Labels

Wednesday, May 2, 2012

UMNO sudah takut dengan Sekolah Politik

Dua siri berturut Berita di Utusan Malaysia, akhbar rasmi kerajaan UMNO dan Barisan Nasional berkenaan isu Sekolah Politik di IKD adalah menunjukkan mereka semakin gerun dan kecut teloo dengan perkembangan sihat golongan intelektual mempelajari  politik pencerahan

siri pertama 1/5/2012 dan siri kedua pada 2/5/2012

Siri Pertama - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 30 April - Polis mengenal pasti dua lokasi di Selangor yang dijadikan sebagai sekolah politik oleh pihak tertentu untuk melatih pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, berdemonstrasi menentang kerajaan.

Difahamkan, sekolah yang ditubuhkan oleh pihak yang menentang kerajaan itu sudah beroperasi sejak 2008 iaitu selepas kerajaan Selangor jatuh ke tangan pembangkang.

Menurut sumber, aktiviti pembelajaran di sekolah berkenaan biasanya diadakan pada setiap hujung minggu iaitu mengambil kesempatan semasa pelajar kolej atau universiti tiada kelas.

Beliau berkata, terdapat antara 20 dan 30 pelajar mengikuti kelas di sekolah itu pada setiap sesi.
"Di sekolah ini, pelajar akan diterapkan latihan kader politik (political cadre) seperti bagaimana cara mahu menjadi seorang pejuang, berceramah dan membuat demonstrasi.

"Tenaga pengajar yang melatih pelajar pula merupakan aktivis politik dari organisasi tertentu yang memang antikerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, matlamat utama penubuhan sekolah itu adalah melahirkan generasi muda yang bakal menjadi pelapis kepada pemimpin pembangkang di negara ini.

Beliau berkata, pelajar yang mengikuti latihan di sekolah itu pula datang dari pelbagai kolej dan universiti di seluruh negara dan antaranya termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Katanya, pelajar yang dilatih di sekolah itu merupakan pengikut tegar parti pembangkang dan tidak pernah ketinggalan mengikuti demonstrasi menentang kerajaan termasuk perhimpunan Bersih 3.0 kelmarin.

"Selain mengikuti latihan di sekolah ini, pelajar turut dihantar ke luar negara seperti Indonesia dan Jepun untuk belajar dan menyaksikan sendiri cara penduduk di negara berkenaan berdemonstrasi menentang kerajaan," katanya.

Sumber berkata, polis mengakui pelajar yang terpengaruh dengan idealisme ekstremis itu memang memberi ancaman kepada keselamatan negara dan sedang memantau mereka untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan menyiasat pelajar tahun 2 pengajian undang-undang UiTM, Shah Alam, Khalid Mohd. Ismath, 22, yang mengugut mahu membunuh semua polis melalui kenyataan di laman sosial Facebook miliknya semalam.

Katanya, dalam kenyataan di Facebooknya, Khalid yang merupakan Naib Pengerusi Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) telah mengeluarkan kenyataan berbunyi: "Saya setuju jika semua polis dibunuh. Kerana begini caranya mereka melayan rakyat. Jadi setiap kali demo, tidak ada rundingan dengan polis lagi. Lawan tetap lawan".

Khalid yang menjadikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai idola, mengeluarkan kenyataan itu sehari selepas dia terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0.

Anak muda dari Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang itu memang lantang menentang kerajaan dan tidak pernah ketinggalan menyertai demonstrasi menentang kerajaan termasuk berkampung di Dataran Merdeka baru-baru ini bagi mendesak pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.

Siri Kedua - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi didesak menyiasat segera kewujudan sekolah politik yang melatih pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) cara-cara berdemonstrasi menentang kerajaan.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mewujudkan sekolah berkenaan kerana bimbang lebih ramai pelajar IPT akan terjebak dengan gejala tidak sihat itu.

Malah, katanya, IPT tempatan perlu lebih proaktif dan mengambil berat perkembangan semasa pelajarnya supaya pelbagai masalah yang timbul terutama membabitkan mahasiswa kebelakangan ini dapat dibendung.
"Siasatan secara terperinci dan mendalam sehingga ke peringkat akar umbi perlu dilakukan. Dalam hal ini, saya berpendapat, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi wajar bekerjasama kerana ia membabitkan generasi yang akan memimpin negara nanti.

"Saya bimbang sekiranya sekolah-sekolah ini dibiayai oleh agensi yang mendapat dana dari luar negara kerana saya mendapat maklumat bahawa wujud agenda oleh pihak luar mahu menjadikan mahasiswa sebagai penggerak pelampau di negara ini.

"Jadi, perkara ini perlu dipandang serius oleh kedua-dua kementerian. Kita tidak mahu mahasiswa di negara ini menjadi golongan ekstremis," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan yang dibuat oleh pihak polis mengenai kewujudan dua lokasi di Selangor yang dijadikan sekolah politik oleh pihak tertentu untuk melatih pelajar IPT berdemonstrasi menentang kerajaan.
Difahamkan, sekolah yang ditubuhkan oleh pihak antikerajaan itu sudah beroperasi sejak 2008 iaitu selepas Selangor jatuh ke tangan pembangkang.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula terkejut dengan kewujudan sekolah politik berkenaan dan menggesa pihak bertanggungjawab mengambil langkah awal mencegah ia daripada terus beroperasi.

Beliau juga yakin, sekolah berkenaan yang ditubuhkan sejak kira-kira empat tahun lalu adalah pelan jangka panjang dan telah dirancang teliti oleh pihak terbabit dalam usaha mewujudkan suasana huru-hara di negara ini.

"Kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana ia membabitkan pelajar IPT, usaha segera perlu diambil untuk mencegah sekolah tersebut daripada terus beroperasi di negara ini.
"Kita tidak mahu pelajar IPT menjadi bahan atau modal oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk kepentingan politik mereka. Kita tidak mahu mahasiswa menjadi ejen propaganda politik pihak antikerajaan," tegasnya.

No comments: