Oleh SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis
Dunia hari ini nampaknya memberikan harapan yang besar kepada Barack Obama, bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru sahaja memenangi pilihan raya Presiden dengan cemerlangnya. Sokongan dan harapan diluahkan seakan beliaulah penyelamat dunia dari penyalahgunaan kekuatan oleh beberapa presiden AS sebelumnya.
Ketika pilihan raya itu berlangsung, saya berada di Jakarta atas lawatan kerja bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Nampaknya, orang Indonesia pun ramai yang sokong Obama. Ada poster dan kain rentang yang menyatakan sokongan kepadanya. Tidak pasti, sama ada kerana dia pernah tinggal di Indonesia, atau kerana dia dilihat lebih baik dari ‘para penghisap darah manusia’ yang berada di tampuk itu sebelumnya.
Bersama DYTM Raja Muda Perlis di hadapan Pejabat Majlis Ulama Indonesia, Jakarta pada 5hb November 2008.
Beberapa pihak lain juga dengan pantas menyatakan sokongan kepada Obama. Saya masih belum dapat membuat keputusan yang pasti. Politik itu boleh merubah banyak perkara terutama watak dan sikap manusia. Namun, saya mengharapkan sekurang-kurangnya beliau dapat mengurangkan mudarat Amerika kepada dunia yang banyak berlaku sebelum ini, terutama dalam isu Iraq dan Palestin.
Harapan ini meniru sikap umat Islam pada zaman Nabi SAW apabila berlaku pertembungan antara tentera Romawi dengan tentera Parsi. Walaupun kedua-duanya bukan di pihak Islam, namun perasaan umat Islam menyokong Rom disebabkan agama mereka iaitu Kristian lebih dekat kepada Islam dibanding agama Parsi iaitu Majusi yang menyembah berhala dan api.
Apabila Rom tewas, perasaan umat Islam ketika itu tidak gembira dan mengharapkan agar Rom akan kembali menang. Allah merakamkan hal ini dalam Surah al-Rom ayat 1-4: (maksudnya)
“Alif, Laam, Miim. Rom telah dikalahkan -Di bumi (tempat peperangan) yang paling rendah; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan dapat mengalahkan (menang kembali). Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira”.
Ayat tersebut memperlihatkan ketajaman sikap umat Islam ketika zaman Rasulullah SAW dalam menilai antara dua pihak yang bersengketa. Ketajaman dalam menilai antara yang buruk dengan lebih buruk, atau antara yang bahaya dengan yang lebih bahaya. Allah merakamkan perasaan mereka itu dalam al-Quran sebagai tanda penilaian dan sikap yang seperti itu diredai oleh-Nya.
Kegagalan membezakan isu yang ada di hadapan umat, sering menyebabkan kita gagal dalam menyelesaikan masalah dan gagal mengambil sikap yang lebih tepat. Saya bukan ingin menyokong Obama atau menentangnya. Masih awal untuk membuat pendirian tentang tokoh baru politik AS itu, bahkan dunia, yang sedang memahat dirinya di persada sejarah. Cuma saya ingin menyentuh beberapa isu berkaitan dengan beliau, negara Amerika dan kita.
Walaupun kita sering mengkritik AS dan rakyatnya, namun sebenarnya dalam bukan sedikit perkara, mereka lebih baik daripada kita. Kita ambil cara mereka berkempen semasa pilihan raya, kita dapat lihat kematangan dan kewibawaan. Rakyat mereka diberi peluang memilih dan berfikir dengan ruang yang terbuka dan adil.
Calon-calon yang bertanding sedaya mungkin cuba membuktikan kewibawaan masing-masing di sudut peribadi, perancangan untuk rakyat, karisma dalam kepimpinan dan segala yang berkaitan dengannya. Walaupun duit memainkan peranan dalam kelancaran kempen, tetapi rakyat tidak digula-gula dengan wang kocek, atau ‘duit sakti’ yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya saban hari rakyat cuba menilai siapakah pada pandangan mereka lebih mampu membawa mereka dan harapan mereka terlaksana dalam negara yang besar itu.
Setiap calon mengemukakan wawasan mereka secara terperinci, memperdebatkannya secara terbuka dan menjawab segala andaian politik dan ekonomi secara yang membuktikan mereka tokoh yang mempunyai kewibawaan untuk memimpin. Saya teringatkan pantun seorang wakil rakyat Perlis, katanya: “Jika ingin mencari tempat mandi, pertama teluk, keduanya pantai jika ingin mencari pemimpin berbudi, pertama elok, keduanya pandai”.
Demikian demokrasi yang wujud dalam negara Amerika yang memberi peluang kepada rakyatnya membuat pilihan yang lebih telus. Seorang yang hendak jadi Presiden AS perlu mempunyai ‘otak sendiri’ bukan meminjam ‘otak orang lain’ lalu mengaku pandai seperti yang terjadi di negara-negara ‘mundur akal’ yang para pemimpinnya ‘kurang cerdik’ di make-up oleh para pengampu sehingga kelihatan ‘cerdik-cerdik bodoh’.
Puisi dan syair diungkapkan oleh ’sasterawan cari makan’ sehingga tindakan selekeh seorang pemimpin dipuitiskan dalam rangkap-rangkap kalimat bahasa. ‘Tokoh-tokoh jadian’ yang berkepentingan juga dengan mudah membuat kenyataan-kenyataan menyokong seseorang pemimpin sekalipun ternyata salah dan lemah.
‘Ulama upahan’ pula akan membaca ayat-ayat mengampu yang boleh menjadi jampi yang menyebabkan wang penuh ke kocek masing-masing, atau yang dapat mengekalkan mereka di kerusi empuk kesayangan. Sehingga pemimpin yang ucapannya merepek dikatakan cemerlang, ideanya lemah dikatakan gemilang, dan wawasan yang memusnahkan dikatakan terbilang.
Itulah nasib rakyat di negara-negara ‘mundur akal’ yang mereka sering ditemberang. Malang sekali, sebahagian besar negara mundur akal dan hilang kebebasan minda itu adalah negara-negara umat Islam sendiri.
Di negara-negara mundur akal, pemimpin dipilih kerana wangnya atau partinya. Bukan kewibawaan dan kemampuannya. Bak kata sebuah hadis yang lemah sanadnya: “seperti mana kamu, demikian mereka yang memerintah kamu”. Padahal Allah memerintahkan kita dengan firman-Nya: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).
Obama menjadi Presiden AS berkulit hitam yang pertama. Rakyat AS membelakangkan isu warna kulit dan mendahului persoalan kewibawaan, idea dan masa depan mereka. Inilah yang dimimpikan oleh Martin Luther King dalam ucapan I Have A Dream pada Ogos 1963. Martin Luther telah pun meninggal, namun impiannya lebih empat puluh tahun kemudian telah direalisasikan oleh rakyat AS.
Seperti mana yang saya sebut pada awal tadi, saya tidak ingin menaruh harapan yang tinggi kepada Obama, kerana dalam demokrasi tanpa iman segala mungkin. Apa yang dapat kita lihat adalah tajdid atau perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik adalah keperluan manusia. Manusia akan sampai ke titik ‘tepu’ sesuatu keadaan membawa kepada desakan perubahan.
Juga, manusia itu mungkin boleh ditipu atau diperkotak-katikkan dalam beberapa tempoh, tapi tidak untuk selama-lamanya. Akan sampai kepada saat kebangkitan dan tuntutan kepada pembaharuan yang tidak mungkin dapat ditolak lagi oleh segala cara tipu daya. Kesempatan ini telah digunakan oleh Obama dengan slogannya “Change We Need”. Cumanya, yang boleh untuk dipertikaikan, apakah langkah perubahan yang cuba diambil itu benar-benar mengubah ke arah yang diimpikan, atau sekadar slogan, atau ke arah yang lebih buruk.
Jika kita lihat kepada peringatan Nabi SAW, baginda menyebut:
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada kepala setiap seratus tahun sesiapa yang akan membaharukan untuk umat ini agama mereka” (Hadis riwayat Abu Daud, sahih).
Dalam konteks Islam, pembaharuan agama bukan bermaksud membawa agama yang baru, sebaliknya ‘membaharukan’ semula sikap umat dalam beragama apabila menjadi buruk dan lemah akibat perubahan zaman dan keadaan yang melanda. Islam yang diturunkan Allah sesuai untuk sepanjang zaman dan setiap tempat.
Namun, pemahaman umat kadang-kala tersasar, sikap mereka kadang-kala jauh menepati kehendak wahyu, juga tokok-tambah yang salah dan bidaah yang masuk ke dalam agama menyebabkan rupa agama menjadi buruk. Imej agama menjadi suram dan muram. Umat berada dalam kekeliruan. Maka, Allah bangkitkan bagi setiap seratus tahun tokoh-tokoh yang akan melakukan gerakan ‘tajdid’ atau pembaharuan.
Para sarjana berbincang panjang tentang siapakah tokoh-tokoh yang dimaksudkan itu. Apakah semestinya seorang bagi setiap zaman, atau seorang bagi setiap bidang, atau seorang bagi setiap kawasan dan bangsa, atau mungkin juga beberapa orang dalam satu ketika dan seumpamanya. Saya tidak mahu memperincikan perbincangan itu di sini, apa yang penting proses atau usaha ke arah pembaharuan pemikiran dan sikap umat adalah suatu keperluan yang diakui oleh agama.
Maka lahirlah pada seratus tahun yang pertama ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz, khalifah yang membuat pembaharuan dalam politik dan beberapa sektor yang lain. Bukan maksudnya ketika itu orang Islam semuanya sesat. Sama sekali tidak! Bahkan ‘Umar bin ‘Abd al-’Aziz hidup pada zaman salafussallih iaitu generasi salaf yang salih yang diiktiraf kebaikannya oleh Nabi SAW. Namun ‘Umar bin ‘Abd al-’Aziz untuk menguatkan sektor-sektor yang lemah di kalangan umat dan menghidupkan semangat dan kesedaran umat.
Selepas itu zaman demi zaman berbagai-bagai tokoh muncul demi membangkitkan semula umat di sudut kefahaman atau sikap. Muncul tokoh-tokoh mujaddid yang terkenal seperti al-Imam al-Syafi’i, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan berbagai-bagai lagi yang memberikan sumbangan yang besar kepada kebangkitan umat. Mereka melaksanakan tugasan yang disebut oleh Nabi SAW:
“Hendaklah membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil” (Riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi dan al-’Uqaili, hadis ini bertaraf hasan).
Ringkasan daripada hadis ini ialah tugasan para pejuang Islam yang adalah memelihara Islam daripada ancaman-ancaman berikut:
Satu: Penyelewengan golongan yang melampau. Golongan ini melampau atau menyusah-nyusah dalam beragama melebihi apa yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah.
Kedua: Dakwaan palsu golongan yang batil. Golongan ini membuat dakwaan-dakwaan palsu atas agama. Sama ada mereka mengada-adakan hadis-hadis palsu, atau menokok tambah ajaran agama tanpa dalil yang mengizinkan.
Ketiga: Takwilan golongan yang jahil: Golongan yang jahil menakwilkan nas-nas agama tidak berdasarkan kaedah disiplin ilmu Islam yang betul.
Keseluruhan hadis ini menggesa agar ilmuwan Islam yang sebenar bekerja memelihara Islam dan minda umat agar tidak terjerumus ke dalam krisis pemikiran yang membawa keruntuhan tamadun dan sikap.
Jelas sekali, pembaharuan dan gerakan pembaharuan adalah suatu keperluan bagi umat ini. Sekalipun gerakan pembaharuan itu sering ditentang oleh golongan yang berkepentingan, namun ia adalah kewajipan yang mesti dihidupkan. Dahulu dalam masyarakat Melayu ketika tokoh-tokoh pembaharuan menentang paksaan kahwin ke atas anak dara, anggapan mata pelajaran akademik sebagai sekular, larangan wanita pergi ke pusat pengajian tinggi, mandi Safar, tepung tawar, kepercayaan khurafat yang dikaitkan dengan agama dan berbagai-bagai lagi mereka dicop sebagai ‘kaum muda’, Wahhabi dan berbagai-bagai gelaran yang lain. Inilah nasib yang menimpa Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi, Abu Bakar al-Baqir dan lain-lain lagi. Namun hari ini, umat menikmati hasil pembaharuan yang mereka lakukan dan korban diri mereka kerananya.
Gerakan pembaharuan terus diperlukan apabila umat berada dalam krisis dan kejatuhan. Umat Islam sedunia memerlukan gerakan pembaharuan yang berkesan. Di negara kita, kita perlukan tajdid atau pembaharuan dalam politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Akar utamanya adalah tajdid dalam pemikiran agama agar kembali segar dan menampilkan imej Islam yang dapat menghadapi cabaran zaman dan perubahan minda umat.
Umpamanya, amatlah malang kita ini, jika lebih lima puluh tahun merdeka, orang bukan Islam masih kurang faham tentang Islam, bahkan ramai pula yang dikatakan ingin murtad. Sementara yang masuk ke dalam Islam tidak mencapai kadar yang memuaskan. Ke mana perginya peruntukan ratusan juta yang diberikan atas nama ‘kemajuan Islam’ dibelanjakan?. Adakah sekadar untuk jamuan hari raya, atau rombongan ke luar negara, atau membuat astaka, atau harga bunga menghias meja?
Generasi baru yang mula meminggirkan prinsip-prinsip Islam atau mula hilang keyakinan terhadap penerangan Islam yang diberikan walaupun belanja bagi setiap program itu begitu tinggi. Ke manakah kesan pemikiran Islam dalam politik dan kehidupan bernegara? Ke manakah Islam yang harmoni, yang memberikan kebebasan minda dan pembinaan akal yang sempurna?
Kita perlukan tajdid atau pembaharuan secara lebih bersungguh dalam pengurusan agama dan pemikiran agama di negara ini. Seterusnya, perubahan itu mesti mencakupi keseluruhan bidang lain hingga dapat membangunkan kembali umat. Jika rakyat AS sedang cuba melakukannya, mengapakah kita tidak?
No comments:
Post a Comment