Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada segi pengisian tidak akan ada yang berubah, "mana yang baik yang dibuat oleh Pak Lah saya tetap akan teruskan".
Jika Najib hanya mahu meneruskan "mana yang baik yang dibuat oleh Pak Lah," persoalannya berapa timbun yang tak baik yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi? Itukah yang diisyaratkan?
Timbalan Presiden Umno itu turut memberi jaminan bahawa beliau sentiasa bersedia untuk diberi teguran jika ada kelemahan.
"Eloklah tegur menegur antara satu sama lain," kata beliau.
Kenyataan Najib mengingatkan kita kepada kenyataan Abdullah dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Umno 2006 lalu. Perdana Menteri berkata: "Saya tidak akan mempersoalkan kesetiaan saudara jika ditegur. Akan ada salah dan silap tetapi apa yang penting adalah terus berusaha, menokok tambah apa yang kurang, yang tak elok diperelokkan, inilah maknanya".
Malah, beliau juga bertanya kepada pemberita: "Kenapa kamu kata saya tidak terbuka untuk dikritik?"'
Apa yang terjadi, sejarah akan berkata-kata sampai bila-bila.
Walaupun Najib berkata "eloklah tegur menegur antara satu sama lain," tetapi saya tidaklah hendak menegur. Saya hanya hendak bertanya, bolehkah Najib yang pernah dianggap pengecut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri?
Malaysiakini 21/4/08 melaporkan, Dr Mahathir menganggap Najib "lemah dan pengecut". Berita Harian 9/10/08 pula melaporkan bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak tertarik dengan prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Di kampung saya, orang pengecut dipanggil "taik penakut". Maknanya, si "taik penakut" sudah ketagih, gian dan laluk dengan sifat penakut.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pernah berkata, Najib mungkin dipandang paling berkelayakan untuk memimpin Umno oleh sebahagian ahli-ahli parti itu, tetapi beliau juga dipercayai dipandang tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri oleh sebahagian besar rakyat negara ini.
"Urusan Umno, hak Umno dan kita tak mahu campur tangan. Tetapi dalam urusan kepimpinan negara, rakyat menuntut pemimpin yang mempunyai integriti. Kita menuntut negara ini dipimpin oleh Perdana Menteri yang bukan sahaja bersih, tetapi dilihat bersih.
"Masalah terbesar yang dihadapi Najib ialah beliau tidak dilihat bersih," kata Mahfuz.
Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution pula menyifatkan Najib mempunyai terlalu banyak pekung di dada dan hanya menunggu masa sahaja. "Jika Umno boleh melakukannya kepada Abdullah, kenapa tidak Najib?" kata beliau. Abdullah bagaikan dijerkah supaya pergi cepat-cepat oleh mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 18 September lalu.
Najib tidak berbeza dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin bersih tetapi tak nampak bersih. Bukan orang-orang pembangkang seperti Mahfuz dan Saifuddin sahaja bercakap begitu. Tokoh-tokoh BN juga mempunyai pandangan yang sama.
Malaysian Insider (MI) melaporkan, seorang pemimpin Gerakan menyifatkan Najib mempunyai liabiliti dan beban politik. "Reputasinya (Najib) tercemar dengan pembunuhan wanita Mongolia," kata beliau.
Beliau merujuk pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu.
Pihaknya, kata pemimpin Gerakan itu, bimbang adakah isu yang serius itu akan memburuk menjadi tamparan yang hebat kepada BN kelak.
Persepsi umum masih lagi dibelenggu dengan begitu banyak persoalan yang tidak pernah dijawab berhubung keseluruhan episod itu.
"Ia adalah satu liabiliti...bebanan politik yang akan memberi kesan kelak jika terbiar tidak diselesaikan terutama apabila musuh politik Najib begitu aktif, mungkin semakin kuat dan secara terbuka mensasarkan beliau untuk menghancurkannya," MI memetik beliau berkata.
Persepsi rakyat tentang Najib mungkin disimpulkan dengan baik dalam kenyataan seorang peguam yang juga bekas pemimpin MIC kepada MI: "Datang dari lubuk tercemar Umno-BN yang sama, tentulah kejujujuran dan integriti Najib diragui umum".
Mengambilkira pandangan tokoh-tokoh BN itu dan lebih dari itu, pandangan Dr Mahathir yang saya percaya "he means it" ketika berkata demikian, izinkan saya bertanya sekali lagi: Datuk Seri, layakkah orang yang tidak dilihat bersih, lemah dan pengecut menjadi Perdana Menteri?
Diharap tidak adalah polis datang menangkap saya. Saya tidak menuduh Datuk Seri, jauh lagi menghasut. Malah, menegur Datuk Seri pun tidak.
Saya hanya bertanya, Datuk Seri. Harap-harap, sekadar bertanya tidaklah menjadi satu jenayah di dalam negara kita.
No comments:
Post a Comment