ia bukanlah tindakan yang benar dan wajar di sisi Islam. Malah sebagai akibatnya, sudah tentu mereka ini akan berpihak kepada bank riba, tatkala itu kerelaannya untuk berjinak dengan perbankan riba akan pasti menghancurkannya di akhirat kelak sekiranya ia meninggal dunia tanpa taubat nasuha. Na'uzubillah.

TOLAK ATAS DASAR LEBIH MAHAL

Ini juga satu persoalan yang amat amat kerap ditimbulkan sejak dahulu. Saya tidak lagi ingin mengulasnya kerana telah beberapa kali saya ulaskannya di web ini.

Mereka yang berminat serta belum pernah membacanya boleh merujuk kepada link berikut:-

1. Benarkah Bank Islam Mahal & Zalim?

2. Bank Islam Menipu & lebih Mahal Dari Bank Riba.



Kesimpulannya, mereka yang membuat dakwaan ini sama ada :-

* Memandingkan dua perkara yang tidak boleh dibandingkan.

* Tidak fahami cara kiraan kedua-dua sistem iaitu bank Islam dan bank konvensional.

* Tidak fahami apa itu compounding interest akibat late payment.


* Tidak faham apa itu Base Lending Rate dan sifatnya.

* Tidak faham apa itu konsep ibra dan syarat pelaksanaannya dalam Islam

Justeru, apabila ada orang bercakap berkenaan hal ini namun gagal memahami perkara basic yang saya sebutkan di atas. Ia sebenarnya sedang membuat fitnah kepada Perbankan dan Kewangan Islam. Sekaligus menunjukkan kecetekan ilmunya berkaitan hal perbankan.




PERGI KE BANK RIBA KERANA PERMOHONAN DI BANK ISLAM DITOLAK

Ini mungkin satu lagi rungutan umat Islam di Malaysia. Mereka berhujjah mengatakan permohonan mereka untuk mendapatkan pembiayaan rumah, kereta, kad kredit Islam dan lain-lain TELAH ditolak oleh bank Islam, lalu ia dijadikan asbab mengapa muslim kurang di bank Islam dan lebih ramai di bank riba.

Hal ini juga telah pernah saya ulaskan di web ini. Boleh merujuk kepada artikel yang saya sertakan link nya di bawah untuk mengetahui sama ada sudah sampai tahap dharurat untuk seorang muslim bersenang-senang di bank riba atau ia hanyalah dharurat dan hajiat yang palsu bertunjangkan nafsu dunia sebenarnya.

Artikel : Wajarkah Bank Islam Tolak Permohonan?
Kesimpulannya, jika bank Islam menolak sesuatu permohonan, ini bermakna; menurut kiraan berwibawa mereka, kemampuan kewangan anda masih tidak melayakkan anda untuk membuat hutang jenis besar dan berat. Jika anda masih degil lalu pergi juga ke bank riba lalu diluluskan, sebenarnya anda sedang memerangkap diri sendiri dan bakal menghadapi kesukaran berganda kerana jumlah interest yang dikenakan oleh Bank Riba kepada mereka yang tidak punyai kelayakan kukuh pasti akan menenggelamkan anda kelak.

Falsafah bank di seluruh dunia, lebih kaya dan stabil kewangan anda..lebih murah rate yang bakal anda perolehi, demikian sebaliknya.Fahamilah...

Jika anda katakan, "saya ingin beli hanya aset asas dalam kehidupan saya, iaitu kereta atau rumah"

Jawapnya, menurut kiraan individu berkelayakan di bank berbekalkan formula khas di bank-bank Islam, mendapati salah satu keputusan berikut : -

a) Anda belum layak untuk terlibat dalam hutang.



Maka tangguhlah terlibat dengan sebarang bank. Cukuplah dengan menaiki kenderaan awam dan menyewa rumah sementara masih belum sampai kemampuan. Atau usahakan cara lain yang sesuai namun jangan berhutang.



Jika anda berdegil, anda sebenarnya membuka peluang besar untuk jatuh dalam dosa-dosa lain akibat gagal menyelesaikan hutang kelak. Dosa yang berkait rapat dengan orang berhutang seperti menipu dan memalsu janji adalah amat biasa bagi mereka yang sedang terperangkap dalam hutang. Malah Nabi s.a.w juga telah memberi amaran berkenaannya.



b) Anda memang layak pada asalnya, namun akibat hutang-hutang di bank yang sedia ada. Kelayakan anda sudah terhakis buat waktu itu. Anda perlu difahami bahawa kemampuan anda untuk membayar hutang-hutang yang sedia ada sudah melebihi hak kemampuan anda.



Hasil dari itulah bank Islam menolak permohonan anda demi kebaikan anda, bukannya kerana sengaja enggan menolong anda. Atas asbab itu jugalah telah saya tuliskan sebelum ini agar JANGAN BIARKAN REKOD ANDA MERAH DI MANA-MANA BANK. Kerana ia juga boleh menyebabkan permohonan anda ditolak.

TOLAK BANK ISLAM KERANA BANK RIBA LEBIH MUDAH URUSANNYA

Jika sebabnya adalah sebagaimana yang dinyatakan di atas. Atau apa jua sebab yang seumpamanya seperti cawangannya lebih banyak, mesin ATM nya meluas, punyai perbankan internet, perjanjian kontraknya lebih mudah dan cepat, servisnya lebih efisyen dan lain-lain sebab.

Sekali lagi, jika demikianlah sebab musababnya, ternyatalah begitu murah dan mudah iman individu ini untuk dijual dibeli dengan harta serta kemudahan dunia.

Rapuh sekali keyakinannya terhadap dosa riba yang maha besar sebesar pengishtiharan perang terhadap Allah dan RasulNya, berzina sebanyak tiga puluh enam kali dan kehilangan berkat dalam hidup.

Saya tidak nafikan, kelemahan servis, kelembapan dan sebagainya memang wujud di kalangan bank-bank Islam di Malaysia khususnya, namun kelemahan sebegini tidak mampu menjadi pelepas azab pedih Allah di barzakh dan akhirat tentunya. Juga tidak boleh dijadikan alas an untuk melarikan diri dari perbankan Islam.

Lihat sahaja betapa peritnya perjuangan baginda Nabi s.a.w dan para sahabatnya serta ulama salafus Soleh di kurun-kurun awal dahulu. Adakah kesukaran dijadikan excuses untuk tidak berjuang menegakkan kalimah Islam di muka bumi.

TOLAK BANK ISLAM KERANA KAKITANGANNYA SEKSI

Saya juga mendengar ada individu yang menolak dan mengutuk sesebuah bank Islam hanya kerana kakitangannya berpakaian seksi, buka aurat dan tidak kelihatan seperti Islam. Apakah layak sebuah bank Islam membiarkan kakitangannya sedemikian?.

"Amat buruk lagi memalukan nama Islam" demikian cebik seorang ustaz di sebuah masjid.

Sudah tentu saya juga sentiasa menyokong dan berharap bank-bank Islam di Malaysia khususunya dapat mengenakan displin pakaian ‘dressing code' yang menepati Islam ke atas seluruh kakitangan wanitanya.

Namun, selain melihat kepada pelaksanaan yang ideal dan terbaik, kita juga perlu meninjau ehwal semasa dan praktikaliti. Hakikatnya, pengurusan bank-bank Islam dalam banyak keadaan terpaksa memilih sama untuk mendapatkan kakitangan yang baik pakaiannya atau kakitangan yang dinamik dan berilmu.

Perlu diingat, tidak semua urusan teknikal di bank memerlukan seseorang yang memiliki ilmu Islam secara khusus, banyak bahagian yang memerlukan ilmu teknikal yang lain seperti audit, legal, IT system, marketing strategies dan lain-lain. Indvidu yang punyai kepakaran ini biasanya bukanlah punyai ilmu Islamyang baik, malah ramai juga dari kalangan bukan Islam.

Hasilnya di waktu ilmu perbankan dan kewangan Islam masih kekurangan manpower dan human asset, ternyata amat sukar bagi sesebuah bank Islam mendapatkan mereka yang baik pakaiannya dan cemerlang pula kerja dan pengetahuannya.

Tatkala bertembung dua kepentingan, iaitu memilih yang baik pakaiannya dengan kemampuan kerja yang kurang ataupun yang baik dan cemerlang dalam bekerja namun penampilan pakaian yang tidak baik. Mana satukah yang perlu diambil bekerja oleh pihak pengurusan?

Bagaimana dengan anda?. Perlu diingat juga bahawa tidak semua jawatan boleh ditunjuk ajar, terdapat sebahagian jawatan di tinggi seperti general manager, vice president, Director, COO, CEO, Senior Vice President dan lain-lain. Jika jawatannya sekadar Executive, ia mungkin boleh bertoleransi dengan mengambil yang kurang kualiti namun berpakaian baik dan dilatih kemudiannya.

Kemudian, adakah tepat bagi pengurusan untuk memaksa kakitangan wanitanya termasuk yang bukan Islam untuk menutup aurat semasa di pejabat?. Mungkin kita boleh mengangguk kepala sambil mengatakan :

"Ya, memang amat wajar sekali, baru digelar pengurusan Islam!!".

Namun sedarkah kita, tindakan sedemikian pasti akan melarikan individu non muslim yang pakar dari memohon untuk bekerja di bank Islam sedemikian. Tanpa merit dan kualiti, sebuah bank Islam akan hilang wibawa, kemampuan dan keberkesannya, manakala pengurusannya juga pasti akan jatuh, hingga akhirnya image Islam akan turut jatuh merudum dengan amat besar sekali.

Mungkin ada yang terfikir, jika kakitangan kita bertaqwa maka Allah akan gandakan keuntungan.Yakinlah.

Ya benar, namun keperluan untuk meningkat kualiti dalam usaha dan hukum alam (iaitu kualiti akan berjaya, mereka yang tidak berkualiti akan jatuh) juga adalah perintah Allah s.w.t dan ajaran Islam tentunya.

Lihat bagaimana nama Islam sedikit tercalar apabila dua buah bank Islam di Malaysia mencatatkan kerugian beberapa ratus juta beberapa tahun lepas.

Kita bimbang sistem dan produk kewangan Islam akan dipersalahkan dan diloihat tidak sesuai untuk dunia perbankan, hasilnya akan berkurangan permintaan ‘demand', lalu jatuh jugalah ‘supply', padahal maslah kerugian sesebuah bank Islam bukannya salah produk dan Islam, namun kualiti dan kecekapan individu yang bekerja.

Jika sudah memahami hal ini, manakah maslahat yang lebih besar patut dijaga oleh sesebuah bank Islam dalam pengambilan pekerjanya?..Pakaian menutup aurat bagi setiap wanita yang memohon atau kualiti ilmu bagi jawatan yang dimohonnya?

Ya kedua-dua penting, namun mana yang lebih penting.?. Taqdim al-aham ‘alal muhim dan juga kaedah :

ارتكاب أخف الضررين

Ertinya : Mengambil mudarat yang lebih kecil

Kaedah yang difahami oleh ulama Islam dari firman Allah swt :-

يسألونك عن الخمر والميسر قل فيهما إثم كبير ومنافع للناس وإثمهما أكبر من نفعهما. كذلك يبين الله لكم الآيات لعلكم تتفكرون في الدنيا والآخرة

Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya ( Al-Baqarah : 219)

Akhirnya, sudah menjadi kewajiban kita Muslim dan muslimah hari ini untuk melanggan bank Islam dan segala jenis produk kewangan Islam dalam setiap keperluan kewangan kita. Jadikan keperluan ini didasari oleh iman dan taqwa. Letakkan faktor halal sebagai asas penilaian dan bukannya hanya sibuk dengan harga dan rate. Lebih malang, kerana ramai individu tiada kefahaman dalam kiraan bank riba yang disangkanya murah. Sedarlah hakikatnya.



Sekian

http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=750&Itemid=72

Sunday, August 24, 2008

Soalan tak sedap didengar...Anwar serang Agendadaily lagi



Angin satu badan… Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendedahkan dirinya yang sebenar apabila berhadapan dengan soalan media yang tidak disenanginya.

Pada sidang media hari Jumaat, Agendadaily buat kali yang keempat diserang oleh Anwar ekoran soalan biasa yang ditanya oleh wartawan Agendadaily. Lokman Abdullah.

Isunya apabila Anwar diminta mengulas kesediaan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin yang sedia berhadapan dengannya di mahkamah ekoran dakwaan Hamzah yang Anwar pernah buat hal pada tahun 1998 dalam isu ‘kacau bini’.

Melenting dengan soalan itu, antara yang terpacul daripada mulutnya ialah “yang you sibuk pasal apa”…. “media-media dibayar oleh perasuah-perasuah UMNO untuk cuba alih pandangan”.

Terdahulu semasa sidang media Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengumumkan peruntukan untuk untuk golongan miskin dan rebet untuk rumah ibadat, Anwar turut menyerang Agendadaily.

Beliau tidak dapat menahan dirinya daripada menunjukkan sikapnya yang memang tidak selesa dengan soalan yang tidak memihak kepada dirinya.

Wartawan Agendadaily, sekadar bertanya tidakkah pengumuman bantuan dan rebet itu dilihat sebagai rasuah politik menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Soalan ini wajar ditanya kerana selama ini apabila kerajaan Persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) mengumumkan sesuatu keputusan untuk rakyat akan dituduh sebagai cubaan merasuah pengundi.

Guan Eng menjawab secara politik ia untuk semua rumah ibadat di Pulau Pinang bukan hanya Permatang Pauh seperti bantuan untuk masjid dan surau yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak puas hati dengan jawapan Guan Eng itu, Anwar terus menyampuk ... “Tapi dia agendadaily tak tanya Datuk Najib (bunyi deraian ketawa), tak tanya menteri pendidikan, tak tanya menteri dalam negeri, dia tak tanya langsung…ini masalah kita dengan media,” ujarnya. - 22/8/2008


http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_eccf407a-cabec5bb-112481a0-da0b2571