Labels

Thursday, August 21, 2008

PRK PERMATANG PAUH MENGUJI WIBAWA BN DAN PR DI ERA PASCA PRU 12

Ruhanie Ahmad
21/08/2008

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh amat menarik, sungguh penting dan cukup signifiken untuk diikuti oleh majoriti rakyat Malaysia dan segolongan komuniti dunia. Keputusannya akan menjadi indikator, pengukur dan petanda kepada pelbagai perkembangan siasah Malaysia di era pasca PRU 12. Ia juga akan memuktamadkan seluruh persoalan membabitkan kepimpinan tanahair di hari-hari mendatang.

PRK Permatang Pauh adalah pilihan raya yang pertama sesudah Barisan Nasional (BN) dilanda tsunami politik; kehilangan kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor; dan memperolehi majoriti yang tipis di peringkat Parlimen menerusi PRU 12 kira-kira lima bulan yang lalu.

PRK ini juga diadakan sewaktu kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan berada dalam keadaan yang cukup lemah; populariti Abdullah dikatakan berada pada tahap yang amat rendah; BN masih lagi berusaha keras memulihkan kegagahannya; UMNO sedang dilanda krisis kepimpinan; rakyat jelata sedang dibelenggu kenaikan kos sara hidup akibat kebaikan harga minyak di pasaran global; dan segelintir pihak tertentu sedang mempertikaikan beberapa perkara strategik dan sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seorang daripada tiga calon PRK ini pula adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau pernah mewakili Parlimen Permatang Pauh berpuluh tahun lamanya atas tiket BN. Sewaktu Anwar dalam penjara, Datin Seri Wan Azizah Ismail, isteri Anwar, memenangi kerusi parlimen ini atas tiket PKR menerusi PRU 10 dan PRU 11. Dalam PRU 12, Azizah terus mengekalkan kerusi ini dengan majoriti yang besar.

Insan Malang

Baru-baru ini, Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh dengan harapan Anwar dapat memenanginya semula dalam PRK kali ini atas tiket PKR, mungkin untuk merealisasikan pelbagai agenda PKR dan Pakatan Rakyat (PR), termasuklah ura-ura PR mahu menubuhkan kerajaan pusat menjelang September 2008.

Bagaimanapun, Anwar hari ini adalah insan yang amat malang. Beliau diselubungi pelbagai kontroversi yang kelihatan muncul secara fokus dan bertubi-tubi. Perkembangan ini menyebabkan Anwar sendiri mendakwa yang dirinya sedang menjadi mangsa suatu konspirasi politik yang amat terancang.

Terbaru sekali, Anwar pula dijebak dengan satu tuduhan yang amat sensasi. Akibatnya, Anwar pun diheret ke mahkamah atas tuduhan tersebut. Tetapi, beliau mengaku tidak bersalah dan diizinkan diikat jamin.

Seluruh realiti dan perkembangan di atas melatarbelakangi PRK Permatang Pauh. Oleh itu, pastinya realiti dan perkembangan berkenaan akan dinilai dan dirincikan oleh para pengundi yang partisan atau pengundi atas pagar di Permatang Pauh. Hasil penilaian dan perincian inilah yang akan menentukan siapa yang akan menang dan siapa pula yang akan kecundang. Ia juga menyukarkan semua pihak membuat bacaan awal terhadap keputusan PRK berkenaan.

Ledakan Tsunami

Walaupun demikian, keputusan PRK Permatang Pauh pasti akan jadi indikator, pengukur, penentu dan jawapan kepada pelbagai andaian, ramalan dan persoalan, termasuklah seperti berikut:

· Adakah tsunami politik yang melanda BN dalam PRU ke-12 akan terus meledak?

· Sejauh manakah perkongsian kuasa PR di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor diterima oleh rakyat Malaysia di era pasca PRU ke-12?

· Mampukah Anwar merintis jalan pulang ke Putrajaya menerusi pletfom PR?

· Sekukuh manakah permuafakatan dan sekarab manakah kesetiakawanan yang wujud di kalangan seluruh parti komponen BN dan komponen PR di era pasca PRU ke-12?

· Sejauh manakah tahap penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah dan Anwar dalam era pasca PRU ke-12?

· Sejauh manakah warga UMNO yang mengundi di Permatang Pauh menerima formula peralihan kuasa ciptaan Abdullah?

· Sebijaksana manakah para pengundi akan menilai integriti pihak-pihak yang didakwa sebagai mendalangi konspirasi terhadap Anwar?

· Adakah survival politik Abdullah akan tergugat atau terjamin dan terbela menerusi PRK Permatang Pauh?

· Sejauh manakah para pengundi akan terpengaruh dengan seluruh mega mendung dan kegelitaan gerhana total yang dikatakan sedang menyelubungi politik mutakhir Anwar?

· Sebijaksana manakah para pengundi akan menilai kredibiliti seluruh kontroversi, tuduhan dan tohmahan terhadap Anwar?

· Adakah survival politik Anwar akan terancam, luntur dan pudar akibat PRK Permatang Pauh?

· Adakah sistem dua parti diterima oleh rakyat Malaysia dan akan menjadi satu struktur kekuasaan dan pemerintahan di hari muka?

Motif Politik

Pada kebiasaannya, memang agak sukar untuk BN tewas dalam sesuatu PRK. Tetapi, oleh kerana PRK Permatang Pauh adalah PRK yang diadakan atas motif politik, bukan akibat kekosongan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, mudahkah BN memenangi pertarungan seperti ini?

Pada waktu yang sama, walaupun Permatang Pauh sudah dikuasi oleh oleh Anwar sejak berpuluh tahun lamanya, dan sesudah itu dikuasai oleh PKR sejak kira-kira 8 tahun lamanya, adakah mudah untuk PKR dan PR memenangi pilihan raya ini bila jentera dan kekuatan BN daripada seluruh negara difokuskan ke PRK ini?

Pengkhianatan

Pendek kata, oleh kerana PRK Permatang Pauh di adakan hanya kira-kira lima bulan sesudah BN dilanda tsunami politik dalam PRU ke-12; oleh kerana tuntutan segolongan rakyat jelata supaya kepimpinan tertinggi kerajaan ditukar sesudah PRU ke-12 belum jadi realiti; oleh kerana formula peralihan kuasa ciptaan Abdullah tidak diterima sepenuhnya oleh seluruh warga UMNO; oleh kerana Anwar kini bertanding sewaktu beliau juga sedang menghadapi satu kes mahkamah yang kontroversial; oleh kerana kesejahteraan rakyat jelata kini terjejas oleh kenaikan kos sara hidup; parti manakah yang akan jadi pilihan utama para pengundi di PRK ini?

Berasaskan seluruh hujah di atas, BN atau PR tidak boleh riak dan tidak boleh takbur. Kedua-dua pihak wajar berkempen dengan penuh etika dan penuh hemah. Kedua-dua pihak perlu hindari apa juga kesilapan walau sekecil mana sekalipun. Paling penting lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seluruh jentera pengaman suasana mestilah bertindak secara bijaksana, adil dan saksama pada setiap masa.

Akhir kata, jika perjalan PRK ini bebas daripada sebarang pengkhianatan, penipuan, penyelewengan dan manipulasi, pastinya keputusan para pengundi pada 26 Ogos 2008 kelak adalah satu keputusan yang benar-benar demokratik, tidak boleh dipertikaikan dan tidak wajar didakwa-dakwi oleh sesiapa. Mudah-mudahan demikianlah hakikat dan realitinya.


http://kuda-kepang.blogspot.com/2008/08/prk-permatang-pauh-menguji-wibawa-bn.html

No comments: