Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Tuesday, October 7, 2008
Percaturan Terakhir Rejim Pak Lah Menjelang 8 Oktober?
Ternyata apa yang dilakarkan sebelum ini tentang kemelut di peringkat MKT pada bulan Ramadhan kian membawa kenyataan baru buat UMNO. Berita yang menyusup dari mulut ke mulut, sms lagi sms dan kini blog berblog adalah persetujuan 4 mata Pak Lah dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang Presiden UMNO sekarang tidak akan mempertahankan jawatannya menjelang Mac 2009, malah akan berundur dari jawatan-jawatan kerajaannya pada 8 Oktober ini.
Namun sudah tentu reaksi pertama sesiapa yang menerima berita ini adalah,"Betul ke? Boleh percaya ke Pak Lah akan kotakan janji yang ini, apabila terlalu banyak sebutan manis dahulu beliau ingkari?"
Jelas sekarang yang Pak Lah sedang membuat percaturan terakhir demi menyelamatkan riwayat politiknya, cita-cita menantunya, kekayaan anaknya dan kesenangan penyokong setianya yang lain. Di antara gerakan beliau:
Menghantar perutusan demi perutusan merayu Najib supaya menyokong kehendaknya untuk kekal lama sedikit lagi di tampuk kuasa. Ini telah dicuba beberapa kali dan tetap gagal.
Atas nasihat menantunya KJ yang tersayang, disuruhnya Datuk Zahid Hamidi bertanding jawatan Timbalan Presiden parti, walaupun bekas Ketua Pemuda tersebut lebih layak dan hampir tentu menang jika Naib Presiden sahaja menjadi sasarannya.
Digerakkan jalinan sahabatnya untuk memberi gambaran yang akar umbi masih mahukan Pak Lah kekal sebagai Presiden UMNO. Ini bakal disusul pula dengan satu lagi mesyuarat MKT, diikuti mesyuarat BN, di mana usul mengekalkan beliau akan dipertahankan habis-habisan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ahli-ahli Tingkat 4 akan disusup masuk ke pejabat DS Najib. Ini bukan semata-mata menjaga kedudukan beliau sekarang, tetapi juga untuk memastikan sekiranya pupus riwayat politik Pak Lah, peninggalannya seperti KJ, Kamal dan hubungan 'erat' sengan Singapura kekal abadi!
Fasal 2, 3 dan 4 akan dihuraikan lagi...
Datuk Zahid Hamidi Diperkudakan Khairy
Ayahanda Datuk Zahid Hamidi merupakan murid Tok Guru Abdullah Fahim, yakni nenda Pak Lah, di Sekolah Agama Idrisiah Kuala Kangsar. Oleh itu, bagi meleraikan kesangsian kepadanya sebagai penyokong Anwar Ibrahim dahulu, Datuk Zahid telah berikrar setianya kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri, kononnya berasaskan wasiat ayahnya. Kerana itulah Zahid diangkat ke kabinet pada zaman Pak Lah.
Menjelang Syawal, Datuk Shabery Cheek telah menimbulkan seribu tanda-tanya dengan teori beliau yang mungkin akan ada 'kuda hitam' muncul mencabar kedudukan Timbalan Presiden UMNO. 'Bola tanggung' ini disambut pengisytiharaan Datuk Zahid akan niatnya bertanding untuk jawatan tersebut. Datuk Shabery juga seorang yang diberi kepercayaan oleh Pak Lah sebagai 'generalnya', setelah beliau berpaling tadah dari gurunya KuLi.
Permainan media Datuk Shabery bukan seperti wayang kulit kelaziman UMNO, malah berunsur kebaratan... ala Tingkat 4. Sememangnya ide untuk Datuk Zahid bertanding Timbalan Presiden bukannya datang sendiri, dan tidak pernah dicetuskan oleh bekas tuan politiknya DS Najib. Beliau sebenarnya diarahkan oleh Pak Lah untuk bertanding. Kononnya ini untuk memastikan TS Muhyiddin yang dianggap Pak Lah sebagai dalang kejatuhannya, tidak 'menang percuma'.
Pada mulanya, saya pun memikirkan pencalonan Datuk Zahid sebagai Timbalan merupakan suatu cara untuk memecah-belahkan gandingan Najib-Muhyiddin demi menyelamatkan Pak Lah dari kubur politik. Tetapi menurut seorang ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zahid diarahkan demikian untuk menyelamatkan hidup politik Khairy Jamaluddin! Teori terbaru adalah, KJ merancang untuk ber-'cai' dengan Datuk Zahid sebagai calon Ketua Pemuda beliau!
Tetapi kelihatan seperti usaha menyelamatkan Pak Lah mahupun menantunya melalui pencalonan Datuk Zahid mungkin gagal ala 'lompat kerusi' Anwar Ibrahim, dengan tiba-tiba munculnya begitu ramai calon-calon Timbalan Presiden lain, termasuklah kuda yang 'lebih hitam', Ketua Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad.
Inilah bahananya bila KJ ingin bermain kuda-kuda politik, akibat dia 'tak reti', menjadi olokan pula akibatnya pemilihan UMNO nanti!
Pergerakkan Jalinan Sahabat Pak Lah
Pada hari ini, timbul pula fenomena baru. Rupa-rupanya setelah lebih seminggu gagal mempertahankan Pak lah menerusi kempen sms dan khabar angin yang tak menjadi, Datul Reezal Merican dan Che Alwi 'Al-Ketereh' kini berusaha menggerakkan usaha baru untuk menyelamatkan Pak Lah. Mereka merancang untuk mendapatkan nombor IC atau Pasport Ketua-Ketua Bahagian, kononnya sebagai tanda rayuan akar-umbi supaya Pak Lah kekal berkuasa.
Apa? HAHAHAHAHAHAHA!
Itulah reaksi awal saya apabila mendengar tentang usaha baru ini. Tetapi ada lagi. Kononnya di antara yang memukul canang membantu Reezal dan Che Alwi adalah tidak lain dari Tan Sri Senator Jins Samsuddin bersama sekelompok besar sahabat-sahabat lama Pak Lah! Betul, percaya lah...
HAHAHAHAHAHAHA!
Memang melucukan, tetapi tetap merbahaya, kerana dengan modal inilah mereka merencanakan mesyuarat MKT UMNO untuk diadakan sebelum 8 Oktober bagi membolehkan lagi usaha mendesak pengekalan kuasa Pak Lah. Atau mungkin rencana mereka untuk menggunakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sudah pun dijadualkan pada jam 3.30 petang Rabu ini?
Kan teman setia Pak Lah, TS Koh Tsu Koon, baru sahaja menang kedudukan Presiden Gerakan tanpa bertanding, selesai menggoreng hidup-hidup maruah tokoh politik Melayu Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail. Malah salah seorang calon Pemuda Gerakan pun baru-baru ini ada mengatakan UMNO patut mendapatkan persetujuan parti komponen BN lain untuk menggantikan Pak Lah... ada ka! Kureng...
Waspadalah semua ahli, terutama pemimpin UMNO, Pak Lah dan para pengikutnya kelihatan bersedia melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa..
Tingkat 4 Berpindah Tuan Ke DS Najib
Bagi anak-anak muda, bukan sahaja dalam UMNO, malah di seluruh negara, perkembangan inilah yang paling menimbulkan kerunsingan di antara gerak percaturan sekitar peralihan kuasa awal ini. Rancangan melantik mentor Khairy Jamaluddin di Oxford dahulu, yakni Omar Mustapha Ong, sebagai Setiausaha Politik ataupun Penasihat Ekonomi DS Najib di Kementerian Kewangan membawa petanda jelas akan adanya rancangan ini.
Malah Omar Mustapha Ong terlihat sudah pun mengatur langkah membawa ahli tingkat 4 lain masuk ke pejabat baru mereka, walaupun sebelum perlantikan beliau diisytiharkan rasmi lagi! Di antara mereka yang sudah mula disusup masuk adalah 'penasihat media', Hardev Kaur, yang berbau perisik Singapura ala Brendan Pareira.
Bagaimanakah mungkin Omar Mustapha Ong ini berjaya menyelinap masuk ke pejabat DS Najib? Mungkin kerana beliaulah antara ahli Tingkat 4 yang paling licik sekali. Pada masa ahli Tingkat 4 berebut-rebut mencari tenggek di pejabat Pak Lah, Omar dengan sabar memohon tempat di sis DS Najib, dengan bantuan teman-temannya Abdul Razak Baginda dan Rohana Tan Sri Mahmood. Dengan cara tersebut, beliau berjaya mendapatkan label 'orang Najib'.
Namun hubungan Omar dengan Tingkat 4 tidak dapat disembunyikan, memandangkan beliaulah bekas ketua kumpulan ini sejak masa di Universiti lagi. Omarlah yang menjadi 'Tok Guru' KJ di Oxford sebagai senior beliau sehingga KJ diberi kepercayaan menjadi penyunting majalah Ethos edaran kumpulan pelajar Malaysia elitis tersebut di England.
Sempena nama majalah inilah Omar kemudian menamakan syarikat pakar perunding beliau, Ethos Consulting, yang ditubuhkan bersama rakan akrab beliau Datuk Zaki Zahid, yakni agen utama KJ di Tingkat 4 Pak Lah. Ternyata sepanjang zaman Pak Lah berkuasa, Ethos Consulting merupakan pakar perunding projek kerajaan yang paling digemari, terlibat dengan pelbagai kegagalan Pak Lah, termasuklah koridor-koridor dan peranapan industri otomotif negara.
Pembaca yang ingin tahu bolehlah melawat sendiri pejabat syarikat Omar Mustapha Ong yang kini bernama Ethos & Co, di bangunan TSH Group, syarikat berkait dengan Datuk Kalimullah Hassan. Menarik sekali, bangunan TSH ini juga menempatkan pejabat Koridor Utara atau NCER, pimpinan orang setia Pak Lah dan penghubungnya dengan Tan Sri Vincent Tan, Datuk Anuar Zaini. Ia juga merupakan pejabat Tune Money yang dipimpin Tengku Zafrul al-Avenue Capital...
Alangkah sedihnya bagi anak-anak muda se-Malaysia kiranya pemergian Pak lah tidak mematikan riwayat kuasa penderhaka generasi kami di Tingkat 4. Adalah harapan kami yang ini tidak terjadi.
Percaturan Yang Lebih Menyelamatkan KJ Dari Pak Lah?
Menarik sekali apabila dilihat percaturan terakhir tersebut di atas tak tentu menguntungkan Pak Lah sangat, tetapi jelas menguntungkan Khairy Jamaluddin dan teman-temannya di Tingkat 4. Sayang sangatkah Pak Lah kepada KJ, atau mungkinkah...
Mungkin tak patut kita persoalkan sayang Pak Lah ini. Kalaulah Pak Lah sedia bertukar kementerian sekalipun untuk menjamin kekayaan anak kandungnya, mana mungkin tidak beliau membakar dirinya demi masa depan sang menantu... Wallahualam...
Kemaskini...
Ada ura-ura menyatakan yang Pak Lah akan berusaha untuk menunda Mesyuarat-Mesyuarat Bahagian ke bulan Febuari pada hari ini! Kononnya ia memberi lebih masa bagi para pemimpin dan perwakilan Cawangan UMNO ke Bahagian untuk dibeli! MashaAllah!
Apa nak jadi ni............
Labels:
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment