Labels

Sunday, January 11, 2009

Ezam ada rahsia besar Anwar-Dr Mahathir...


Jika selama ini bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor sering dibayangi dengan isu enam kotak dan banyak mendiamkan dirinya apabila dicabar untuk membuktikan kewujudan kotak-kotak dokumen berkenaan, Sabtu malam pada ceramahnya di Kuala Terengganu, Ezam meleraikan isu berkenaan.

Katanya, semasa berada di dalam PKR beliau ada menyebut enam kotak dokumen berkenaan kerana beliau masih ingat tarikh melihat kotak-kota berkenaan yang berada dalam simpanan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 September 1998.

“Saya ingat tarikh itu kerana pada tarikh itu, isteri saya berada dalam bilik bersalin di hospital dan saya menerima telefon daripada Anwar meminta saya datang menemuinya. Saya pergi menemui Anwar dan meninggalkan isteri saya yang hendak bersalin. Pada masa itu saya melihat kotak-kotak dokumen berkenaan.

“Namun ada yang lebih penting pada tarikh itu... saya telah diberikan ‘tugas’ oleh Anwar dan tugas itu ada kena mengena dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Saya cabar Anwar nafikan perkara ini, dan saya sedia mendedahkan apakah ‘tugas’ yang diberikan kepada saya itu,” jelasnya.

Menurut beliau, 'tugas' besar yang dimaksudkannya itu ialah bagaimana Anwar pada tarikh berkenaan telah menulis sepucuk surat kepada Dr Mahathir meminta untuk 'berdamai' setelah beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa melakukan salah laku seks.



Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. ekoran pemecatannya itu, Anwar melancarkan 'serangan' terhadap Dr Mahathir dan mula bergerak ke seluruh negara bagi mencabar keputusan Dr Mahathir memecatnya.

Jelas Ezam, tugas itu menunjukkan sikap sebenar Anwar.

"Setelah menghentam Dr Mahathir sejak dipecat tetapi pada 8 September secara sulit meminta saya untuk membawa surat beliau kepada Dr Mahathir mohon berdamai dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Surat itu ada pada tangan saya sehingga sekarang dan ia menjadi bukti Anwar adalah pemimpin yang hari cakap lain esok dia akan cakap lain...hari ini hentam Dr Mahathir esok nak berdamai pula...pemimpin jenis apa ni," tambahnya.

Kesimpulannya kata Ezam, Anwar adalah pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan dipegang kata-katanya.

Beliau yakin, dengan pendedahan itu, rakyat akan dapat menilai siapa sebenar Anwar dan sikap sebenar Ahli Parimen Permatang Pauh itu.

Ezam juga berkata, beliau perlu mendedahkan perkara berkenaan kerana mahu rakyat tahu siapa sebenarnya Anwar dan mereka tidak terus tertipu dengan helah serta mainan politik Anwar.

“Orang yang bermuka-muka macam ini perlu kita dedahkan agar tidak terus membohongi rakyat,” jelasnya. – 11/1/1009

Sumber: Agendadaily

No comments: