Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Wednesday, December 14, 2011
Sultan Abdul Halim, Yang di-Pertuan Agong ke-14
Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.
Ini kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama adalah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 ketika berusia 43 tahun.
Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 di Istana Negara pada 14 Oktober lalu untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa semalam, menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, kelmarin.
Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong di kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara merdeka pada 31 Ogos 1957.
Istiadat semalam adalah yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar yang mula beroperasi pada 15 November lalu.
Upacara bermula jam 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.
Mesyuarat dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim yang memakai pakaian di-Raja Kedah yang dikenali sebagai ‘Sikap’ yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tengkolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.
Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menjadi saksi. Istiadat semalam juga membabitkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Ia diikuti bacaan doa dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Syed Danial kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetapkan. Ini disusuli istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Istiadat diteruskan dengan Sultan Muhammad V menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca pengisytiharan berkenaan.
Istiadat semalam dihadiri Raja-Raja Melayu, kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Turut hadir semua empat Yang Dipertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua jabatan.
SUMBER:
BERITA HARIAN
KOSMO
MALAYSIAKINI
Labels:
Pengetahuan Am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment