Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Tuesday, October 21, 2008
ABDULLAH TAK KENAL SIAPA DR MAHATHIR?
Dua hari lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanya, siapakah Tun Dr Mahathir Mohamad? Mengapakah Mahathir yang sudah meninggalkan UMNO cuba memberikan arahan mengenai apa yang patut dilakukan oleh warga UMNO?
Seandainya sudah terlupa, Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia Keempat yang mewariskan takhta kerajaan kepada Abdullah. Mahathir telah menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Abdullah pada 31 Oktober 2003, sewaktu kedaulatan Malaysia cukup terpelihara, nama Malaysia harum di arena antarabangsa, ekonomi Malaysia kukuh, politik Malaysia stabil, rakyat Malaysia dalam keadaan aman sejahtera.
Mahathir mewariskan kuasa kepada Abdullah sewaktu Malaysia jadi pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) da Persidangan Islam Antarabangsa (OIC). Kedua-dua jawatan ini diberikan kepada Malaysia kerana kebijaksanaan, integriti dan kredibiliti Mahathir.
Pendek kata, Mahathir telah menyerahkan kepada Abdullah sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka, berwibawa, disegani dan dihormati komuniti antarabangsa. Waktu itu, tidak pernah kedengaran wujudnya sesetengah elemen atau kuasa asing tertentu yang mempengaruhi, apatah lagi yang dipercayai mencorak-warnakan apa jua dasar Malaysia.
Sebab itulah Abdullah menyifatkan perlantikannya sebagai satu “amanah untuk mewarisi kejayaan” Mahathir. Sebab itulah juga sewaktu membentangkan usul terima kasih kepada Mahathir di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada 3 November 2003, Abdullah merakamkan usul penghargaan kepada Mahathir seperti berikut:
Hargai Mahathir
Menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir), yang menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat sejak 16 Julai 1981, dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara;
Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir) yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besarnya, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara;
Menyedari serta menginsafi konsistensi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir) di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir;
Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir) dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan dan pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia;
Mengiktiraf bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir) adalah satu doktrin perdana bagi perjuangan membina negara Malaysia yang terus berdaulat dan merdeka serta lebih bersatupadu, sejahtera, aman, makmur, maju, cemerlang, bermaruah dan berwibawa di era globalisasi dan neo-kolonialisme;
Kagumi Kebijaksanaannya
Mengakui bahawa perjuangan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir) memajukan ICT menerusi penubuhan Koridor Raya Multimedia, serta memajukan bioteknologi menerusi kewujudan Lembah Bio akan memberi manfaat besar kepada bangsa dan negara Malaysia di hari muka;
Mengkagumi kewibawaan, kebijaksanaan serta keberanian Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir) yang telah memperkasakan martabat bangsa dan negara Malaysia serta umat manusia di negara-negara membangun secara amnya, di arena antarabangsa, menerusi inisiatif multilateral sewilayah, di antara benua dan di seluruh jagat, serta menerusi pandangan, gagasan serta pemikirannya yang universal di bidang kemanusiaan, kesaksamaan, kesamarataan, perdagangan, sains, teknologi, siasah dan keluhuran undang-undang antarabangsa, khususnya di peringkat ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB);
Maka, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari ini, 3 November 2003, bersamaan 9 Ramadan 1424, mengambil ketetapan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih dari seluruh rakyat jelata Malaysia kepada Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir);
Berikrar akan terus berjuang mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan kesejahteraan tanah air menerusi seluruh dasar, strategi dan program yang telah diperkenal serta diperjuangkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu (Mahathir);
Dan terus berusaha ke arah mencemerlangkan rakyat Malaysia di hari muka berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Rukunegara dan juga matlamat utama Wawasan 2020.
Minta Maaf
Berdasarkan seluruh huraian di atas, benarkah Abdullah tidak kenal siapa Mahathir? Berasaskan huraian di atas, tidakkah Mahathir berhak untuk menegur Abdullah? Berdasarkan huraian di atas, benarkah dakwaan Abdullah bahawa Mahathir berniat “menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian” di kalangan warga UMNO bila Mahathir meluahkan isi hatinya dalam blognya baru-baru ini?
Abdullah pastinya amat arif mengenai persoalan ini: siapakah yang sebenar-sebenarnya menjadi punca dan paksi kepada seluruh kegelisahan dan kecelaruan dalam UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan pada hari ini?
Oleh itu, biarpun Mahathir sudah meninggalkan UMNO sejak beberapa bulan lalu, Abdullah wajar insaf bahawa Mahathir telah berkelana jauh daripada UMNO kerana beliau amat kecewa dengan kepimpinan Abdullah sendiri!
Lantas, bersalahkah dan berdosakah Mahathir bersuara demi agama, bangsa dan tanahairnya? Bersalahkah dan berdosakah Mahathir berusaha menebus kesilapannya memilih Abdullah kerana beliau terpesona dengan imej Abdullah sebagai Mr Clean yang hanya berjuang untuk mencari A-Ghazali dan Al-Shafie?
Secara peribadi, saya amat kesal dengan bidasan Abdullah terhadap Mahathir. Secara peribadi juga saya berpendapat amat wajar sekali Abdullah memohon maaf kepada insan yang bernama Mahathir kerana insan inilah yang bertanggungjawab menamakan Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima. Fikir-fikirkankah!
Ruhanie Ahmad
Labels:
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment