Kisah ayah dan anaknya
"Anakku,
tatkala kau melihat mentari dan bulan, tanyalah pada dirimu, siapakah
yang menciptakan kedua-duanya? Ketika ayah membawamu memerhati ombak di
pantai dan melihat bintang di langit, kau kagumi akan indahnya ciptaan
itu. Dan kau meminta ayah melukisnya. Tetapi anakku, ayah tidak mampu
mencipta semua itu. Ada kuasa yang lebih kuat dan hebat yang menjadikan
semua itu. Tanyalah pada dirimu, siapa yang menciptakan alam ini? Siapa
yang menciptakan ayah dan kamu?
Tatkala kau bersendirian,
Tuhan itu rapat pada hatimu. Tuhanmu menyayangimu, melebihi sayang ayah
kepada kamu. Tanyakan pada dirimu, apakah aku lakukan kerana Tuhan yang
menyayangiku? Adakah aku tergamak melakukan perkara-perkara dibenci
Tuhan?
Anakku, andai kau lakukan kesalahan, ketahuilah, Tuhan
itu maha penyayang. Selagi kau berusaha untuk menjadi lebih baik, dan
melawan dirimu melakukan perkara yang dilarang oleh Tuhanmu, pada waktu
itulah kau sedang menuju ke arah keikhlasan.
Anakku, kalau
mereka mengatakan air mata yang mengalir itu adalah kelemahan,
perhatikan kata-kata ini, air mata yang mengalir kerana cintakan Tuhanmu
itu adalah tanda kekuatan imanmu. Tanda hatimu dekat dengan cinta pada
Tuhanmu.
Anakku, sesungguhnya ayah menyayangimu, seperti
Ibrahim menyayangi Ismail, diuji perasaannya, dengan taklifan yang tidak
tertanggung pada fitrah seorang bapa.
Anakku, moga dirimu menjadi manusia yang bermanfaat untuk manusia dan alam seluruhnya."
No comments:
Post a Comment