1. Pengasas-pengasas negara kita Malaysia telah pilih sistem demokrasi untuk politik dan pentadbiran negara kita.
2. Ini bukanlah sistem asli kita. Sistem kita ialah sistem Raja berkuasa mutlak (absolute monarchy). Tetapi oleh kerana Raja tanpa sokongan rakyat begitu lemah sehingga terpaksa serah negeri-negeri mereka kepada British, maka rakyat telah bangun pada 1946 untuk menebus balik negeri-negeri Melayu bersama Raja dan meneruskan peranan politik mereka melalui Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
3. Demokrasi memberi kuasa kepada rakyat untuk mentadbir negara mereka sendiri. Adalah dipercayai rakyat tentu bijak dalam pemilihan pemimpin mereka. Mereka tentu tidak akan pilih orang yang ternampak jelas akan rosakkan negara mereka dan membinasakan mereka.
4. Kematangan orang Melayu dalam selok-belok demokrasi diperlihat pada pemilihan ahli Badan Perundangan Persekutuan (Federal Lagislative Council) pada tahun 1955. Walaupun 80% daripada pengundi adalah orang Melayu dan hanya sebilangan kecil kawasan-kawasan mempunyai majoriti bukan Melayu, pengundi Melayu rela mengundi calon Perikatan bukan Melayu supaya British dapat lihat kesanggupan orang Melayu korban peluang diri mereka dan bekerjasama dengan bukan Melayu. Dengan itu maka berjayalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
5. Pencapaian Pilihanraya 1955 dan kefahaman demokrasi oleh UMNO telah dicerminkan sebelumnya dalam satu peristiwa yang menyayat hati pada 1951.
6. Di masa orang Melayu mula bergerak dalam bidang politik dan timbul keperluan untuk mengadakan satu pertubuhan bagi mengumpul tenaga mereka, mereka ketandusan pemimpin yang berwibawa. Mereka irihati melihat Indonesia dengan Sukarno-nya, dengan Mohd Hatta-nya, pemimpin-pemimpin yang berkarisma yang disanjung oleh semua rakyat Indonesia, yang terkenal diseluruh dunia.
7. Orang Melayu tidak punyai pemimpin yang begitu hebat. Mereka mencari-cari dengan hati yang berat.
8. Alangkah leganya mereka apabila dapat dikenal pasti seorang orang Melayu yang berkaliber, yang punyai latar belakang perjuangan yang berani.
9. Dato Onn Jaafar adalah orang berprinsip dan tegas. Apabila dia tidak bersetuju dengan sesuatu yang bertentangan dengan prinsipnya dia sanggup berhenti kerja dengan Kerajaan Johor dan membuat kerja sendiri. Dia memang seorang nasionalis. Tidak hairanlah yang dia muncul sebagai pemimpin Melayu yang cemerlang dan layak diterima oleh orang Melayu dari semua negeri-negeri Melayu sebagai pemimpin nasional bangsa Melayu.
10. Dia telah buktikan kebolehannya dengan membentuk pertubuhan politik Melayu yang sah dan pertama di Malaya. Di bawah panduan dan pimpinannya, sistem demokrasi dipilih bagi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau Perkembar yang kemudian lebih terkenal sebagai UMNO (United Malays National Organisation).
11. Dibawah pimpinan Dato Onn, UMNO bersama Raja-Raja menentang Malayan Union ciptaan British sehingga Malayan Union terpaksa digugur.
12. Persekutuan Tanah Melayu yang mengganti Malayan Union dan mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja berperlembagaan adalah sumbangan Dato Onn yang amat tinggi nilainya kepada orang Melayu. Semua orang Melayu menyanjung tinggi kejayaan kepimpinan Dato Onn Jaafar.
13. Amat malang sekali putar belit oleh British telah berjaya mempengaruhi pemimpin Melayu yang ulung ini dan dia telah terima saranan British supaya membuka keahlian UMNO kepada semua kaum.
14. Pengaruh Dato Onn memang kuat tetapi tidak mencukupi untuk menukar prinsip dan pemikiran orang Melayu pada masa itu. Walaupun ada pemimpin tinggi UMNO yang bersetuju dengan Dato Onn, tetapi majoriti tidak bersetuju.
15. Persaingan diantara Dato Onn berserta rakan-rakannya dengan pemimpin-pemimpin lain yang diketuai oleh Dato Abdul Razak bin Hussein dilakukan dengan tertib, mengikut semua prinsip-prinsip demokrasi. Tidak ada kempen yang kotor. Masing-masing terdorong dan berpegang teguh kepada kepentingan orang Malayu dan negara Melayu. Tidak ada kepentingan diri yang ditunjukkan, samada oleh Dato Onn atau Dato Abdul Razak Hussein yang tidak bersetuju dengannya.
16. Prinsip demokrasi dipegang kuat oleh kedua-dua pihak. Menganggap penolakan cadangannya sebagai usul tidak percaya maka Dato Onn meletak jawatan.
17. Tetapi kumpulan pimpinan Dato Razak tidak berebut-rebut untuk mengganti Dato Onn sebagai Yang di-Pertua UMNO walaupun ada seorang dua yang berminat. Sebaliknya kerana mengutamakan perjuangan parti untuk Bangsa, Agama dan Tanahair, mereka rela mencari calon daripada luar kumpulan mereka.
18. Yang mereka pilih ialah Tunku Abdul Rahman Putra, yang pernah menyokong Saberkas, satu daripada pengasas UMNO. Tunku tidak terlibat secara langsung dengan penubuhan UMNO atau aktiviti-aktiviti politik UMNO. Namun semangat nasiolisma belau tidak boleh dipertikaikan.
19. Pencalonan Tunku sebagai Yang di-Pertua UMNO mendapat sokongan daripada hampir semua ahli dan pemimpin UMNO. Tidak ada tekanan oleh mana-mana pihak supaya Tunku diterima dan tidak ada apa-apa kempen untuk memburuk dan menolak namanya. Peralihan jawatan daripada Dato Onn kepada Tunku berjalan dengan licin dan tenang. UMNO selamat dan terus mendapat lebih banyak sokongan daripada orang Melayu.
20. Penerimaan Tunku akan jawatan Yang di-Pertua UMNO dan pelepasan jawatan berkenaan oleh Dato Onn bukan kerana keinginan untuk menjadi Ketua Menteri atau Perdana Menteri. Tindakan kedua-dua mereka disebabkan oleh perbezaan pendapat berkenaan dengan cara untuk menjayakan pejuangan, cara mencapai kemerdekaan untuk negara. Kepentingan diri atau cita-cita besar bagi diri sendiri tidak termasuk dalam perhitungan pemimpin besar Melayu ini. Mereka adalah patriot yang sebenar yang sanggup mengamalkan demokrasi walau apa pun akan terjadi pada diri sendiri.
21. Pada tahun 1971 sekali lagi kita ditunjuk pegangan Tunku yang kuat akan prinsip-prinsip demokrasi. Menyedari bahawa sokongan kepadanya sudah berkurangan, Tunku telah tarik diri daripada jawatan Yang di-Pertua UMNO dan sekaligus Perdana Menteri Malaysia. Dengan itu Tun Razak telah dicalon dan dipilih sebagai Yang di Pertua UMNO yang baru. Tunku tidak cuba mengekalkan kedudukannya dengan menghasut, mengugut atau menyogok pemimpin kecil dan besar UMNO serta ahli supaya menghalang Tun Razak daripada mengambilalih jawatannya. Tunku juga tidak cuba sogok Tun Razak dengan janji akan letak jawatan dan menyerahnya kepada Tun dalam masa tertentu.
22. Pemimpin-pemimpin kecil dan besar UMNO dan ahli-ahli UMNO memain peranan yang diharap daripada mereka dalam badan yang mengamalkan demokrasi. Menyedari bahawa Tunku tidak lagi dapat memenuhi kehendak dan hasrat perjuangan Melayu dan UMNO, mereka tidak cuba mengambil kesempatan bagi diri mereka supaya disogok. Sebaliknya mereka rela melepaskan Tunku dan menerima Tun Razak.
23. Jika demokrasi tidak mendatangkan kebaikan, percayalah sebabnya bukan sistem ini tidak baik. Sebabnya ialah oleh kerana mereka yang diberi hak mengundi untuk menentukan nasib negara dengan memilih wakil dan pemimpin yang ikhlas dan jujur tidak menggunakan hak ini dengan bijak. Kerana takut atau kerana utamakan kepentingan semasa diri sendiri, atau kerana sanggup disogok, mereka menggunakan kuasa undi mereka dengan cara yang salah, dengan mengundi dan menyokong calon dan pemimpin yang mereka tahu telah abaikan tanggungjawab dan rosakkan parti.
24. Pucuk pimpinan pula, menyedari akan ketakutan dan keutamaan bagi diri sendiri dan lemahnya semangat juang ahli dan pemimpin kerdil dalam parti tidak segan-segan memperalatkan sifat ini untuk mengekalkan kedudukan dirinya dan konco-konconya.
25. Dengan ini maka demokrasi gagal mendatangkan kebaikan kepada pengamalnya.
SUMBER : BLOG CHE DET
No comments:
Post a Comment