Labels

Sunday, April 8, 2012

Sekolah Politik IKD Tingkatan 1

Pernah dengar tentang Sekolah Politik? Belum? Mari.

Hujung minggu yang lalu diperuntukkan untuk bersama Sekolah Politik anjuran Institut Kajian Dasar dan Konrad Adenauer Stiftung di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor. Satu kelas yang saya kira, memberi gambaran praktikal kepada kejadian-kejadian yang berlaku dalam senario politik negara. Bagi yang meminati kisah politik negara yang nampaknya semacam berkecamuk, Sekolah ini sesuai untuk dijadikan pentas permulaan memahami asas-asas politik. Yang menariknya, kisah keberantakan dalam politik negara, dilakonkan semula oleh peserta dalam bentuk permainan-permainan santai sehingga ke Sesi Parlimen.

Pertamanya, saya berterima kasih kepada Sekolah Politik, Institut Kajian Dasar (IKD) dan pemudahcara yang berjaya menyeronokkan suasana. Santai, bersahaja dan aktiviti berlalu tanpa sedar. Saya secara peribadi, seronok melihat ada segerombolan juak-juak yang punya kesedaran politik yang tinggi dalam jumlah yang agak ramai. Kita sudah biasa dengar sembang bikin kereta, sembang bola, tapi jarang sekali orang bicara tentang politik dengan tegar. Jarang sekali orang berasakan kepentingan politik dalam hidup seharian. Jarang sekali orang positif untuk dengar tentang isu-isu kenegaraan. Bila terdengar bau-bau politik, terus dikatakan "Ah, bising." Sedangkan, kekuatan politik itu cukup luar biasa. Kehebatannya menggunung, sehinggakan naik jatuh Kerajaan itu, pasti berkait kuasa politik. Tapi sebahagian dari kita masih angau, kononnya cool dan macho, tak ada bimbang tentang negara. Sebahagian ini biasanya bising apabila harga barang naik, tapi tiada tindakan, hanya bising mengomel dan mengkritik. Usah kita beralasan lagi, terus daftarkan diri jadi pemilih. Itu paling asas. Siap siaga untuk PRU 13!

Aktiviti Sekolah Politik disusun dengan cantik. Semangatnya itu dipupuk jinak seawal kelas oleh saudara Mustaqim diikuti oleh saudara Hasmi hashim aka Buddhi Hikayat.  Kami mendengar dan berdiskusi soal apa itu politik, kemudian mula masuk ke isu-isu yang lebih penting bagi mempersiap peserta dengan Sesi Utama di sebelah malam. Kemuncak aktiviti ialah pada Sabtu malam Ahad, Sesi Dewan Rakyat Olok-Olok bagi membahaskan usul. Usul yang dibawa ialah mendesak KPN meletakkan jawatan kesan daripada peningkatan kadar jenayah yang meruncing dan kritikal. Barisan Kerajaan dihuni bukan calang-calang pendebat yang cukup digeruni, disokong pulak dengan serikandi yang manis dan panglima-panglima lalat. Saya yang pada mulanya di pihak pembangkang, menerima arahan dari Tangan Ghaib untuk berada di pihak Kerajaan dan seterusnya dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi. Saya kira barisan Pembangkang cukup hebat dan kental, diketuai Ketua Pembangkang Fikri, Ketua Whip Aya, dan bala tentera seluruhnya. Kita terima, dan kita bahas. Isu terbentang, fakta dan statistik sudah tersedia panas-panas, ayoh bakar semangat lawan!

Sesi Parlimen menjadi kenangan tak terlupa buat semua. Dengan kepincangan hujah, diselang-seli dengan bunyi bising suara-suara sumbang, memang mengganggu proses perbahasan. Kekacauan semakin memuncak sehingga Tuan Speaker menghalau Ahli Parlimen keluar dari Dewan (rasa macam nak baling je pen ke Tuan Speaker). Berlaku jugak lompatan Ahli Parlimen dari Kerajaan ke Pembangkang dengan spontan. Ini memang mengejutkan kawan dan lawan. Belum pernah terjadi dalam Sidang Parlimen, lompatan sebegitu kudus berlaku. Kupasan tentang Sesi Parlimen ini masih terngiang-ngiang. Provokasi dan simulasi yang dimainkan Tuan Speaker memang cemerlang dan UNIK! Manis sungguh. Keriuhan Dewan Rakyat turut dihangatkan oleh ustaz Wan Ji yang tak habis-habis asyik dok tangkap gambar. kah kah kah.

Di Sekolah Politik, kita terbuka dan berlapang dada. Biar apa pun fahaman kita atau kecenderungan pemikiran kita, ia bukan masalah. Tidak kira fahaman apa sekalipun, walau kapitalis, walau sosialis, walau fundamentalis, walau sekularis, walau Islamis, walaupun libertarian, walaupun diktatorism, walau jugak katak atau lalang, semuanya berhimpun dan berkumpul atas nilai-nilai bersama. Kepatuhan pada undang-undang dan nilai akhlak dan moral. Semua berbeza pendapat, tetapi bila sampai soal pelaksanaan, kita semua berbalik kepada prinsip yang sama yakni Urustadbir Yang Betul, Kebertanggungjawaban dan Keadilan. Ini yang menjadikan kita lebih matang menghadapi apa jugak perbezaan antara kita. Berpadu pada persamaan dan bangga dengan kepelbagaian.

Bagi saya, Sekolah Politik 1.0 ialah contoh mudah di mana kepelbagaian aliran falsafah yang dibawa oleh setiap peserta boleh bekerjasama atas misi yang satu, ditunjangkan kepada kepatuhan undang-undang dan penghayatan nilai akhlak dan moral. Kalau kelompok kecil ini boleh berjaya, tidak mustahil bagi Pakatan yang lebih besar itu akan berjaya. Misinya satu yakni "Tawan Putrajaya" dan Dasar Bersama itu bergerak dalam kerangka nilai-nilai Keadilan, Pertengahan dan Berkebajikan. Dengan izin Allah Taala, berjaya! Insya-Allah.

Maka saya ulangi jutaan terima kasih kepada Sekolah Politik, Institut Kajian Dasar, Konrad Adenauer Stiftung, dan rakyat Jerman yang sudi menaja Sekolah Politik, jugak terima kasih kepada teman-teman yang sempoi dalam berprinsip, yang kacak dan manis, yang lucu dan tegas, satu kombinasi barisan pemikir yang menarik, rugi untuk dilepaskan.


"Kamu semua adalah sama, tidak saorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Solleh" - Khutbah Wida' Rasulullah SAW.


1 comment:

Anonymous said...

Salam,macam mana nak tahu lebih lanjut tentang sekolah politik ikd ini? Saya berminat. Terima kasih.