Labels

Friday, February 20, 2009

Usah paksa raja berpaut pada dahan reput Umno

Ia tidak ubah seperti pemimpin-pemimpin Yahudi menarik sokongan rakyat dalam menghadapi pilihan raya. Pemimpin mana atau parti mana yang paling kuat memusuhi rakyat Palestin, maka merekalah yang akan mendapat sokongan besar dari rakyat Israel. Tzipi Livni yang memimpin parti Kadima, lebih bernasib baik kerana dia bukan setakat lancang membelasah Palestin dengan lidah, tetapi terbukti mengganyang mereka dengan peluru dan bom



Ia tidak ubah seperti pemimpin-pemimpin Yahudi menarik sokongan rakyat dalam menghadapi pilihan raya. Pemimpin mana atau parti mana yang paling kuat memusuhi rakyat Palestin, maka merekalah yang akan mendapat sokongan besar dari rakyat Israel. Tzipi Livni yang memimpin parti Kadima, lebih bernasib baik kerana dia bukan setakat lancang membelasah Palestin dengan lidah, tetapi terbukti mengganyang mereka dengan peluru dan bom.

Maka begitulah Umno dalam menghadapi pemilihan parti bulan hadapan. Tak semena-mena muncul isu 'istana' di hadapan mata, maka membujur lalu melintang patah. Hampir semua pemimpin Umno di seluruh negara memperalatkan budak-budak 'nangoi' suruhan mereka untuk berdemonstrasi menentang, apa yang disifatkan sebagai penderhaka kepada raja. Sesuai benar dengan jiwa keris yang dihunus, penderhaka raja wajar dihukum.

Jika calon Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berjaya menghimpunkan Pemuda untuk menyekat Dato' Seri Nizar Jamaluddin memasuki pejabat Menteri Besar, calon lawannya Dato' Seri Khir Toyo lebih kreatif. Dia menghimpunkan Pemuda untuk menyerang kediaman Karpal Singh. Masing-masing cukup hebat, bagai menciplak strategi pemimpin Zionis.Apakah Umno ikhlas mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu?

Seluruh rakyat negara ini tahu bahawa Umnolah yang mencabut taring dan kuku istana pada tahun 1983 dan 1993, segala keaiban raja didedahkan, Sultan baru Kelantan 'ditabal' oleh Annuar Musa, Shahidan Kassim mendedahkan senarai panjang salah laku Sultan Johor dan semua media tali barut BN waktu itu melondeh habis-habisan raja-raja Melayu.

Jika tiba-tiba mereka muncul sebagai benteng mempertahankan kedaulatan raja-raja; ia tidak ubah seperti kenyataan pemimpin negara Arab sekular yang nampak beriya-iya mahu mempertahankan kedaulatan Palestin. Masyarakat yang buta huruf, buta perut dan buta politik saja yang akan mempercayainya.

Para pemimpin Umno terpaksa menghadapi ahli-ahlinya serta dunia di luar parti perkauman Melayu itu dengan dua wajah. Menghunus dan mencium keris di hadapan ahli-ahli di PWTC sebaliknya sujud di kaki MCA memohon maaf di dunia nyata sana.Di dalam longkong tempurung Umno, Dato' Seri Najib Razak mungkin dianggap hero kerana berjaya melakukan rampasan kuasa dengan membeli tiga Adun Pakatan Rakyat.

Begitu juga pemimpin-pemimpin yang mengikat kepala menganjur perhimpunan menentang penderhaka raja, dianggap pahlawan Umno sejati. Namun persepsi di luar Umno amat berbeza sama sekali. Di mata rakyat umum sekarang ini, kredibiliti Umno jatuh merudum. Kerajaan katak Umno di Perak langsung tiada wibawa.

Mereka dibenci, dicaci dan dimaki saban hari. Unit-unit perisikan yang dibiayai oleh kerajaan, tentu lebih tahu tahap penolakan rakyat umum terhadap keputusan pihak tertentu yang menolak supaya DUN Perak dibubarkan. Terimalah hakikat bahawa institusi raja tercemar teruk dengan permainan jahat Umno itu.

Di tengah-tengah keghairahan para pemimpin Umno bersaing merebut kuasa dalam parti mereka yang sudah uzur benar itu, mereka dihadapkan pula dengan dua buah pilihan raya yang akan menjadi kayu ukur sama ada rampasan kuasa yang dilakukan di Perak disokong atau ditolak; lebih jauh dari itu, sama ada kepimpinan Najib itu sendiri, yang bakal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, diterima atau disanggah majoriti rakyat.

Satu pihak lagi, yang terseret sama dalam 'pungutan suara' rakyat nanti ialah pihak istana. Penganalisis menganggap, punca kemelut di Perak bermula dari keputusan tidak demokratik enggan membubarkan Dun. Jika seratus peratus rakyat Malaysia, atau sekurang-kurangnya seratus peratus orang Melayu berjiwa Hang Tuah yang merelakan diri menerima hukuman Sultan, maka segala masalah akan selesai di situ.

Tiada siapa mengatasi undang-undang

Tetapi soalnya, kita bukan berada di zaman feudal di mana raja dianggap seolah-olah Tuhan. Raja juga adalah manusia biasa yang terdedah kepada salah dan silap serta setiap tindak tanduk mereka dinilai.Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub menegaskan, PAS tetap mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu biar pun ada pihak menuduh pemimpin parti itu derhaka merujuk isu yang berlaku di Perak sekarang.

Bagaimanapun, beliau berkata, PAS tetap yakin dengan prinsip bahawa tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. "Dengan sebab itulah Pakatan Rakyat mengambil beberapa pendekatan termasuk undang-undang untuk kita mendapatkan kembali hak kita. Kita mengharap melalui proses perlembagaan dan pendekatan undang-undang, kita akan dapat mengambil kembali kerajaan di Perak, di samping keadilan dapat ditegakkan," katanya.Kekhuatiran yang merata sekarang ini ialah raja tertentu dilihat semacam memihak.

Ekoran di Perak, Sultan Selangor bertitah supaya rakyat tidak mudah terpedaya dengan pihak yang sanggup mengambil risiko dengan "perbuatan yang bersifat keji seperti biadap, derhaka, angkuh, jahil ilmu serta kemaruk kuasa." Mujur rakyat masih waras untuk tidak membalas 'sembah derhaka' terhadap titah baginda Sultan yang ayatnya seolah-olah dikarang oleh pemimpin sebuah parti politik.

Rakyat jelata memang mahukan kedaulatan raja dipertahankan namun raja juga janganlah mengambil tindakan atau titah yang melukakan hati sebahagian rakyat. Raja menaungi seluruh rakyat jelata termasuk dari PAS, Umno, KeADILan dan DAP. Bukan Umno sahaja. Di saat hilang kuasa, Umno mahu menyeret institusi raja untuk �menumpang� kekuatan.

Mereka berpaut di tiang istana sambil mahu raja berpaut pada dahan Umno. Raja-raja Melayu tentulah lebih bijaksana untuk tidak terperangkap dengan taktik licik Umno, kerana jika raja-raja turut berpaut pada dahan Umno yang sudah reput itu, terancamlah institusi raja.

No comments: