Labels

Thursday, November 20, 2008

Tanda-tanda Dunia Kita Mula Terbalik

Oleh : S.S Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis

Ada beberapa perkara menarik berlaku dalam minggu ini. Kejadian itu semua bolehlah disenaraikan dalam tanda-tanda ‘dunia sudah terbalik’. Antaranya demonstrasi bantahan terhadap fatwa pengharaman pengkid.

Saya kurang pasti adakah dalam dunia ini mana-mana agama yang mengizinkan penganutnya yang perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya sehingga ‘fatwa’ tersebut dianggap menjejaskan hak mana-mana agama? Apatah lagi jika hukum tersebut hanya ditujukan kepada umat Islam semata. Atau mungkin mereka merasakan bahawa hukum itu menjejaskan hak asasi manusia.

Saya pun hairan apakah termasuk dalam hak manusia untuk menukar jantina? Ya, pada kaca mata aliran liberal tanpa sempadan keagamaan atau keinsanan, mungkin itu satu hak. Atau ia dianggap hak asasi bagi manusia yang menggunakan nama Tuhan menghalalkan apa yang bercanggah dengan ciptaan Tuhan.

Tetapi pada nilaian fitrah insani yang sejahtera perkara itu adalah satu pencemaran hak. Sama seperti jika ada kelompok yang menuntut hak untuk bertelanjang di jalanan atas alasan kebebasan. Hak yang seperti itu hanya mencemarkan hak orang lain yang akan terganggu dengan tindakan mereka dan merampas keselesaan ramai. Lebih daripada itu, ia terkeluar dari nilai insani yang normal.




Maka pemerintah di mana-mana negara pun jika membenarkan satu hak dalam masalah seperti ini, akan mencemarkan hak pihak yang lain. Sudah pasti neraca dalam masalah ini adalah nilaian agama dan fitrah insani yang lurus. Jika dibenarkan wanita menjadi lelaki atau lelaki menjadi wanita, maka hak kaum lelaki atau wanita yang normal akan tercemar. Akan berlaku kekeliruan gender yang meluas dalam masyarakat. Lalu lelaki atau wanita normal sukar mencari pasangan yang sebenar. Akan berlaku kecurangan yang luar biasa apabila ada kelompok manusia yang mencari pasangan sesama jantina.

Jika hal itu meluas, maka perkembangan masyarakat manusia juga akan tercemar disebabkan tidak mungkin ‘hubungan seks’ sesama jenis boleh melahirkan zuriat. Maka atas nama hak, apakah nanti kita mesti mengwujudkan tandas ‘pengkid’ atau ‘tandas saudarai’. Atau apakah pengkid boleh masuk ke tandas lelaki, atau ’saudarai’ boleh ke tandas perempuan? Dunia akan terbalik nanti dan banyak kekalutan akan berlaku.

Maka, tidak hairanlah jika Islam mengharamkan hal ini seperti hadis Ibn ‘Abbas yang saya sebutkan pada minggu lepas Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari).

Cumanya, seperti yang saya nyatakan bahawa isu lelaki menyerupai perempuan tidak memerlukan sidang fatwa khas untuk mengeluarkan hukum mengenainya. Hukum yang seperti ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai walaupun sedikit asas pengetahuan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan, yang agak peliknya, dalam fatwa yang dikeluarkan itu ditegaskan tentang haramnya wanita menyerupai lelaki, sedangkan fenomena yang bertebaran kelihatan di sana-sini adalah lelaki yang menyerupai perempuan. Sama ada pada gaya bahasa, gaya berjalan, atau lebih-lebih lagi ‘nafsu bercinta’.

Wanita tiruan ini kelihatan dan kedengaran bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media massa; radio, televisyen dan akhbar. Mereka kelihatan mendapat lesen yang besar tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul fatwa yang menegaskan tentang ‘haram pengkid’ dan tidak pula menonjolkan tentang haram lelaki cuba menjadi wanita. Perkara-perkara yang seperti inilah yang menjadikan manusia bersalah sangka lalu menganggap sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh ‘insan-insan berjawatan’ itu mengambil kira soal kedudukan dan ‘keselesaan kerusi’ masing-masing.

Ini semacam fatwa yang mengharamkan kanak-kanak bermain mercun kerana dikatakan membazir, tetapi dalam masa yang sama tidak pula mengharamkan mercun yang ratusan ribu ringgit yang dimainkan dalam berbagai-bagai keramaian atau tidak pula mengeluarkan fatwa mengharamkan pembaziran yang berlaku dalam pengurusan wang rakyat. Ini pun menunjukkan dunia kita memang nak terbalik..

Dalam celahan cerita wanita yang ingin menjadi lelaki, timbul pula kes kezaliman terhadap wanita di Kedah. Bagaimana seorang wanita mendakwa dirinya yang dizalimi oleh kecuaian Pejabat Agama. Dalam tempoh lapan tahun pihak Jabatan Agama tidak memberikan kepadanya surat cerai, tiba-tiba apabila beliau berkahwin dengan lelaki lain datang perintah mahkamah yang menyatakan perkahwinannya dengan suami yang kedua itu tidak sah dan dianggap ‘bersuami dua’.

Ketika beliau berulang-alik ke Pejabat Agama meminta surat pengesahan cerai, mereka gagal memberikan kepadanya. Malangnya, apabila beliau berkahwin dengan suami yang kedua dan mempunyai dua anak, datang pula surat mahkamah syariah yang membatalkan perkahwinan dan menyuruhnya kembali kepada suami yang pertama. Hari ini beliau hidup penuh tekanan dan penderitaan jiwa.

Jika benar dakwaan beliau, alangkah kejamnya pengurusan yang diberi nama agama ini. Dahulu saya pernah mencadangkan agar kita mengurus perkara-perkara halal dengan baik dan mudah serta membendung perkara- perkara haram agak menjadi rumit susah untuk mendapatkannya. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Sehingga ada negeri yang memenjarakan sesiapa yang berkahwin di luar negerinya.

Begitulah urusan perkahwinan disulitkan dengan berbagai-bagai ‘karenah pengurusan’ yang pelbagai. Sebahagiannya dijadikan bisnes dengan yuran yang menguntungkan. Lihat sahaja apakah sukatan dalam sesetengah kursus perkahwinan. Sementara kes talak tertangguh begitu banyak yang memakan masa bertahun-tahun. Ia menghalang wanita untuk berkahwin semula sedang tuntutan jiwa dan nafsu wujud apatah lagi bagi wanita muda. Mahkamah dengan mudah menangguhkan kes hanya kerana suami tidak datang walaupun sudah berkali-kali. Wanita-wanita yang dianiayai lelaki sebegini didera perasaan dan nafsu kelaminnya. Ini adalah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan terhadap wanita.

Malang sekali, kes-kes yang seperti ini tidak diselesaikan dengan kuasa hakim. Hakim sepatutnya boleh diberi kuasa fasakh yang lebih jelas dan tegas kepada suami zalim dan tidak bertanggungjawab. Keengganan hadir ke mahkamah tanpa alasan yang diterima boleh dianggap sebagai sebab untuk perkahwinan dibatalkan.

Dukacita, pihak pengurusan agama ini jika ditegur ada yang melenting. Padahal bukan sedikit kaum wanita yang menunggu bertahun-tahun untuk kesnya diselesaikan. Ini semua boleh menjadi faktor terdorongnya gejala maksiat akibat runtunan nafsu yang tidak dapat diluruskan secara yang kononnya dianggap ‘berdasarkan undang-undang syarak’. Di manakah keindahan syariat hendak dilihat jika dikendalikan seperti ini? Benarlah kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang selalu saya ulangi:

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Sebab itu saya pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan kepada penyelesaian kes-kes yang seperti ini daripada menumpukan ‘operasi mengintip’ maksiat di dalam bilik-bilik hotel yang belum tentu ada. Selesaikanlah kes yang jelas wujud dari disibukkan diri dengan perkara yang tidak pasti. Namun dunia agaknya sudah terbalik..

Bercakap soal keadilan, ada yang bersungut dengan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis baru-baru ini yang memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut; “Anak yang lahir kurang daripada enam bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”. Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud fatwa ini adalah seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh enam bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya. Sebabnya, di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di’bin’kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam erti kata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut sepanjang hayatnya.

Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan hakikat sebenar kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini saya bincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis.

Kita sedar, adanya perbezaan pendapat di kalangan sarjana fekah dalam hal ini. Namun, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai-bagai, maka keputusan tersebut dibuat. Antara dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi saw:

“Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini disebutkan oleh Nabi saw apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya.

Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d.

Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)”. Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah saw memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina.

Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi saw yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti pelbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).

Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Antara kebaikan fatwa ini; ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Ada yang kata; fatwa ini menggalakkan orang berzina. Saya kata tidak sama sekali; ia memberi orang bertaubat dan menyelamatkan maruah anak yang tidak berdosa. Yang menggalakkan maksiat adalah adegan-adegan panas dalam media, juga pengurusan yang menyusahkan kahwin dan talak. Fikiran anda jangan terbalik!

No comments: