Sejarah nilai jasa Suharto
Oleh: SOPHA SULAIMAN (KORESPONDEN UTUSAN DI JAKARTA)
HAJI Muhammad Suharto (Soeharto), lebih dikenali dengan panggilan Pak Harto merupakan pemimpin paling lama menjadi Presiden Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI), iaitu selama 32 tahun (12 Mac 1967 – 21 Mei 1998).
Daripada seorang anak petani miskin yang lahir di Desa Kemusuk Yogyakarta, kerjayanya bermula dengan menyertai tentera penjajah Belanda.
Suharto dilantik sebagai Presiden kedua selepas tokoh proklamasi Indonesia, Presiden Sukarno mengundurkan diri.
Bekas jeneral lima bintang yang pernah memimpin Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) melalui zaman yang penuh warna-warni, di dalam tentera mahupun semasa menjadi pemimpin Order Baru Indonesia.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, Suharto membuat sumbangan yang besar dalam membangunkan Indonesia dan rakyat Nusantara hingga dikagumi di peringkat antarabangsa.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata, rakyat Indonesia amat berduka dengan pemergian Suharto yang telah berjasa besar kepada negara dan bangsa.
Indonesia berkabung selama tujuh hari dan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang sehingga 2 Februari sebagai menghormati kematian beliau.
Semasa pemerintahannya, Suharto mewajibkan persekolahan bagi anak-anak bangsa tanpa perlu membayar yuran, melancarkan program merancang keluarga dan berusaha membebaskan kemiskinan rakyat melalui revolusi pertanian untuk makanan.
Beliau yang digelar Bapak Pembangunan, berjaya mencorakkan kemajuan Indonesia dengan wawasan jauh dan meletakkan Indonesia sebagai salah satu negara “Harimau Asia” pada zaman pemerintahannya.
Di peringkat antarabangsa dan ASEAN beliau antara tokoh yang disegani dan memainkan peranan penting di peringkat serantau bersama pemimpin Malaysia, Allahyarham Tun Razak Hussien, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Suharto turut memainkan peranan menamatkan sengketa antara Malaysia dan Indonesia dalam yang berkonfrontasi pada awal tahun 1965.
Di eranya juga, Suharto mengehadkan kegiatan parti politik dan hanya membenarkan tiga parti utama untuk mengurangkan “politiking” supaya pembangunan negara dapat diberikan tumpuan utama.
Parti yang dibenarkan dipilih oleh rakyat ialah pada setiap pilihan raya – Golkar, Parti Demokrasi Perjuangan Indonesia (PDIP) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP).
Bagi rakyat yang hidup di zaman pemerintahnya, mereka menikmati harga barang yang murah dan tidak banyak pengangguran dan penghijrahan rakyat Indonesia untuk mencari kerja di luar negara.
Dalam erti kata lain Pak Harto banyak berjasa kepada bangsa Indonesia walaupun dalam masa yang sama, sebagai manusia biasa beliau tidak dapat melarikan diri daripada melakukan kesilapan.
Malah pemimpin dan tokoh politik serta ahli perniagaan termasuk mereka yang menggerakkan reformasi Indonesia sekarang menikmati faedah dan lahir di zaman era pemimpin Order Baru itu.
Digeruni
Walaupun dianggap diktator oleh pihak Barat, Suharto yang digeruni dan dihormati kerana berjaya menamatkan pengaruh Parti Komunis Indonesia (PKI) dan mengharamkan parti itu di bumi negeri ini.
Amerika Syarikat dan Barat menjadi rakan dagang dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.
Namun dalam operasi membersihkan pengaruh komunis, 500,000 orang dilaporkan dibunuh kerana disyaki ejen PKI dan disyaki bersimpati dengan fahaman komunis. Ramai penentangnya yang dipenjarakan tanpa bicara dan hilang tanpa dikesan termasuk dalam gerakan tentera di Aceh dan Papua.
Suharto dipaksa turun dari Istana Presiden oleh rakyat dan mahasiswa yang merusuh seluruh negara yang turut menawan Parlimen pada Mei 1998 dalam gerakan prodemokrasi kerana didakwa melakukan penyelewengan kuasa, korupsi dan melanggar hak asasi manusia.
Suharto dituduh memperkayakan keluarga serta kroninya melalui penubuhan tujuh yayasan yang diwujudkan semasa memimpin Indonesia.
Para peniaga diarah menyumbangkan dua peratus daripada keuntungan kepada salah sebuah yayasan yang didirikan oleh Suharto.
Beliau pernah menjalani tahanan di rumah pada Mei 2000 semasa zaman pemerintahan Abdur Rahman Wahid untuk membolehkan pihak berkuasa menyiasat kes rasuah yang melibatkan penggelapan wang negara.
Bagaimanapun segala tuduhan rasuah terhadap beliau tidak pernah dibuktikan hingga ke hari ini.
Siasatan rasuah terhadapnya bagaimanapun dihentikan oleh Peguam Negara memalui surat perintah peguam negara atas alasan keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkan.
Bagaimanapun surat arahan yang dikeluarkan peguam negara itu terus menimbulkan kontroversi setelah didapati tidak sah oleh sebuah mahkamah Jakarta Selatan dan kemudian disahkan oleh mahkamah tinggi pada tahun lepas.
Walaupun demikian desakan supaya harta dan kekayaan bekas Presiden itu yang diperoleh secara salah diserahkan kepada kerajaan untuk pembangunan rakyat.
Transparency International mendedahkan Suharto telah menggelapkan wang negara antara AS$15 hingga AS$35 bilion sepanjang menerajui negara.
Bagaimanapun Suharto menafikan telah menyimpan harta yang banyak di luar negara dan memenangi tuduhan fitnah yang dibuat oleh sebuah majalah antarabangsa.
Dalam masa beliau sakit dan keluar masuk hospital sejak 1998, ramai yang menyarankan agar Pak Harto dimaafkan sahaja di atas dakwaan korupsi dan membiarkan sejarah menilainya.
Mereka tidak mahu bekas pemimpin negara ini mengakhiri hidupnya dalam keadaan hina dan menjadi kebencian rakyat sepertimana Presiden Sukarno.
Semasa krisis kewangan Suharto terpaksa tunduk kepada tekanan Bank Dunia dan “dipaksa” membuat pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk memulihkan semula ekonomi Indonesia yang tenat ketika itu.
Ketika krisis ekonomi dan kejatuhan teruk mata wang rupiah (22,000 rupiah bersamaan AS$1) Suharto dipaksa meletakkan jawatan oleh rakyat.
Akibat tekanan rakyat, beliau menyerahkan kuasa sementara kepada Naib Presiden BJ Habibie sehingga diadakan pilihan raya secara demokrasi pada 1999.
Suharto lahir pada 8 Jun 1921 di desa Kemusuk, Yogyakarta dan bernikah dengan gadis keturunan bangsawan, Raden Ayu Siti Hartinah (ibu Tien Suharto) pada 26 Disember 1947.
Ibu Tien meninggal dunia pada 26 April 1996 dan sebagai mengenangnya, Suharto membina Masjid At-Tien berdekatan Taman Mini Indonesia Indah di Jakarta.
Mereka dikurniakan enam orang anak - Siti Hardijanti Rukmana (Tutut), Bambang Trihatmojo, Siti Hediati Hariyadi (Titiek), Hutomo Mandala Putra (Tommy) dan Siti Hutawi Endang Adiningsih (Mamiek).
Di hari-hari terakhir Suharto yang menderita akibat pelbagai komplikasi organ dalam tubuh, rakyat, pemimpin termasuk seteru dan kawan mendoakan kesejahteraan beliau.
Mereka sedia memaafkan kesalahan Suharto tetapi dalam masa yang sama tokoh-tokoh reformasi yang menggerakkan kejatuhan Suharto mahu beliau terus diadili mengikut undang-undang negara.
Suharto menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.10 petang waktu tempatan pada 27 Januari 2008 di kamar Presiden No 536, Rumah Sakit Pusat Pertamina Pusat, Jakarta selepas 24 hari dirawat.
Jenazah beliau disemayamkan di kediamannya di No 8 Jalan Cendana, Menteng Jakarta sebelum diterbangkan ke Solo untuk diberi penghormatan terakhir dan dikebumikan di sisi pusara isterinya di Astana Giribangun, Karanganyar, Jawa Tengah.
Nama Suharto akan terpahat dalam lipatan sejarah Indonesia sebagai seorang negarawan yang digeruni oleh kawan dan lawan, disayangi dan dibenci oleh rakyat.
Namun yang jelas, pemergian Pak Harto tetap ditangisi dan diiringi doa rakyat jelata, mahupun yang kaya dan yang miskin.
AMIN
No comments:
Post a Comment