Siri serangan bom yang dilihat menjadikan diplomat rejim Zionis di Thailand, India dan Georgia sebagai sasaran minggu lalu, meningkatkan lagi ketegangan Iran dengan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan sekutu utamanya, Israel.
Rejim haram Zionis menuduh Iran menjadi dalang kepada ejen-ejen yang menyerang wakil-wakilnya tetapi Teheran berkeras menafikan pembabitannya.
Nampaknya benarlah ramalan penganalisis selama ini bahawa kuasa Barat akan memberi fokus terhadap Iran pula selepas memporak-porandakan Iraq, Afghanistan dan Libya selain kini sedang secara halus menggoncang Syria saban hari.
Barat memang menghadapi penyakit histeria yang tebal terhadap Iran. Namun dengan persekitaran di Asia Barat yang telah berubah terutamanya dengan Kebangkitan Arab (Arab Spring), ia menjadikan benua Arab bukan lagi sebuah entiti yang digeruni sangat oleh AS.
Sebaliknya, histeria anti-Iran yang dihidapi AS dan kuasa Barat yang lain, kelihatan boleh keluar daripada kepompong retorik, menjadi suatu konfrontasi sebenar.
Ada pandangan mendakwa retorik yang bersimpang-siur antara AS, Israel dan Barat dengan Iran bukan sesuatu yang baru. Amaran demi amaran disebut oleh pentadbiran silih berganti di Washington, ancaman perang oleh Israel, tindakan sekatan ekonomi Eropah dan pembunuhan saintis nuklear Iran, yang kemudiannya merebak kepada serangan balas terhadap diplomat Israel, telah membawa awan kelabu kepada ketenangan global.
Sehingga hari ini, Iran telah 'dihukum' dengan empat bentuk sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga tindakan unilateral AS bersama Kesatuan Eropah berhubung isu pembinaan nuklearnya.
Spekulasi bertiup kencang sejak seminggu dua ini bahawa Israel bersedia melancarkan serangan ke atas loji nuklear Iran tetapi rejim Zionis menafikan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu sudah mencapai sebarang keputusan mengenainya. Bermakna memang ada pelan untuk menyerang.
Dalam hiruk-pikuk semua ini, fakta yang nyata ialah Iran tidak memiliki senjata nuklear, sebagaimana diakui oleh beberapa pegawai kanan perisikan dan tentera AS sendiri.
Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta bertanya dan menjawab sendiri persoalan Iran: ''Apakah mereka cuba membina senjata nuklear? Tidak.'' Pengarah Perisikan Kebangsaan (NIE) AS, James R. Clapper, Jr. mengaku bahawa AS sendiri tidak tahu 'jika Iran akhirnya memutuskan untuk membina senjata nuklear'.
Laporan NIE pada 2011 menyatakan secara jelas bahawa tiada bukti baru untuk mencabar rumusan 2007 iaitu Iran masih tidak memiliki program senjata nuklear yang sedang berjalan.
GAMBAR HIASAN PRESIDEN USA BARACK OBAMA DAN PERDANA MENTERI ISRAEL BENJAMIN NETANYAHU
Akhbar The Independent melaporkan, hampir keseluruhan pegawai kanan tentera dan keselamatan Israel bimbang mengenai serangan melulu terhadap Iran dan risau mengenai kemungkinan kesan-kesan akibatnya.
Apa yang diungkapkan oleh Israel dan Presiden Barack Obama terutamanya, ialah 'kebimbangan' semata-mata bahawa loji nuklear Iran itu 'akan' diguna untuk membina bom nuklear. Ini ditambah lagi dengan pengumuman Teheran pada Rabu lalu bahawa ia telah memasang 3,000 centrifuge bagi meningkatkan keupayaan mengayakan uraniumnya.
Maka itu, AS merasakan adalah perlu baginya sebagai polis dunia untuk melakukan 'langkah pencegahan' agar Iran tidak berjaya berbuat demikian.
Anehnya, AS tidak mahu menerima, apalagi percaya dengan jawapan Iran bahawa loji tersebut tidak bertujuan untuk membina senjata seumpamanya. Sejauh mana benar atau tidak jawapan Iran ini, akan diketahui bila pasukan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) iaitu badan pemantau PBB Bersatu melawat loji-loji yang disyaki di Iran, minggu ini.
Masalahnya, seluruh dunia tahu satu-satunya rejim di Asia Barat yang benar-benar membina dan memiliki senjata nuklear adalah Israel.
Tidak pula ada sesiapa mahu melakukan ketidakwajaran serupa kepada Israel, seperti yang dikenakan terhadap Iran. IAEA juga patut terbang ke Tel Aviv selepas Iran, jika ia peduli pun apa makna kredibiliti di mata masyarakat dunia berhubung isu pembinaan dan pemilikan senjata nuklear.
VIDEO : Inside Story - Will Israel attack Iran?
BERKAITAN:
No comments:
Post a Comment