Tahukah anda bahawa tamadun manusia yang wujud pada hari ini merupakan
sebuah Tamadun Petroleum? Mungkin ramai yang tidak sedar betapa
kebergantungan kita ataupun lebih tepat ‘ketagihan’ terhadap emas hitam
ini, adalah amat dahsyat. Kita makan, tidur dan hidup dengan petroleum
sepanjang masa ini. Mungkin ada yang bertanya apa kaitan dengan makanan
bila kita membicarakan petroleum?
Zaman yang diterajui oleh sains dan teknologi ini merupakan satu zaman
mekanikal. Kerja-kerja pengusahaan makanan memerlukan jentera-jentera
yang besar bagi melicinkan kerja-kerja pertanian. Ditambah pula,
penggunaan racun rumpai yang diperbuat daripada bahan asas petroleum
secara berleluasa menjadikan hamper 90% makanan yang terhidang di atas
meja kita dihasilkan melalui hubungan secara langsung ataupun tidak
langsung dengan petroleum. Itu belum lagi diukur dengan produl-produk
harian seperti sabun,
dashboard kereta dan juga plastik pasar
raya yang selalu dibuang begitu sahaja. Kesemua produk yang disebutkan
tadi merupakan produk yang terhasil melalui bahan asas petroleum dan ini
tidak termasuk inovasi yang sering kali berlaku untuk mengurangkan kos
penghasilan barangan dan bahan asas seperti petroleum merupakan antara
bahan yang sering dijadikan sandaran untuk mengurangkan kos dalam
sesuatu inovasi.
Walaubagaimanapun, fenomena ketagihan in adalah sesuatu yang baru dalam
usia buat sesebuah tamadun. Kebangkitan ‘Tamadun Petroleum’ ini bertitik
tolak daripada Revolusi Industri yang rakus di Britain
kemudian merebak ke seluruh dunia melalui ekspedisi penjajahan oleh
para Kapitalis Barat yang mana Tanah Melayu pada waktu itu menjadi salah
satu mangsa kerakusan mereka. Hajat mereka bertandang ke kawasan yang
kaya raya ini didokong dengan kuat oleh idealisme materialis yang
terbuku dalam tamadun Barat yang sekular tersebut.
Selepas Merdeka, rata-rata Negara dunia ketiga masih perlu bergantung
dengan bekas penjajah dalam usaha ‘membangunkan’ semula tanah air
mereka. Ini menjadikan golongan elit yang rapat dengan para penjajah
Barat disarung dengan baju pendidikan moden yang sarat dengan
nilai-nilai materialistik. Maka tidak hairanlah pada hari ini kita dapat
lihat begitu banyak ‘klon-klon’ Negara Barat yang megah membangun
seperti Jepun, Singapura dan Hong Kong dituruti oleh golongan elit China
dan India. Negara-negara yang diberi jolokan Harimau Asia ini merupakan
sebahagian daripada ahli kelab Tamadun Petroleum, teramasuklah Malaysia yang dibangunkan oleh Tun Dr. Mahathir melalui Pensyarikatan Malaysia dan Dasar Pandang ke Timur yang berteraskan industri moden.
Kemakmuran, dan kemajuan yang dicanang hebat oleh para pemimpin negara
Tamadun Petroleum in walaubagaimanapun mempunyai beberapa mitos yang
terpaksa diheret sepanjang masa. Oleh itu lebih baik kita mengkaji
mitos-mitos yang wujud ini secara kritikal bagi menyelamatkan anak
bangsa kita dari tertipu dengan haruman wangi yang dibawa oleh gagasan
pemikiran negara Tamadun Petroleum.
Mitos 1: Minyak masih boleh dicari semudah dulu.
Antara sifat sesebuah Tamadun Petroleum itu adalah rakyatnya beranggapan
sumber alam yang dianugerahkan oleh Tuhan bersifat ‘pulangan’ (
income) yang senantiasa akan wujud untuk kegunaan rakyat. Hakikatnya, minyak memiliki sifat seabgai 'aset' (
capital)
iaitu tidak boleh diganti semula selepas digunakan, tidak sama seperti
air yang boleh ditadah dan duit yang boleh dicetak semula. Ramai yang
tahu bahawa sumber alam seperti minyak adalah satu bentuk sumber yang
tidak boleh diperbaharui tetapi yang lebih ironik adalah amat jarang
sekali kita memikirkan tentang bagaimana untuk menghadapi saat kehabisan
sumber alam ini.
Perkara ini jelas dapat dilihat melalui kerakusan pembangunan yang
dilakukan oleh Negara-negara Tamadun Petroleum ini. Bangunan pencakar
langit, kehidupan 24 jam sehari dan gaya
hidup yang membazir merupakan antara simptom-simpton yang menunjukkan
bahawa masyarakat Tamadun Petroleum ini sudah lali dan ketagih dengan
emas hitam ini. Ketagihan yang telah sebati dengan gaya hidup menjadikan kebergantungnan terhadap minyak satu norma hidup masyarakat Tamadun Petroleum.
Kita harus bangun dari tidur ini. Zaman ini merupakan zaman harga minyak
mahal. Teori Kemuncak Minyak ( Peak Oil Theory) yang dikemukakan oleh
M. King Hubbert pada tahun 1956 sudah hampir menjadi kenyataan. Hubbert,
yang merupakan seorang ahli geologi Shelll telah membuat analisa akan
jangka hayat profil pengeluaran minyak. Teori yang dikemukakan oleh
Hubbert menunjukkan bentuk graf
bell curve yang mana semua telaga minyak akan melalui tahap pengeluaran kemuncak kemudian menurun sehingga kering tanpa minyak.
Pada mulanya teori Hubbert ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan
ditambah pula dengan penemuan lapangan minyak yang baru (dan besar saiz
simpanannya) seperti di Alaska pada tahun 1968 telah menghanyutkan lagi
para pemimpin Tamadun Petroleum ke alam mimpi minyak yang dilihat
sebagai 'rezeki' yang tidak akan habis.
Association for Study of Peak Oil and Gas (ASPO) yang bertempat
di Sweeden merupakan antara penurus gagasan idea Hubbert pada hari ini.
Selama ini, seruan mereka telah dipandang remeh oleh industri minyak dan
gas tetapi mutakhir ini jelas hasil usaha mereka telah makin diterima
ramai.
Financial Times, media kapitalis internasional melaporkan bahawa Pengurus Besar Shell, Jeroen van der Veer telah membuat kenyataan:
“ Pada pandangan saya, zaman minyak 'mudah' sudah melepasi kemuncaknya..”
Bendera putih turut diangkat oleh Dr. James R Schlesinger, bekas
Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat dengan mengakui bahawa para penyokong
teori Hubbert telah “menang”.
Pengakuan-pengakuan sebegini bukanlah satu perkara yang baik untuk
dilakukan oleh para pemimpin industri minyak yang kaya raya ini kerana
ia bakal membawa pandangan yang negatif terhadap masa depan industri
minyak kepada para pelabur tetapi apakah daya yang ada kerana fakta
tetap fakta walaupun pahit untuk diterima.
Fakta jelas menunjukkan bahawa lapangan minyak yang sudah lama diusahakan sedang menghadapi masalah pengeluaran. Dalam buku
Twilight in the Desert: The Coming Saudi Oil Shock and the World Economy , Matthew
R.Simmons telah membahas masalah pengeluaran yang sedang dihadapi oleh
lapangan minyak di Arab Saudi yang merupakan pengeluar minyak terbesar
di dunia.
Masalah sebegini telah menyebabkan kos pegeluaran minyak meningkat
dengan begitu mendadak walaupun revolusi teknologi dalam industri minyak
dan gas berkembang pesat. Kerisauan ini turut dilahirkan oleh Pengarah
Urusan Petronas,Tan Sri Hassan Marican. Beliau menjelaskan bahawa
walaupun terdapat peningkatan keuntungan buat syarikat-syarikat minyak,
kos eksplorasi telah meningkat hampir 200 peratus dalam jangka masa 3
tahun kebelekangan ini Ditambah pula peningkatan risiko untuk menggerudi
minyak di laut dalam yang boleh mencecah sehingga 8000 meter (
menghampiri ketinggian Gunung Everest). Kesemua ini jelas menunjukkan
bahawa Tamadun Petroleum tidak mampu bertahan seperti mana zaman
kegemilangannya dahulu.
Mitos 2: Masa depan kita adalah linear
Masyarakat Tamadun Petroleum merupakan masyarakat yang linear. Majoriti
daripada mereka beranggapan kitaran hidup mereka tidak akan jauh
berubah. Akhirnya, masyarakat yang terbentuk adalah masyarakat yang
tidak kritikal dalam menilai masalah secara lebih holisitk. Rata-rata
daripada ahli masyarakat Tamadun Petroleum menerima secara terbuka
bahawa sistem pendidikan, sistem ekonomi dan gaya
hidup yang ada inilah hakikat sebenar buat diri mereka. Jikalau hendak
dibaik pulih kekurangan yang ada pun lebih sekadar menempel kekurangan
tersebyut, bukan melakukan revolusi yang kembali kepada fitrah sifat
manusiawi itu sendiri.
Kehidupan seseroang manusia itu senantiasa bergerak ke hadapan. Bagi
yang beragama, sasaran akhir senantiasa dilihat dengan jelas iaitu
menuju kebahagian abadi di akhirat kelak. Malangnya, ini tidak berlaku
dalam kehidupan sehari-harian mereka terutamanya waktu berkerja. Oleh
kerana sistem pendidkan kebanyakkan negara-negara Tamadun Petroleum ini
bersifat dualisme, membahagikan sistem pendidikan mereka kepada dua;
sekular dan agama maka produk yang terhasil melalui sistem pendidikan
dualisme ini akhirnya gagal untuk mengintegrasikan nilai spiritual yang
dibawa oleh agama kepada nilai material yang menjadi asas kepada
kehidupan seseorang anak Adam di dunia ini.
Maka terhasillah slogan dan visi hidup yang merapu-rapu sehingga
kesannya dapat dilihat setelah berlakunya masalah. Slogan seperti
'globalisasi' dan 'pembangunan' yang diterap secara halus dalam
kehidupan seseroang ahli masyarakat Tamadun Petroleum itu telah memandu
mereka ke arah yang merosakkan diri, alam serta keseluruhan planet.
Kehidupan moden yang ada pada hari ini merupakan hasil kraftangan para
pemikir mereka yang sujud terhadap model pembangunan kapitalis yang
materialisitk yang juga anti spiritual bak kata Karl Marx, “ Agama itu
candu buat masyarakat”. Maka penentangan yang terhasil itu pun membawa
nilai yang sama bersifat material dan anti spiritual seperti yang
didokong oleh Lenin dan Stalin sewaktu Revolusi Bolshevik di Rusia.
Mereka inilah antara hero-hero yang dipuja hebat oleh negara-negara maju
Tamadun Petroleum.
Kesenangan hidup yang banyak digambarkan melalui panorama material
negara-negara maju Tamadun Petroleum telah menyebabkan negara-negara
yang baru merdeka iri hati. Maka mereka pun berusaha bersungguh-sungguh
untuk meniru dan mengasimilasikan konsep dan pemikiran 'pembangunan'
yang dibawa oleh negara-negara maju Tamadun Petroleum tersebut. Secara
tidak sedar, mereka terlupa bahawa dalam memandu arah negara mereka yang
baru hendak membangun selepas terjajah beratus-ratus tahun, nilai dan
budaya negara-negara maju tersebut meresap masuk ke dalam diri
masyarakat mereka. Maka lahirlah masyarakat Tamadun Petroleum yang baru
hasil proses peniruan model negara maju Tamadun Petroleum di Barat.
Selama hari ini, negara-negara yang sedang membangun ini berbangga dan
mendabik dada dengan menara pencakar langit serta kereta nasional buatan
sendiri tetapi akhir-akhir ini, hampir kesemua negara-negara Tamadun
Petroleum ini sedang berhadapan dengan krisis tenaga yang cukup
kritikal. Kehidupan mereka yang dahulunya menganggap minyak bebas
mengalir seperti air telah terpaksa diberhentikan secara terperanjat.
Mereka seolah-olah tidak percaya minyak yang digunakan tanpa perlu
memikirkan had kehabisannya seketika dahulu telah membakar kocek wang
mereka pada hari ini.
Kebergantungan masyarakat Tamadun Petroleum terhadap kenderaan yang
lahap terhadap minyak telah merosakkan imuniti mereka dalam berhadapan
dengan krisis harga minyak. Ditambah pula dengan penarikan subsisidi
yang menjadikan minyak dan air tidak jauh beza telah melemahkan lagi
akal mereka dalam menerima realiti yang dahsyat ini. Maklumlah, selama
hari ini minyak ini disangka akan habis tetapi jangka masanya nun jauh
lagi dan tidak perlu difikirkan sangat. Malang tidak berbau, apa yang disangka tidaklah seperti yang diharapkan.
Gandhi pernah berkata “ dunia mampu memberi keperluan setiap manusia
tetapi dunia tidak mampu untuk memberi untuk ketamakkan semua manusia”.
Maka, dunia yang ada pada hari ini merupakan dunia yang sarat dengan
ketamakkan manusia. Idea 'pembangunan' dan 'globaliasi' yang ditaja oleh
negara Tamadun Petroleum dari Barat telah merosakkan dunia. Pemberian
subsidi yang berterusan dari dahulu membuatkan masyakarat Tamadun
Petroleum tidak menghargai sumber alam yang sedikit tersebut. Dengan
rakus, mereka meneruksan projek 'pembangunan' dan 'globaliasasi' tanpa
memikirkan secara serius adakah masa depan dan gaya hidup ini dapat bertahan lagi.
Mitos 3: Kerajaan dan Syarikat Pengeluar Minyak adalah penyebab kenaikkan harga minyak yang menggila.
Sedih mendengar keluhan rakyat meminta kerajaan negara Tamadun Petroleum
memberikan semula subsidi. Rakyat masih tidak mampu menanggung
penyeksaan hidup yang mana harga petroleumnya melambung tinggi. Tetapi,
pernahkah mereka memikirkan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka
kelak?Bagaimana agaknya cucu cicit mereka akan berhadapan dengan zaman
yang kontang minyak? Jauh sekali hendak difikirkan kerana minyak masih
mampu dinikmati walaupun mencekik darah harganya.
Sudah semestinya, pengurangan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan
adalah bersifat strategik. Dengan adanya subsidi, rakyat negara Tamadun
Petroleum akan menggunakan minyak yang ada dalam simpanan nasional
sewenang-wenangnya tapan memikirkan nasib masa depan rakyat yang
mendatang dek kerana harga minyak yang murah.
Kesan pengurangan subsidi ini mampu membantu negara Tamadun Petroleum
untuk melakukan muhasabah kembali adakah ini jalan yang patut ditempuhi
oleh mereka? Sudah terbukti dengan kesannya bahawa selama hari ini, gaya
hidup, sistem ekonomi dan visi yang dipengaruhi slogan 'pembangunan'
dan 'globalisasi' telah menghukum kembali masyarakat Tamadun Petroleum
yang tertipu mentah-mentah dengan kehidupan moden.
Oleh kerana sistem ekonomi dan pendidikan yang dibangunkan oleh negara
Tamadun Petroleum ini didasari dengan kesalahan berfikir yang bercelaru,
maka lahilrah berbagai jenis mazhab ekonomi yang merosakkan kehidupan
di alam ini. Antaranya adalah neoliberalisme yang meneruskan agenda
ekonomi materialistik milik negara Tamadun Petroleum dari Barat.
Harga minyak yang melambung tinggi bukan semata-mata disebabkan faktor
kekurangn sumber alam tetapi dibelakang tabir mazhab ekonomi
neoliberalisme inilah yang menyebabkan masyarakat Tamadun Petroleum
terseksa. Perdangan komoditi yang dijalankan di kebanyakkan pusat
penukaran komoditi masa depan (
commodity future exchanges ) seperti New York Mercantile Exchange (NYMEX) dan Bursa Malaysia telah menghukum masyarakat Tamadun Petroleum tanpa belas kasihan.
Ini adalah kerana dalam urusan perdangan komoditi, para pedangang (
traders)
ini mengutamakan keuntungan melebihi segala-galanya. Seperti contoh,
NYMEX telah saban hari menjalankan aktiviti yang melanggar etika
manusiawi ( tetapi tidak etika bisnes kapitalis) dengan melakukan
transaksi perdagangan minyak mentah 15 kali ganda lebih daripada yang
dikeluarkan oleh negara-negara pengeluar minyak dunia .
Ini bermakna terdapat perbezaan kuantiti fizikal yang jelas berbanding
kuantiti yang tertera pada papan skrin besar di pusat perdagangan
tersebut seterusnya melonjakkan harga minyak mentah ini melebihi harga
pengeluaran pasaran.
Secara ringkasnya, kegiatan perdangan komoditi ini bersifat penipuan
dimana pertukaran nilai dangangan semasa tidak disandarkan kepada
kuantiti fizikal sebenar yang akan wujud pada masa hadapan. Inilah yang
dinamakan spekulasi harga di pasaran dan senario harga makanan dunia
melambung tinggi turut disebabkan oleh kegiatan yang zalim ini.
Perdana Menteri Malaysia
sendiri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan kepada
komuniti dunia untuk berhenti melakukan perdagangan minyak mentah dalam
pasaran masa depan (
futures market) untuk mengelakkan daripada sebarang penjualan yang beralaskan spekulasi.
Tetapi dengan hanya melarang tidak mencukupi kerana masalah dasar kepada
bencana ekonomi ini terletak jauh lebih dalam daripada sekadar harga.
Sistem ekonomi neoliberalisme ini seharusnya dibongkar semahu-mahunya
oleh aktivis negara Tamadun Petroleum agar masalah sebegini tidak
merebak lebih jauh dalam pelbagai sektor keperluan asasi manusia.
Penyelesaiaan
Adalah amat berbahaya untuk rakyat Tamadun Petroleum masih ingin hanyut
dalam mimpi indah ini. Mimpi ini turut dibuai dengan lebih indah apabila
para pemimpin politik baik dari pembangkang mahupun kerajaan yang
mengambil sikap 'populis' dalam melontarkan kritikan dan penyelesaiaan.
Sesungguhnya, apa yang diperkatakan oleh ahli politik negara hanyalah
sejemput daripada realiti sebenar yang akan dihadapi oleh masyarakat
Tamadun Petroelum. Yang akan merasai keperitan hidup natijah daripada
keterbiasaan gaya
hidup moden yang obses dengan minyak adalah generasi mendatang yang
rata-rata tidak pernah hidup susah. Mampukah generasi muda bertahan
tanpa minyak sebagai pencorak kehidupan seharian mereka?
Seharusnya kita menerima krisis harga minyak ini dengan lebih banyak
pertanyaan daripada rungutan.
Dengan pertanyaan yang lebih kritikal
dapatlah kita memahami perkara ini hingga ke akar umbi masalah. Sebarang
demonstrasi hendaklah disertai dengan fakta dan penyelesaiaan yang
selari dengan realiti.
Apakah pil realiti pahit yang kita terpaksa telan mutakhir ini? Harga
minyak akan senantiasa melambung kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor
yang diluar kawalan kuasa sains dan teknologi seperti teori kemuncak
minyak, kos dan risiko yang mahal dalam mengeluarkan lebih banyak
minyak.
Seharusnya, rakyat, ahli politik dan para aktivis mengadakan bantahan
terhadap penyelesaiaan yang terbantut oleh kerajaan sepertimana yang
dijanjikan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi mengimbangi
kesusahan akibat harga minyak yang tinggi.
Percayalah bahawa, dengan hentam semberono, masalah ini tidak akan
diselesaikan dari akar umbinya. Hatta seribu protes pun tidak tentu
mampu menyelematkan negara Tamadun Petroleum dan masa mendatang daripada
kehancuran akibat kerakusan menggunakan sumber minyak sehingga tidak
mampu mencari penggantinya kelak. Sudah sampai masanya untuk berubah dan
perubahan utama haruslah daripada para pemimpin masyarakat Tamadun
Petroleum.
BERKAITAN: