Labels

Sunday, January 4, 2009

Kuala Terengganu: Melayu tercicir, Cina khuatir


Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu memang kalah di Kuala Terengganu dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu. Kalah pun, beliau mendapat 31,934. Hanya kurang 628 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN). Mat Sabu kalah apabila kira-kira 900 undi pos dikira (kini ada kira-kira 1,035 undi pos). Dengan mengambilkira faktor orang luar dan sebagainya, satu lagi sebab utama Mat Sabu kalah ialah keperibadian calon BN ketika itu, Allahyarham Datuk Razali Ismail. Orang Kuala Terengganu menyifatkan Allahyarham sebagai orang berjurus (baik) malah orang PAS pun kata payah nak cari cacat cela beliau. Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh saya tak tau. Berjuruskah dia?





Tak kisahlah tu. Dah jadi sejarah. Kalah tetap kalah.

Tetapi bagaimana Mat Sabu mendapat sehingga 31,934 undi? Tentulah semua faktor mesti diambilkira. Dun Wakaf Mempelam dan Batu Burok boleh dianggap dengan mudah sebagai kubu PAS. Selain itu, banyak lagi faktor lain.

Tetapi, yang saya masih ingat waktu itu ialah antara battle cry Mat Sabu ialah nasib Melayu Kuala Terengganui yang beliau sifatkan seperti Melayu Pulau Pinang. Boleh dikatakan itulah antara modal utama ceramah-ceramah Mat Sabu.

Saya bangkitkan perkara itu kerana Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam berjanji bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan projek pembangunan bernilai hanya RM5.8 juta sahaja di Kuala Terengganu sekiranya BN terus diberi mandat untuk menerajui kawasan itu pada pilihan raya kecil 17 Januari ini.

Saya dok tertanya-tanya, adakah terbela nasib Melayu Kuala Terengganu dengan nilai sekecil RM5.8 juta? Mengapa sikit sangat? Sedangkan, dalam pilihan raya kecil Ijok dahulu, ada yang kata RM37 juta di belanjakan (lihat Malaysiakini "Ramai penduduk Kampung Bukit Badong dijangka undi Khalid") dan ada yang kata hampir 100 juta.

Takkan di Kuala Terengganu sikit sangat! Kita harap orang Kuala Terengganu mintak banyak-banyak. Tengah banjir pembangunan ni!

Melayu Kuala Terengganu diancam nasib seperti Melayu Tanjung Tokong

Harakah (2/2/08): Orang-orang Melayu Kuala Terengganu akan menerima nasib yang sama seperti orang-orang Melayu Tanjung Tokong di Pulau Pinang jika langkah-langkah pencegahan tidak diusahakan bersama.




Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, perisytiharan Kuala Terengganu sebagai bandaraya yang sepatutnya membawa rahmat dan manfaat kemajuan kepada orang-orang Melayu dibimbangi akan menjadi ancaman kepada mereka.

"Tanah-tanah orang Melayu di Kuala Terengganu semakin banyak yang terlepas, sama ada dijual atau diambilalih oleh kerajaan.

"Jika diambilalih lebih teruk lagi. Bantahan tidak dibenarkan dan hanya boleh merundingkan harga sahaja," kata beliau yang baru kembali dari majlis penerangannya di Kuala Terengganu.

Apabila projek pembangunan dilaksanakan selepas diambilalih, katanya, harganya melambung dengan begitu tinggi mengakibatkan orang-orang Melayu tidak mampu untuk menikmatinya.

"Jangan terkejut jika satu hari nanti orang-orang Melayu Kuala Terengganu akan menerima nasib yang sama seperti orang-orang Melayu Tanjung Tokong.

"Apabila kawasan mereka dimajukan dengan pembangunan yang begitu hebat, orang-orang Melayu Tanjung Tokong terpaksa membawa diri ke kawasan-kawasan luar bandar termasuk di Kedah dan Perak kerana tidak mampu hendak berkongsi nikmat pembangunan itu," katanya lagi.

Menurut Teras Pengupayaan Melayu (Teras), sejak Pulau Pinang menerima "tuah" pembangunan di pulau itu, kesan hakisan masyarakat Melayu sangat ketara sehingga secara statistik, masyarakat Melayu terhakis bukan sahaja dari segi jumlah penduduk Melayu malah dari segi aset tanah-tanah milik Melayu turut terhakis.

Perkara itu, menurut Teras, berlaku di kawasan orang Melayu di sekitar kawasan seperti Tanjung Tokong, Bayan Lepas, Jelutong, Batu Maung, Batu Uban, Bayan Baru, Sungai Nibong, Batu Feringghi, Balik Pulau dan Telok Kumbar.

Jumlah penduduk Melayu menguncup, malah kalau adapun tinggal di rumah-rumah kampung yang terhimpit di tengah-tengah pembangunan. Akibatnya, menurut Teras, orang Melayu 'dipaksa' dan 'terpaksa' meninggalkan tapak mereka.

"Perkara yang sama boleh berlaku ke atas orang-orang Melayu Kuala Terengganu. Projek-projek yang dijalankan oleh kroni-kroni Perdana Menteri termasuk orang yang dipanggil Patrick Badawi tidak pernah mengambilkira kepentingan dan masa hadapan orang-orang Melayu," kata Mohamad Sabu.

Beliau menyeru rakyat Terengganu bangkit beramai-ramai mempertahankan kepentingan dan masa hadapan mereka yang diancam oleh projek-projek yang tidak "mesra Melayu" itu.

"Kalau di Pulau Pinang, penghakisan Melayu tidak menghairankan kerana parti Gerakan yang memerintah di sana. Malangnya, ia juga berlaku di negeri yang diperintah oleh Umno yang kononnya memperjuangkan hak Melayu.

"Orang-orang Melayu Terengganu mesti bangkit beramai-ramai menghentikan pengkhianatan itu. Mereka tidak boleh biarkan Umno melekakan mereka dengan "projek-projek wayang" seperti kampung hadhari tetapi pada masa yang sama kepentingan dan masa hadapan mereka disembelih habis-habisan," tegas beliau

Kuala Terengganu: Melayu tercicir, Cina khuatir

Harakah (24/2/08): Melayu tercicir, Cina khuatir. Itulah gambaran terbaik yang dapat diberikan mengenai Kuala Terengganu sejak tahun 2004 lalu.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, sejak Terengganu diperintah semula oleh Barisan Nasional, orang-orang Melayu di Kuala Terengganu terpinggir dan tercicir dari kemajuan pembangunan.

"Akibatnya, orang-orang Cina pula merasa khuatir kerana perniagaan mereka rugi kerana kemampuan membeli orang-orang Melayu untuk membeli makin berkurangan.

"Pendapatan tidak bertambah dan harga barang pula semakin mahal. Sedangkan orang-orang Melayu merupakan majoriti di sini. Apabila golongan majoriti terhimpit kuasa beli mereka, tentulah orang-orang Cina yang berniaga mengalami kemerosotan," kata beliau.

Beliau yang bimbang orang-orang Melayu Kuala Terengganu akan menerima nasib yang sama dengan orang-orang Melayu Tanjung Tokong di Pulau Pinang berkata, pembangunan yang dimegahkan sebagai rancak tidak memberikan manfaat kepada rakyat.

"Apa orang Melayu Kuala Terengganu dapat dengan pembangunan Pulau Duyong? Bolehkah orang Melayu kenyang dengan melihat Masjid Kristal? Boleh makan Masjid Kristal?" soal beliau sambil mempersoalkan kewajaran pembinaan masjid tersebut jika solat Jumaat pun tidak boleh diadakan.

Beliau kesal kerana pembangunan yang dilaksanakan lebih mengambilkira kepentingan perniagaan suku-sakat Perdana Menteri seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Patrick Lim Soo Kit yang dipanggil Patrick Badawi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Asyik-asyik dihebohkan tentang peluang pekerjaan. Jadi apa? Jadi kuli?" soal beliau sambil mengecam kerajaan pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh yang sering dituduh menjadi boneka Khairy dan Patrick.

Dr Mahathir pernah mendedahkan bahawa Terengganu sebenarnya diperintah oleh Khairy dan Patrick.

No comments: