Dalam
beberapa pertanyaan penting terhadap kepimpinan yang berkesan, sudah
tentulah ide utama ialah peri-pentingnya sifat kepimpinan yang
mendekatkan kita dengan kemaslahatan sejagat terpaut dalam pembentukan
pemimpin yang ideal. Jadi, sejauh manakah syarat yang harus diresapi
lapisan kepimpinan era ini dapat membentuk siasah yang sempurna?
Keadaan
mudahnya begini – seorang doktor yang berjaya adalah doktor yang
memahami psikologi pesakitnya. Seorang arkitek yang berjaya adalah
mereka yang menjalinkan struktur arkitektur dengan hubungan terhadap
keharmonian masyarakat dan alam. Seorang pensyarah yang berjaya tentulah
pula golongan cendiakawan yang menyampaikan syarahannya dengan penuh
manfaat. Tetapi, apa pula telahan kita dalam menentukan watak kepimpinan
yang berjaya.
Di sini, kebenturan struktur pemimpin yang menepati arus kewargaan yang baik perlu memiliki cita sempurna tentang matlamat dan gagasan yang menaungi kesejahteraan rakyat. Sebagaimana Islam mewahyukan seruan terhadap amanah kepimpinan murni sebagai “rahmatan lil ‘alamin”' – rahmat bagi sekelian alam - lantas, ciri-ciri pemimpin yang ideal adalah pemimpin yang menunggangi keperluan warganya dengan nilai “rahmatan lil alamin”.
Kepimpinan Abad Kini
Tokoh cemerlang yang mewarnai corak kepemimpinan cita sempurna sedari awal harus menyedari bahawa di dalam komuniti dunia yang begitu rencam dan terpencar, wacana tentang konsep pluraliti dan kerencaman wajar ditekuni dengan persoalan yang lebih mendalam. Mereka juga harus akur bahawa dunia kini tidak lagi seperti dahulu kala setelah gelombang globalisasi sudah pun berlabuh di setiap pelusuk dunia. Jadi, tidak harus diragukan lagi bahawa kerencaman dan multikulturalisme semakin mendapat tempat di nurani masyarakat. Konsep ini sendiri sudah menggariskan perkongsian kesejagatan (universalism) yang melangkaui batas-batas dan norma keagamaan (dalam soal siyasah misalnya) dan perilaku adat semata-mata. Dan di dalam erti kata lain, kemaslahatan yang berada di atas neraca kosmopolitanisme iaitu nilai perkongsian ummah manusia sebagai warga dunia yang berkongsi komunalisme, tanpa perlu ada rasa sangsi dalam persoalan individualisme mahupun kolektivisme.
Yang
paling penting adalah, kepimpinan sempurna yang berkesan perlu meramahi
budaya toleransi dan keterbukaan malah pada tempoh yang sama pula akur
dengan penerimaan batas-batas perbezaan dalam meliputi pelbagai sisi.
Hal sama yang tuntas untuk diambil kira adalah peranan pemimpin ini
dalam meraikan pentas demokrasi dengan menyantuni nilai humanisme yang
tinggi; soal kebebasan, kesetaraan dan kesaksamaan dari setiap sudut.
Di dalam weltanschauung (worldview
- pandangan sarwa) yang bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna,
peranan golongan pemimpin adalah laras utama yang menujahkan hala tuju
yang membutuhkan kecermatan yang amat tinggi supaya cita ini selaras
dengan kehendak sejagat. Namun begitu, ciri-ciri kepimpinan yang
mempamerkan ideologi bertujuan untuk menyemai kesejahteraan kala ini
bukanlah sesuatu kepastian mutlak untuk kepimpinan mereka yang terlalu
beridealisme.
Malah
sebaliknya, idealisme utopia inilah yang memangkin kerosakan
seterusnya. Hal ini adalah sepertimana dasar kenegaraan liberal
kapitalisme, komunisme (marxisme-leninisme atau maoisme), sosialisme dan
teologisme
pernah ditonjolkan sebagai anutan pentadbiran yang baik tetapi apa yang sebaliknya telah berlaku. Meletakkan sebarang bentuk ideologi mahupun kekerasan faham agama sekalipun, tidak semestinya menjamin mereka mempunyai ciri-ciri pemimpin yang ideal. Contoh jelas adalah konsep pemerintahan berasaskan “vilayat-e-faqih” atau “kepimpinan ulama’” yang kemudiannya bertukar rupa menjadi pemerintahan autoritarian.
Malah,
jika ditekuni perjalanan sejarah lampau di dalam mana-mana zaman
sekalipun, pemimpin yang cuba menghiasi suasana warga dengan aturan
ideologi, maka lahirlah kebobrokan yang sering kali beralasankan
ideologi yang mereka pegang sebagai sahih dan mutlak - maka, demikian
itu jugalah cita sempurna masyarakat terabai. Ranah totaliranisme juga
bermula dengan kemendapan penguasa dalam membanalkan tindakan dan reaksi
masyarakat (Hannah Arendt; Banality of Evil).
Tindakan
ini diperkukuhkan lagi dengan menitipkan hujah kudus agama tidak pernah
terlepas dalam hal ini – demikian untuk menutup keraguan terhadap
falsafah kepimpinan mereka. Demikian juga ia turut menganjurkankan
bagaimana ritual alami yang sakral dan tidak profan penting dalam
memastikan survival politik mereka terbatas hanya dengan buah fikir
primordialisme.
Natijahnya,
kita juga menyaksikan keruntuhan mana-mana tamadun di dunia ini adalah
akibat daripada kemunduran pemimpin dalam memastikan mereka berupaya
mengadaptasi pendekatan mereka berdasarkan zaman yang senantiasa berubah
sambil menegaskan komitmen terhadap tiga persoalan yang tunjang: Moral,
Kuasa dan Pengetahuan.
Malah, menurut ahli falsafah seperti Michel Foucault di dalam 'Madness and Civilisation:
“analisis keruntuhan moral di dalam masyarakat moden dinaungi oleh
'kejahatan' mentafsirkan moral dan pengetahuan terhadap kekuasaan (baca:
autoriti) tanpa ada acuan daripada sentrik masyarakat yang rata-rata
berbeza dari segi normatifnya”. Hal ini diyakinkan lagi dengan ketajaman
beliau mengkritik kepimpinan yang melakukan praktis atau tindakan yang
bertindan dalam pemaksaan moral sebagai bentuk dekonstruktif terhadap
acuan masyarakat yang harmoni.
acuan masyarakat yang harmoni.
Konsep Tatakelola yang Baik (Good Governance)
Di
dalam misalan sejarah Islam yang umum sedia ketahui, ciri-ciri
kepimpinan yang baik haruslah mencakupi tatakelola yang baik
berinspirasikan sentrik Islam dimana aspek yang wajar diambil kira
sebagai rumusan awal menstrukturkan kepimpinan ideal menerusi Tauhid,
Amanah, Keadilan dan Ihsan juga Syura.
Tauhid
Merangkumkan gagasan 'Tauhid' daripada sentrik epistemologi mengikut runut yang dikerangkakan sebagai 'pandangan sarwa’ (worldview)
di dalam korpus lingkungan tersendiri, umat Islam perlu memberi
alternatif baru dalam menanggapi persoalan-persoalan yang mendepani
zaman. Konsep tauhid ini meletakkan hubungan Allah sebagai tuhan,
manusia sebagai makhluk, dan sebagai makhluk ciptaan Allah. Manusia
punya tanggungjawab menjalankan perintah yang diberatkan kepada mereka.
Allah
berfirman dalam surah Ali Imran: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana)
kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji), serta kamu pula beriman dengan Allah (dengan sebenar-benar iman)”. [3: 144]
Jadi,
jalan ketauhidan kepada Allah sebagai Tuhan yang Esa haruslah
dihubung-kait dengan perkara-perkara yang berfaedah buat umat manusia
keseluruhannya. Hak di dalam agama perlu digunakan untuk memastikan
setiap manusia beroleh faedah dengan sebaiknya.
Jadi,
Tauhid yang dikira menurut kerangka tatakelola ialah segala usaha untuk
menentang kemungkaran di setiap lapis peringkat samada individu ataupun
masyarakat seperti rasuah, pecah amanah, kezaliman, kediktatoran,
pencabulan hak asasi, salah guna kuasa dan sepertinya (Abdul Tawwab; Qawa’id al-Ahkam – Islamic Legal Maxims). Tugas seorang pemimpin yang bercita sempurna adalah mereka yang menjadikan teras menentang kemungkaran sebagai maslahah (public interest) di setiap baris kepimpinan mereka.
Amanah
Semenjak Allah menabalkan Adam sebagai khalifah pertama di mukabumi, maka semenjak detik itulah manusia terpikul dengan amanah di bahu mereka. Dua tanggungjawab utama; untuk mengabdikan diri (' ibadah) kepada Allah dan juga untuk membangunkan (imarah) politik dunia: “iqamatud-din wa-siyasatid-dunya” (Ibnu Khaldun; Muqaddimah - Prolegomena).
Maka
manusia diberikan petunjuk di sepanjang zaman agar sentiasa ingat dan
menjalankan amanah mereka. Kesedaran ini penting bagi menghasilkan
konsensus bahawa sebarang keputusan pemimpin supaya meletakkan sandaran
keputusan kepemimpinan mestilah menuruti kepentingan rakyat. Para fuqaha’ kerana itu kemudiannya menyimpulkan “tasafur al-ra'iyy 'ala maslahat al-ra'iyaa” (keputusan pemerintah berdasarkan kepentingan rakyat].
Dalam prosedur perlaksanaan baik dituruti penyampaian pemimpin dengan nilai “itqan” (efisien) supaya rakyatlah yang punya hak untuk mendominasi tindakan kerajaan atau kepemimpinan.
Keadilan dan Ihsan
Tema utama di dalam kerangka syari’at Islam sifatnya difahami secara menyeluruh (aqidah, syari’ah, akhlaq) adalah pencirian yang tercenderung dengan keadilan ('adalah atau adl').
Hal ini berturutan dengan firman Allah di dalam Surah an-Nisa: ' Allah
telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanat mereka kepada yang
berhak, dan apabila kamu menghukum antara manusia, berhukumlah dengan
adil ' [4: 58].
Manifestasi
terbesar di dalam ajaran tauhid menegaskan Allah selaku pencipta alam
telah pun terlebih dahulu melaksanakan keadilan dan memerintahkan
manusia untuk melaksanakannya dalam kehidupan mereka. Malah, setiap nabi
dan rasul yang diutuskan terhadap umat mereka ditugaskan membawa panji
yang menciptakan keadilan dan memerintahkan manusia untuk melaksanakan
kehidupan mereka.
Konsep al-adl wal ihsan
merupakan setiap tugas setiap individu Muslim di dalam ruang lingkup
kehidupan tersendiri. Hal ini tentulah sama sekali dirangkumkan sebagai
cara hidup yang menyeluruh, mencakupi segala hal keduniaan seperti urus
tadbir kenegaraan, pengagihan ekonomi yang sama rata, badan politik yang
berwibawa yang meraikan pluralisme, kehakiman yang bebas, telus lagi
adil, keadilan dan kesamarataan gender; yang semuanya merupakan suatu
kewajiban umum.
Di
dalam kerangka politik Islam, menurut Rachid Ghannouchi; setiap satu
ijtihad baru yang membuka ruang kelonggaran dalam sistem pentadbiran
terutamanya apabila wujud pergeseran dengan kesan modeniti seperti
demokrasi atau asas kedaulatan undang-undang (rule of law) perlu dianggap menepati ciri-ciri 'Maqasid Syari’ah'.
Jadi, tidak perlu timbul prasangka bahawa hanya dengan kerangka negara Islam sahaja yang mampu melaksanakan cita-cita syari’at (maqasid asy-syari’ah). Akan tetapi kesalahfahaman golongan tertentu dengan konsep 'fiqh siyasi',
yang sebenarnya bukanlah bermatlamat mengkehadapankan agama, tetapi ia
lebih bersifat bentuk yang berupaya meninjau kekuasaan dan kebijaksanaan
politik demi kepentingan massa.
Syura
Di dalam konteks tatakelolaan, syura tergolong di dalam struktur partisipasi rakyat dan pemimpin bersama dalam membuat keputusan siyasah yang penting untuk kesejahteraan bersama. Nilai utama di dalam konteks politik Islam dilatari konsep syura (hal yang sebenarnya tidak punya perbezaan yang ketara dengan demokrasi).
Malah
al-Qur’an memuji konsep ini sepertimana diperjelaskan di dalam surah
Ali Imran [3: 159]; dan asy-Syura [42: 38]. Fakhruddin Al-Razi
berpendapat bahawa Allah telah mengajar manusia erti syura melalui
dialog dengan para malaikat ketika Allah memberitahu para malaikat akan
kehendakNya dalam mencipta manusia.
Muhammad
Imarah, ahli Akademi Penyelidikan Islam al-Azhar, di dalam merungkai
permasalahan kelompok fundamentalis dan konservatif yang teraruh
daripada realiti zaman yang berbeza-beza pendekatannya terhadap
penyalahertian konsep syura ini ditanggapi dengan tafsiran beliau
terhadap surah An-Nisa ayat 59 yang menyuruh umat Islam mentaati Allah,
Rasul dan Ulil Amri (pemerintah) yang sebenarnya menunjukkan pengertian terhadap konsep syura.
Perkataan 'min kum’ (telah kamu pilih daripada kamu) menjelaskan bahawa kalangan mereka 'ulil amri min kum' haruslah bersandarkan konsep pemilihan muafakat terhadap kepimpinan yang bertindak sebagai badan eksekutif. Jika 'ulil amri' gagal melaksanakan amanah yang diberikan, mereka layak untuk tidak ditaati dan dipatuhi.
Perjuangan Menegakkan Keadilan dan Kesamarataan
Proses
ini memerlukan jangka masa yang agak lama dan perlu kepada menggagaskan
perilaku autentik para pemimpin secara perlahan-lahan tetapi berkesan.
Konsep cita sempurna ini diterangkan oleh sejarahwan Amerika bernama
Ralph Waldo Emerson memisalkan contoh dalam dunia ini bagaimana semangat
untuk mencapai kejayaan dan kekuasaan dalam sejarah; yang paling
penting ialah tidak bermimpi dengan dilema romantisisme zaman lampau
sehingga memimpikan kemunculannya semula pada hari ini.
Berkenaan
hak asasi seseorang manusia pula, saya kira kita perlu merujuk kembali
dokumen penting yang ditinggalkan; iaitu surat perintah Saidina Ali
kepada Malik Ashtar yang telah dilantik sebagai gabenor Mesir. Namun
demikian, Malik Ashtar tidak sempat untuk menunaikan amanah tersebut
kerana meninggal dunia pada tahun 659M dalam perjalanan ke Mesir,
dipercayai akibat diracun atas perintah Muawiyah.
Hak
asasi manusia yang timbul daripada Revolusi Amerika 1776 dan Revolusi
Perancis 1789, yang sekarang sedang meluas di merata dunia adalah
sambungan hak asasi yang dipertahankan Saidina Ali daripada pengaruh
yang cuba merosakkannya, dalam sejarah masyarakat Islam. Di dalam
suratnya kepada Malik Ashtar, Saidina Ali menasihatkan beliau supaya
“tidak menggunakan kekuasaannya untuk memaksa pendapat”.
Panduan
yang paling utama dalam melaksanakan keadilan terutamanya di dalam hal
mendesak golongan pemerintah yang paling tidak suka menerima layanan
yang sama dengan rakyat kerana merasakan mereka lebih eksklusif daripada
yang lain, dan yang paling kurang menghargai penjelasan berakal sewaktu
ditolak permintaan.
Hal
ini bagi memastikan setiap yang hidup itu perlulah menerima layanan
saksama dalam menghadapi segala bentuk kemungkinan sekalipun. Dua jenis
hak asasi yang dibangkitkan Saidina Ali dan selepasnya pejuang-pejuang
kemanusiaan barat di kurun ke -18 dan seterusnya adalah hak layanan adil
daripada pemerintah yakni kerajaan, dan hak ilmu berpengetahuan seperti
yang disyarahkan oleh Syed Husin al-Attas di dalam Citra Sempurna Warisan Sejarah.
Kata
Saidina Ali kepada Malik Ashtar: “Janganlah tingginya pangkat seseorang
menyebabkan perbuatan kecilnya menjadi besar dan sebaliknya janganlah
pangkat yang rendah menjadikan perbuatan besarnya menjadi kecil”.
Kenyataannya
ini saya kira sangat relevan untuk kita semua renungi semula dengan
fikiran yang terbuka dan menghayati kebijaksanaan Saidina Ali dalam
memahami konsep pentadbiran dan aturan-aturannya demi kepentingan
rakyat.
Dasar-dasar pemikiran Saidina Ali memang bersumber daripada Islam yang diamalkan oleh ar-Rasul. Saidina Ali merupakan orang yang pertama menyimpulkannya dalam sebuah dokumen asas pemerintahan, dikaitkan dengan suasana dan keadaan, dalam bentuk falsafah pentadbiran.
Dasar-dasar pemikiran Saidina Ali memang bersumber daripada Islam yang diamalkan oleh ar-Rasul. Saidina Ali merupakan orang yang pertama menyimpulkannya dalam sebuah dokumen asas pemerintahan, dikaitkan dengan suasana dan keadaan, dalam bentuk falsafah pentadbiran.
Kesimpulan
Kembali kepada hak asasi manusia yang dikemukakan Revolusi Peranchis, dari
segi dasar mutlaknya adalah bersesuaian dengan tuntutan Islam. Jadi
perlu diingat bahawa nilai-nilai universalisme ini adalah dasar yang
membentuk kesempurnaan keadaan masyarakat dan bukannya menganggap ia
sebagai satu unsur akidah.
Soal ini sangat berkait rapat dengan ajaran Islam yang sifatnya 'rahmatan lil alamin'
dan menjamin setiap manusia mendapat hak keadilan yang sewajarnya. Saya
percaya bahawa Islam begitu menekankan hak yang saksama untuk sekelain
manusia dan begitu selari dengan konteks hak asasi yang bersifat
universal.
Firman Tuhan: “Dan Kami telah muliakan sekelian anak Adam…” Surah Bani Isra’il [17: 70].
BERKAITAN
No comments:
Post a Comment