Labels

Monday, April 27, 2009

PAS menuju kemusnahan

Tajuk yang saya pilih memang ingin mengejutkan orang orang PAS yang sedang tidur. Sekian ramai orang PAS masih tidak memahami bahawa PAS hanyalah satu wadah dalam memperjuangkan Islam. PAS hanyalah satu parti sedangkan Islam adalah agama. Sebab itu banyak ahli PAS sendiri kurang faham bila Tuan Guru Nik Aziz mencabar UMNO “mari kita bubar UMNO dan PAS , dan tubuh parti lain yang memperjuangkan Islam”.

Seruan ini umpama serampang dua mata. Di samping mencabar UMNO, ia juga untuk memberi faham untuk membuang ketaksuban melulu.

Bila disebut PAS hanyalah sebuah parti maka sudah tentu tidak sunyi dari cubaan dan dugaan seperti lumrah parti parti di dunia ini. Untuk memelihara konsisten ahlinya sangatlah rumit. Ramai ahli PAS hanya saban hari seronok mendengar ceramah. Seronok dengan sentimen yang dimainkan tetapi jarang sangat yang memberi impak kepada cara pemikiran. Masih ramai ahli PAS masih melihat ’siapa yang berkata’ tetapi tidak melihat ‘apa yang dikata’.

Kerana itu jika sekiranya orang yang berkata adalah orang yang tidak dikenali maka mulalah merasa tidak setuju dan sebagainya. Tambah tambah lagi kalau yang disebut adalah keburukan dan kelemahan dalam PAS.

Ada setengah ahli PAS berkata, pertandingan adalah sesuatu yang lumrah di dalam PAS. Ini kerana PAS terbuka. Memang betul pertandingan adalah bagus tetapi nampaknya ramai ahli PAS tidak sensitif dan tidak tahu betapa teruknya setengah ahli PAS sekarang. Sepertimana juga satu ketika pernah pemimpin pemimpin PAS menafikan tentang perpecahan di dalam PAS. Tetapi pada masa yang sama diadakan satu perkampungan di Pantai Chenang Langkawi bertujuan untuk merapatkan kembali saf kepimpian PAS.
Kalau tidak ada perpecahan kenapa perlu rapatkan saf?

Begitu juga tentang trend pencalonan sekarang. Banyak tempat seperti ingin melagakan TG Haji Hadi dan TG Nik Aziz. Banyak pencalonan seolah olah menggambarkan TGHH membuat berbagai kesilapan. Alangkah besarnya kesilapan TGHH sehinggakan dia seolah-olah dibenci oleh orang-orang PAS. Padahal yang pincangnya adalah rasa benci yang berlubuk dihati sanubari orang orang ini. TGHH hanya mengemukakan idea. Idea boleh diterima atau ditolak. Yang anehnya idea ini telah membuat dia tidak disukai oleh setengah orang. Siapa orang ini? Orang yang telah dipengaruhi oleh anasir anasir yang ingin mendatangkan perpecahan di dalam PAS.

Yang paling anehnya, dua orang tuan guru yang disegani cuba dilagakan. Cubalah ahli PAS renungkan sendiri dari jenis apakah hati anda? Pejamkan mata anda dan berfikir sejenak, apakah faedahnya anda melagakan dua tokoh pemimpin anda sendiri?

Berselisih pendapat tidak salah. Kerana itu adalah keindahan di dalam Islam. Tetapi bila hati anda rasa marah dan hilang hormat pada pemimpin anda sendiri maka di situlah salahnya. Anda yang salah. Sifat anda seperti melihat satu keburukan yang sangat kecik menjadi besar sehingga membutakan anda melihat berpuluh puluh kebaikan yang lain. Begitulah anda memandang pemimpin yang dulu anda sendiri sayangi dan sanjungi.

Tentang anasir anasir yang ingin melaga lagakan pemimpin pemimpin pun masih ramai ahli PAS yang tidak ingin ambil tahu. Sekarang telah keluar kenyataan dari anak TGNA sendiri. Kalau orang lain yang memberitahu tentu ramai ahli PAS masih menafikan dan marah bila menyatakan. Ustaz Nik Abduh Nik Aziz sangat sayang dan hormat pada TG Haji Hadi. Apatah lagi pada ayahandanya sendiri TG Nik Aziz. Sifat sayang inilah yang mempengaruhi pertimbangan yang seadilnya dalam pertembungan dua tokoh tersebut.

Sepatutnya ahli ahli PAS kena ada perasaan sayang pada kedua dua tuan guru tersebut. Barulah tidak timbul rasa marah dan rasa kurang hormat pada salah seorang dari mereka. Umpama anda sayang kedua ibu dan ayah anda, barulah segala kesilapan yang ibubapa anda lakukan, anda dapat terima dengan hati yang terbuka.

Janganlah anda menjadi seperti seorang yang seolah olah sangat gerun bila disebut ‘neraka‘ tetapi pada masa yang sama anda masih berperangai seperti orang yang layak berada di dalamnya. Begitu juga dengan tajuk yang saya tuliskan, jika sekiranya kehancuran sangat jauh dan sangat dibenci oleh ahli ahli PAS , maka bermuhasabahlah dan bertaubatlah. Rapatkan kembali saf anda.

Baca tulisan Ustaz Nik Abduh: http://nikabduh.wordpress.com/2009/04/24/kerja-kerja-bodoh-dalam-pas/

No comments: