Tajuk : GERAKAN PEMBAHARUAN ISLAM : Satu Kajian Di Negeri Perlis & Hubung Kaitnya Dengan Malaysia
Penulis/Penyelidik :
1) Dr Mohd Radzi Othman
2) Dr. OK Rahmat
3) Kumpulan Penyelidik, Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia
Penerbit : Universiti Sains Malaysia
Pengedar :
Kedai Buku Koperatif Berhad
Universiti Sains Malaysia
11800 USM Pulau Pinang
Malaysia
Gerakan pembaharuan sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia. Gerakan Pembaharuan ini adalah satu wadah perjuangan untuk menghidupkan semula garis pemikiran dan tamadun kamu salaf yang salih dan melepaskan diri dari ikatan pemikiran tradisional. Ianya adalah satu usaha untuk memurnikan semula Islaam menurut tuntutan suci al-Quraan dan as-Sunnah menururut fahaman generasi salaf yang salih, dan membersihkannya (tashfiyah) daripada pemikiran, falsafah, amal ibadah dan angan-angan yang dimasukkan orang dari luar Islam tetapi dianggap sebagai sebahagian dari Islam. Pendokong gerakan pembaharuan ini juga dikenali sebagai Ahlus Sunnah, Kaum Muda, Wahhabi, Salafiyoon, Ansar as-Sunnah, Ittiba' as-Sunnah, Muhammadiyah, Al-Ishlah dan lain-lain lagi. Gerakan pembaharuan di Asia Tenggara ini pada peringkat awalnya banyak dipengaruhi dengan perjuangan Syaikh Muhhammad Abdul Wahhab di Arab Saudi, Syaikh Jamaluddin al-Afghani, Syaikh Muhhamad Rasyid Ridha, Syaikh Muhammad Abduh dari Mesir, Qutb-Ub-Din bin Abdul Rahim (Syah Waliyullah) dari India dan Gerakan Ikhwan al-Muslimin. Pengaruh dari negara jiran Indonesia seperti gerakan Muhammadiyah, PERSIS dan tokoh pembaharauan seperti Ust Hassan Bandung, Buya HAMKA dan lain-lain juga banyak menyumbang dalam pertumbuhan gerakan pembaharuan di Malaysia.
Kajian yang dilakukan oleh Bahagian Pengajian Islam USM ini telah memusatkan peneyelidikan mereka di Perlis kerana hanya negeri inilah yang telah menerima dasar-dasar gerakan pembaharuan ini malah ianya termaktub dalam perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis. Namun begitu pengkajian juga telah dilakukan dengan detail di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Tokoh-tokoh yang berjasa dalam memperjuangkan gagasan pembaharuan di setiap negeri telah di tonjolkan dan kejayaan yang telah dicapai gerakan pembaharuan dalam bidang keagamaan, pendidikan, ekonomi dan sosial (politik) juga telah dihuraikan dengan baik. Sungguh mengkagumkan juga bahawa pendahulu kita telah berjaya menubuhkan sekolah-sekolah di beberapa buah negeri seperti Madrasah Alwiah di Perlis, Sekolah Agama al-Masyhur Pulau Pinang, Madrasah Islamiyah 'Aliyah di Negeri Sembilan, Madrasah Tarbiah ad-Diniah dan Madrasah Ansarus-Sunnah di Melaka, Berepa buah madrasah di Perak termasuk di Bukit Semanggol (Tempat lahirnya PAS) dan banyak lagi. Kebanyakkan sekolah-sekolah tersebut kini telah ditadbir oleh kerajaan dan mengikut sukatan pelajaran di Malaysia, ada juga yang telah ditutup kerana masalah kewangan dan ada juga yang hanya menjadi pusat pengajian agama secara non formal sahaja.
Buku ini telah diolah dengan baik untuk kita mengetahui jerih payah yang telah diharungi oleh pendahulu kita dalam menyebarkan da'wah salafiyah di Malaysia. Sedikit sebanyak kita juga dapat menilai semula beberapa kesilapan yang telah dilakukan oleh pendahulu kita yang menyebabkan terdapat tentangan yang begitu hebat dari golongan tradisional atau kaum tua. ini adalah penting agar kita dapat memperbaiki methodologi da'wah kita supaya kesialapan lama tidak berulang kembali. Di setiap negeri pasukan penyelidik USM telah menemuramah Sahibul Samahah Mufti-Mufti, ketua-ketua di Jabatan Agama, tokoh-tokoh agama setempat dari kalangan kelompok tradisional dan kaum muda. Antara yang agak menarik adalah terserlahnya nama YB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai antara tokoh gerakan pembaharuan di Kelantan. Selain dari itu, dibangkitkan juga satu dokumen penting iaitu "Perisytiharan al-Sunnah : Deklarasi Wujudnya Keluarga as Sunnah" yang telah diserahkan kepada Yang dipertuan Agong pada tahun 1982 sebagai usaha untuk memohon kepada Kerajaan Malaysia agar dapat dilaksanakan manhaj Salafiyah secara bebas di Malaysia sejajar dengan peruntukkan yang terdapat dalam perlembagaan Malaysia. Namun begitu sehingga hari ini deklarasi tersebut tidak dijawab oleh pihak berwajib.
Turut disentuh dalam penyelidikan ini adalah perkara-perkara yang sering dibalahkan oleh kelompok tradisional dan kaum muda seperti Tahlil, Talqin, Marhaban, Zikir secara kuat beramai-ramai selepas solat, Niat Usolli, azan 2 kali pada hari Jumaat, Tawheed asma Wa Sifat dan lain-lain. Kemudiannya diberikan pula pendapat sebenar Imam Muhammad bin Idris as-Syafi'i Rahimahullah Ta'ala atas isu-isu tersebut.
Semoga buku ini segera dimiliki oleh semua. Setakat ini sepanjang pengetahuan saya, di Lembah Kelang buku ini boleh didapati di MPH Bookstore di Midvalley dan juga Pertubuhan al-Nidaa' (03-77106900).
Sekian Wassalaam
ABU IQBAL
No comments:
Post a Comment