Labels

Friday, March 7, 2008

wawancara bersama Tun Dr Mahathir berkenaan isu kaum India....


Dr M: Samy kekang suara India

Nash Rahman | Mar 6, 08 4:06pm

eksklusif Masalah yang dihadapi masyarakat India mungkin boleh diselesaikan jika presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu digantikan, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga menafikan bahawa masalah yang melanda masyarakat India bermula di zaman pentadbirannya, yang didakwa terlalu memberi tumpuan kepada usaha memajukan masyarakat Melayu, sehingga masyarakat India terpinggir.

"Saya tahu rungutan utama mereka bukan tentang saya, (tetapi) terhadap Samy Vellu kerana beliau telah menafikan orang India peluang untuk naik," katanya.

Dalam temubual dengan Malaysiakini semalam, bekas pengerusi BN itu berkata, masalah muncul apabila Samy Vellu menghalang pemimpin India lain bersuara.

“(Presiden parti Barisan Progresif India (IPP), MG Pandithan diketepikan, (bekas timbalan presiden MIC, Datuk S) Subramaniam juga diketepikan, Datuk K Pathmanaban telah meninggal dunia, tetapi sebelum itu, beliau adalah (bekas naib presiden MIC).

“Itu adalah cara (Samy Vellu) bekerja dan tentulah suara-suara lain tidak sampai pada saya. Dan tentulah, dia tidak cerita mengenai pergolakan di kalangan orang India," jelasnya.

Berikut petikan temubual Dr Mahathir dengan Malaysiakini:

Kaum India didakwa terpinggir pada zaman Tun dan kerajaan sekarang menanggung akibatnya?

Jadi, mereka mahu menyalahkan saya? Mereka (tidak mahu) mengundi saya sekarang (ketawa). Lihat pada statistik. Orang India hanya 9 peratus penduduk Malaysia (tetapi) 40 peratus daripada mereka menjadi doktor.

Tetapi jumlahnya semakin merosot...

Jumlahnya tidak menurun, ia naik sewaktu pentadbiran saya. Ia tidak pernah mencapai 40 peratus sehinggalah saya menjadi PM. Mengapa mereka tidak kata “terima kasih, terima kasih, terima kasih”? Banyak orang yang datang jumpa saya untuk mengucapkan terima kasih, tetapi hanya segelintir orang India yang cakap terima kasih.

Saya tahu rungutan utama mereka bukan tentang saya, rungutan utama mereka terhadap (Datuk Seri S) Samy Vellu kerana Samy Vellu menafikan peluang orang India naik.

Anda tahu orang India begitu kuat berpolitik. Tunku Abdul Rahman pernah kata, “jika ada seorang India, maka ada sebuah parti politik. Jika terdapat dua orang India, akan ada dua parti politik”.

Mengapa biarkan beliau berbuat demikian?

Bukan begitu. Samy Vellu tidak memintanya, masalahnya ialah beliau menyekat orang India lain daripada bersuara. (Tan Sri MG) Pandithan (kini presiden Barisan Progresif India) telah diketepikan, (bekas timbalan presiden MIC, Datuk S) Subramaniam telah diketepikan, (Datuk K) Pathmanaban telah meninggal dunia tetapi sebelum itu, beliau adalah (bekas naib presiden MIC).

Inilah cara (Samy Vellu) buat kerja dan sudah tentu suara-suara yang lain tidak sampai kepada saya. Dan tentulah, beliau tidak memberitahu tentang pergolakan dalam masyarakat India.

Mungkinkah penyakit yang melanda kaum akan selesai jika Samy Vellu diganti?

Boleh jadi, boleh jadi... kerana orang lain akan dapat bersuara. Perkara utamanya ialah apabila kita menubuhkan Barisan Nasional, Umno menerima PAS -- sebuah lagi parti Melayu, menyertai BN. Tidak kiralah PAS keluar kemudiannya.

Tetapi Samy Vellu bertegas bahawa pertubuhan India yang lain tidak boleh sertai (BN) dan ini telah mengecewakan ramai orang yang tidak bersetuju dengannya.

Anda rasa sudah tiba masanya Samy Vellu bersara?

Terpulanglah kepada beliau untuk membuat keputusan. Ramai yang akan berkata “jika anda lepaskan jawatan, kami juga akan turut melepaskan jawatan” dan mereka akan menangis dan sebagainya. Tetapi bila saya melepaskan jawatan, tiada seorang pun yang ikut sama berbuat demikian.

Anda rasa Samy Vellu sudah terlalu lama memegang jawatannya?

Saya rasa seseorang itu tidak patut (pegang jawatan) terlalu lama. Saya rasa, saya juga terlalu (memegang kuasa), saya sepatutnya melepaskan jawatan pada 1998 tetapi kerana ada masalah dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), saya terpaksa teruskan. Tetapi saya bersara atas kehendak saya sendiri, saya tidak dipaksa berbuat demikian.

Saya masih popular pada masa itu dan jika saya mahu teruskan lagi, Umno akan menyokong saya sebagai ketuanya. Tetapi saya rasa tidak adil bagi saya untuk kekal lama di situ. Anda mesti beri peluang kepada orang lain. Tentulah ramai orang yang kata “bilakah orang tua ini hendak bersara”? Jadi OK, saya bersara. Sekarang anda mempunyai pemimpin lain, anda putuskanlah sama ada ia satu langkah yang wajar atau tidak.

Samy Vellu kata beliau bangkitkan isu-isu masyarakat India di Kabinet, tetapi cadanganya tidak dilaksanakan?

Itu alasannya. Saya tahu banyak mana dia bercakap dalam Kabinet. Jangan beritahu sesuatu yang orang lain tidak dapat buktikan kerana tiada orang yang mendengar apa yang dicakapnya (Samy Vellu) dalam Kabinet, kecuali kami. Beliau bercakap, tetapi bukan isu-isu yang dibangkitkannya itu, seperti mendapatkan pampasan untuk buruh India yang dibawa secara paksa ke sini dan sebagainya.

Beliau tidak pernah menyebut tentangnya. Saya tidak pernah dengar. Beliau tidak pernah berkata bahawa orang Melayu telah melakukan pembersihan kaum. Beliau tidak kata. Mengapa beliau tidak bercakap mengenainya?

Samy Vellu kata kerajaan tidak menyokong kaum India dalam bidang ekonomi?

Itu juga tidak benar. Cuba kaji statistik mengenai semua perkara tersebut. Bagaimanakah kedudukan masyarakat Melayu dan bagaimanakah kedudukan masyarakat India. Purata pendapatan orang Melayu lebih rendah daripada purata pendapatan orang India. Anda mesti ingat bahawa bagi kumpulan yang kecil, puratanya amat bermakna tetapi bagi kumpulan yang besar, ia tidak bermakna.

Bolehkan Samy Vellu dianggap satu beban kepada BN dalam pilihanraya ini?

Saya tidak boleh kata begitu kerana saya adalah penyokong BN.

Apakah Samy Vellu memindahkan kesalahan itu kepada kerajaan?

Anda boleh andaikan demikan, tetapi saya tidak kata begitu.

Apakah pandangan Tun tentang Hindraf?

Banyak tuntuan mereka yang tidak munasabah dan menolak kedudukan orang Melayu sebagai kaum asal negara ini. Anda tahu, ini adalah sesuatu yang amat sensitif kepada orang Melayu. Sama ada anda mendapat sokongan orang Melayu atau anda mendapat sokongan orang India.

Jika kerajaan memberitahu orang Melayu “maaflah status anda adalah sama dengan status orang India”. Maka saya rasa sokongan orang Melayu kepada kerajaan akan jatuh merudum. Tetapi anda mesti membaca memorandum yang mereka hantar kepada kerajaan Ratu Elizabeth.

No comments: