Pembangunan luar bandar dan persoalan kemiskinan
Mon | Jul 21, 08 | 11:09:08 am
Pengenalan
Salah satu persoalan besar yang terbangkit hasil dari kenaikan harga petrol yang mendadak baru-baru ini ialah persoalan kemiskinan.
Ia turut membabitkan persoalan bagaimana kerajaan Malaysia menyediakan garis panduan dalam membentuk garis kemiskinan berdasarkan pendapatan.
Berdasarkan tuntutan kos hidup terkini ada pandangan yang mengatakan isirumah yang pendapatan bulanannya adalah di bawah RM 2000 boleh dianggap sebagai golongan miskin. Ini menjadikan 24% dari rakyat Malaysia tergolong dalam kategori ini.
Ini merupakan sesuatu yang amat serius dan dari satu segi mencerminkan ketidakberkesanan sebahagian besar dari dasar-dasar ekonomi negara dalam menangani isu kemiskinan.
Apa yang lebih parah ialah sebahagian besar dari mereka yang miskin terdiri dari orang Melayu yang tinggal di luar bandar. Keterpinggiran ekonomi orang Melayu sekaligus menyindir usaha-usaha oleh sebahagian kepimpinan Melayu khususnya Umno, yang bermatian-matian untuk menegakkan apa yang di uar-uar sebagai 'ketuanan Melayu'.
Dari sudut ini keghairahan untuk menegakkan 'ketuanan Melayu' merupakan satu sandiwara atau sesuatu yang palsu kerana realiti yang dihadapi oleh orang Melayu yang miskin di luar bandar lebih membenarkan bidalan Melayu 'Menang sorak, kampung tergadai'!
Makalah ringkas ini cuba membuat satu tinjauan mengapa persoalan kemiskinan masih menghantaui masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu, malah dalam hal-hal tertentu makin bertambah buruk. Makalah ini juga akan mencadangkan beberapa cadangan mudah bagi menangani isu kemiskinan khususnya kemiskinan relatif.
Profesor Ungku Aziz dan kemiskinan luar bandar
Biasanya kemiskinan dikaitkan dengan sektor tradisional luar bandar. Sejak dulu lagi sektor luar bandar dikaitkan dengan persoalan kemiskinan.
Ini adalah kerana ekonomi luar bandar dikaitkan dengan sektor tradisional pertanian yang mempunyai daya pengeluaran yang rendah. Ini dibuktikan secara ilmiah oleh kajian-kajian yang dilakukan oleh Prof. Di Raja Ungku Aziz, bekas Naib Canselor UM yang juga seorang pakar di peringkat antarabangsa mengenai kemiskinan luar bandar.
Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Prof. Di Raja Ungku Aziz bagi mengatasi kemiskinan luar bandar, yang dihuni sebahagian besarnya oleh orang Melayu, masih tidak diikuti sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
Disebabkan sistem hak milik tanah (land tenure system) yang kompleks dan diburukkan lagi dengan masalah birokrasi (biro yang keras lagi basi!!) di pejabat-pejabat tanah, maka cadangan ke arah penyatuan tanah (land consolidation) menuju jalan buntu.
Ini membantut usaha-usaha ke arah mengkomersialkan pertanian (commercialization of agriculture) yang memerlukan saiz tanah yang relatif besar bagi mengambil manfaat dari skala ekonomi (economies of scale) sekaligus nilai tambah.
Tidak adanya keazaman politik (political will) dalam menyelesaikan isu ini menyebabkan kerajaan mengambil jalan pintas dan bersifat jangka pendek dalam dasar yang berkaitan dengan makanan negara terutamanya yang berkaitan dengan pengeluaran beras.
Maka wujudlah satu 'dasar' secara tidak bertulis berpegang pada pendekatan : Lebih murah mengimport beras daripada mengeluarkannya. Dalam kes krisis makanan (beras) yang melanda dunia sekarang, strategi ini telah makan tuan.
Sepatutnya dengan anugerah Allah yang melimpah ruah dengan tanah-tanah yang begitu subur untuk penanaman padi, yang disebut sebagai jelapang-jelapang padi, kita telah lama mencapai tahap self-sufficient dalam pengeluaran beras.
Dasar sambil lewa kerajaan dalam hal ini dapat juga dilihat apabila kerajaan tidak prihatin dengan kebajikan petani. Petani didera dengan cara menawarkan harga padi yang rendah berbanding dengan harga beras yang relatif tinggi.
Walhal petani yang mengeluarkan padi perlu membeli beras sebagai keperluan harian mereka Keadaan ini diburukkan lagi apabila JKKK, yang dikontrolkan oleh Umno/BN, mempolitikkan pemberian input pertanian seperti baja. Terdapat kes-kes di mana penyokong-penyokong pembangkang dinafikan kemudahan ini.
Kalau di Kelantan baja subsidi tajaan kerajaan Umno/BN dicopkan dengan 'Cap Dacing' bagi memancing sokongan politik!
Alhamdulillah, masyarakat tani Kelantan amat arif dengan ketidakikhlasan Umno/BN ini dan mereka menolak Umno/BN secara borong pada pilihan raya umum ke-12 yang lepas!!
Sekiranya kerajaan perihatin, langkah segera dan secara jangka pendek untuk membantu petani ialah kurangkan politiking, kawal pengaliran air secara sempurna dan perkenal subsidi untuk racun.
Apa yang juga menarik dalam beberapa kajian yang dibuat oleh Professor Ungku Aziz ialah beliau mengaitkan kemiskinan masyarakat Melayu desa dengan faktor orang tengah dan peranan orang tengah biasanya dimainkan oleh orang bukan Melayu.
Ini bermakna petani Melayu dieksploitasi oleh institusi orang tengah yang telah menawar harga yang lebih rendah dari harga pasaran sebenar kepada hasil (padi) yang diusahakan oleh petani Melayu.
Bagi mengatasi masalah ini kerajaan telah menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan di bawah gagasan pengswastaan ditubuh pula BERNAS. Penubuhan LPN dan BERNAS tidak menyelesai masalah yang terhasil dari institusi �orang tengah� malah LPN dan BERNAS sendiri merupakan isntitusi-institusi orang tengah moden yang lebih gagah dan hebat.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan garis kemiskinan
Telah disentuh sebelum ini bagaimana masyarakat Melayu desa terperangkap dengan masalah sistem pertanian yang masih tradisional sifatnya.
Ini menjejaskan produktiviti dan sekaligus pendapatan petani. Ini bermakna sebahagian besar petani (terutamanya mereka yang mengusahakan penanaman padi) masih dililit dan dibelit oleh kemiskinan.
Kajian oleh MIER (Malaysian Institute of Economic Research) pada Oktober 2005, memperlihatkan kepada kita bahawa pelaksanaan DEB telah merapatkan jurang ekonomi antara-kaum (misalnya antara Cina dan Melayu) tetapi dalam saat yang sama, ia telah melebarkan jurang pemilikan kekayaan dalam-kaum itu sendiri terutama di kalangan orang Melayu.
Dan di antara kelompok orang Melayu yang menjadi mangsa dalam hal ini adalah petani yang mengusahakan penanaman padi, penanam kelapa dan juga nelayan.
Walaubagaimana pun kerajaan begitu yakin yang DEB meyumbang secara positif ke arah pembasmian kemiskinan, salah satu dasar teras DEB sendiri. Dalam hal ini kerajaan begitu berbangga dengan peratusan penurunan kadar kemiskinan.
Dikemukakan kepada kita bahawa pada 1999 kadar kemiskinan adalah 7.5%, menurun kepada 5.1% pada 2002 dan terkini mungkin lebih rendah lagi. Walau bagaimanapun, garis kemiskinan berdasarkan pendapatan yang digunapakai oleh kerajaan masih boleh dipertikaikan.
Sebuah kajian oleh Shireen Mardiah Hashim bertajuk 'Ketaksamaan Pendapatan dan Kemiskinan di Malaysia' yang diterbitkan dalam tahun 1998 mempertikaikan kaedah kerajaan memperkenalkan garis kemiskinan berdasarkan pendapatan.
Kerajaan hanya menggunakan satu garis kemiskinan (a single poverty line) bagi kawasan bandar dan luar bandar dan juga untuk Semanjung, Sabah dan Sarawak.
Menggunakan satu garis kemiskinan bagi kawasan bandar dan luar bandar adalah juga mengandaikan bahawa harga barangan dan perkhidmatan adalah sama di kawasan-kawasan tersebut.
Sudah semestinya ini tidak betul kerana harga dan kos hidup adalah berbeza antara bandar dan luar bandar. Perbezaan ini lebih menonjol sekiranya kita bandingkan dengan wilayah yang berbeza seperti Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Kos perumahan (sewa) dan pengangkutan adalah juga berbeza. Meletakkan garis kemiskinan pada RM 510 bagi isirumah di Semenanjung pada 2003 adalah sesuatu yang tidak realistik terutama sekali bagi mereka yang tinggal di bandar.
Satu survei yang dijalankan pada 2004 terhadap sekelompok pekerja kilang yang tinggal di bandar memberitahu penyelidik bahawa mereka memerlukan pendapatan bulanan isirumah sekitar RM 1,750 untuk berada di atas garis kemiskinan. Ini adalah pada tahun 2004 dan sekarang sudah pertengahan 2008.
Ketaksamaan pendapatan dan sekaligus persoalan kemiskinan di kalangan rakyat bawahan terutama selepas 1990 dapat juga diukur dengan menggunakan Gini Coefficient.
Nilai ukurannya ialah 0 menunjukkan kesamaan yang sempurna (perfect equality) dan nilai 1 adalah ketaksamaan sempurna (perfect inequality).
Berdasarkan ukuran Gini ini bagi tahun 1999, berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain, Malaysia berada di kedudukan yang tercorot. Nilai Gini Malaysia ialah 0.49, berbanding Indonesia (0.32), Vietnam (0.36), Laos (0.37), Thailand (0.41) dan Filipina (0.46).
Turut terkesan dengan ketaksamaan pendapatan ini ialah ialah petani luar bandar di mana pendapatan mereka adalah hanya 55% dari pendapatan kawan mereka di bandar.
Kesimpulan: Umar Abdul Aziz sebagai model
Berdasarkan huraian ringkas di atas dan dengan kenaikan harga minyak yang begitu mendadak, kehidupan masyarakat luar bandar akan lagi terhimpit.
Insentif dan subsidi perlu di pertingkat dan dihulurkan secara ikhlas kepada mereka. Subsidi beras dalam bentuk kopon mungkin boleh di perkenalkan kepada petani miskin sebagaimana subsidi minyak diesel yang telah dipanjangkan kepada nelayan.
Akhir-akhir ini banyak dibicarakan tentang perlunya pentadbiran negara bermodelkan 'pentadbiran Umar Abdul Aziz' yang menekankan pentingnya faktor ketaqwaan dan kesederhaan hidup pemimpin dan peranan pemimpin negara memastikan keadilan yang merata untuk rakyat.
Tahap ketaqwaan Khalifah Umar Abd. Aziz dapat dilihat apabila beliau tersungkur rebah dan pengsan apabila membaca ayat-ayat al-Quran yang mengandungi ancaman Allah terhadap mereka yang mengingkari-Nya.
Dalam hal ini dapat kita rumuskan bahawa darjah kesejahteraan rakyat di sesebuah negara amat bergantung kepada darjah ketaqwaan pemimpinnya.
Terbukti semasa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, yang hanya selama 2 tahun 3 bulan , semua rakyat Baginda dari segi pendapatan berada di atas garis kemiskinan kerana tidak ada seorang pun rakyat Baginda yang layak menerima zakat.
Bagi saya, sekaranglah masanya untuk pimpinan Umno/BN mengikut jejak langkah Khalifah Umar Abdul Aziz.
No comments:
Post a Comment