Labels

Friday, October 31, 2008

Mudahkan Pendekatan Islam, Jangan Eksklusifkannya


AMAT memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua.”

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan.

Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak. Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia. Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira latar kehidupan dan pendidikan.

Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah lagi: (maksudnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).

Firman Allah juga: (maksudnya) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisaa’: 28).

Saya tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama yang telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Semoga Allah memberikan pahala untuk mereka. Saya bicarakan tentang sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang begitu sukar untuk dihayati dan seakan tidak akan sampai ke dataran Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja. Maka hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami, apatah lagi untuk dihayati.



Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan. Ia diajar dengan cara yang sukar disebabkan pelbagai faktor. Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai-bagai ayat dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi s.a.w. yang sahih.

Ini seperti menetapkan pelbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu. Demikian juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya. Sedangkan nas-nas al-Quran dan al-sunah tidak menyatakan demikian.

Kecenderungan

Di samping itu kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang keliru. Umpamanya syarat niat yang bukan-bukan sehingga ada buku menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur.

Padahal setiap aktiviti insan secara sedar mempunyai niat. Maka dengan itu kita katakan ‘membunuh dengan niat’, sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam solatnya, kononnya belum masuk niat.

Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat? Demikian juga mendetilkan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab wuduk belum habis dibincang.

Pendekatan ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian. Sebenarnya, bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah melanggar garis panduan Nabi s.a.w. lantas menyanggahi logik insan.

Hal ini berbeza dengan arahan baginda s.a.w. Sabda baginda: Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (Riwayat al-Bukhari).




Pendekatan Nabi s.a.w. adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini. Antaranya baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan makmum yang pelbagai di belakangnya. Baginda bersabda: Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua, lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam pengajian akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi falsafah lama yang kadang-kala tidak membawa kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan.

Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti falsafah-falsafah yang memeningkan. Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadangkala guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: “Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya…”

Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada? Akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.

Akidah Islam adalah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak perlu menyukarkan.

Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling mudah dan senang untuk difahami. Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan terpelajar dan cerdik pandai. Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi s.a.w., para perwakilan yang datang mengambil dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.

Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah… Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat (1991). Sebab itu – barangkali – dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan.



Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal. Ini kerana kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-sunah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbang jiwa dan akal secara fitrah, bukan falsafah yang menyusahkan.

Ramai orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan. Anda tidak diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap.

Memahami

Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan. Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirnya diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita muslimah kita. Mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat. Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.

Demikian sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang soleh dalam rupa yang sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain. Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang soleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya. Adakah Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berwatak demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang soleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riak dalam amalan?

Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan: “Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riak (menunjuk-nunjuk).” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja.

Demikian juga, kadangkala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa. Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak demikian rupa kehidupan mereka.

Sehingga Dr. Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali r.h dengan katanya: “Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat – sekalipun secara tidak langsung – bahawa insan contoh di sisi al- Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah r.a, yang difahami dari al-Quran, sunah dan sirah.

“Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmati nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah s.w.t, antara beribadat dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezeki-Nya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s 164, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Apabila ada wartawan bertanya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab: “Begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita tidak berusaha menjadi pengeluar. Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara.

“Sebelum menjawab saya ingin kata: Kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat. Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.”

Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal sepertimana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi s.a.w. dan para sahabah baginda.

Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.

Wednesday, October 29, 2008

BN: Hassan Merican tak tahan lagi!

Encik Hearsay atau nama Melayunya Cakapdengaq memberitahu bahawa Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican sudah tak tahan lagi dengan kerajaan Barisan Nasional. Dalam ucapannya kepada kakitangan Petronas di seluruh negara dan di seluruh dunia (agaknya dipancarkan melalui Internet, ni teka ja ni), antara lain Mohd Hassan dilaporkan oleh Hearsay sebagai menceritakan (saya pula cerita dengan bahasa saya sendiri):


1. Kerajaan semakin menjadi-jadi memerah Petronas. Kalau dahulu hanya 15 peratus pendapatan kerajaan bergantung kepada Petronas, kini sudah mencanak gila sehingga 40 peratus (Utusan Malaysia 1 September 2006 melaporkan, hampir 40 peratus dari hasil kerajaan Persekutuan adalah hasil berkaitan petroleum, terutamanya dividen daripada Petronas).

2. Daripada 27 juta rakyat negara ini, yang benar-benar layak membayar cukai hanya kira-kira sejuta sahaja. (Alahai, bayangkan betapa mewah dan makmurnya rakyat negara ini!)

3. Petronas bukan tempat buat duit. Kalau nak duit banyak, ambik duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Itupun, Mohd Hassan dilaporkan oleh Hearsay sebagai berkata, kalau KWSP masih ada duit! Lepas itu, lapor Hearsay lagi, Ketua Eksekutif Petronas itu berkata "off the record".

Saya berharap Hearsay tidak melaporkan perkara yang betul kepada saya. Saya harap Hearsay bohong. Kalaulah betul, undi Barisan Nasional! (Gambar di atas ihsan Malaysiakini)

Tuesday, October 28, 2008

Datuk Seri Najib, bolehkah pengecut jadi PM?

Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada segi pengisian tidak akan ada yang berubah, "mana yang baik yang dibuat oleh Pak Lah saya tetap akan teruskan".

Jika Najib hanya mahu meneruskan "mana yang baik yang dibuat oleh Pak Lah," persoalannya berapa timbun yang tak baik yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi? Itukah yang diisyaratkan?

Timbalan Presiden Umno itu turut memberi jaminan bahawa beliau sentiasa bersedia untuk diberi teguran jika ada kelemahan.

"Eloklah tegur menegur antara satu sama lain," kata beliau.

Kenyataan Najib mengingatkan kita kepada kenyataan Abdullah dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Umno 2006 lalu. Perdana Menteri berkata: "Saya tidak akan mempersoalkan kesetiaan saudara jika ditegur. Akan ada salah dan silap tetapi apa yang penting adalah terus berusaha, menokok tambah apa yang kurang, yang tak elok diperelokkan, inilah maknanya".

Malah, beliau juga bertanya kepada pemberita: "Kenapa kamu kata saya tidak terbuka untuk dikritik?"'

Apa yang terjadi, sejarah akan berkata-kata sampai bila-bila.

Walaupun Najib berkata "eloklah tegur menegur antara satu sama lain," tetapi saya tidaklah hendak menegur. Saya hanya hendak bertanya, bolehkah Najib yang pernah dianggap pengecut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri?




Malaysiakini 21/4/08 melaporkan, Dr Mahathir menganggap Najib "lemah dan pengecut". Berita Harian 9/10/08 pula melaporkan bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak tertarik dengan prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Di kampung saya, orang pengecut dipanggil "taik penakut". Maknanya, si "taik penakut" sudah ketagih, gian dan laluk dengan sifat penakut.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pernah berkata, Najib mungkin dipandang paling berkelayakan untuk memimpin Umno oleh sebahagian ahli-ahli parti itu, tetapi beliau juga dipercayai dipandang tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

"Urusan Umno, hak Umno dan kita tak mahu campur tangan. Tetapi dalam urusan kepimpinan negara, rakyat menuntut pemimpin yang mempunyai integriti. Kita menuntut negara ini dipimpin oleh Perdana Menteri yang bukan sahaja bersih, tetapi dilihat bersih.

"Masalah terbesar yang dihadapi Najib ialah beliau tidak dilihat bersih," kata Mahfuz.

Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution pula menyifatkan Najib mempunyai terlalu banyak pekung di dada dan hanya menunggu masa sahaja. "Jika Umno boleh melakukannya kepada Abdullah, kenapa tidak Najib?" kata beliau. Abdullah bagaikan dijerkah supaya pergi cepat-cepat oleh mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 18 September lalu.





Najib tidak berbeza dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin bersih tetapi tak nampak bersih. Bukan orang-orang pembangkang seperti Mahfuz dan Saifuddin sahaja bercakap begitu. Tokoh-tokoh BN juga mempunyai pandangan yang sama.

Malaysian Insider (MI) melaporkan, seorang pemimpin Gerakan menyifatkan Najib mempunyai liabiliti dan beban politik. "Reputasinya (Najib) tercemar dengan pembunuhan wanita Mongolia," kata beliau.

Beliau merujuk pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu.

Pihaknya, kata pemimpin Gerakan itu, bimbang adakah isu yang serius itu akan memburuk menjadi tamparan yang hebat kepada BN kelak.

Persepsi umum masih lagi dibelenggu dengan begitu banyak persoalan yang tidak pernah dijawab berhubung keseluruhan episod itu.

"Ia adalah satu liabiliti...bebanan politik yang akan memberi kesan kelak jika terbiar tidak diselesaikan terutama apabila musuh politik Najib begitu aktif, mungkin semakin kuat dan secara terbuka mensasarkan beliau untuk menghancurkannya," MI memetik beliau berkata.

Persepsi rakyat tentang Najib mungkin disimpulkan dengan baik dalam kenyataan seorang peguam yang juga bekas pemimpin MIC kepada MI: "Datang dari lubuk tercemar Umno-BN yang sama, tentulah kejujujuran dan integriti Najib diragui umum".

Mengambilkira pandangan tokoh-tokoh BN itu dan lebih dari itu, pandangan Dr Mahathir yang saya percaya "he means it" ketika berkata demikian, izinkan saya bertanya sekali lagi: Datuk Seri, layakkah orang yang tidak dilihat bersih, lemah dan pengecut menjadi Perdana Menteri?

Diharap tidak adalah polis datang menangkap saya. Saya tidak menuduh Datuk Seri, jauh lagi menghasut. Malah, menegur Datuk Seri pun tidak.

Saya hanya bertanya, Datuk Seri. Harap-harap, sekadar bertanya tidaklah menjadi satu jenayah di dalam negara kita.

Umno sakit tua, PAS muda-muda dah sakit


Bila bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam kata Umno mengidap penyakit tua, (Lihat Malaysiakini 22/10/08 "Musa: Umno perlukan pemimpin muda") Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berharap orang-orang muda di dalam Umno bersabar membasuh taik.

"Sakit tua kadang-kadang ingat, kadang-kadang lupa. Kita selalu dengar orang bercerita, orang sakit tua kadang-kadang tidak mampu mengawal kencing atau pembuangan air besar.

"Umno yang sakit tua kencing dan berak merata-rata. Saya harap golongan muda di dalam parti itu yang diminta mengambilalih tugas menjaga Umno oleh Musa dapat bersabar untuk membersihkan najis yang sudah bertompok-tompok merata-rata," katanya.

"Biasanya apabila orang mengidap sakit tua yang nazak seperti Umno, orang baca Surah Yassin dan bertawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan sembuh. Kalau tidak, mudah-mudahan kembali ke pangkuan Allah dengan selamat".

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berharap Musa dan ahli-ahli Umno yang prihatin sepertinya berdoa agar Umno dapat pergi dengan selamat dan "tidak meninggalkan sebarang beban kepada anak-cucu orang Umno".

PAS pula bagaimana? Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu pernah berkata, barisan pelapis kepemimpinan ulama PAS kini berada dalam keadaan krisis – pengetahuan mereka yang berusia bawah 40 tahun "paling tidak memuaskan" (Lihat Malaysiakini 5/9/08 "Pelapis ulama PAS paling tidak memuaskan").



Tidak mengapa jika ulama-ulama muda PAS angin satu badan dengan Mat Sabu. Tetapi, tidakkah Tok Guru Mursyidul Am pernah berkata: "Saya lihat apa yang berlaku sekarang ini adalah ulama kita tidak berkembang. Saya bersetuju dengan pandangan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa kepimpinan golongan tersebut (ulama), terutamanya golongan muda di bawah 40 tahun, kurang berkesan dan tidak menguasai ilmu-ilmu kontemporari" (Lihat blog TMJ 18/9/08 "Nik Aziz setuju Mohamad Sabu kata ulama muda PAS kurang uump").



Ni saya nak curahkan apa yang tak berani saya ucapkan secara terus-terang sebelum ini. Tak kisahlah kalau saya kena debik lepas ni. Bila saya lihat beberapa perwakilan muda yang bergelar ulama bercakap dalam Muktamar PAS di Ipoh baru-baru ini, dalam hati saya berkata, "La ilaha ilaLlah.... Bodonya. Macam mana nak memerintah lagu ni!"

Jalan yang mudah ialah debik saya sampai lembik. Debik Mat Sabu sampai puas hati. Jalan yang susah ialah memperbaiki diri, mengajar diri berfikir dan melihat persekitaran secara analytic dan dialectic berteraskan disiplin ilmu Islam yang ada pada mereka.

Masalah kita ialah puak yang analytic dan dialectic tidak ada disiplin ilmu Islam dan ditimpa pula penyakit perasan bahawa mereka pun boleh menghurai dan mentafsirkan ajaran Islam semata-mata kerana mereka boleh baca terjemahan al-Quran. Yang ada disiplin ilmu Islam pula asyik jadi tukang hafal dan dogmatic dengan pemikiran orang lain, kelihatan malas berfikir dan kalau bersembang dengan depa, amat membosankan!

Hey! Hang pandai sangat ka! Pasai aku tak pandai la aku mengharapkan ulama' yang pandai. Kalau depa pun nampak bodo macam aku,buat apa aku nak harap kat depa!!!!!

Friday, October 24, 2008

Tukar kerajaan : Masa belum sesuai atau masa emas sudah terlepas


ANALISIS: SELEPAS dua minggu Dewan Rakyat bersidang, semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini lantang mendakwa Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat, memberi penekanan yang jelas - masanya belum sesuai untuk berbuat demikian.

Dua minggu lalu ketika ditemui di Kota Bharu, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu meminta penyokong-penyokongnya supaya bersabar, kemungkinan sasaran tersebut akan menjadi kenyataan sebelum sambutan Aidiladha ini.


Jika sebelum Parlimen bersidang kembali ramai menganggap Pakatan Rakyat akan merealisasikan matlamat tersebut ketika Dewan Rakyat mengadakan persidangannya, tumpuan kembali kepada Anwar apabila beliau mula membahaskan ucapan Bajet 2009 pada 13 Oktober lalu.


Ia merupakan ucapan pertama beliau sebagai Ketua Pembangkang, jawatan yang disandangnya selepas memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu.


Pada 13 dan 14 Oktober lalu Anwar berucap hampir enam jam. Ucapannya menyentuh banyak isu tetapi ramai melihat ia kurang menyengat, malah kurang menyentuh naluri kebanyakan pihak.


Anwar mendedahkan nama rasmi ikatan pembangkang pada 1 April - tiga minggu selepas pilihan raya umum 2008. Sasaran membentuk kerajaan 16 September diumumkan.


Semalam, ketika masih ramai penyokong meletakkan harapan menggunung tinggi pada Anwar dan pemerhati ingin melihat sejauh Anwar akan menggerakan caturan politik di Parlimen, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan usaha pembangkang mengambil alih kerajaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.


"Cukuplah membincangkan perkara itu... kami sedang berusaha ke arah itu... Kami mahu ia menjadi satu kejutan," katanya.


Malah semalam beliau memberikan taklimat mengenai Saranan Pakatan Rakyat Untuk Belanjawan 2009 di Bangunan Parlimen.


Anwar mendakwa pihak kerajaan seolah-olah mempersendakan rancangan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan secara aman dan sah mengikut saluran perlembagaan yang betul.


Di sebalik perkembangan itu, beberapa penganalisis politik berpendapat isu-isu yang disuarakan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lewat kebelakangan ini memberi kelebihan Anwar.


Prof. Madya Dr Admad Nidzammudin Sulaiman berpendapat Anwar akan mengeksploitasi isu-isu tersebut untuk memancing mereka menyertai Pakatan Rakyat dalam usaha merealisasikan usaha membentuk kerajaan perikatan pembangkang itu.


Jelasnya, parti seperti MCA mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri dihapuskan manakala MIC mahu pemimpin Hindraf dibebaskan.


Kedua-dua itu, katanya, menunjukkan tiada kesepakatan dalam BN.


"Isu-isu sebegini memberi kelebihan Anwar kerana dia pasti akan cuba memujuk wakil-wakil rakyat BN ini untuk menyertai mereka dengan menjanjikan kesaksamaan dan keadilan dalam pentadbiran mereka kelak," kata beliau kepada mStar Online.


Ditanya adakah isu-isu berkenaan memberi kesan kepada Anwar dan Pakatan Rakyat, Ahmad berkata: "Sudah pasti ia memberi kesan secara tidak langsung. Apabila isu-isu tersebut diluahkan secara vokal ia jelas menunjukkan keretakan yang timbul akibat rasa tidak puas hati parti-parti komponen dalam BN."


Tambahnya, isu-isu tersebut menjadi faktor yang memberi kelebihan kepada Anwar dalam usahanya merealisasikan misi membentuk kerajaan Pakatan Rakyat.


"Anwar ibarat menangguk di air yang keruh. Peluang sebegini memang dinanti-nantikannya," katanya.


Pensyarah sains politik dari Universti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk juga berpendapat isu-isu yang diketengahkan oleh parti komponen BN akan menjadi duri dalam daging yang akan memusnahkan BN.


"Isu-isu tersebut menunjukkan BN tidak lagi mempunyai kesepakatan dalam menyelesaikan perbalahan sesama mereka," katanya.


Jelas beliau, perkara sebegitu akan memberi kelebihan kepada Anwar kerana memerlukan isu seperti itu untuk menutup kelemahannya selama ini.


Ditanya apa kelemahan yang dimaksudkan itu, Azeem berkata:


"Isu lompat parti dan bentuk kerajaan hanyalah gimik politik Anwar... jadi bila timbul isu ISA dan Hindraf, dia akan memanfaatkannya untuk menarik sokongan daripada parti komponen BN tersebut."


Menurutnya, Anwar sedang bermain perang saraf dengan penyokongnya dalam usaha meyakinkan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat.


"Ini satu bentuk perang saraf yang dicipta Anwar untuk meyakinkan penyokongya tentang proses menukar kerajaan BN," katanya.


Tambah Azeem, isu-isu yang diketengahkan oleh parti-parti komponen BN memberi political milege kepada Anwar.


Tambahnya, keadaaan sedemikian menunjukkan kedudukan BN sudah rapuh kerana tiada lagi mampu mencapai kata sepakat dalam isu yang diketengahkan. "Di sini Anwar punya kelebihan dalam usaha merealisasikan kerajaan yang diperkatakannya selama ini," katanya.


Di sebalik perkembangan-perkembangan sejak 16 September lalu ramai juga sudah mula mempersoalkan sama ada Anwar benar-benar mempunyai angka dan jumlah sokongan.


Adakah Anwar mempunyai cukup bilangan untuk mengubah kedudukan di Parlimen.


Anwar dan Pakatan Rakyat mahu membantu kerajaan menyelamatkan ekonomi daripada kesan kemelesetan global. Anwar mempunyai peranan. Begitu juga Pakatan Rakyat yang sudah menguasai pemerintahan di lima kerajaan negeri.


Anwar dan Pakatan Rakyat perlu membuktikan kepimpinan di Parlimen dan di kelima-lima negeri berkenaan. Anwar dan Pakatan Rakyat mungkin sudah menyedari keperluan ini daripada membentuk kerajaan menerusi jalan belakang.


Pun begitu teka-teki Anwar berterusan.


"Kami telah kehilangan dua opsyen... (tetapi) masih ada 10 opsyen lagi. Kami sedang mempertimbangkannya," kata Anwar.


"Kami belum terdesak sangat (untuk membentuk kerajaan) khususnya dalam suasana krisis ekonomi sekarang, kami perlu bersama dengan pemimpin-pemimpin kerajaan bagi memastikan mereka mengambil pendekatan yang betul (untuk mengatasi masalah ekonomi," katanya.

sumber - Mstar.online

Zulkifli Nordin mula gigit Anwar..


Sejak dikaitkan dengan cerita akan tinggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ekoran tindakannya yang dilihat tidak sehaluan dengan parti itu terutama dalam soal kebebasan, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin semakin menunjukkan ‘belangnya’ yang sebenar.

Zulkifli yang dikecam banyak pihak yang memperjuangkan soal kebebasan termasuk kalangan pimpinan PKR sendiri kerana melakukan demonstrasi membantah forum ‘Masuk Islam’ yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Ogos lalu kerana forum tersebut cuba untuk mencampuri urusan agama Islam, hari Khamis melepaskan ‘peluru penaburnya’ yang terkena kepada semua pihak.

Baik kerajaan mahupun pembangkang termasuk parti yang diwakilinya iaitu PKR, semua tidak terlepas daripada ‘serangan’ beliau yang tajam dan tepat pada sasarannya.

Ini jelas apabila beliau melahirkan rasa kesalnya kerana PKR menyoal ketuanan Islam dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) pula menuntut dibenarkan orang Islam keluar daripada agama Islam dan mahu agama Islam mengikut agama-agama lain.

Serentak dengan itu beliau menyifatkan pihak kerajaan dan pembangkang seolah-olah tidak mempertahankan Islam.

Sedangkan katanya, kekuatan orang Melayu terletak pada agamanya tetapi hari ini orang Melayu serta Islam telah diserang oleh pelbagai pihak.

‘‘Tindakan itu seolah-olah menunjukkan Islam tidak wujud langsung, mereka mem pertikaikan adab, hal ehwal agama Islam, mempertikaikan soal azan serta tulisan jawi dan menghantar memorandum supaya tulisan jawi tidak dilaksanakan,” katanya.

Kenyataannya itu jelas merujuk kepada tindakan rakan parti pembangkangnnya yang membangkitkan isu-isu yang disebutkannya itu.

Tambahnya, terdapat juga pihak yang mempertikaikan tentang kuliah-kuliah di masjid yang kononnya mengganggu mereka.

Dalam nada tegas Zulkifli berkata, “Walaupun ada suara yang kata saya menyokong parti lain bila bersuara begini tapi saya hanya berjuang untuk Islam. Saya tidak peduli orang nak kata apa kerana saya hanya menjawab kepada Allah”.

Kelantangan Zulkifli itu menyebabkan tidak ada kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang bangun dan cuba menyanggah pendiriannya.

Namun, selepas ini apakah kelantangan beliau di Dewan Rakyat akan menerima nasib yang sama dengan tindakannya menghadiri perhimpunan membantah forum ‘Masuk Islam’ anjuran Majlis Peguam iaitu dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Disiplin PKR.

Atau akan bersuarakah golongan yang memperjuangkaan kebebasan termasuk soal agama dalam PKR dan pakatan pembangkang berhubung pendirian Zulkifli itu.

Paling menarik PAS sendiri sebagai parti yang menggunakan nama Islam tidak mempunyai wakil yang berani bangun mempertahankan Islam seperti mana yang dilakukan oleh Zulkifli. – 23/10/2008

sumber - Agendadaily.com

Isu Zakat Kepada Bukan Muslim

Banyak pihak bertanya kepada Dr Mohd Asri tentang isu pemberian wang zakat kepada bukan muslim. Sebenarnya lebih setahun yang lepas Dr Mohd Asri pernah menulis isu ini dalam Mingguan Malaysia menerusi ruangan Minda Mufti.

Antara yang boleh di petik:


“Kita sering mendapat maklumat adanya persatuan atau gerakan agama-agama tertentu yang memperuntukkan wang yang banyak bagi menawan orang ramai agar tertarik dengan mereka. Maka timbullah kisah-kisah orang menukar agama kerana termakan budi. Mengapa kita bising dan hairan. Sebenarnya, Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf.

Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka. Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar. Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam.

Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Dr Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah. Jika hal ini dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam. Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka.

Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan ’saudara baru’ yang sedia ada pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat. Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!. Sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam”.

Lihat Buku Beliau : Mengemudi Bahtera Perubahan Minda

Artikel Penuh: Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi