Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Thursday, July 31, 2008
Azizah kosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh
Jimadie Shah Othman | Jul 31, 08 3:18pm
kemaskini 7:50pm: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.
"Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan PKR dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh kepada speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil secepat mungkin," kata presiden PKR.
"Keputusan itu adalah yang terbaik buat Malaysia," tambahnya.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR dan pengerusi Yayasan Aman Malaysia.
Anwar, yang turut sama dalam sidang media itu, berkata Pandikar Amin akan memberikan jawapan Isnin depan kerana sekarang berada di Sabah.
Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.
Beliau mendapatkan 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.
Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.
Sebelum ini, disebut beberapa kerusi yang mungkin ditandingi oleh Anwar, termasuk Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.
Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai (Nurul Izzah) dan Gombak pula diwakili oleh naib presiden PKR, Azmin Ali.
Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Azizah berkata sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.
Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS.
Katanya, beliau merasakan "inilah yang terbaik bagi Anwar sebab kawasan tersebut (mempunyai) majoriti yang selesa".
Wan Azizah menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili oleh Anwar.
Ditanya tindakan beliau meletakkan jawatan menyebabkan hilangnya seorang pemimpin wanita dalam Pakatan, Wan Azizah berkata:
"(Pemimpin wanita) yang lain akan datang. (Kehilangan) ini hanyalah untuk jangka masa yang pendek. Saya rasa, saya boleh menyumbang (tenaga) dalam bentuk yang lain."
Wan Azizah positif terhadap kemampuan suaminya menghadapi pilihanraya kecil akan datang walaupun sedar segala kekuatan pihak lawan akan ditumpukan ke kawasan parlimen itu.
"Saya mengalu-alukan segala pembangunan yang akan datang. Sudah dua penggal saya di sana, Tetapi kita mesti menghadapinya. Saya percaya rakyat di permatang Pauh lebih berminat pada Anwar. Anwar pernah (berkhidmat) di sana sebelum ini," katanya.
Reaksi Anwar
Anwar mewakili kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai wakil BN dari tahun 1982 sehinggalah beliau dipecat dari Umno pada September 1998, dan menjadi ahli Parlimen bebas sehingga dihukum penjara enam tahun keranatuduhan salahguna kuasa.
Sementara itu, Anwar pula berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Wan Azizah.
"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.
Anwar berkata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.
Katanya, pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh beliau bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.
Menurutnya lagi, tokoh utama DAP Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai menghadiri sidang akhbar tersebut sebagai menyatakan sokongannya.
Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.
Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.
"Sebelum ini saya berhasrat bertanding di Kulim-Bandar Baharu, tetapi setelah melihat kerenah pentadbiran dan undang-undang, petisyen yang sedang berlangsung, kami tidak jangka akan selesai dalam masa terdekat," katanya.
Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah melepaskan kerusi parlimennya, Anwar berkata, ia akan dimaklumkan minggu depan.
Beliau berkata, perkata itu akan dibincangkan dengan dua lagi parti dalam Pakatan.
Ditanya sama ada pilihan itu dibuat kerana Permatang Pauh merupakan kawasan yang paling selamat untuknya, secara berseloroh beliau berkata "semua kerusi agak selamat" untuknya.
Diminta memberikan ulasan jika bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor bertanding atas tiket BN di kerusi parlimen itu, Anwar hanya menjawab: "Itu keputusan Umno."
Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.
Beliau berkata, sasarannnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September depan seperti yang disebut-sebut beliau "masih seperti dijadualkan".
http://www.malaysiakini.com/news/87048
Kenyataan Media Wan Azizah Mengenai Kerusi Parlimen Permatang Pauh
31 Julai 2008
http://www.keadilanrakyat.org/index.php/content/view/654/1/
Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada YB Tan Sri Speaker Dewan Rakyat Datuk Pandikar Amin Bin Hj. Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil secepat mungkin.
Ini adalah konsisten dengan matlamat kami untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan baru dalam tahun ini.
Keputusan ini adalah yang terbaik buat Malaysia.
Negara ini sedang berhadapan dengan cabaran yang paling getir semenjak mencapai kemerdekaan.
Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO terbukti telah gagal mengurus ekonomi negara ini dan membawa negara ini menuju kehancuran. Kerajaan ini telah menyebabkan integriti sistem keadilan hancur ke tahap yang memalukan. Ia membiarkan api perkauman semakin bernyala-nyala dan membuatkan etnik Melayu, Cina dan India saling tidak mempercayai satu sama
lain di samping sengaja mengabaikan keperluan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.
Anwar Ibrahim telah mengungkapkan visi untuk Malaysia yang telah pun membenihkan harapan buat rakyat. Beliau mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk membangunkan kembali ekonomi negara ini, juga karisma dan integriti untuk menyatukan rakyat Malaysia serta mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kenegaraan.
Saya akan terus berkhidmat sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan pengurusi Yayasan Aman.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyokong saya di Permatang Pauh yang selama ini sentiasa teguh di belakang saya di dalam melalui saat-saat sukar semenjak dari September 1998 dan saat-saat manis kemenangan 8 Mac 2008. Masa depan negara kita bergantung kepada dedikasi dan komitmen terhadap keadilan dan kebebasan yang saya lalui selaku wakil anda semua di Parlimen dan saya akan sentiasa berkhidmat untuk anda pada masa depan seikhlas mungkin.
DATO' SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Malaysia
Presiden Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Labels:
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment