Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Wednesday, August 6, 2008
Iskandar Malaysia - Shahrir cetus masalah kepada Ghani Othman?
Wed | Aug 06, 08 | 1:44:23 pm
Suatu ketika dahulu, nama Dato' Shahrir Abd Samad cukup dikagumi, dalam Umno. Macam-macam sejarah diciptanya. Pernah menjadi Setiausaha Politik kepada dua Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak Hussein dan Allahyarhan Tun Hussein Onn.
Pernah menjadi menteri kabinet yang termuda. Memperkenalkan jogathon dan marathon, sebagai usahanya mengamalkan kehidupan sihat, ketika dia menjadi menteri kabinet.
Tidak sehaluan dengan Perdana Menteri (PM), Dr Tun Mahathir Mohamad dan menampakkan sokongan kepada mentornya, Tun Musa Hitam.
Dia pernah digugurkan dari jawatan menteri oleh Dr Mahathir. Dia juga pernah 'dihalang' dari menganggotai Umno baru yang menyebabkan dia memilih untuk menentang Umno baru dalam satu pilihan raya kecil. Shahrir menang dengan majoriti 12,613 undi pada 24 Ogos 1988.
Hari ini, sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna, tiba-tiba Shahrir mengeluarkan kenyataan dia terkilan dengan projek pembangunan Iskandar Malaysia yang didakwanya masih tidak memberi keutamaan kepada penduduk Johor Bahru.
Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dilihat 'memperjuangkan' nasib pengundinya di kawasan itu, tetapi dia seolah-olah mahu menimbulkan masalah dengan Menteri Besar Johor, Dato' Abd Ghani Othman.
Tentunya, ini satu lagi 'masalah baru' dalam Umno. Mengapa Shahrir memilih untuk bercakap dalam media sedangkan dia adalah Ketua Umno Bahagian Johor Bahru yang secara otomatis duduk dalam Badan Perhubungan Umno Johor, yang dipengerusikan Abd Ghani.
Tidak bolehkah Shahrir bercakap dalam mesyuarat perhubungan? Jika Abd Ghani �tidak membenarkan� Shahrir bercakap dalam mesyuarat badan perhubungan, Shahrir boleh meluahkan pandangannya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di mana Shahrir dan Abd Ghani, masing-masing merupakan anggot MT.
Bila Shahrir mendakwa Iskandar Malaysia hingga kini tidak menampakkan impak secara langsung kepada rakyat tempatan khususnya peniaga-peniaga kecil di kawasan pembangunan baru seluas 2,217 kilometer persegi itu, tentunya dia 'menyerang Abd Ghani' walaupun mungkin bukan niatnya.
Menurut Shahrir, keadaan itu menyebabkan masyarakat tempatan dan peniaga tidak menerima dengan baik program pembangunan tersebut.
"Kalau masyarakat tempatan dan peniaga di Iskandar Malaysia tidak merasakan ia satu konsep yang membantu mereka, pembangunan itu tidak dapat membawa kejayaan.
"Dan kalau Berjaya pula, ia bukan milik kita," katanya yang mencadangkan diwujudkan konsep pemilikan bersama di kalangan penduduk tempatan di wilayah Iskandar Malaysia.
Shahrir berkata demikian pada siding akhbar selepas majlis dialog bersama Persatuan Peniaga dan Penyewa Terminat Awam Larkin di Johor Bahru.
Walaupun komen Shahrir ini tidak memungkinkan dia akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru seperti yang pernah dilakukannya dalam tahun 1988 dahulu dan kemudiannya bertanding semula dengan menggunakan tiket Bebas, namun kenyataan Shahrir itu menyebabkan Menteri Besar Johor terpaksa menjawabnya.
Menurut Abd Ghani, Iskandar Malaysia tetap menyediakan peluang pelaburan yang kompetitif bagi menarik pelaburan tempatan meskipun nilai hartanah di wilayah pembangunan itu dijangka meningkat berbanding dahulu.
Menteri Besar Johor berharap pelabur tempatan dapat memainkan peranan dalam projek pembangunan itu dan mengubah persepsi yang mengatakan nilai hartanah di kawasan itu masih murah.
"Pelabur tempatan perlu tampil ke hadapan, namun kita perlu menerima hakikat bahawa hartanah di Iskandar Malaysia bukan lagi seperti dahulu iaitu RM8 kaki persegi," katanya.
Abd Ghani berkata demikian selepas majlis pecah tanah bangunan Mutiara Motor Sdn. Bhd. berharga RM20 juta di Larkin, dekat Johor Bahru.
Menurut Abd Ghani, nilai hartanah di kawasan Iskandar Malaysia sememangnya kompetitif berbanding negara jiran dan ia bakal menyaksikan kepelbagaian pelaburan yang menjamin pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.
Beberapa pihak hairan, mengapa Shahrir tidak membawa perkara ini mengikut saluran, supaya dapat disampaikan kepada Abd Ghani secara lebih berkesan daripada memilih untuk mendedahkan perbezaan pendapat antara seorang Menteri dari Johor dengan Menteri Besar Johor.
"Mungkin juga Shahrir sudah menyuarakan pandangannya di dalam mesyuarat-mesyuarat badan perhubungan tetapi tidak mendapat reaksi positif dari Menteri Besar, barangkali," dakwa seorang ahli perniagaan dari Batu Pahat.
Namun ada juga yang menduga, Shahrir memang suka mencari populariti dengan membuat kenyataan di luar mesyuarat supaya menampakkan dia seorang wakil rakyat yang bekerja dan membela para pengundinya! - mr_
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16224&Itemid=1
Labels:
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment