Labels

Friday, March 7, 2008

Adakah rakyat merasai nikmat pertumbuhan ekonomi?.........

Kenapa tidak rasa nikmat ekonomi?

Mar 7, 08 3:59pm

eksklusif Kerajaan mendakwa ekonomi negara sedang memacu dengan pesat tetapi rakyat tidak terasa nikmatnya. Kenapa? Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai jawapannya.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi tidak menghasilkan peluang pekerjaan dan peningkatan gaji orang ramai.


"Jika seorang mendapat RM1 juta setahun - dan jika dia dalam kumpulan 1,000 orang - purata pendapatan bagi mereka ialah RM1,000 seorang setiap tahun. Itulah masalahnya dengan perangkaan dan ukuran purata.


"Saya sering memberitahu orang ramai melalui ucapan-ucapan saya bahawa seseorang boleh lemas di sungai yang purata dalamnya hanya dua kaki. Jadi apabila kita bermain dengan ukuran purata, kita boleh menampakkan sesuatu itu bagus khususnya apabila kita herotkan maklumat untuk kelihatan baik.


"Sebab itu, walaupun wujud pertumbuhan ekonomi, tetapi ia tidak diterjemahkan kepada peluang pekerjaan atau pendapatan yang lebin baik untuk orang ramai."


Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di pejabatnya di Yayasan Kepemimpinan Perdana di Putrajaya, Mahathir berkata walaupun Malaysia tidak boleh menghalang inflasi, ia bagaimanapun boleh mengawalnya dengan tidak menaikkan barangan dengan terlalu pantas.


"Kenaikan harga minyak memang nyata. Ia meningkat hampir 300 peratus. Mustahil bagi kerajaan menampung kenaikan itu subsidi. Mereka boleh memberikan subsidi, tetapi tidak sepenuhnya. Mungkin kerajaan wajar menaikkan sedikit harga minyak perlahan-lahan jadi orang ramai tidak merasakannya (akibatnya) terlalu membebankan."


Beliau berkata, satu cara kerajaan untuk mengawal inflasi adalah dengan mengawal kadar tukaran wang.

"Sepatutnya (kerajaan) mengawal kadar tukaran dan mengambil manfaat daripada kekukuhan ringgit, tetapi sebaliknya mereka (kerajaan) membiarkan ringgit diapungkan (di pasaran) dan apabila ia (nilai ringgit) menguat, anda tidak mendapat sebarang manfaat kerana anda tidak dapat menggunakannya (kekukuhan ringgit) untuk mengawal kenaikan harga dalam negara."


Mahathir, yang juga menteri kewangan di hujung pentadbirannya selama 22 tahun, berhujah bahawa kerajaan sepatutnya tidak melonggarkan tambatan ringgit, dasar kontroversi yang diperkenalkannya pada 1998 sebagai reaksi kepada krisis kewangan Asia.


"China menambat mata wang mereka. Apa yang menyebabkan kita rasa malu (berbuat demikian)? Apa kita peduli tentang apa yang hendak dikata oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)? Kita menolak dasar IMF dan kita tidak akan diapa-apakan."

Bekas perdana menteri itu percaya BN akan dihukum oleh rakyat pada hari pengundian esok akibat kenaikan harga barangan walaupun kerajaan membuat bermacam-macam pengumuman pelaburan berjuta-juta ringgit di lima koridor pembangunan.


"Apa yang penting bukanlah sangat ucapan (pelancaran), bukan media tetapi kenyataan bahawa harga semakin meningkat. Itulah yang anda benar-benar rasa. Jadi inilah yang akan mempengaruhi (undi) mereka berbanding ucapan, koridor ekonomi dan lain-lain.


"Jadi (walaupun) ada koridor, saya tidak mendapat sebarang manfaat. Apa yang saya tahu saya kini terpaksa harga yang lebih tinggi untuk makanan dan minyak."

(Petikan daripada wawancara bersama malaysia kini)

No comments: