Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Sunday, July 13, 2008
Hilang Halatuju, Tenggelam Dalam Isu
Posted on Jul 13, 2008
Dalam seminggu, negara kita yang tidak sebesar mana ini timbul berbagai-bagai isu seakan dunia hampir runtuh. Rakyat makin pening dan mual. Paling mendukacitakan, isu-isu yang tertonjol kebelakangan ini adalah isu-isu peribadi tokoh-tokoh politik. Seakan masalah mereka dipaksa untuk rakyat menanggungnya sehingga melupai kenaikan harga barang, tarif elektrik dan tekanan kehidupan seharian rakyat bawahan. Entah berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik.
Ada yang tidak setuju dengan mubahalah, katanya itu bukan cara penyelesaian Islam dalam kes-kes berkenaan. Sehingga ada tokoh agama yang kata dia tidak pernah dengar perkataan mubahalah. Itu lagi satu masalah kekontangan pengetahuan. Mubahalah telah saya jelaskan minggu lepas dalam ruangan ini. Ia ada dalam al-Quran dan diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para ulama bagi menghadapi sikap keras kepala pihak-pihak yang enggan menerima hujah secara baik.
Ia bukan proses mahkamah. Tidak perlu hakim, tidak perlu wang dan tidak perlu junjung al-Quran. Saya cadangkan ketika keadaan begitu kelam kabut, ada yang kata mahkamah tidak boleh dipercayai, ada kata konspirasi, ada kata benar, ada kata rancangan jahat dan berbagai-bagai. Rakyat bertelingkah, keadaan seakan gawat, masa depan dipertaruhkan dalam isu yang sedemikian rupa. Sama saja, samada kes liwat atau Atantuya.
Umat Islam yang nampaknya akan bertelingkah dan berpecah belah sesama sendiri. Tuduh-menuduh berlaku, tohmah mentohmah terjadi dan serang menyerang peribadi kedengaran di sana sini. Bagi meredakah keadaan tersebut, saya mencadangkan mubahalah. Tujuannya, agar maruah tokoh-tokoh itu dapat dipertahankan.
Tiba-tiba ada pula yang marah. Hairan saya. Tidakkah itu dapat mengembalikan keyakinan awam dan menghapuskan fitnah yang merebak. Modalnya hanya dengan ungkapan: “Ya Allah jika saya lakukan hal tersebut (sebut kes) maka laknatilah saya”. Kemudian, kita yakin Allah tidak akan memungkiri balasan bagi kaedah yang telah dinyatakan olehNya dalam al-Quran.
Jika ada yang tidak mahu, tidak mengapalah. Itu hanya cadangan. Tiada paksaan dalam cadangan tersebut. Nabi s.a.w pun tidak memaksa Kristian Najran apabila mereka enggan bermubahalah dengan baginda. Hanya Allah yang mengetahui hakikat sesuatu perkara. Kepada Allah jua diserahkan segala urusan. Jika sudah ingin akur kepada mahkamah, maka marilah bertenang sehingga keputusan mahkamah keluar. Rakyat tidak perlulah diajak berbalah dalam hal ini.
Ada yang tuduh saya UMNO kerana mencadangkan hal ini. Demi Allah, saya tidak pernah isi borang parti berkenaan. Namun, saya tidak mampu saman penuduh berkenaan di mahkamah. Mereka yang mengenali saya tahu, saya seorang yang tidak banyak wang. Tetapi jika penuduh itu hendak bermubahalah, saya berani, kerana saya tidak pernah mengisi borang parti tersebut.
Ada pula yang meminta supaya bersumpah dengan nama Allah. Ada pula kata tidak perlu bersumpah. Perbahasan tentang menafikan keperluan bersumpah atau kewajaran bersumpah itu telah menelan masa rakyat yang berjam-jam. Padahal bersumpah itu tidak sampai pun setengah minit. Saya kata adanya perbezaan antara bersumpah untuk meyakinkan orang yang dilakukan di luar mahkamah dengan sumpah dalam mahkamah.
Jika sumpah itu merujuk kepada dalam mahkamah, orang yang dituduh tidak perlu bersumpah sehingga didatangkan bukti. Sebaliknya, orang yang menuduhlah yang perlu mendatangkan saksi atau bukti. Namun, sumpah di luar mahkamah berbeza. Ia soal meyakinkan pihak lain, bahawa cerita atau dakwaan tertentu itu tidak benar, atau kenyataan seseorang itu benar.
Ini seperti apabila isteri menuduh suami ada pasangan luar. Suami pula menafikan. Isteri pula berkata: “abang bersumpahlah dengan nama Allah”. Jika suami tidak lakukan perbuatan itu, maka tidak salah untuk dia bersumpah. Tiada nas yang kata suami salah kerana bersumpah sekalipun dia di pihak yang benar.
Justeru itu, Saidina ‘Uthman bin ‘Affan bersumpah dengan nama Allah ketika dia di kepung oleh pemberontak yang ingin membunuhnya. Kata Saidina ‘Uthman: “Demi Allah, aku tidak pernah berzina sama sekali semasa jahiliah, ataupun Islam. Tidak pernah aku ingin menukar agamaku sejak Allah memberi petunjuk kepadaku. Tidak pernah aku membunuh satu nyawa pun tanpa sebab yang benar. Mengapa mereka ingin membunuhku?” (Riwayat Abu Daud, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ahmad).
Adakah ‘Uthman berdosa kerana bersumpah tidak pernah berzina sedangkan pihak yang ingin membunuhnya belum mendatangkan empat orang saksi. Tidak! Sumpah ‘Uthman bukan di mahkamah, tetapi sumpah mempertahankan diri. Namun, tiada paksaan dalam hal ini. Sesiapa yang ingin bersumpah dia boleh bersumpah. Sesiapa yang tidak ingin, dia tidak dipaksa bersumpah. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui sebab seseorang ingin bersumpah atau sebaliknya. KepadaNya kita kembalikan segala urusan. Dia Maha Adil, Dia mengetahui apa yang tidak kita ketahui.
Ada yang menyebut tidak boleh kita menuduh orang lain berliwat atau berzina melainkan adanya empat orang saksi. Saya kata, semua orang wajib setuju dalam perkara tersebut. Haram menuduh orang lain berzina atau berliwat tanpa empat orang saksi. Malangnya, politik kita dalam negara ini, sekali pun sebahagian besarnya muslim, tuduh-menuduh dalam perkara zina sudah menjadi biasa.
Pentas-pentas politik tidak pernah cermat menuduh orang itu dan ini dengan tuduhan skandal seks yang berbagai. Laman-laman internet seakan mempunyai logo halal yang cukup besar untuk menuduh sesiapa sahaja. Apakah hari ini baru kita sedar bahawa perkara ini haram? Atau ia haram untuk orang lain, tidak haram untuk kita?
Allah menyebut: (maksudnya): “Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah al-Nur ayat 15).
Kita semua patut bersihkan iklim politik kita sebagai masyarakat muslim daripada keceluparan yang seperti ini. Jika kita masih ingat, sehingga dalam negara kita seseorang boleh menuduh orang lain murtad atau ratusan ribu murtad sekalipun atas khabar angin dan tanpa bukti yang kukuh.
Cuma saya ingin membuat sedikit pembetulan, ada pula tokoh agama yang kata seseorang yang mendakwa dia menjadi mangsa rogol atau liwat wajib mendatangkan empat orang saksi, jika tidak dia disebat 80 rotan. Saya tidak ingin merujuk kepada kes yang sedang berlaku. Tetapi saya ingin mengkritik kefahaman terhadap masalah qazaf. Ada perbezaan antara menuduh orang lain dan seseorang yang mendakwa menjadi rogol.
Apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariat akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan? Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?
Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa diri menjadi mangsa adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri. Bagaimana seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?
Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf: “Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.
Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar. Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28). Lihat, Al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.
Apapun, saya bersetuju dengan perjuangan membela rakyat bawahan yang terpinggir. Saya menentang penyalahgunaan kuasa, rasuah, pembaziran harta rakyat dan yang sewaktu dengannya. Lebih yang patut ditentang sebagai seorang muslim, jika negara diuruskan tanpa panduan wahyu ilahi. Islam bukan retorik atau slogan, tetapi isi dan perlaksanaan. Kita tidak patut berjuang untuk individu, tetapi untuk prinsip. Individu boleh datang dan pergi, tetapi prinsip tidak boleh ditukar ganti. Perjuangan kita bukan menukar nama pemerintah, tetapi prinsip dan akhlak pemerintah.
Matlamat tidak menghalalkan cara. Anda boleh memprotes harga minyak yang naik, tetapi tidak perlu melondeh seluar depan khalayak ramai untuk menunjukkan protes anda. Matlamat yang baik, mesti melalui cara yang diredhai Allah. Kuasa untuk menegak prinsip. Bukan korban prinsip kerana kuasa.
Nabi s.a.w menolak tawaran kuasa oleh pembesar Mekah, apabila terpaksa menggadaikan prinsip perjuangan. Biarlah perjuangan panjang dan lewat, asal ia bermatlamat. Sebab itu saya selalu mengulangi kata-kata tokoh umat yang besar, al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi yang pernah ditujukan kepada al-Ikhwan al-Muslimin.: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata.
Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur.
Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal…istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera.
Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan…
Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya..
Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia –dengan izin Allah- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya.
Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia. Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa –setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya.
Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. (al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).
Saya rasa, prinsip-prinsip perjuangan Islam ini perlu kembali diingati oleh sahabat-sabahat yang pernah bertekad untuk mendaulatkan syiar Allah dan RasulNya. Janganlah kerana terlalu banyak isu, lalu kita hilang halu tuju, sehingga kita lupa menyebut nama kita, matlamat perjuangan kita dan lebih utama keredhaan siapa yang kita cari?.
Labels:
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment