Labels

Friday, March 7, 2008

Dakwat, Isu Moral & Penipuan

Dakwat, Isu Moral & Penipuan

Di Musim Pilihanraya

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/



Saya agak sedih apabila diwartakan bahawa penggunaan dakwat untuk pembuangan undi 8 mac 2008 ini dibatalkan. Setelah isu ini dibincangkan sebaiknya di peringkat majlis fatwa kebangsaan dan diputuskan sebagai harus, kini ia dibatalkan atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.


Akibat dari laporan tersebut, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengambil keputusan membatalkan penggunaannya. Secara ikhlasnya, saya menunggu-menunggu gambar mereka yang terlibat ditangkap dan disiarkan di televisyen atau media, namun setakat apa yang saya tahu masih tiada tangkapan specific dibuat. Hanya gambar dakwat yang disiarkan. Saya juga terfikir mengapa ISA tidak digunakan kepada mereka yang membeli dakwat itu sebagaimana kebiasaannya dalam kes-kes yang mengancam keselamatan negara.

Mungkin dengan tertangkapnya mereka yang terlibat, penggunaan dakwat tidak perlu dibatalkan. Wallahu'alam dan terpulanglah kepada mereka yang berwajib untuk mempertimbangkannya atas asas yang benar dan penuh tanggungjawab. Benar, memang sukar untuk ditangkap terus, namun rasanya tangkapan untuk siasatan pun belum ada setakat malam 5 Mac 08, sedangkan keputusan pembatalan telah dibuat.




Tidak dapat saya nafikan, saya sebenarnya merasa seronok dan tidak sabar untuk mengundi menggunakan dakwat, yang saya kira sejarah baru dalam politik tanahair serta komitmen yang baik bagi menjamin keyakinan pengundi terhadap proses pilihanraya. Namun, nampaknya terkubur sahaja harapan itu disamping banyak juga saya mendengar luahan rakyat di sekitar saya, ada yang terkilan dan ada juga yang tidak yakin, ada yang bersyukur dan lega dan pelbagai lagi dan pelbagai lagi.

Seorang Profesor di UIAM pula berkata " Iyshh, betul-betul membazir, bukankah sudah dibeli dakwat tu".. Saya hanya mengangkat kening mendengar komen Prof itu, mungkin betul dan mungkin sebaliknya. Terpulang kepada anda mentafsirkannya mengikut acuan yang anda sendiri.

Mafrel Tarik Diri

Hasil dari pembatalan tersebut badan pemantau pilihanraya yang diiktiraf oleh SPR iaitu Malaysians for Free and Fair Election (Mafrel), telah bergolak sehingga beberapa pemimpinnya menarik diri.

Abd Malek Hussain, pengerusi Mafrel dengan tegas menyatakan bahawa Mafrel tidak dapat menerima kehadiran pemerhati-pemerhatinya yang ditauliahkan SPR untuk memerhatikan urusan pengundian di tempat-tempat mengundi pada pilihan raya ini dalam keadaan untuk mengiyakan suatu keputusan yang pasti menjejaskan kredibiliti dan integriti Mafrel. Malek juga berkata Mafrel memandang berat kepuutsan tersebut memandangkan penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi amat berguna dan berkesan untuk mencegah perbuatan penyamaran serta pengundian berganda yang jelas bertentangan dengan seksyen 7, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Berdasarkan pengalaman Mafrel melalui misi pemerhatian pilihan raya peringkat antarabangsa khasnya di Indonesia, Filipina malahan Afghanistan, penggunaan dakwat kekal tersebut diperakui masyarakat antarabangsa sebagai salah satu langkah yang berkesan untuk mencegah amalan penyamaran dan pengundian berganda," kata beliau dalam sidang media petang tadi.

Tambah beliau, berdasarkan pengamatan Mafrel, pilihan raya umum ke-12 ini akan terdedah kepada gejala penyamaran dan pengundian berganda yang hanya boleh ditangani secara jangka pendek dengan penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi.

Beliau juga berkata pembatalan penggunaan dakwat kekal itu mendedahkan suasana yang tidak kondusif kepada perjalanan proses pilihan raya yang seharusnya menepati prinsip-prinsip dan amalan pilihan raya yang bebas dan adil yang diiktiraf dunia.




Dengan itu, Malek berkata Mafrel membantah sekeras-kerasnya keputusan pembatalan tersebut dan menegaskan bahawa Mafrel tidak akan mengiyakan satu keputusan yang nyata bertentangan dengan rekomendasi nombor 12 dan 13 yang terkandung dalam 'Final Report in Election Observation of 2007 by-elections' bersabit dengan penggunaan dakwat kekal yang telah dikemukakan Mafrel kepada SPR sebagai sebahagian dari syarat-syarat pemerhatian pilihan raya Mafrel yang diiktiraf SPR bagi pilihan raya kecil N8 Machap, Melaka dan N11 Ijok pada 2007 lalu


Masalah Orang Malaysia


Jika apa yang dilaporkan adalah tepat dan benar, maka Malaysia menghadapi kedudukan rakyat yang lebih teruk dan kurang bermoral berbanding Indonesia, Filipina, Afghanistan yang dinyatakan oleh Mafrel menggunakan dakwat yang sama. Negara yang bergolak seperti itu pun rakyatnya masih boleh ditangani agar tidak melakukan sebarang penipuan apabila menggunakan dakwat namun agak menyedihkan apabila kita di Malaysia gagal menggunakan sistem ini.


Tidak kiralah siapa yang menipu dalam hal ini samada yang berwajib atau rakyat, secara ikhlas saya hanya ingin mengaitkannya dengan masalah moral, nilai dan amanahnya rakyat Malaysia yang semakin terhakis dan ini sudah pasti amat membahayakan negara dan seluruh penduduknya.


Di musim pilihanraya ini pelbagai jenis penipuan dan pembohongan dapat dilihat dengan jelas, wajah-wajah sebenar orang terdesak untuk menutup kelemahan dan kejahatan masing-masing juga tampak kelihatan. Hingga penipuan dan pembohongan dijadikan bahan untuk memastikan kuasa diperolehi dan menjalankan agenda masing-masing

Hakikatnya mereka telah tertipu dengan kenikmatan sementara kuasa dan harta.


Bagi Yang Rasa Tertipu, Sengaja Menipu & Benar-benar ditipu


Bagi yang rasa tertipu, sengaja menipu & benar-benar ditipu, kembalikanlah ingatan kepada apa yang disebut oleh Allah yang maha berkuasa. Allah swt telah mengingatkan kita agar menyakini :



إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُواْ بِهَا وَإِن تَصْبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لاَ يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ


Ertinya : Jika kamu memperoleh kebaikan, niscaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira karenanya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya TIPU daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan ( Al-Imran : 120)


Juga ingatan lainnya :



وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلاَّ بِاللّهِ وَلاَ تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلاَ تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ


Ertinya : Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap kejahatan mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka TIPU DAYAkan ( AN-Nahl : 27)


Lebih hebat dari itu, Allah juga menyatakan bahawa


وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ

Ertinya : "Tidaklah tipu daya jahat itu kecuali akan kembali kembali pembuatnya" ( Fatiir : 43)


Jika benar terdapat individu yang cuba merencanakan kejahatan dengan membeli dakwat itu, sekarang ia telah merasakan 'back fire' hasil rencana jahatnya apabila penggunaan dakwat dibatalkan, jika yang menrencana adalah pihak berwajib, sama-sama menunggu samada di dunia atau akhirat.

Perlu diyakini, sebarang kemenangan secara penipuan hanya merupakan cara Allah membalas dan mempergandakan dosa mereka yang menang, ia ibarat istidraj yang diberikan Allah kepada si penjahat untuk membiarkannya terus jahat (atas pilihannya sendiri) dan akhir amat layak mendapat murka Allah.


Apa yang penting, bagi mereka yang yakin sedang memperjuangan kebenaran harus bergantung lebih kepada Allah dari diri mereka sendiri, sudah tentu semuanya wajib berusaha tetapi usaha mereka tidak akan kesampaian tanpa bantuan Allah, dan bantuan Allah memerlukan mereka yang berjuang itu ikhlas serta sentiasa memperbaiki dirinya. Hanya dengan itu, bantuan Allah dan kemaqbulan doa akan tiba.

Namun, jika ada yang berpuasa sunat, berdoa dan bertahajjud untuk mencapai kemenangan yang diyakini benar untuk agama Allah, tetapi dalam waktu yang sama juga turut tidak insaf dan terus menerus melakukan dosa yang sama seperti orang lain, sebagai contoh memakan riba, menipu dan lain-lain dalam kehidupan peribadinya. Amat sukarlah doanya dimaqbulkan Allah. Perjuangannya akan gagal buat sementara waktu bagi membolehkan koreksi diri dilakukan lagi. Malah jika menang dalam keadaan berdosa, fitnah harta dan pangkat pastinya akan menewaskan individu ini, hingga akhirnya menyusahkannya di dunia dan akhirat.


Sabda Nabi saw :-

يا غُلَامُ إني أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وإذا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لو اجْتَمَعَتْ على أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لم يَنْفَعُوكَ إلا بِشَيْءٍ قد كَتَبَهُ الله لك وَلَوْ اجْتَمَعُوا على أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لم يَضُرُّوكَ إلا بِشَيْءٍ قد كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ

Ertinya : Nabi bersabda : Wahai pemuda, aku ingin mengingatkanmu dengan ..


"Jagalah Allah (suruhan dan larangannya) nescaya Allah akan sentiasa menjagamu dan akan kamu dapatiNya bersamamu, dan apabila kamu meminta, mintalah bantuan dari Allah, dan KETAHUILAH, sekiranya seluruh umat ini bersatu untuk memberi manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat kepadamu walaupun sedikitpun kecuali apa-apa yang telah Allah tuliskan bagimu (sebagai manfaat yang akan diperolehi), dan JIKA SEMUA mereka bersatu memudaratkanmu, tidak akan jatuh kamu dalam sebarang mudarat kecuali apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah akan menimpamu.." (Riwayat At-Tirmidzi, 4/667; Hasan Sohih)

Semoga kita semua dan pembaca mampu menjauhkan diri dari tergolong dalam kumpulan ini yang tidak menjaga arahan dan larangan Allah, yang kesannya "Tidak akan mendapati Allah membantunya apabila dipinta"


Moga Allah membalas segala jenis penipuan pilihanraya dan lainnya dengan segera di dunia lagi kepada sipembuatnya agar mereka mampu sedar dari keasyikan hasil dodoian Syaitan laknatullah dan akhirnya bertaubat dan mati didalam keampunan Allah swt.


Sekian

No comments: