Labels

Sunday, August 3, 2008

Niat Dan Cara Hendaklah Betul


Soal kejelasan niat dalam sesuatu tindakan adalah rukun utama bagi segala gerakerja. Setelah akidah seseorang itu selamat dan sejahtera, Islam meletakkan syarat utama bagi setiap amalannya pula adalah niat yang betul. Nabi s.a.w bersabda: “Setiap amalan itu hanyalah berdasarkan niat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, amalan yang sama dihukum berbeza berdasarkan niat seseorang. Seseorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana tergelincir tidak sama kedudukannya di sisi Allah dengan seorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana ingin membunuh diri. Walaupun barangkali pada zahir mereka yang melihat mayat itu menyangka sama, di sisi Allah berbeza.

Adapun yang tergelincir dimaafkan Allah dan mungkin mendapat pahala jika dia berada di atas bangunan itu dengan tujuan yang baik, sementara yang membunuh diri telah melakukan dosa yang maha besar di sisi Allah. Namun niat yang jujur itu tidak berpada, jika cara yang dibuat itu tidak betul.

Jika si yang tergelincir tadi sengaja menempah cara yang membawa maut sedangkan ia boleh dielakkan, mati dia dianggap mencampakkan diri ke dalam kebinasaan yang diharamkan oleh Allah. Islam tidak mengiktiraf cara Robin Hood yang merompak dengan tujuan untuk bersedekah. Dalam soal politik, ekonomi, ibadah khusus dan selainnya, prinsip Islam adalah sama iaitu matlamat tidak menghalalkan cara.

Maka dalam Islam, setelah di syaratkan niat yang betul, amalan yang dianggap soleh atau yang dikira pahala dalam Islam ini mestilah caranya juga betul iaitu bertepatan dengan tunjuk ajar Allah dan al-Sunnah. Jika dalam persoalan ibadah khusus seperti solat, puasa, haji dan seumpamanya syarat yang kedua setelah niat seseorang itu baik adalah amalan yang diiktiraf betul itu berdasarkan ia pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Seseorang yang ikhlas niatnya, tetapi melakukan solat yang tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, maka itu dinilai salah dan menyanggahi sunnah. Umpamanya jika seorang mencipta solat baru atas apa-apa sempena atau nama seperti ‘solat turun harga minyak’ maka itu dianggap salah di sisi syarak, walaupun niatnya betul.

Justeru itu, tidak hairan jika para ulama membantah dengan begitu keras amalan-amalan ibadah yang baru direka yang tidak ada dalam hadis-hadis yang sahih. Tokoh dalam Mazhab al-Syaifi’i, Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) umpamanya ketika mengulas tentang Solat Raghaib, iaitu solat sunat khas yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, beliau begitu tajam membantah.

Ini dapat dilihat beliau ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim: Daripada Abi Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa. (Riwayat Muslim).

Kata al-Imam al-Nawawi: “Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada dengan malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadith ini mengenai kesalahan solat bid’ah yang dinamakan solat al-Raghaib. Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah yang munkar daripada jenis bid’ah yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya”. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211. Beirut: Dar al-Khair).

Demikian tokoh lain Mazhab al-Syafi’i al-Imam al-Sayuti (meninggal 910H) berkata: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib”. Katanya juga: “Ketahuilah sesungguhnya solat yang bid’ah ini menyanggahi kaidah-kaidah Islam dalam beberapa bentuk…”( Al-Sayuti, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ m.s 52. Beirut: Dar al-Fikr ).

Kita lihat mereka ini begitu tegas bahkan ayat mereka begitu perit dan keras dalam membantah amalan ibadah khusus yang tidak berasal daripada Nabi s.a.w. Tujuan mereka semua demi mengekalkan ketulenan agama wahyu, agar tidak berlaku campur tangan manusia. Firman Allah: (maksudnya) “Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat - mana-mana bahagian dari ugama mereka – apa yang tidak diizinkan oleh Allah?!. (Surah al-Syura: ayat 21).

Sabda Nabi S.A.W.: “Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya begitu tertarik dengan dialog antara al-Imam Malik dengan seorang yang ingin membuat amalan yang lebih baik daripada Nabi s.a.w. Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: “Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) dari mana aku patut berihram?. Jawabnya: “Daripada Zu Hulaifah di tempat yang Rasulullah berihram”.

Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari Masjid Nabi. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari kubur Nabi s.a.w.. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat, aku bimbang fitnah (kerosakan agama) menimpa kamu”.

Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya?!! Ia hanya jarak yang aku tambah. Jawab al-Imam Malik: “Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang RasululLah s.a.w yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (RasululLah s.a.w), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih (Surah al-Nur ayat 63)” (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s. 102 Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi)

Walaupun lelaki ini ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu masjid Nabi s.a.w, atau kubur baginda s.a.w, namun al-Imam Malik bin Anas membantahnya disebabkan ia ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan lelaki itu menganggap diri seakan dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi s.a.w.

Jelas, niat yang baik tidak memadai jika tidak berdasarkan petunjuk yang betul. Dalam soal muamalat atau kehidupan biasa agama begitu luas. Tidak begitu sempit seperti dalam soal ibadah khusus yang membabitkan solat, puasa, doa khusus dan seumpamanya. Namun begitu, janganlah dalam kealpaan kita menguruskan urusan dunia, maka perlaksanaan perkara-perkara yang baik dibuat dalam bentuk yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam.

Mengutip derma untuk anak yatim umpamanya memanglah baik tujuannya. Namun, jika caranya itu dengan membuat konsert yang menggalakkan anak muda ke arah unsur-unsur yang negatif maka itu tidak lagi dianggap baik. Ini kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Sebab itu saya membantah upacara tafakur dan menghormati Tugu Negara. Upacara itu tidak boleh untuk dilakukan oleh seorang muslim yang berpegang kepada akidah tauhid yang sebenar. Walaupun mungkin niatnya baik untuk mengenang para pahlawan kita, namun itu bukan caranya. Upacara itu mempunyai unsur keberhalaan yang jelas. Ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang bersih dari unsur kesyirikan.

Apa lagi hendak disifatkan satu upacara yang bertafakur, memberikan tabik hormat dan menyembahkan kalungan bunga jika tidak menyamai unsur keberhalaan. Tidakkah ini yang dilakukan dalam upacara agama-agama berhala? Jika pelaku upacara ini menyatakan dia tidak mempunyai sebarang iktikad atau niat bahawa tugu itu dapat memberikan manfaat atau mudarat melainkan sekadar upacara kosong semata, bererti pelakunya itu telah melakukan kerja yang sia-sia lagi bodoh. Juga ia tetap haram di sisi syarak kerana menyamai aktiviti agama penganut kesyirikan.

Jika pelaku upacara tersebut beranggapan perbuatan tersebut boleh mendatangkan keamanan dan ketenteraman kepada negara, atau kebahagiaan kepada ruh para pahlawan, maka keyakinan dan pelakuan itu membawa kesyirikan yang jelas. Lupakah kita apa yang Nabi Ibrahim a.s tegur kaumnya? Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya.Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah ini patung-patung ini yang kamu berdiri mengadapnya (memujanya)?.Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-Anbiya: ayat 51-54).

Fatwa-fatwa di peringkat beberapa negeri dan kebangsaan telah pun mengharamkan perbuatan ini. Malangnya ia dihidupkan kembali secara rasmi dan umat Islam mendiam diri. Saya mengambil risiko mengingatkan hal ini untuk seluruh umat Islam, terutama kepada jenerasi baru yang mula longgar pegangan akidah mereka.

Janganlah kerana mereka melihat hal ini dilakukan di peringkat atasan, lalu mereka menganggap ia tidak menjadi kesalahan dalam pegangan agama. Besok mungkin mereka juga akan pergi memberikan hormat atau sembahan kalungan bunga atau buah kepada mana-mana patung atau tugu atau pongsu yang dianggap mulia. Janganlah pula sesiapa yang memakai gelaran agama cuba untuk menjustifikasikan pula perbuatan tersebut. Jangan sampai pengampu atau penasihat ber’persen’ itu membawa rebah.

Lupakah kita kepada nama-nama berhala Kaum Nabi Nuh a.s. Firman Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran: (maksudnya) “Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr. Dan Sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan Yang demikian) janganlah Engkau (Wahai Tuhanku) menambahi orang-orang Yang zalim itu melainkan kesesatan jua” (Surah Nuh: ayat 23-24).

Dalam hadis al-Bukhari, Ibn ‘Abbas menyebut bahawa Wadd, Suwaa, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasr tersebut asalnya nama orang-orang soleh di kalangan Kaum Nuh. Apabila mereka meninggal, syaitan mengilhamkan kepada Kaum Nuh agar membuat patung-patung ditempatkan dalam majlis-majlis mereka. Patung-patung tersebut dinamakan dengan nama orang-orang soleh berkenaan. Lalu Kaum Nuh pun membuatnya tanpa disembah. Sehinggalah apabila matinya jenerasi tersebut dan pengetahuan pun sudah tiada, maka patung-patung itu pun disembah. (Riwayat al-Bukhari)

Demikianlah kadang-kala perkara-perkara yang membawa kepada natijah yang amat buruk itu bermula dengan niat yang kelihatannya baik. Ini disebabkan tidak meneliti hasil atau natijah sesuatu tindakan. Orang politik sukakan hasil segera untuk keuntungan politiknya. Kadang-kala mereka tidak sempat mendongak ke langit untuk memikirkan kesan tindakan mereka di masa hadapan.

Sedangkan Nabi s.a.w mengingatkan kita: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim)

Perlaksanaan niat yang baik, hendaklah dengan cara yang baik juga. Begitulah dalam isu-isu politik yang berbagai pada hari ini. Keghairahan mengubah lanskap politik itu hendaklah dengan niat yang baik dan caranya juga baik. Ramai orang mendakwa niatnya baik. Namun kita tidak tahu apa yang terselit dalam jantung hatinya. Cuma yang dapat lihat adalah tindakannya.

Tindakan itu biasanya dapat menafsirkan niat yang terpendam. Sama seperti penunjukkan konsert londeh seluar yang kononnya dikatakan bertujuan baik. Namun yang kita tahu caranya buruk, maka ia dinilai dengan nilaian yang buruk. Sekali lagi, kita bukan pengikut Robin Hood yang menghalalkan sebarang tindakan yang nyata bertentangan dengan etika yang betul hanya semata atas slogan atau kononnya niat yang betul.

SUMBER :DRMAZA

No comments: