Labels

Wednesday, August 27, 2008

Rakyat tunjuk kematangan di Permatang Pauh


KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Hrkh) - Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh membuktikan bahawa rakyat telah menunjukkan kematangan dan mahukan perubahan segera dilakukan kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa.

Sambil mengucapkan rasa syukur dan syabas di atas kemenangan tersebut beliau juga menjelaskan bahawa keputusan itu juga menunjukkan bahawa politik kotor yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat.

"Pilihan raya kecil Permatang Pauh merupakan pilihanraya yang paling sengit dan terkotor dalam sejarah dengan pelbagai penyalahgunaan jentera kerajaan dan media dilakukan oleh BN selain dipenuhi dengan fitnah yang menjadi modal kempen mereka," ujar beliau.

Husam juga menjelaskan bahawa keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh itu juga membuktikan bahawa agenda perubahan yang diinginkan oleh rakyat mendapat lonjakan baru dan ianya juga adalah petanda jelas bahawa kerajaan BN yang memerintah negara harus segera ditukar.

"Keputusan ini juga turut mengambarkan kerjasama kukuh parti-parti dalam Pakatan Rakyat dimana kita lihat bukan sahaja pemimpin ketiga parti yang bekerjasama tetapi diperingkat akar umbi juga jentera kempen berjalan lancar dan salin bekerjasama," ulas beliau lagi.

Suasana itu jelas beliau, membuktikan segala usaha BN dengan menabur fitnah dan menjalankan pelbagai propaganda yang mengambarkan keretakan dalam Pakatan Rakyat adalah tidak benar.

Pengundi Permatang Pauh juga kata beliau telah menunjukkan kematangan kerana tidak terpengaruh dengan segala propaganda dan fitnah yang dilakukan oleh BN.

Dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam, calon KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim memperolehi 31,195 undi, calon BN Dato' Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi.

Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Mantan Perdana Menteri itu memperolehi majoriti undi sebanyak 15,671 meninggalkan jauh lawan beliau dari BN.

Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi semalam.

Sementara itu seorang lagi Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu menjelaskan bahawa kemenangan besar Anwar merupakan isyarat jelas kepada BN bahawa rakyat tidak berpuashati dengan keadaan eknomi negara pada masa ini.

"Kadar inflasi yang semakin tinggi menyebabkan pengundi di Permatang Pauh bangkit menunjukkan protes terhadap BN," kata beliau.

Kemenangan itu juga jelas beliau, adalah disebabkan penurunan harga minyak sebanyak 15 sen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih tidak dapat meringankan beban rakyat.

Bagi Ustaz Ahmad Awang yang merupakan salah seorang Naib Presiden PAS, kemenangan itu membuktikan segala usaha BN termasuk menggunakan masjid dan surau untuk bersumpah serta menyumbangkan derma tidak mendatangkan hasil.

Selain itu, kempen yang mengatakan calon BN adalah yang terbaik kerana kononnya seorang yang mudah didekati dan amat disenangi oleh penduduk Permatang Pauh serta dikatakan penyokong PAS pun akan mengundi calon mereka juga telah ditolak.

"BN telah membuktikan bahawa mereka tidak lagi relevan dan sikap angkuh mereka selepas tsunami politik 8 Mac lalu sekali lagi telah dihukum oleh pengundi Permatang Pauh,"jelasnya.

Beliau yang turut berada di Permatang Pauh ketika kempen dan di hari pengundian juga menjelaskan, bahawa bukan hanya orang Cina dan India menolak BN tetapi turut tidak diterima oleh orang Melayu. Kemenangan itu juga kata beliau, adalah bukti bahawa rakyat mahukan perubahan dan sudah tidak lagi dapat menerima BN sebagai kerajaan.


http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16675&Itemid=1

No comments: