Labels

Thursday, August 14, 2008

Banyak Cakap Jadi Tersalah Cakap


CAKAP-CAKAP oleh dua orang yang berusia lebih 75 tahun ke atas yang dilaporkan oleh akhbar hari ini agak lucu dan menggambarkan betapa orang seperti mereka lebih baik diam daripada bercakap. Kalau mereka diam rasanya harga diri mereka menjadi lebih mahal daripada mereka bercakap. Bila mereka bercakap harga diri mereka juga boleh merudum.

Pepatah pun ada mengatakan kalau kamu merasakan kurang ilmu lebih baik kamu diamkan saja nescaya orang tidak akan sedar akan kelemahan kamu!


Pertama ialah mengenai cakap-cakap bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, (berumur 83 tahun) yang bersedia untuk lari meninggalkan negara ini sekiranya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri 16 September depan.

Walaupun cakap-cakap itu tidak lebih dari cakap politik namun ia memberi gambaran betapa buruknya Anwar sampai Mahathir hendak lari meninggalkan negara ini dan hidup di negara lain. Itu menggambarkan betapa bencinya Mahathir kepada Anwar.

Hanya seseorang yang terlampau membenci seseorang saja tidak mahu bersua, bercakap dan juga bercerita mengenainya. Dan cara Mahathir itu menunjukkan beliau tidak boleh menerima langsung kalau Anwar menjadi pemimpin Malaysia.

Bila mengenangkan cakap-cakap Mahathir itu saya teringat cakap-cakap berversi sama yang pernah dikeluarkan oleh bekas pemimpin Darul Arqam, Ashaari Muhammad. Ashaari di zaman hebatnya dulu pernah mengeluarkan kata-kata untuk menjadi warganegara lain kerana tidak mahu berada dalam sistem pemerintah Mahathir yang dianggap zalim menekan gerakan dakwah.

Kerana itu beliau bercadang untuk memohon kepada Yang di-Pertua Agong untuk menjadi warganegara lain.

Tidaklah pula saya pastikan apakah Ashaari sempat berbuat demikian. Cuma apa yang sangat diingatkan beliau kemudian ditangkap secara borong bersama pengikutnya dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kemudian mengaku pula secara beramai-ramai meninggalkan perjuangan dan ajaran Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan Darul Arqam.

Apabila mendengar Mahathir hendak berhijrah bila Anwar jadi PM, samalah dengan apa yang Ashaari lakukan itu. Jadi di sini boleh disimpulkan, mutu, darjat dan kelas pemikiran politik Mahathir sama sahaja dengan Ashaari Mohammad, tidak sanggup berdepan dengan musah secara gentleman!

Cakap-cakap kedua yang agak lucu dan membuatkan saya terdesah ialah cakap-cakap Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat (kini sudah berusia 77 tahun) yang mengatakan amalan kronisme dibenarkan dalam Islam. Beliau dalam mempertahankan perlantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ariff Fahmi Abdul Rahman merujuk kepada perlantikan Khalifah Rasyhidin (sahabat empat Abu Bakar, Omar,Othman dan Ali) yang berunsur kronisme.

Hujah beliau, tidak menjadi masalah dengan perlantikan kroni kalau ianya layak untuk ke jawatan tertinggi atau ke dalam mana-mana organisasi dan syarikat. Beliau membuat pandangan ini ekoran timbul kritikan terhadap perlantikan menantunya ke jawatan itu di mana beliau adalah pengerusinya.

Pastinya Nik Aziz mengeluarkan kenyataan berupa fatwa itu bukan suka-suka tetapi berpegang kepada nas dan sejarah. Jadi mulai hari ini amalan kronisme tidak jadi masalah dalam parti politik termasuk melantik kaum keluarga sebagai pembantu dan sebagainya. Pas juga mulai hari ini kena terima kronisme dan ini pula secara tidak langsung bertentangan dengan perjuangan PKR dan Anwar Ibrahim yang begitu memandang jijik kepada kronisme dan nepotisme.

Ini nampaknya fatwa dan pandangan baru dari Mursyidul Am Pas itu. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin Islam dan ulama yang terbuka dan liberal serta berani mengemukakan pandangan-pandangan yang menimbulkan kontroversi seperti berkawan dengan syaitan dan Tuhan mencarut dan berbagai-bagai lagi.

Sebelum ini masalah kronisme menjadi kritikan dan kebencian Nik Aziz dan juga orang Pas terhadap Abdullah Ahmad Badawi apabila Abdullah melantik menantunya Khairy Jamaluddin menduduki Tingkat Empat. Apakah penentangan itu disebabkan Khairy tidak berlayakan dan berpengalaman seperti Ariff Fahmi? Ataupun kerana kronisme Abdullah itu kronisme Islam Hadhari yang bertentangan dengan kronisme sahabat empat itu?

Dan seperti mana saya teringat kepada apa yang dilakukan kepada Dr Mahathir sama dengan dilakukan Ashaari Muhammad itu, maka begitulah juga saya teringat apa yang pernah dilakukan Nik Abdul Aziz ke atas bekas Presiden Pas, Mohd Asri Muda. Saya masih ingat pada tahun 1980-an kenapa Nik Aziz tidak setuju dan sebulu dengan Asri ialah kerana bekas Presiden Pas itu mengamalkan kronisme dalam parti.

Asri melantik ipar duai dan isterinya memegang jawatan tinggi dalam parti. Salahuddin Abdullah (iparnya kalau tak silap) dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, manakala Sakinah Junid, isterinya dilantik menjadi Ketua Muslimat.

Kemuncak penentangan Nik Abdul Aziz ialah apabila Mohd Asri melantik orang-orangnya menjadi calon dalam pilihan raya 1982 dan membelakangkan orang-orangnya. Perbalahan itu bukan saja setakat protes secara senyap tetapi Nik Abdul Aziz memberi kata dua kepada ahli-ahli Pas Kelantan samada memilih beliau ataupun Asri!

Tindakan Nik Abdul Aziz ketika itu disokong oleh kebanyakan ahli Pas. Mereka yang termakan hujah kronisme sebagai huduh ketika itu mengambil tindakan menyokong Nik Aziz. Kumpulan Asri akhirnya tersisih dari Pas yang kemudiannya bertolak dari situ juga bekas pemimpin Pas yang banyak berjasa itu akhirnya keluar meninggalkan Pas.

Dan apakah setelah 26 tahun Asri tidak ada dalam Pas masalah kronisme tidak berbangkit lagi dan ironinya sudah boleh dijadikan amalan oleh Pas? Persoalan ini saya tidak berani menjawab dan menghuraikannya sebaliknya terserahlah kepada kebijaksanaan ahli dan penyokong Pas untuk menimbangkangnya. Cuma di hari minggu ini apa yang nak saya singgungkan ada kalanya orang tua tersalah cakap disebabkan kerana terlalu banyak berakap!

syeikhsifu

No comments: